Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Wednesday, March 31, 2010

Tengku Faris Petra fail saman pemula terhadap Tengku Aziz

KUALA LUMPUR 31 Mac – Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra memfailkan saman pemula semalam bagi memohon deklarasi bahawa pelantikan Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah selaku pemangku raja adalah tidak sah dan terbatal.

Institusi diraja Kelantan berada di tengah-tengah konflik keluarga istana sehingga Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan, Tengku Abdul Aziz dipecat pada 26 Mac lalu.

Ini ekoran perisytiharan yang dibuat oleh beliau secara persendirian pada 25 Mac lalu berhubung penamatan pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja yang didakwa dilakukan atas titah Sultan pada 24 Mac.

Sehubungan itu juga pada keesokannya, Setiausaha MPN, Datuk Mohd. Aiseri Alias telah mengumumkan pelantikan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim mengisi tempat tersebut.

- www.utusan.com.my

MEB LONJAK TARAF HIDUP

KUALA LUMPUR: Model Ekonomi Baru (MEB) menggariskan lapan inisiatif pembaharuan strategik bagi merealisasikan program transformasi ekonomi Malaysia ke arah melonjakkan kualiti hidup rakyat semua kaum.
  • Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi;
  • Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing;
  • Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing;
  • Memperkukuhkan sektor awam;
  • Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran;
  • Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan;
  • Meningkatkan sumber pertumbuhan, dan
  • Memastikan pertumbuhan yang mapan.
Perdana Menteri menjelaskan lapan inisiatif itu saling melengkapi dan kesannya merentasi semua sektor untuk menjadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi, mampan dan terangkum. Berdasarkan laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), 80% daripada tenaga kerja negara hanya berpendidikan SPM yang tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang dihasratkan kerajaan.

“Saya bukan saja mahu rakyat mendapat pendapatan lebih baik, mereka juga perlu turut menikmati kehidupan lebih baik. Kita mahu melihat Malaysia melakukan lonjakan kuantum daripada pendapatan tahunan per kapita sebanyak RM22,931 kepada RM49,137 dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, memberi jaminan MEB menjanjikan manfaat kepada semua kaum tanpa mengetepikan kepentingan Bumiputera menerusi matlamat dan pendekatan pertumbuhan yang menyeluruh. Beliau bagaimanapun berkata, di bawah MEB kerajaan tidak boleh lagi bertolak ansur dengan amalan yang menyokong aktiviti ‘rent-seeking’ dan ‘patronage’ yang sudah sekian lama menjejaskan matlamat murni Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Penyertaan menyeluruh diperlukan yang mana semua rakyat Malaysia dapat menyumbang dan mengambil manfaat daripada pertumbuhan ekonomi – perlu menjadi teras utama bagi sebarang pendekatan ekonomi baru. Objektif asalnya masih lagi relevan, namun sudah tiba masanya kita menilai kembali pelaksanaan DEB. Kita akan menyasarkan pencapaian matlamat sama, tetapi dengan mengubah cara kita melaksanakannya. Oleh itu, dasar afirmatif yang diperbaharui akan dilaksanakan berdasarkan empat prinsip, ia perlu mesra pasaran, berdasarkan merit, telus dan berasaskan keperluan,” katanya.

Sebagai contoh, kata Perdana Menteri, antara pertimbangan penting adalah mewujudkan proses tender yang kompetitif dan telus dengan peraturan yang tetap dan jelas bagi seluruh komuniti Bumiputera terdiri daripada Melayu dan pribumi lain. “Ini adalah pemantapan dasar kita bagi menghadapi keadaan ekonomi baru, di mana keterangkuman menjadi komponen penting di dalam MEB. Secara praktiknya, pendekatan ini bermakna sokongan kepada Bumiputera dipertingkatkan, yang mana ia berdasarkan kepada keperluan dan bukannya bangsa.

“Golongan Bumiputera masih menjadi majoriti dalam kumpulan yang mudah terjejas, walaupun dalam pelbagai pendekatan, sementara pendekatan baru kita akan membantu mereka yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah. Pendekatan ini sebahagian besarnya masih lagi akan memanfaatkan komuniti Bumiputera dan pada masa yang sama, memberi manfaat kepada komuniti lain yang kurang bernasib baik,” jelasnya.

Untuk menilai pencapaiannya pula, Perdana Menteri berkata, pengagihan adil hendaklah merangkumi keseluruhan spektrum pengukuran kekayaan seperti pemilikan ekuiti, aset kewangan dan bukan kewangan lain serta akses kepada peluang menjana kekayaan seperti konsesi jangka panjang dan kontrak.

