ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Friday, May 7, 2010

Tan Sri Sanusi Junid kupas dan korek Wasiat Raja Melayu

Berikut adalah penulisan yang panjang oleh Tan Sri Sanusi Junid. Rajamenangis mengesyorkan semua rakyat Malaysia membacanya...


AKIBAT MENINGGALKAN WASIAT RAJA MELAYU

JATUH BANGUNNYA ZAMAN KEGEMILANGAN ACEH: RELEVANNYA UNTUK MALAYSIA

Karangan yang sederhana ini dipersembahkan sebagai 'back-up' kepada karangan bertajuk 'Forum: Model Ekonomi Baru' yang baru disiarkan sebagai sebuah kertaskerja dalam seminar anjuran PAKKU ( Persatuan Mantan Wakil Rakyat UMNO ). Tujuannya ialah untuk menggambarkan betapa pentingnya bangsa Melayu memberi perhatian kepada Wasiat Raja-Rajanya. Sementara Wasiat Sultan Aceh yang diketengahkan 503 tahun yang lalu telah menjadi pendorong yang menjadikan Aceh sebagai sebuah pusat tamaddun Islam di satu masa dulu kita dapati pula Wasiat Raja-Raja Melayu disampaikan 53 tahun yang lalu, dan menjadi inti kepada Perlembagaan Malaysia, telah menjamin kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan berbilang agama yang maju dan aman.

Sebagaimana juga penjajah dan budaya asing telah merosakkan sifat murni yang dipelupuri dalam Wasiat Sultan Aceh kita dapati Wasiat Raja-Raja Melayu juga sedang dicabar, dengan tercabarnya Perlembagaan Malaysia, oleh anasir-anasir luar.

Adalah diharapkan perbandingan ini dapat menimbulkan kesedaran yang berguna untuk bangsa dan negara kita.

21 WASIAT SULTAN ACEH - THE ACEH CODE

1. 26hb Mac, 2010 yang baru lalu ialah hari ulangtahun yang ke 137 tercetusnya serangan Belanda ke atas Aceh pada tahun 1873. Peperangan ini dinamakan 'The Aceh War' di mana ternyata, akhirnya, sebuah negeri Melayu di Asia telah mampu mengalahkan sebuah negara Barat sebelum kejadian kedua berlaku selepasnya, dengan kekalahan Rusia, sebagai sebuah negara Barat, di tangan China, dari Asia, dalam 'Manchurian War' pada tahun 1895-1904.

2. Sempena ulangtahun ke 137 Aceh War ini dua program telah dijayakan iaitu:

i. Aceh Development International Conference ( ADIC ) telah diadakan di Universiti Putra Malaysia ( UPM ) dan dianjurkan bersama oleh pelajar-pelajar dari Aceh, dari semua IPTA di Malaysia, Kelab Aceh Kuala Lumpur, Ikatan Masyarakat Aceh Malaysia ( IMAM ), dengan kerajasama UPM, dan ditaja bersama oleh Yayasan Warisan Pribumi, Kerajaan Negeri Melaka dan peniaga-peniaga keturunan Aceh di Malaysia.
Tujuan ADIC diadakan ialah untuk mengumpul dan membincangkan semua ide yang diketengahkan melalui lebih 80 buah kertas-kerja, yang datangnya dari peminat Aceh di seluruh dunia, yang merupakan sumbangan fakta dan intelektual untuk membangun semula Aceh.
ii. Pelancaran Perpustakaan Teungku Muhammad Dawud Beureueh dan Pusat Bahasa Arab dan Bahasa-Bahasa Asing ( Teungku Muhammad Dawud Beureueh and Center for Arabic and Foreign Languages - TMDL & CFA & FL ) di Banda Aceh. Pelancaran ini telah diadakan di Rumah Tamu Jeumpa D'Ramo di Jalan Maarof Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh Wakil Gabenor Aceh, Walikota Banda Aceh, Wakil Partai-Partai Politik dari Aceh, Tokoh-tokoh Melayu keturunan Aceh di Kuala Lumpur, para dermawan dan akademik dari Arab. Rancangan penubuhan perpustakaan ini menjadi tanda pentingnya ilmu dan pendidikan untuk membangunkan semula bumi Aceh yang pernah di satu masa dulu menjadi antara 5 pusat tamaddun Islam di dunia. Perpustakaan ini akan menjadi sumber ilmu sementara bahasa-bahasa asing adalah kunci untuk masuk ke gudang ilmu dalam berbagai bahasa.

