Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Monday, January 30, 2012

Kembalikan Kegemilangan Kompleks Sejarah Pasir Salak

BARU-baru ini saya membawa graduan saya melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak untuk membuat kajian tentang sejarah dan corak kehidupan masyarakat Melayu tepi sungai Perak sejak dahulu. Rata-rata mereka berasal dari luar Perak terutama Sabah.
Kami sebenarnya dalam proses menyiapkan sebuah perkampungan Melayu Perak di Kampung Pulau Tiga berkonsepkan Agro Pelancongan dan Pendidikan Sejarah.
Memandangkan mereka yang sedang menguruskan projek berkenaan, harapan lawatan ke Kompleks Sejarah Pasir Salak adalah untuk melihat warisan Melayu tepi sungai Perak yang suatu ketika dahulu turut menjadi lokasi pemerintahan raja-raja di Perak.
Namun keterujaan kami tiba-tiba menjadi sedih, hambar, kecewa, malah kadang-kadang rasa geram apabila melihat keadaan fizikal kemudahan dan nilai sejarah di kompleks berkenaan yang sudah usang, lantai reput, malah dapur ditutup kerana struktur rumah kutai sudah reput.
Lebih menyentuh perasaan apabila melihat rumah Dato' Seri Maharaja Lela yang dikelilingi kubu pertahanan yang menggambarkan perang orang Melayu menentang British pada tahun 1874 juga terbiar semak. Rumah kutai Dato' Maharaja Lela juga rosak dan menjadi sarang penagih dadah.
Setelah melihat keadaan rumah Dato' Maharaja Lela itu, terkeluar dari mulut graduan saya, ''apakah ini cara masyarakat kita menghargai jasa pahlawan Melayu yang mengorbankan nyawa kerana menentang penjajah?"
Jika graduan saya berusia sekitar 20-an boleh melahirkan rasa sedih, bayangkan dalam hati saya yang merupakan anak jati tepi sungai di Kampung Gajah, Perak.
Dalam bilik kuliah atau syarahan saya kepada semua pelajar, saya sering berbangga mengatakan tentang catatan sejarah Pasir Salak yang merakamkan keberanian orang Melayu membunuh penjajah British yang akhirnya menjadi pencetus kepada penentangan di seluruh tanah air.
Bagi saya, peninggalan sejarah tersebut adalah signifikasi perjuangan hidup suatu bangsa. Jika dahulu patriotisme tersebut adalah untuk mempertahankan tanah air daripada penjajahan asing, kini moral perjuangannya adalah jati diri untuk memartabatkan maruah bangsa dalam mengekalkan kuasa politik, ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Kerajaan dan pemimpin negara perlu melihat kepentingan Kompleks Sejarah Pasir Salak sebagai platform penting sejarah kedaulatan bangsa. Ia juga adalah pusat peninggalan warisan yang perlu disemat ke dalam jiwa generasi baru. Kewujudannya bukanlah sebagai nostalgia silam tetapi sebagai sumber inspirasi menuju masa depan.
Oleh itu, saya menyeru kepada pengurusan Jabatan Muzium, pemimpin di Perak dan seluruh umat Melayu supaya bersama-sama mengembalikan kegemilangan sejarah Pasir Salak dengan meningkatkan kemudahan sedia ada. Kepentingannya bukanlah untuk individu atau orang Pasir Salak semata-mata tetapi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan tanah air ini.

Dipetik dari Forum utusan.com.my


Tuesday, January 24, 2012

Jangan lepaskan peluang ke Muzium Negara

RATUSAN tahun dahulu, ribuan kapal telah belayar merentasi Selat Melaka dan Laut China Selatan. Destinasi mereka adalah untuk mencari tanah baharu namun sebahagian besar daripadanya ingin berdagang dengan dunia luar. Tidak hairanlah pada abad ke-15, perairan laut negara dipenuhi kapal yang membawa banyak barang dagangan. 


Sungguhpun begitu, tidak semuanya selamat sampai ke destinasi yang dituju.Ada kapal yang karam di lautan sama ada disebabkan bocor terlanggar batu karang, dibedil dalam peperangan atau dipukul ribut. Sejak dari zaman penjajahan Portugis, Belanda, British sehinggalah ke Jepun, semakin banyak kapal yang membawa pelbagai harta karam di perairan negara. 


Pakar arkeologi yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Dr. Adi Taha pernah berkata, keadaan geografi dan sejarah perdagangan di Tanah Melayu menyebabkan ia memiliki banyak khazanah maritim berupa kapal karam dan harta karun. “Bagaimanapun, ia bukanlah jongkong atau berlian sebaliknya pinggan mangkuk yang diperbuat daripada seramik, tembikar, senjata, wang syiling selain pelbagai barang dagangan pada zaman itu,” katanya.


Pameran Khazanah Laut berakhir pada 31 Januari 2012.
Masa Melawat 9 pagi - 6 ptg.

Titik Tengah Semenanjung

PERNAHKAH anda terfikir di manakah kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia serta apakah kepentingannya kepada negara dan penduduk setempat? Sebelum ini, ada dua pendapat popular mengenai kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu di daerah Lipis dan Kampung Kertau, Maran di Pahang.

Kampung Belimbing yang terletak di Lipis dianggap titik tengah Semenanjung Malaysia sejak pemerintahan Inggeris lagi. Malah, jika berkunjung ke lokasi ini, anda boleh menemui batu penanda `0' kilometer yang menjadi rujukan jarak ke seluruh negeri di Semenanjung.
Bagaimanapun, penentuan titik tengah pada era itu dikatakan tidak begitu tepat. Ini kerana ia sekadar menjadi titik rujukan pemerintah Inggeris dan bukannya titik sebenar.
Pada masa sama, Kampung Kertau di Maran pula dikatakan sebagai titik tengah sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan ahli akademik yang gagal mencapai kata putus mengenai kedudukan sebenar titik istimewa ini.