Malah, dari segi pengukuran pemilikan, ia perlu melangkaui aspek ekuiti termasuk harta benda lain, aset perniagaan seperti peruncitan, harta tanah, bangunan komersial, harta intelek dan perkhidmatan lain serta perjawatan dalam pengurusan.

Najib berkata, beliau sudah mengarahkan MPEN untuk menyediakan rangka kerja yang terperinci untuk melaksanakan model pemantapan baru berdasarkan mekanisme yang telus dan berasaskan pasaran untuk mencapai pengagihan yang saksama, manfaat daripada ekonomi berpendapatan tinggi. Perdana Menteri berkata, MPEN juga mencadangkan supaya fokus diberikan terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah di Malaysia dari segi individu dan wilayah.

“Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara,” katanya. Bagaimanapun, laporan MEB yang diserahkan Pengerusi MPEN, Tan Sri Amirsham A Aziz kepada Perdana Menteri itu, bukanlah laporan muktamad. Ia dibentangkan untuk mendapatkan maklum balas rakyat dan pemegang kepentingan sebelum disepadukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Petikan www.bharian.com.my

Tuesday, March 30, 2010

Intipati Model Ekonomi Baru (MEB)

KUALA LUMPUR 30 Mac - Berikut antara intipati Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini:

* Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibenar melabur lebih banyak lagi di dalam aset di seberang laut.

* Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA) akan dikorporatkan dan akan dinamakan semula sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk membolehkannya lebih efektif sebagai satu agensi promosi pelaburan.

* Kerajaan dan KWSP akan membentuk satu usaha sama bagi menggalakkan pembangunan tanah seluas 1,200 hektar (3,000 ekar) di Sungai Buloh untuk menjadi satu hab baharu bagi Lembah Klang.

* Beberapa bidang tanah di Jalan Stonor, Jalan Ampang dan Jalan Lidcol di Kuala Lumpur akan ditender dan dimajukan oleh sektor swasta, yang jika gagal akan merupakan satu pembaziran kerana kerajaan membelanjakan kos penyelenggaraannya.

* Pembangunan tanah di Sungai Buloh dan pembangunan beberapa bidang tanah di bandar raya ini dijangka menjana pelaburan baharu bernilai lebih RM5 bilion

* Syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan seperti Percetakan Nasional Malaysia, CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., Nine Bio Sdn. Bhd. dan Innobio kemungkinan diswastakan.

* Petronas telah mengenal pasti dua subsidiari yang agak besar dengan rekod prestasi yang baik untuk disenaraikan pada tahun ini di Bursa Malaysia, yang akan mengurangkan kehadiran kerajaan di dalam perniagaan dan meningkatkan peranan sektor swasta.

* Khazanah Nasional Bhd. akan melupuskan kawalan kepentingan 32 peratusnya di dalam Pos Malaysia Bhd melalui proses pelupusan strategik dua peringkat.

Dipetik drpd www.utusan.com.my

Monday, March 29, 2010

Bolehkah Institusi Beraja Bertahan di Abad 21?

London, 22 Februari 1999 – Terdapat 25 Institusi Beraja di dalam dunia hari ini – 10 di Eropah, 8 di Asia dan Pasifik, 4 di Timur Tengah dan Asia Tengah dan 3 di Afrika. Ada keluarga Diraja yang tidak formal; mereka menaiki basikal di Scandinavia dan Belgian; keluarga monarki berprofil tinggi Timur Tengah atau monarki bersifat quasi-divine di Asia Timur.

Keluarga Diraja memerintah dengan cara yang berbeza – Sistem Beraja Mutlak, Sistem Beraja Berperlembagaan atau hanya sekadar boneka negara. Kewujudan raja dan permaisuri pada penghujung abad ke-20 – pada zaman kini – adalah bukti bahawa sistem pemerintahan sedemikian masih bertahan sejak 6,000 tahun lalu.

Menariknya, daripada 15 ahli European Union, 8 mengamalkan sistem beraja dan cuma sebilangan menunjukkan kecenderungan menjadi republik. Golongan republicans mengatakan, monarki adalah anakronisme yang tidak demokratik, suatu sistem pemerintahan zaman medieval yang tidak sesuai dengan zaman moden. Kebanyakan intelektual enggan menerima sistem itu dengan alasan raja atau permaisuri sebagai peneraju rakyat bercanggah dengan nilai kemanusiaan dalam diri setiap orang pada hari ini.