3. Kesedaran mengenai kejatuhan Aceh dari sebuah tamaddun Islam kepada negara yang terpaksa berperang untuk mendapat kembali haknya, sehingga ditimpa oleh bala Tsunami sebagai bala yang terbesar yang pernah dialami di dunia, sepanjang ingatan, maka keputusan telah diambil untuk memberi perhatian kepada bidang ilmu pengetahuan dengan mempopularkan budaya membaca atau 'budaya iqra'.

4. Walau bagaimana pun dengan ilmu sahaja tidak mungkin sesuatu bangsa boleh membangun walau pun tanpa ilmu peluang untuk membangun tidak ada sama sekali. Tentu ada fakta lain yang perlu digabungkan dengan ilmu untuk mencapai kejayaan.

5. Faktor itu adalah sikap.

6. Setelah dicari, di mana mampu, ternyata satu manuskrip dari kerajaan Islam Aceh Bandar Darussalam telah ditemui dalam arkib Universiti Kebangsaan Malaysia. Manuskrip ini merupakah 'Wasiat Sultan Aceh' kepada pemimpin-pemimpin Aceh pada 913 Hijriah pada tanggal 12 Rabi'ul Awwal hari Ahad bersamaan 23 Julai, 1507.

7. Beginilah transliterasi manuskrip dari kerajaan Islam Aceh Bandar Darussalam yang bertajuk:

KEWAJIBAN RAKYAT KERAJAAN ISLAM ACEH BANDAR DARUSSALAM:

Bismillahirrahmanirrahim,

Amma ba'du

Maka inilah pohon kerajaan Aceh Bandar Darussalam.

Mulai terdiri Kerajaan Aceh Bandar Darussalam iaitu pada tahun 913 Hijriah pada tanggal 12 Rabi'ul Awwal hari Ahad bersamaan 23 Julai, 1507;

Atas nama yang berbangsawan bangsa Aceh iaitu Paduka Seri Sultan Alauddin Johan Ali Ibrahim Mughayat Syah Johan Berdaulat.

Maka pohon kerajaan mulai tersusun oleh yang berbangsawan tersebut hingga sampai pada kerajaan puteranya yang kuat iaitu Paduka Seri Sultan Alauddin Mahmud Al-Qahhar Ali Riayat Syah:

Kemudian hingga sampai pada masa kerajaan cicitnya iaitu Raja yang lang-gemilang gagah perkasa yang masyhur al-mulaqaab Paduka Seri Sultan Al-Mukarram Sultan Alauddin Mahkota Alam Iskandar Muda Perkasa Alam Syah Johan Berdaulat Zilullah Fil Alam;

Iatiu telah ijmak keputusan sabda muafakat Kerajaan Aceh Bandar Darussalam beserta alim ulamak dan hulubalang dan menteri-menteri;

Iaitu telah ditetapkan dia dan telah difaftarkan dan iaitu dengan sahih sah dan muktamad dengan memberitahu dan diperintahkan dia dengan mengikut dan menurut menjalankan dan melaksanakan oleh seluruh pegawai-pegawai Kerajaan Aceh Bandar Darussalam dan jajahan takluknya iaitu diwajib difayahkan di atas seluruh rakyat Aceh Bandar Darussalam dan jajahan takluknya.

Bahawasanya kita semuanya satu negeri bernama Aceh dan berbangsa Aceh dan berbahasa Aceh dan kerajaan Aceh dan alam Aceh;

Yakni satu negeri satu bangsa dan satu kerajaan dan satu alam dan satu agama yakni Islam dengan mengikut syariah Nabi Muhammad SAW;

Atas jalan ahlu-Sunnah wal Jamaah dengan mengambil hukum daripada Qur'an dan Hadis dan qias dan ijmak ulamak ahlu-sunnah wal jamaah;

Dengan hukum dengan adat dengan resam dengan kanun iaitu syarak Allah dan syarak Rasullulllah dan syarak kami;

Bernaung di bawah Alam Merah Cap Peudeung lukisan warna putih yang berlindung di bawah panji-panji Syariat Nabi Muhammad SAW;

Dari dunia sampai ke akhirat dalam dunia ini sepanjang masa:

1. Pertama diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh yang lelaki lagi mukaallaf dan bukan gila iaitu hendaklah membawa senjata ke mana-mana pergi berjalan siang-malam iaitu pedang atau sikin panjang atau sekurang-kurangnya rincong tiap-tiap yang bernama senjata ( BERANI ) *