Namun, sehingga 2009, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan kajian komprehensif untuk menentukan titik tengah sebenar Semenanjung Malaysia dengan menggunakan beberapa kaedah.

Bekas Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Sallehuddin Ishak berkata, JUPEM menggunakan tiga kaedah untuk menentukan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu berdasarkan rupa bentuk muka bumi tanah Semenanjung, pengiraan jisim dan kaedah matematik.

Sallehuddin berkata, mengikut kaedah pengukuran rupa bentuk muka bumi, JUPEM melakukan pengiraan dengan menghubungkan titik-titik pada bahagian paling hujung Semenanjung menggunakan garisan di mana titik tengah Semenanjung Malaysia dikenal pasti berdasarkan pertemuan garisan berkenaan. 
Sallehuddin yang kini Timbalan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (Kemajuan Pengurusan Dan Perundangan Tanah), Ibu Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian berkata, mengikut kaedah itu, titik pertemuannya ialah pada kedudukan x bersamaan 469053.344 dan y (464283.582) iaitu di Hutan Simpan Ulu Cheka, Lipis.

“Mengikut kaedah kedua pula, pengiraan jisim secara abstrak dengan mengandaikan kedudukannya pada x bersamaan 63626.711462 dan y (446971.55564) iaitu di Jerangsang, Benta, Lipis,” katanya kepada sisipan Rona baru-baru ini.

Sallehuddin berkata, kaedah ketiga melalui pengiraan matematik iaitu menghubungkan titik paling jauh dengan titik paling dekat menggunakan 37,371 titik.

Menurutnya, pada akhir pengiraan, titik tengah dikenal pasti pada kedudukan x bersamaan 469519.6934 dan y (386338.7621) iaitu di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh.

"Berdasarkan tiga kaedah itu, JUPEM menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan selanjutnya.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan cara terbaik menentukan titik tengah ialah berasaskan kepada keputusan yang boleh dicabar secara saintifik supaya ia dapat dibuktikan dan lebih praktikal," katanya.

Beliau berkata, penentuan itu juga dibuat dengan mengambil kira kedua-dua lokasi terdahulu yang menggunakan kaedah rupa bentuk muka bumi dan pengiraan jisim terletak di kawasan hutan dan sukar dikunjungi.

Malah, dari segi `common sense', kedudukan Lanchang, Temerloh memang terletak di antara Lipis dan Maran.

Selain itu, mengambil kira kedudukan stesen Pusat Remote Sensing Negara (MACRES) dan PULARES yang secara strategiknya terletak di Temerloh, ia bagai sokongan kuat membuktikan lokasi ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.

Dari segi jarak perjalanan, Temerloh terletak tengah-tengah iaitu antara Kuantan dan Kuala Lumpur atau antara pantai barat dan timur.

Sehubungan itu, daerah Temerloh yang sebelum ini popular sebagai `bandar ikan patin' juga bakal dikenali sebagai bandar `titik tengah Semenanjung Malaysia' serta dapat membawa banyak manfaat kepada penduduk tempatan.

Sementara itu, pengiktirafan Temerloh sebagai daerah titik tengah Semenanjung Malaysia bukan saja menamatkan perdebatan di kalangan ahli akademik, malah secara langsung memberi kelebihan kepada daerah ini dalam menarik pelancong.

Bandar Temerloh yang sekian lama terkenal dengan jolokan `bandar ikan patin' sudah cukup membuatkan penggemar ikan sungai berkunjung ke bandar ini untuk menikmati keenakan masakan spesies ikan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Sharkar Shamsuddin, berkata titik tengah Semenanjung Malaysia yang dikenal pasti terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang sudah tentu menjadi tarikan untuk pengunjung melawat Temerloh yang sebelum ini terkenal dengan produk pelancongan alam sekitar.

"Tarikan terbaru ini boleh menjadi pelengkap kepada destinasi pelancongan sedia ada seperti Gunung Senyum; Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah; Santuari Rusa di Bukit Rengit dan Lembah Harimau," katanya.

Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, kedudukan Kampung Paya Siput terletak di antara Sungai Kepong dan Kampung Bongsu.

"Ia dikenal pasti sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia berdasarkan pengiraan matematik oleh JUPEM," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pengisytiharan Kampung Paya Siput, Lanchang sebagai lokasi titik tengah Semenanjung Malaysia mempunyai signifikan tersendiri.

"Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah penduduk setempat perlu merebut peluang yang ada dengan bertindak secara proaktif membabitkan diri mempromosikan kawasan mereka.

"Mereka tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyediakan prasarana sebaliknya memanfaatkan peluang seperti menjual cenderahati bermotifkan titik tengah kepada pelancong," katanya.

Shafik berkata, kerajaan boleh membangunkan Temerloh tetapi akhirnya penduduk setempat perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab memeliharanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, pihaknya merancang membangunkan beberapa kemudahan di kawasan istimewa itu.

"Sudah tentu kita mahu kawasan itu mempunyai kemudahan untuk pelancong termasuk aktiviti penjualan cenderahati dan rekreasi bagi menjadikannya menarik.

"Kita juga merancang mendirikan monumen atau mercu tanda yang boleh meninggalkan kenangan kepada pelancong," katanya.