Pengkritik lain menolak kecenderungan keluarga Diraja untuk bersikap sombong, tidak memikirkan orang lain, riak dan mementingkan istana, intan-permata dan gemar bermewah-mewahan. Walaupun demikian, berjuta-juta manusia gembira berada di bawah pemerintahan beraja berbanding dengan sistem lain, atau mereka tidak berminat untuk mengubah sistem yang mereka warisi.

Bagi kebanyakan orang-orang Jepun, Scandinavia dan Britain, keluarga Diraja merupakan fokus identiti nasional, menyambungkan zaman sekarang kepada zaman dahulu, merangkumi sejarah dan budaya dan sebagai simbol sentimen nasional. Bila negara berada dalam keadaan tidak stabil (kerana politik, malapetaka dll), rakyat akan berpaling kepada Raja untuk meminta panduan atau nasihat serta mengembalikan semangat.

Antropologis berpendapat, masyarakat mahukan seseorang peneraju yang menjadi tumpuan, untuk memberi aspirasi dan mewakili mereka. Pakar sains politik pula berkata bahawa sistem beraja demokratik yang moden dan yang diwarisi memiliki satu kebaikan: ketua negara tiada kena-mengena dengan politik dan mampu menyekat ‘kemewahan’ ahli-ahli politik.

Di Eropah, Timur Tengah dan Asia, Institusi Beraja masih bertahan, namun – komunisme – lenyap kekuasaannya kecuali di China, Cuba dan Vietnam Utara. Namun, sepanjang 150 tahun yang lalu, banyak dinasti beraja telah musnah. Kata Shakespeare: “Ketidaksenangan menimpa kepala yang memakai mahkota.”

Kebanyakan raja – dan ramai yang tidak begitu penting – telah dinyahkan oleh pergerakan revolusi, hentaman ideologi, peperangan dan kesan daripada itu. Misalnya, French Bourbons, German Hohenzollerns dan Austrian Habsburgs telah dilenyapkan. Begitu juga nasib yang menimpa Tsar Nicholas ke 2 (Romanovs terakhir) telah dibunuh oleh revolusi Bolshevik pada tahun 1918.

King Michael (Romania) digulingkan dengan ancaman senjata oleh komunis pada tahun 1947. Di Bulgaria, Serbia, Montenegro, Greek dan Georgia, keluarga Diraja kehilangan takhta. Dinasti Manchu di China pula dihancurkan pada tahun 1911. Maharaja Abyssinia dan Raja Zulu telah menyertai Raja Naples dan Sicily sebagai bahan sejarah.

Hanya Sepanyol masih kekal beraja. King Juan Carlos telah mula memerintah pada 1975. Ramai setuju bahawa monarki demokratik di Sepanyol berjaya setelah megara itu di bawah pemerintahan fascist selama 30 tahun. Ahli politik demokratik yang membuat perlembagaan untuk Sepanyol membenarkan raja mempunyai kuasa utama. Tujuannya adalah untuk menubuhkan monarki demokratik berperlembagaan. Peranan raja sangat penting, dari segi psikologi sebagai ketua angkatan tentera.

Satu kajian bertajuk “Memodenkan Monarki” menyatakan ada 3 kategori monarki yang masih wujud pada hari ini dan mereka terbahagi kepada kawasan geografi yang berbeza. Pertama, monarki yang memerintah negara sepenuhnya. Mereka terlibat dengan politik sehari-hari. Monarki ini kebanyakannya di Timur Tengah (Jordan, Saudi Arabia, negara Teluk dan Morocco).

Kedua, monarki “above the state”. Mereka bergantung kepada ritual keagamaan dan adat yang tinggi dan menjalani kehidupan formal. Misalnya di Jepun, Thailand dan Bhutan (Nepal sudah tidak beraja lagi kini). Monarki begini tidak mengambil berat tentang politik negara mahu pun daripada rakyat jelata.

Kategori ketiga adalah di kalangan negara demokratik Eropah terutama bangsa Benelux dan Scandinavian. Contohnya seperti Queen Beatrix dari Netherlands (salah seorang wanita terkaya, memiliki harta berjumlah 2,500 juta); King Albert dari Belgian; dan Grand Duke Jean dari Luxembourg. Monarki begini hanya mempunyai sedikit atau tiada langsung penglibatan dalam politik. Mereka tiada kepentingan dari segi agama atau kuasa lainnya. Sebaliknya, fokus mereka adalah sebagai simbol penyatuan nasional dan pendorong aktiviti sivik.