2. Kedua tiap-tiap rakyat mendirikan rumah atau masjid atau baleeh-baleeh atau meunasah maka pada tiap-tiap tihang di atas puting di bawah bara hendaklah di pakai kain merah dan putih sedikit yakni kain putih ( DISIPLIN / SETIA ) *

3. Ketiga diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh iaitu bertani utama lada dan barang sebagainya ( RAJIN ) *

4. Keempat diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh mengajar dan berlajar pandai emas dan pandai besi dan pandai tembaga beserta ukiran bunga-bungaan ( RAJIN ) *

5. Kelima diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh yang perempuan iaitu mengajar dan belajar membikin tepun (tenun) bikin kain sutera dan kain benang dan menjaid dan menyulam dan melukis bunga-bunga pada kain pakaian dan barang sebagainya ( RAJIN ) *

6. Keenam diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh belajar dan mengajar jual-beli dalam negeri dan luar negeri dengan bangsa asing ( RAJIN ) *

7. Ketujuh diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh belajar dan mengajar ilmu kebal ( BERANI ) *

8. Kedelapan diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh yang laki-laki mulai taklif syarak umur lima belas tahun belajar dan mengajar main senjata dengan pendekar silek dan barang sebagainya ( BERANI )*

9. Kesembilan diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh dengan wajib ain belajar dan megajar ilmu agama Islam syariah Nabi Muhammad SAW atas almariq ( berpakaian ) mazhab ahlu-sunnah wal jamaah r. ah ajmain ( DISIPLIN ) *

10. Kesepuluh diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh menjauhkan diri daripada belajar dan mengajar ilmu kaum tujuh puluh dua yang di luar ahli sunnah wal jamaah r. ah ajmain ( DISIPLIN ) *

11. Kesebelas sekalian hukum syarak yang dalam negeri Aceh diwajibkan memegang atas jalan Mazhab Imam Syafi'i r.a. di dalam sekalian hal ehwal hukum syarak syariat Nabi Muhammad SAW. Maka mazhab yang tiga itu apabila mudarat maka dibolehkan dengan cukup syartan ( syarat ). Maka dalam negeri Aceh yang sahih-sah muktamad memegang kepada Mazhab Syafi'i yang jadid ( DISIPLIN ) *

12. Keduabelas sekalian zakat dan fitrah di dalam negeri Aceh tidak boleh pindah dan tidak diambil untuk buat bikin masjid-masjid dan balee-balee dan meunasah-meunasah maka zakat dan fitrah itu hendaklah dibahagi lapan bahagian ada yang mustahak menerimanya masing-masing daerah pada tiap-tiap kampung maka janganlah sekali-kali tuan-tuan zalim merampas zakat dan fitrah hak milik yang mustahak dibahagi lapan. ( AMANAH / DISIPLIN ) *

13. Yang ketigabelas diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh membantu kerajaan berupa apa pun apabila fardhu sampai waktu datang meminta bantu ( DISIPLIN / SETIA ) *

14. Keempatbelas diwajibkan diatas sekalian rakyat Aceh belajar dan mengajar mengukir kayu-kayu dengan tulisan dan bunga-bungaan dan mencetak batu-batu dengan berapa banyak pasir dan tanah liat dan kapur dan air kulit dan tanah bata yang ditumbok serta batu-batu karang dihancur semuanya dan tanah diayak itulah adanya ( RAJIN ) *

15. Kelimabelas diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh belajar dan mengajar Indang Mas di mana-mana tempatnya dalam negeri ( RAJIN ) *

16. Keenambelas diwajibkan di atass sekalian rakyat Aceh memelihara ternakan seperti kerbau dan sapi dan kambing dan itik dan ayam tiap-tiap yang halal dalam syarak agama Islam yang ada memberi manfaaf pada umat manusia diambil ubat ( RAJIN ) *

17. Ketujuhbelas diwajibkan ke atas sekalian rakyat Aceh mengerjakan khanduri Maulud akan Nabi SAW, tiga bulan sepuluh hari waktunya supaya dapat menyambung silaturrahmi kampung dengan kampung datang mendatangi kunjung mengunjung ganti-berganti makan khanduri maulut ( AMANAH / SETIA ) *

18. Kedelapanbelas diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh bahawa hendaklah pada tiap-tiap tahun mengadakan Khaduri Laut iaitu di bawah perintah Amirul Bah yakni Panglima Laot ( SETIA ) *

19. Kesembilanbelas diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh mengerjakan Khanduri Blang pada tiap-tiap kampung dan mukim masing-masing di bawah perintah Penglima Meugoe dengan Kejrun Blang pada tiap-tiap tempat mereka itu ( AMANAH / SETIA ) *