Tarif berkata, kedudukannya di kawasan Kampung Paya Siput cukup menarik kerana ia mempunyai penempatan kampung tradisional dan kemudahan asas yang lengkap.


Penduduk tempatan nanti limpahan

PENDUDUK Kampung Paya Siput, Lanchang, yakin pengiktirafan kawasan perkampungan itu sebagai titik tengah Semenanjung sudah tentu memberi makna yang mendalam kepada mereka.

Walaupun ia tidak merubah wajah kampung itu dalam sekelip mata, mereka percaya kawasan itu akan lebih dikenali dan menjadi sebutan kerana kedudukannya yang begitu unik berbanding tempat lain di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rantau Panjang, Zainal Abidin Mat Taha berkata, Kampung Paya Siput adalah antara tiga kampung yang terletak di bawah pentadbiran JKKK Kampung Rantau Panjang selain Kampung Bukit Wau dan kampung Orang Asli Bukit Licin.

"Lebih menarik, titik tengah sebenarnya terletak betul-betul di bawah sebuah pondok di pusat pengajian agama, Madrasah Darul Ulum yang diusahakan Sabaruddin Othman sejak lima tahun lalu.

"Sehubungan itu, kami berharap pihak Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) akan membangunkan kawasan terbabit untuk menjadikannya sebagai tarikan pelancongan ke negeri ini," katanya.

Zainal Abidin berpendapat, suatu mercu tanda perlu dibangunkan di kawasan itu bagi membolehkan orang ramai sama ada penduduk setempat atau pelancong luar tahu kedudukan sebenar titik tengah berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, beberapa kemudahan lain juga boleh disediakan di kawasan terbabit seperti jalan masuk, tempat jualan cenderahati dan ruang perniagaan yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat.

Bagi Sabaruddin, 43, beliau tidak keberatan membenarkan sebahagian tanahnya dibangunkan untuk kepentingan awam kerana percaya pemilihan kawasan itu ada hikmah tersendiri.

"Saya tidak mahu mengambil kesempatan di atas perkembangan ini, sebaliknya menerima apa juga keputusan pihak berkuasa tempatan.

"Saya difahamkan, titik tengah yang dimaksudkan itu terletak betul-betul di bawah satu daripada pondok yang digunakan sebagai asrama oleh penghuni madrasah ini. Apa yang saya tahu, pihak berkuasa bercadang mewartakannya untuk dibangunkan dengan prasarana.

"Cuma, saya berharap beberapa pondok yang berada dalam lingkaran titik itu dapat dialihkan ke tempat lain yang lebih sesuai," katanya.

Madrasah Darul Ulum kini mempunyai kira-kira 100 penghuni termasuk dari kalangan remaja, anak yatim dan pasangan warga tua yang ingin mendalami ilmu agama secara percuma. 


www.bharian.com.my

Friday, January 20, 2012

Kekuatan Melayu berasaskan pemikiran rasional

KUALA LUMPUR: Pengaruh pemikiran rasional yang disumbangkan oleh Islam kepada bangsa Melayu sudah menjadikan Melayu sebagai bangsa yang maju, moden dan "accommodative" (bertolak ansur), kata Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui pendekatan yang rasional, pemimpin terdahulu sudah berjaya mendapatkan kemerdekaan untuk negara dan mewujudkan kerjasama politik pelbagai kaum untuk mentadbir negara ini secara bersama. Melalui pendekatan yang rasional juga, kita berjaya mengharungi beberapa episod hitam dalam sejarah hubungan kaum di negara kita dan kemudiannya sama-sama bangkit untuk membina kekuatan sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan bersatu padu," katanya ketika merasmikan Konvensyen Asal Usul Melayu -Induknya Di Alam Melayu di sini hari ini.
Beliau berkata, yang lebih penting, melalui pemikiran yang rasional juga membolehkan bangsa Melayu dan kaum lain di negara ini menerima perbezaan sebagai sebahagian daripada fitrah kehidupan dalam sebuah masyarakat majmuk yang rencam budaya, agama dan tradisi. 

"Kita tidak menjadikan perbezaan dan kepelbagaian sebagai penghalang kepada tekad dan iltizam kita untuk hidup secara bersama dalam suasana yang aman dan harmoni. "Sebaliknya, dengan semangat perpaduan dan penerimaan antara kaum, kita menjadikan kepelbagaian Malaysia sebagai aset utama untuk membina sebuah negara bangsa yang padu," katanya. 

Muhyiddin berharap konvensyen yang julung kali diadakan itu dapat mengupas unsur-unsur positif dalam sejarah ketamadunan dan kebudayaan Melayu yang dapat menyumbang kepada kemajuan bangsa Melayu dan kerukunan hidup masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini dan juga di alam Melayu. 

"Dengan mengetengahkan unsur positif ini, kita pastinya akan dapat menyuntik semangat baru kepada bangsa Melayu untuk terus mara melangkah ke hadapan dengan semangat yang kental dan jitu demi mencipta kegemilangan masa kini dan masa hadapan," katanya. - BERNAMA 

Buku 'Sejarah Bahasa Melayu'

Sejarah Bahasa Melayu untuk sekolah menengah, maktab perguruan, dan universiti ini dihasilkan untuk menjelaskan kepada seluruh lapisan pembaca tentang sejarah dan rumpun bahasa dan bangsa Melayu. Judul-judul yang termuat dalam buku ini tersusun mengikut perjalanan yang dilalui oleh bahasa dan bangsa Melayu dari zaman bahasa Melayu purba hingga kini, iaitu bahasa Melayu moden.
Huraian buku ini dibahagikan kepada sembilan bab yang meliputi keluarga bahasa Nusantara, asal usul bahasa dan bangsa Melayu, pertumbuhan bahasa Melayu, penyebaran bahasa Melayu, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu klasik dalam persuratan Melayu, bahasa Melayu zaman peralihan, dan zaman bahasa Melayu moden. Buku ini amat sesuai untuk para penyelidik tentang bahasa dan bangsa Melayu,dan pelajar di semua peringkat pengajian.