Di Netherland dan Denmark, pihak media dan rakyat mempunyai kebebasan untuk mengetahui hal-hal berkaitan permaisuri mereka. Queen Margarethe (Denmark) ditemuramah pada hari Isnin pertama setiap bulan dan boleh membeli-belah tanpa gangguan sesiapa.

Monarki British – mungkin paling hebat di antara monarki lain – adalah gabungan ketiga-tiga kategori di atas. Walau pun Queen tidak mempunyai kuasa, baginda memiliki ‘kuasa’ dari segi politik. Baginda berpengaruh sebagai ketua Gereja Anglican, dan keluarga baginda membuat kewajipan tradisi menjadi lebih popular.

Adakah monarki masih berpengaruh pada abad ke-21?
Monarki juga bersetuju, terdapat untuk kecenderungan negara menjadi republik. Perdebatan di kalangan kebanyakan ahli teori politik menyatakan bahawa kepentingan sivik, kebebasan intelektual, disiplin militari, lebih berkembang di bawah pemerintahan republik berbanding dengan monarki. Dengan itu, monarki akan bertahan lebih lama.

King Farouk (Egypt) pernah bertitah, menjelang penghujung abad ke-20, hanya ada lima monarki saja di dalam dunia: Kings of England, hearts, diamonds, clubs dan spades (4 jenis daun terup). Baginda silap kerana kini masih ada 25 monarki di dunia. Kemangkatan King Hussein (Jordan) menarik minat seluruh dunia, bukan kerana impaknya terhadap proses keamanan di Timur Tengah tetapi juga kerana monarki masih memiliki kuasa ‘keajaiban’ dan tarikan mistik.

Terjemahan drpd artikel Ben Partridge

Raja Nazrin tekad pertahan institusi beraja daripada dipersenda

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini bertitah akan mengambil tanggungjawab utama untuk melaksanakan segala usaha bagi memastikan tradisi institusi beraja yang menjadi teras kepada sistem berkerajaan dan bernegara di negara ini akan terus dipertahankan.

"Bahawa kemuliaan dan kedaulatan seorang Raja Pemerintah itu tidak akan anakanda redha untuk dipersendakan. Untuk itu warga perlu diinsafkan supaya jangan terlalu cepat membuang pelita, kerana riang melihatkan fajar akan menyingsing; kerana hari siang juga akan berakhir.
"

"Jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba - hilang haluan, kerana diselimuti kegelapan malam tanpa pelita," titah baginda.
Raja-Raja Melayu bukan sekadar simbol kepada negara bangsanya, malah Kesultanan Melayu merupakan institusi penting berperanan sebagai pusat pengukuhan kepada warga dan bangsanya. Raja Nazrin bertitah sistem pemerintahan berteraskan Kesultanan Melayu yang telah wujud selama lebih 600 tahun, telah berjaya membangunkan satu budaya dan satu tamadun yang agung. Kebijaksanaan pemerintahan beraja membantu berlakunya proses pengembangan intelek dan dari sumber istana itulah lahirnya karya-karya agung dalam dunia penulisan bangsa.

"Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa. Rakyat yang memahami budaya rakyat beraja - negeri bersultan, memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, terutama peranan dan tanggungjawab mengekalkan identiti negara bangsa," titah baginda. Kelangsungan sesuatu bangsa dan wajah sesebuah negara bergantung pada faktor-faktor yang telah memberikannya identiti daripada segi institusi, agama, budaya dan bahasa.

"Tindakan-tindakan menghina institusi, mempersendakan institusi, menanam kebencian terhadap institusi adalah langkah awal dalam gerakan ke arah menghapuskan institusi - lalu menghapus identiti asal negara bangsa. Di era peperangan dingin, langkah-langkah sedemikian lahir dari kumpulan yang berpegang kepada doktrin politik berfahaman kiri dan dikategorikan berunsur subversif. "

Atas nama Revolusi Budaya, di China dan indoktrinasi komunisme di Kampuchea (Kemboja) dan Vietnam, anak-anak dihasut hingga sampai ke peringkat ekstrem, membenci dan memusuhi ibu bapa kandung sendiri; pemimpin-pemimpin agama dicerca dan rumah-rumah ibadat dimusnahkan, ada rumah ibadat yang dijadikan tempat ternakan haiwan; lalu berlakulah keadaan anarki yang terpaksa dibayar dengan nyawa dan darah di samping modal sosial negara bangsa habis termusnah," titah baginda.