20. Keduapuluh diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh bahawa tiap-tiap pakaian kain sutera atau benang atau payung dan barang sebagainya yang berupa warna kuning atau warna hijau tidak boleh memakainya kecuali yang boleh memakainya iaitu Kaum Bani Hasyim dan Bani Muthalib yakni sekalian syarif-syarif dan sayed-sayed yang turun menurun silsilahnya daripada Saidina Hasan dan Saidina Husin keduanya anak Saidatina Fatima Zahra Nisa' Al-Alamin alaihassalam binti Saidina Rasulullah Nabi Muhammad SAW; dan warna kuning dan warna hijau yang tersebut yang dibolehkan memakainya iaitu sekalian kaum keluarga ahli waris Kerajaan Aceh Sultan yang raja-raja dan kepada yang telah diberi izin oleh kerajaan dibolehkan memakainya; kepada siapapun ( DISIPLIN / SETIA )*

21. Keduapuluhsatu diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh bahawa jangan sekali-kali memakai perkataan yang hak kerajaan: Pertama titah kedua sabda ketiga Karunia keempat Nugerahi kelima Murka keenam Daulat ketujuh Seri Pada ( Paduka ) kedelapan Harap Mulia kesembilan Paduka Seri kesepuluh Singgahsana kesebelas Takhta keduabelas Duli Hadrat ketigabelas Syah Alam keempatbelas Seri Baginda kelimabesar Permaisuri keenambelas Ta ( DISIPLIN / SETIA ) *

Maka demikianlah sabda muafakat yang sahih-sah muktamad daripada Kerajaan Aceh Bandar Darussalam adanya.

Maka hendaklah menyampaikan sabda muafakat keputusan kerajaan kami oleh Hulubalang Menteri kami kepada sekalian rakyat kami ke seluruh Aceh iaitu daerah-daerah dan mukim-mukim dan kampung-kampung dan dusun-dusun timur dan barat tunong dan baruh kepada sekalian imam-imam dan kejrun-kejrun dan datuk-datuk dan kechik-kechik dan wakil-wakil dan sekalian orang yang tuha-tuha dan muda-muda dan sekalian orang yang ada jabatan masing-masing besar dan kecil menurut kadarnya dan ilmunya;

Iaitu mudah-mudahan insya Allah ta'ala dapat selamat bahagia sekalian umat manusia dalam negeri Aceh Bandar Darussalam khasnya dan Aceh jajahan takluk amnya iaitu siapa menjadi manusia yang baik dan berkelakuan yang baik serta tertib sopan majlis dan hormat mulia yang sempurna dengan berkat syafaat Nabi SAW supaya terpeliharalah bangsa kami Aceh dan negeri kami Aceh daripada mara dan bahaya dengan selamat sejahtera bahagia sepanjang masa dan jauh daripada lembah kehinaan dan kesusahan sepanjang hidup;

Supaya terpeliharalah negeri kami Aceh dan alam kami Aceh dan bangsa kami Aceh dengan usaha yang banyak supaya dapat mesra kesenangan bersama-sama iaitu antara rakyat dengan kerajaan dengan bersatu seperti nyawa dengan jasaad serta dengan taqwa dan tawakkal kepada Allah ta'alaa dengan menahan sabar daripada kepayahan maka tentu akhirnya insya Allah ta'ala dapat jadi kebajikan bersama-sama dengan saudara-saudara-saudara Islam yang dalam negeri Aceh dengan berkasih-kasihan dengan mengikut Syarak Allah dan Syarak Rasul dan Syarak Kerajaan.

Sanah 1272 Hijriah ( 1855 Masehi )


Sumber Ihsan (c) 2010 http://sanusijunid.blogspot.com/

3 comments:

  1. Shali,

    Syabas di atas artikel yg amat bermanfaat untuk kita renungi bersama ini....


    ZAI

    ReplyDelete
  2. Bagi manusia yg berfikir akan dpt mencari kebenaran. Perhatikan kerajaan di zaman dahulu, semua kerajaan akan menggunakan perkataan Darul Salama yg membawa maksud kerajaan mengikuti agama Asalama iaitu agama nabi ibrahim.

    ReplyDelete
  3. salam

    Dulu kegemilangan aceh disebabkan ada kepimpinan raja, sekarang dimana raja itu atau keturunannya yang waris mewarisi nasab keturunan nya yang di rahmati dan dibarokati.

    Ada raja akan menjadi sejarah dikemudian hari jika sudah tiada raja, apa lah yang nak diceritakan lagi...

    dabong

    ReplyDelete