Kandungan
Bab 1: KELUARGA BAHASA-BAHASA NUSANTARA
Pendahu1uan
Bab 2: ASAL USUL BAHASA DAN BANGSA MELAYU
Pengertian Bangsa Melayu
Asal Usul Bangsa Melayu
Makhluk Seperti Manusia di Asia Tenggara Pada Zaman Purba
Perbincangan
Bab 3: PERTUMBUHAN BAHASA MELAYU
Bab 4: PENYEBARAN BAHASA MELAYU
Bahasa Melayu Purba
Bahasa Melayu Kuno
Bahasa Melayu Klasik
Bahasa Melayu Zaman Pramoden
Bahasa Melayu Moden
Bab 5: BAHASA MELAYU KUNO
Prasasti Telaga Batu
Prasasti Talang Tuwo
Prasasti Kota Kapur
Prasasti Karang Berahi
Bab 6: BAHASA MELAYU KLASIK, PASAI-SAMUDERA, MELAKA, ACEH DAN JOHOR-RIAU Kedatangan Islam
Pasai-Samudera
Kerajaan Melaka
Kerajaan Johor
Kerajaan Aceh
Kerajaan Johor-Riau
Bab 7: BAHASA MELAYU KLASIK DAN PERSURATAN MELAYU
Hasil-hasil Karya Sastera Klasik Melayu
Sastera Rakyat
Sastera Hikayat
Daftar Kata dan Perkamusan
Buku Tatabahasa
Surat-Menyurat
Manuskrip Melayu Klasik
Terjemahan Kitab Bible Ciri-ciri
Bahasa Melayu Klasik
Bab 8: BAHASA MELAYU ABAD KE-19
Penguasaan Barat
Kerajaan Johor-Riau
Ciri-ciri Bahasa Melayu serta Perkembangan Bahasa Melayu pada Abad Ke-19, iaitu Zaman Peralihan atau Pramoden
Bab 9: BAHASA MELAYU ABAD KE-20
Pecahan Zaman Bahasa Melayu Moden Abad Kedua Puluh

Judul : Sejarah Bahasa MelayuPengarang : Abdul Rashid Melebek, Amat Juhari Moain
Penerbit : Utusan Publications & Distributions
Genre : Sejarah
Mukasurat : 116  halaman

Fahami hukum antarabangsa

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Undang-undang antarabangsa perlu diterapkan di semua peringkat pendidikan supaya ia dapat dijadikan sebagai instrumen keamanan, sekali gus mewujudkan konsep kesederhanaan dalam masyarakat dunia.
Bekas Naib Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Christopher G. Weeramantry berkata, banyak situasi atau pertikaian di peringkat global terjadi oleh kerana kurangnya pengetahuan dan pemahaman mengenai undang-undang antarabangsa.
“Kita perlu berusaha ke arah kesederhanaan. Kesederhanaan hanya boleh datang melalui kesefahaman dan ia hanya boleh wujud melalui pendidikan mengenai keamanan. Kita mahu undang-undang antarabangsa diterima secara universal supaya boleh berfungsi sebagai alat untuk keamanan sejagat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog di hari terakhir Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global 2012 di sini, hari ini.
Sementara itu, bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura, Profesor S. Jayakumar berkata, gerakan kesederhanaan mampu mempromosikan kesefahaman dan toleransi dalam menyelesaikan pertikaian atau konflik yang wujud di peringkat global serta mengelak berlakunya ekstremisme.
“Sebagai contoh, konflik di antara negara-negara akan dapat diselesaikan apabila ada mekanisme yang sesuai seperti melalui timbang-tara antarabangsa sekiranya rundingan tidak membawa apa-apa penyelesaian,” katanya.

Tuesday, January 17, 2012

Silibus Baru?

