ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Friday, January 20, 2012

Fahami hukum antarabangsa

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Undang-undang antarabangsa perlu diterapkan di semua peringkat pendidikan supaya ia dapat dijadikan sebagai instrumen keamanan, sekali gus mewujudkan konsep kesederhanaan dalam masyarakat dunia.
Bekas Naib Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Christopher G. Weeramantry berkata, banyak situasi atau pertikaian di peringkat global terjadi oleh kerana kurangnya pengetahuan dan pemahaman mengenai undang-undang antarabangsa.
“Kita perlu berusaha ke arah kesederhanaan. Kesederhanaan hanya boleh datang melalui kesefahaman dan ia hanya boleh wujud melalui pendidikan mengenai keamanan. Kita mahu undang-undang antarabangsa diterima secara universal supaya boleh berfungsi sebagai alat untuk keamanan sejagat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog di hari terakhir Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global 2012 di sini, hari ini.
Sementara itu, bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura, Profesor S. Jayakumar berkata, gerakan kesederhanaan mampu mempromosikan kesefahaman dan toleransi dalam menyelesaikan pertikaian atau konflik yang wujud di peringkat global serta mengelak berlakunya ekstremisme.
“Sebagai contoh, konflik di antara negara-negara akan dapat diselesaikan apabila ada mekanisme yang sesuai seperti melalui timbang-tara antarabangsa sekiranya rundingan tidak membawa apa-apa penyelesaian,” katanya.

0 comments:

Post a Comment