PETALING JAYA: Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim menegaskan sudah tiba masanya untuk Kementerian Pelajaran mengeluarkan teks yang berbentuk mitos dari semua buku sejarah.
Ini termasuklah kisah mengenai Puteri Hang Li Po, Hang Tuah dan empat sahabatnya lagi iaitu Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi daripada semua buku teks sejarah kerana kehadiran mereka dalam masyarakat negara ini adalah lebih berunsurkan mitos daripada fakta sejarah.
Menurut beliau, tidak ada rekod bertulis tentang kewujudan tokoh-tokoh berkenaan melainkan ia adalah sebahagian daripada teks penglipur lara dan kesusasteraan Melayu tetapi tidak dapat dibuktikan dari segi sejarah.
Kesemua mereka, menurut beliau hanyalah satu mitos yang telah dimasukkan ke dalam teks Sejarah negara ini.
Menurut beliau, ini adalah di antara beberapa perkara yang telah disyorkan dalam buku teks Sejarah yang akan digunakan sebagai silibus pada tahun 2014 nanti.
Profesor Khoo yang merupakan salah seorang daripada ahli jawatankuasa yang dilantik untuk menilai semula kandungan teks buku Sejarah menegaskan cerita-cerita berunsur mitos, cerita rakyat dan sebagainya tidak harus dimasukkan sebagai sebahagian daripada teks sejarah negara.
"Agenda utama jawatankuasa ini adalah untuk memastikan semangat patriotisma terus wujud di dalam diri pelajar tetapi pandangan peribadi saya ialah, cerita-cerita berunsur mitos dan legenda tidak wajar dimasukkan sebagai sebahagian daripada fakta sejarah kerana ia bukanlah fakta tetapi mitos," ujarnya ketika dihubungi oleh The Star.
Bagaimanapun tegas Profesor Khoo, jika jawatankuasa ini masih mahu mengekalkan cerita-cerita tersebut di dalam buku sejarah maka ia haruslah dinyatakan dengan jelas bahawa ini hanyalah satu cerita rakyat dan bukannya satu fakta sejarah.
Beliau menjelaskan bahawa jawatankuasa ini masih di peringkat menilai silibus Sejarah yang diguna pakai sekarang.
"Oleh kerana yang demikian, saya tidak boleh lagi menyatakan sejauh manakah kandungan pada silibus sekarang akan dikekalkan dan mana yang akan dikeluarkan tetapi penekanan kita ialah untuk memastikan aspek dan fakta sejarah diberi perhatian yang khusus.
"Ini kerana, hari ini jika kita bertanya siapakah orang Melayu pertama yang dilantik sebagai kakitangan awam atau pada tahun berapakah negara ini buat pertama kalinya diperkenalkan dengan kuasa elektrik, saya pasti tidak ada yang tahu.
"Sedangkan nilai sejarah itu ialah ia sepatutnya membantu kita semua menjelaskan situasi hari ini dan di mana kedudukan kita hari ini," tegas beliau lagi.
Pada tahun 2010, Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa teks matapelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini telah mendorong pelbagai pihak menyeru kerajaan supaya mengkaji balik silibus teks Sejarah sekolah agar ia memberi gambaran yang lebih jelas dan relevan dengan perjalanan dan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara.
Pada 3 Mei 2011, kerajaan mengumumkan pelantikan sebuah jawatankuasa 10 anggota untuk mengkaji dan menilai semula kandungan buku teks Sejarah.

Monday, January 16, 2012

Prof Khoo: No record of the existance of Princess Hang Li Po; its a myth

PETALING JAYA: There is no written record of the existence of Princess Hang Li Po, Hang Tuah or Hang Jebat and the stories that made into the history text books are just myths.
As such, history textbooks will be rewritten to reflect proven historical facts instead of myths and legends, said Historian Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim on Monday.
However, it is unclear if non-verifiable historical anecdotes will be included in the proposed new History syllabus scheduled for 2014.
Prof Khoo, who is part of the special committee appointed to analyse the History curriculum, said that hearsay should not be presented as historical fact in textbooks.
“The main agenda for the committee is to instil a sense of patriotism (among students).
“My personal stand is that myths and legends should not be included in the curriculum.
“However, if they do choose to include them (myths), it should be clearly indicated that these stories are not factual,” he said when contacted on Monday.
Prof Khoo added that the committee was still in the process of reviewing the current History syllabus.
“I cannot say at the moment whether there will be substantial changes or not, but there should be more emphasis on historical figures who made a real impact.
“When you ask people who was the first Malay to be absorbed into the civil service or when electricity first arrived in Malaysia, they don't know (the answer).
“The value of history is that it helps to explain the present, of where we are today,” he said.
In 2010, Deputy Prime Minister and Education Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin announced that History would be made a compulsory pass subject in the Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
The announcement sparked calls for a review of the History syllabus, with critics claiming that current textbooks for the subject were biased and littered with errors.
On May 3, 2011, the Education Ministry announced the appointment of a 10-man committee to review the current History syllabus with a nation-building agenda.

Thursday, January 12, 2012

Saman Tengku Fakhry: KPN diminta buat pembelaan

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Ketua Polis Negara dan tiga yang lain perlu memfailkan pembelaan masing-masing berhubung kes saman RM150 juta yang dikemukakan oleh adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra terhadap mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum 31 Januari ini.

Saman tersebut difailkan oleh Tengku Muhammad Fakhry pada 9 Disember tahun lalu kerana mendakwa ditahan secara salah di Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kelantan, dua tahun lalu.

Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad memberitahu pemberita, pihak Tengku Muhammad Fakhry pula perlu membalas pembelaan tersebut sebelum 13 Februari ini.

Menurut Azizan, tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar mahkamah itu, Norhatini Abd. Hamid ketika pengurusan kes saman itu di kamar beliau hari ini.

Norhatini juga menurut Azizan, menetapkan 14 Februari depan untuk pengurusan kes saman itu.

Tengku Muhammad Fakhry selaku plaintif menamakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, Asisten Supritendan Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan PDRM sebagai defendan pertama hingga keempat.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa, anggota polis yang menahannya menggunakan senjata api untuk menakutkannya dan hanya membenarkan beliau keluar dari Istana Mahkota sejam kemudian tanpa membawa kenderaan itu.

Plaintif mendakwa penahanan tersebut sebagai mala fide (berniat jahat), menyekat hak asasinya, memberikan tekanan mental dan jiwa, memalukannya serta salah di sisi undang-undang. - UTUSAN

Kekanda Sultan Pahang Kembali Ke Rahmatullah

KUMPULAN RAJAMENANGIS mempersembahkan ucapan takziah kepada KDYMM  Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, berikutan kembalinya ke rahmatullah kekanda baginda, Tengku Seri Nila Utama Pahang Tengku  Ainon Jamil Al-Marhum Sultan  Abu Bakar awal pagi tadi.

Petikan berita Bernama :
Menurut kenyataan  Setiausaha Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Datuk Sabaruddin Sulaiman, Tengku Ainon Jamil 84 tahun telah mangkat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan pada 5.30 pagi tadi.
Bagaimanapun kenyataan itu tidak menyatakan punca atau sebab kematian kekanda Sultan Pahang itu.
Menurut kenyataan itu lagi, jenazah akan dibawa ke Istana Abu Bakar Pekan selepas istiadat bersiram manakala waktu ziarah 11 pagi hingga waktu Zohor. Istiadat pemakaman akan diadakan di Makam Diraja Pekan selepas waktu Zohor hari ini. 

Wednesday, January 11, 2012

Agar Amalan Tidak Sia-sia

Setiap daripada kita tentu tidak mahu sekiranya apa yang kita amalkan daripada setiap amal-amal kita sehari-hari menjadi sia-sia dan tidak diterima oleh ALLAH SWT. Sedangkan kita telah berusaha bersungguh-sungguh dan menghabiskan segenap kudrat untuk melakukan dengan sebaik-baiknya.

Tidakkah kita bimbang menjadi orang yang sia-sia amalannya lalu menjadilah kita orang-orang yang rugi di akhirat kelak? ALLAH SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad), “Adakah perlu kami beritahu kepadamu tentang orang yang paling rugi amalannya?” Iaitu orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia sedangkan mereka beranggapan telah melakukan yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Kahfi, 18: 103-104)
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H), “Ayat ini bersifat umum mencakupi setiap orang yang beribadah kepada ALLAH tetapi tidak menggunakan cara yang diredhai-NYA. Mereka beranggapan apa yang dilakukannya telah benar dan amal perbuatannya akan diterima, tetapi rupanya sangkaan mereka meleset dan amalnya pun ditolak.

Firman ALLAH, “... orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia...” Maksudnya, mengerjakan amal yang bathil yang tidak bersesuaian dengan syariat yang telah ditetapkan dan diredhai serta diterima.
Firman ALLAH, “... sedangkan mereka beranggapan telah melakukan yang sebaik-baiknya.” Maksudnya, mereka menyangka bahawa mereka akan mendapat suatu manfaat dan mereka menyangka mereka adalah orang-orang yang diterima amalnya dan dicintai oleh ALLAH.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/202)

Pada hari ini ramai dari kalangan kita berlumba-lumba untuk beramal ibadah dengan semaksimum yang mungkin. Ibadah adalah sebahagian dari bentuk-bentuk amal usaha mengabdikan diri kepada ALLAH, TUHAN YANG MAHA ESA yang kepada-NYA sahaja kita memperhambakan diri serta meraih keredhaan dan rahmat-NYA.

Umumnya, sikap berlumba-lumba dalam amal ini adalah sikap yang sangat positif dan perlu dipandang baik. Di saat banyaknya kelompok manusia yang mengabaikan amal-amal ibadah sama ada yang wajib, fardu, atau sunnah, sikap sebahagian umat Islam lainnya yang berlumba-lumba dalam beramal kebaikan adalah wajar diikuti dan dicontohi.

Namun, dalam keghairahan kita beramal dan beribadah, adakala kita mungkin terlupa beberapa aspek utama yang menjadi tunjang diterimanya sesuatu amalan tersebut.


Pengertian ibadah

Ibadah kepada ALLAH TAALA adalah segala sesuatu yang apabila kita melaksanakannya atau meninggalkannya ia akan dicintai dan diredhai oleh ALLAH SWT.

Setiap amal ibadah diikat dengan beberapa syarat. Setiap amal ibadah perlu dilaksanakan dengan dalil, iaitu mengikuti sunnah. Amal ibadah tidak boleh direka mahupun diada-adakan.

Para ulama menyatakan bahawa, “Penetapan dalam ibadah adalah dengan mengambil dari apa yang telah ditetapkan (oleh dalil).” (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 2/80)

Kemudian, setiap amal hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana ALLAH dengan tidak mensyirikkan-Nya. Syarat dan kriteria asas inilah yang bakal menentukan sama ada amal-amal kita diterima oleh ALLAH ataupun tidak.


Mengikuti sunnah

Suatu perkara yang amat penting adalah melakukan amal ibadah itu dengan berpandukan al-Qur’an dan as-Sunnah. Tidaklah diterima suatu amalan jika tidak terdapat contohnya (atau saranannya) dari al-Quran dan as-Sunnah. Maka, jika sesuatu amalan yang dilakukan itu tidak terdapat saranannya dari dua sumber tersebut, maka ia bukanlah dari Islam walaupun ia diniatkan kerana ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka), “Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 31)
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menjelaskan melalui tafsirnya:

“Ayat yang mulia ini menghukumi setiap mereka yang mengaku mencintai ALLAH tetapi mereka tidak mengikuti petunjuk Muhammad SAW. Maka jelaslah pengakuannya itu hanya suatu pendustaan sehingga mereka mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi di dalam setiap ucapan dan perbuatannya. Ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam kitab sahih daripada Nabi SAW (katanya):

“Sesiapa yang melakukan suatu amal yang tidak ada perintahnya daripada kami, maka amalan tersebut tertolak (tidak diterima).” (Hadis Riwayat Muslim).” (Tafsir Ibnu Katsir, 2/32)

Dalam ayat yang lain, ALLAH SWT menjelaskan, “Jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia tidak akan menderita (dengan azab sengsara).” (Surah Thoha, 20: 123)

Dalam usaha mengikuti sunnah ini, tidak dapat tidak seseorang itu perlu terlebih dahulu mempelajari sunnah itu sendiri. Maka, dari sinilah pentingnya aspek ilmu. Supaya apabila kita berilmu, kita akan dapat mengenal pasti apa yang sunnah dan apa yang bukan.

Tidaklah nanti kita hanya bersangka-sangka sahaja suatu amalan itu sunnah dan mendatangkan kebaikan, tetapi rupanya tidak. Dengan ilmulah kita mampu mengenal pasti sumber-sumber yang betul dalam mengambil sunnah dan agama ini, mengetahui sesuatu hadis itu sahih atau pun tidak, memahami maksud suatu hadis, memahami tafsir ayat-ayat al-Quran, dan seumpamanya.

Sebagai contoh, pada hari ini ada sebahagian umat Islam yang mengamalkan zikir-zikir harian tertentu yang tidak diketahui sumber ambilannya, kaifiyat tatacaranya, dan fadilatnya. Contohnya, ada yang mengamalkan bacaan tahlil (laa ilaaha illallah) sehingga 10000 kali setiap hari dan berkeyakinan padanya memiliki fadilat-fadilat tertentu jika diamalkan dengan jumlah tersebut. Kemudian ada juga yang mengamalkan selawat syifa’ di setiap kali sebelum tidur supaya dijauhkan dari pelbagai penyakit.

Tetapi bila diteliti, kita pun tidak tahu dari mana datangnya kaedah dan bentuk-bentuk pengamalan zikir-zikir seperti ini. Tidak dari sunnah, tidak juga dari amalan para sahabat Rasulullah.
Ikhlas dan tidak syirik

Setiap amal ibadah yang hendak dilaksanakan mestilah di atas landasan aqidah Islam yang suci murni dari segala bentuk kesyirikan serta ikhlas semata-mata kerana ALLAH SWT. Setiap amal yang dilakukan di luar ruang lingkup aqidah Islam dan keikhlasan yang tulus, maka ia akan menjadi sia-sia.

ALLAH SWT berfirman, “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau (Wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripada engkau: “Demi sesungguhnya, sekiranya Engkau (dan pengikut-pengikutmu) berbuat syirik, sudah tentu segala amalanmu akan terhapus, dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi.”.” (Surah az-Zumar, 39: 65)

Oleh itu, bagi kita yang memiliki semangat dan keghairahan dalam beramal hendaklah memberi perhatian dan penekanan dalam dua aspek utama ini. Di samping berusaha bersungguh-sungguh mengikuti sunnah, dia juga perlu bersungguh-sungguh menjaga kemurnian aqidahnya dengan menjauhi segala bentuk syirik kepada ALLAH.

Jangan nanti beramal separuh mati, tetapi dalam hatinya bercampur dengan riak, aqidahnya bergelumang pula dengan kepercayaan-kepercayaan syirik seperti mendustakan takdir, mempercayai ramalan bintang (horoskop), terlibat dalam perbomohan, tangkal dan pelbagai bentuk bidaah khurafat. Takut-takut kita menyangka telah berbuat sebaik-baiknya, tetapi rupanya sia-sia belaka. Wallahualam.


Abu Numair Nawawi Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
* Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat ILMU.

Monday, January 9, 2012

Pertambahan artifak tuntut tambahan konservator?

Negara sememangnya kaya dengan hasil peninggalan bahan sejarah berharga yang sifat fizikalnya perlu dipulihara bagi menyelamatkan artifak ini daripada lenyap ditelan arus masa.
Tugas dan tanggungjawab berat ini dipegang sepenuhnya oleh konservator muzium, namun hari ini mencari konservator boleh diibaratkan seperti mencari sebutir mutiara di tengah lautan.
Faktor kekurangan konservator terutama yang berkepakaran khusus dalam menjalankan kerja-kerja konservasi mengikut bidang juga menyebabkan konservator yang ada terpaksa menjalankan kerja-kerja konservasi dalam skop yang lebih besar.

Bagi Zamrul Amri Zakaria, 33, beliau bersetuju dengan situasi kekurangan konservator yang bakal menyebabkan bahan artifak negara suatu masa nanti mungkin terbiar.
"Pertambahan bilangan artifak dari semasa ke semasa ini juga memerlukan jumlah konservator yang secukupnya bagi memastikan artifak dapat dijaga sebaik yang mungkin untuk tatapan generasi akan datang.
Zamrul yang bertugas sebagai Ketua Pusat Konservasi di Jabatan Muzium Malaysia (JMM) meletakkan tugasnya sama penting seperti peranan doktor.
"Artifak diibaratkan seperti pesakit yang perlu didiagnosis, dirawat seterusnya dipantau kondisinya dari semasa ke semasa.
"Bermula dengan kerja-kerja penganalisaan, penyelidikan, rawatan dan pemeliharaan koleksi muzium bagi tujuan pameran, simpanan, pendidikan dan dokumentasi, saya juga menjalankan rutin harian seperti pemantauan sistem kawalan suhu, kelembapan, pencahayaan, pencegahan kerosakan dan membaikpulih artifak," katanya.
Zamrul berkata dalam hal demikian, konservator seharusnya memiliki kepakaran yang khusus dalam sesuatu bidang konservasi bagi membolehkan mereka merawat artifak secara spesifik berdasarkan kepada masalah atau jenis kerosakan.
"Skop konservasi yang begitu meluas dan bilangan konservator terutamanya konservator yang berkepakaran khusus agak terhad menjadi hambatan dan kekangan kepada kami sebagai konservator untuk menjalankan tugas.
"Memiliki pengetahuan untuk kerja-kerja konservasi bagi setiap bidang artifak mungkin memberi kelebihan kepada saya tetapi hakikatnya, sesuatu jenis artifak tetap memerlukan pakarnya yang khusus bagi memastikan perhatian yang lebih dapat diberikan terutama dari segi menjaga ketahanan artifak untuk jangka masa yang lebih panjang," katanya.
Di JMM bidang konservasi artifak menjadi fokus utama. Setiap konservator akan mendalami dan mempelajari segala aspek berkaitan bidang itu dan menjadi pakar rujuk sama ada dalam atau luar negara.
Menurut Ketua Pengarah JMM Datuk Ibrahim Ismail, Pusat Konservasi JMM mempunyai lima konservator dan dibantu oleh tujuh pekerja yang mempunyai kemahiran dalam bidang konservasi artifak.
"JMM turut mempunyai konservator pelatih di setiap muzium kecil yang berada di bawah JMM tetapi persoalannya hari ini dengan jumlah konservator yang kita ada, mampukah untuk menjaga artifak kita yang semakin banyak?," katanya.
Ibrahim berkata dengan pertambahan bilangan koleksi, ia juga sekali gus mempengaruhi tempoh penyimpanan artifak itu yang semakin lama disimpan semakin tinggi perhatian perlu diberikan.
"Tetapi kalau kita tidak beri perhatian yang lebih berat maknanya tiada tumpuan penjagaan khusus dan dibiarkan begitu sahaja untuk sekian masa yang lama, artifak mungkin terdedah kepada kerosakan," katanya.
Bagaimanapun setakat ini konservator di JMM masih mampu menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka dengan baik.
"Untuk sesetengah muzium kecil yang tidak banyak koleksinya, mungkin tiada masalah dari segi kerja-kerja konservasi tetapi untuk Muzium Negara sendiri dengan kepelbagaian koleksi dalam kuantiti yang banyak, mungkin lebih elok kalau kita mempunyai konservator yang berkepakaran dalam bidang masing-masing," katanya.
Antara skop tugasan konservator dalam aktiviti konservasi dan pemeliharaan juga meliputi sebarang aktiviti atau tindakan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memanjangkan tempoh hayat sesuatu artifak.
Ia melalui proses antaranya pemeriksaan terhadap keadaan fizikal semasa artifak, pembersihan keseluruhan artifak atau hanya pada bahagian-bahagian yang perlu pada artifak, perlindungan secara menyeluruh artifak yang telah dibersih atau yang telah dirawat.
Sementara dari segi pemeliharaan pula, ia meliputi sebarang aktiviti atau tindakan yang dapat mengekalkan kestabilan artifak bagi jangka masa panjang melalui aktiviti pemantauan keadaan fizikal artifak secara berterusan, menyelenggara ruang, kawasan, persekitaran atau mana-mana tempat artifak itu berada, memastikan artifak sentiasa terpelihara dalam keadaan yang stabil dan selamat di tempat artifak itu berada.
Menurut Ibrahim semua tugas dan tanggungjawab ini perlu dipikul konservator yang berkepakaran dalam bidang-bidang berkaitan.
"Memandangkan kepakarannya tidak sama, jadi kalau ada kepakaran tertentu dan dapat mengkhususkan kepakarannya mengikut jenis bahan buatan artifak contohnya bahan tekstil ada pakarnya, bahan logam ada pakarnya, bahan yang dibuat dari kertas ada pakarnya, artifak itu mungkin akan lebih terjaga.
"Tetapi sekiranya tidak ada pegawai kita yang berkepakaran dalam bidang berkaitan dari segi untuk memastikan artifak terus berada dalam keadaan yang elok, mungkin ia boleh mendatangkan mudarat kepada artifak berkenaan," katanya.
Ibrahim berkata dalam hal demikian juga kemudahan dari segi peralatan perlu diberikan keutamaan yang lebih tinggi.
"Setakat hari ini, kemudahan peralatan yang diperlukan dalam kerja-kerja makmal itu memang dah ada cuma ia perlu diberikan keutamaan yang lebih lagi dan meningkatkan lagi prasarana agar kerja-kerja konservasi dapat dilakukan dengan teknologi lebih tinggi setaraf dengan negara luar," katanya.

utusan.com.my

Monday, January 2, 2012

MB Terengganu beri amaran pihak cuba murtadkan umat Islam

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu memberi amaran kepada mereka yang dianggap cuba 'bermain api' untuk memurtadkan umat Islam termasuk orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini. 
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata mereka yang terbabit harus menghormati umat Islam dan menghentikan perbuatan yang bertentangan dengan perlembagaan negara kerana dikhuatiri akan mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
"Gerakan itu sangat serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)...JHEAT perlu mengemukakan laporan kepada kerajaan. Kita juga minta kerjasama masyarakat Islam yang tahu mengenainya agar memaklumkan kepada pihak berwajib."Perkara ini adalah isu yang sensitif, ini soal yang serius. Jangan cuba bermain api," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak mangsa kemalangan jalan raya, Iman Adam Raman, 9, yang lumpuh di Kampung Kebor Besar dekat sini, hari ini. 
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan JHEAT baru-baru ini bahawa wujud pihak tertentu yang bergerak aktif dalam usaha memurtadkan umat Islam di negeri itu termasuk OKU. 
Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Rozali Saleh ketika mendedahkan perkara itu baru-baru ini berkata, gerakan itu turut menyusup ke hospital untuk memperdaya pesakit yang sebatang kara selain mat rempit dan golongan tidak berkemampuan. 
Mohd Rozali turut meluahkan kebimbangannya dengan gejala itu dan menurutnya tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendung perkara itu daripada menjadi bertambah serius. 
Ahmad bagaimanapun menjelaskan pihaknya masih belum menerima laporan terperinci mengenai perkara itu daripada JHEAT. - BERNAMA