Hari ini dunia sedang menghadapi gelombang globalisasi yang menghempas setiap sempadan dan mahu memecahkan benteng budaya dan berkemungkinan menghanyutkan lembaran sejarah negara bangsa. Raja Nazrin bertitah warga muda yang sedang dilambung ombak globalisasi, perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan terhadap pemodenan supaya air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit.

Titah baginda ada yang menganggap bahawa untuk maju, penekanan hendaklah ditumpukan kepada budaya yang progresif lalu menyifatkan tradisi dan sejarah akan meletakkan bangsa tertinggal dalam budaya yang statik.
"Globalisasi sebenarnya turut membawa gelombang kolonialisme baru untuk menghanyutkan tradisi sesebuah negara bangsa - lalu menghapuskan identiti asal negara bangsa.

"Warga perlu disedarkan, bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijak dan ditakrifkan secara arif dapat berfungsi sebagai pemudah cara memajukan negara bangsa. Bahawa elemen-elemen budaya bangsa yang merupakan faktor penyatuan bangsa selama hari ini, adalah modal sosial yang amat berharga yang wajib dipertahankan," titah baginda.

Dipetik drpd mStar Online

Negara Sistem Beraja

Absolute monarchy (Raja Mutlak)
Semi-constitutional monarchy
Constitutional monarchy (Raja Berperlembagaan)
States in personal union with a constitutional monarch, such as many Commonwealth realms
Subnational monarchies (partial)

Institusi Beraja

Gambarajah menunjukkan senarai negara di seluruh dunia yang masih mengamalkan pemerintahan Beraja.

Senarai belum dikemaskini: pengganti King Syed Sirajuddin ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj.

Thursday, March 25, 2010

Warisan Budaya : CAPAL

Mengimbau sejarah capal, ia dikatakan dibawa oleh pedagang India yang memakai selipar jenis tersebut ketika mereka datang ke Tanah Melayu dan Nusantara beratus tahun lampau. Capal kemudian menjadi popular di kalangan bangsawan Melayu pada satu masa dahulu, malah ia kekal dipakai dalam kehidupan seharian pada era 1980-an.

Melihat pada perusahaan capal di negara kini, ia hanya dihasilkan secara kecil-kecilan memandangkan pembuatannya yang agak rumit selain memerlukan kepakaran. Capal masih digunakan pada majlis perkahwinan apabila menjadi pilihan kebanyakan pengantin lelaki selain pada Hari Raya Aidilfitri.


Capal biasanya dipakai apabila berbaju Melayu kini telah mengalami transformasi apabila ramai yang memakainya dengan pelbagai jenis fesyen pakaian. Seorang pengusaha tunggal capal yang terkenal di negeri ini, Mohammad Amin Mustafa, 47, berkata, pembuatan capal mengambil masa yang panjang dan sukar jika seseorang itu tidak mempunyai kepakaran serta teknik.
Beliau berkata, kesabaran perlu ada dalam menghasilkan pembuatan capal dan kepuasan dapat dicapai selepas capal siap serta sudah boleh dipakai.

Capal yang popular adalah berwarna hitam, coklat dan putih tetapi warna lain juga dibuat jika mendapat tempahan pelanggan.
Pemakaian capal harus dijadikan amalan supaya warisan itu tidak terkubur begitu saja. Malah ia wajar diperkenalkan ke peringkat antarabangsa dan menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke negara kita.

Wednesday, March 17, 2010

Mengkritik bangsa Melayu

Italic

Mengkritik bangsa Melayu

CATATAN sejarah menunjukkan bahawa sejak kurun ke-18 orang Melayu sudah mula dikritik oleh bangsanya sendiri. Abdullah Munsyi (1796-1854) adalah antara pengkritik awal masyarakat Melayu. Bukunya, Hikayat Abdullah (1840-an) mengandungi pandangan beliau tentang beberapa adat, kepercayaan, budaya kerja dan pemikiran masyarakat Melayu yang difikirkannya kolot sebagai antara penyebab kemunduran bangsa Melayu. Di antara yang disebutnya adalah kepercayaan kepada hal-hal khurafat dan tahyul, sikap memandang ringan terhadap usaha membaiki mutu hidup dan sifat hasad dengki sesama bangsa.

Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba (1895-1973), tokoh bahasa, budayawan dan cendekiawan Melayu juga mengkritik keras fenomena kemunduran orang Melayu. Pandangan dan kritikan beliau itu boleh diteliti di dalam bukunya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (DBP, 1982). Beliau mengkritik sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri, lemah cita-cita dan terlalu bergantung kepada orang lain serta berkiblatkan taklid buta tanpa memahami tuntutan Islam yang sebenarnya.

Pada awal abad ke-20, lahir gerakan kesedaran membela nasib bangsa Melayu yang dipimpin oleh beberapa tokoh islah dan tajdid seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad'Al-Hadi, Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali. Golongan yang dikenali sebagai 'Kaum Muda' ini lebih responsif terhadap perubahan yang berlaku ketika itu. Mereka menyedari kemunduran umat Melayu bukan sahaja dalam soal sosioekonomi tetapi juga dalam kebekuan ilmu termasuk ilmu agama yang banyak diresapi ajaran-ajaran khufarat yang merugikan orang Melayu.

Lidah rasmi mereka, majalah Al-Imam (1906 - 1908) yang diterbitkan di Singapura bertujuan menyedarkan orang Melayu supaya segera melakukan perubahan. Seperti yang dicatat oleh Abdul Aziz Mat Ton, peranan Al-Imam adalah untuk 'mengingatkan mana-mana yang lalai dan menjaga mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat' (Jurnal Sejarah, Jilid XI,1973/73). Malah, Al-Imam ketika itu sudah pun menyeru umat Melayu supaya melihat dan mencontohi pembaharuan yang berlaku di negeri Jepun.

Seruan-seruan itu dibuat kerana keadaan hidup orang Melayu pada awal abad ke-20 sangat mundur dalam semua bidang. Demikian juga akhbar Saudara yang diterbitkan sekitar tahun 1928-1941 turut mengkritik umat Melayu, di samping membela nasib mereka. Di antara tokoh-tokoh penting penerbitan akhbar tersebut ialah Abdul Rahim Kajai, Mohd. Yunus Abdul Hamid, Syed Sheikh al-Hadi dan Syed Alwi Syed Sheikh Ahmad al-Hadi. Mereka banyak menyeru orang Melayu supaya memajukan diri dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelbagai kehidupan sosial ynag lain.

Sekitar tahun 1930-an hingga 1940-an pula, lahir banyak persatuan dan pertubuhan Melayu yang cuba menyedarkan orang Melayu supaya membuat perubahan. Mereka bergerak dalam berbagai pendekatan daripada kebudayaan, sosial, pendidikan sehinggalah kepada perjuangan politik. Ketika orang Melayu disuntik kesedaran oleh pemuka-pemuka tajdid bangsa, masyarakat Cina pula sudah pun aktif dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersumberkan modal serta mementingkan keuntungan.

Kelahiran UMNO pada tahun 1946 berjaya menyatukan orang Melayu dari pelbagai pertubuhan. Bangsa Melayu mula menunjukkan semangat untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Gagasan Malayan Union yang ingin dilaksanakan oleh British menjadi pemangkin menyatukan orang Melayu di bawah perjuangan UMNO. Ramai cendekiawan, budayawan, sasterawan, usahawan dan agamawan Melayu ketika itu menyokong perjuangan UMNO.

Di awal tahun 1970-an iaitu selepas tragedi 13 Mei, usaha untuk memperbaiki kehidupan orang Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula digerakkan. Untuk menggerakkan minda orang Melayu, maka gabungan tenaga intelektual dan pemimpin politik Melayu diketuai Datuk Senu Abdul Rahman menerbitkan buku Revolusi Mental (1970) yang dihasilkan ketika era Tun Razak (1970-1976). Pada tahun 1970 juga, Tun Dr. Mahathir Mohamad menulis sebuah buku yang berjudul The Malays Dilemma yang turut mengkritik kelemahan Melayu. Melayu dilihatnya terpinggir dan dimarjinalisasi di tanah air sendiri sebagai warga kelas dua.

Perubahan orang Melayu mula menjadi realiti selepas diperkenalkan DEB. DEB telah melahirkan ramai profesional Melayu seperti dalam sektor perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perbankan, pendidikan, keusahawanan dan pelbagai bidang lain yang sebelum ini dikuasai oleh kaum lain. Namun, setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, kita masih terus membicarakan masa depan bangsa Melayu. Bukankah bangsa Melayu telah mengalami anjakan dan transformasi dalam hampir semua bidang kehidupan hasil perjuangan UMNO?

Memang keadaan bangsa Melayu ketika ini tidaklah seburuk era penjajahan. Kemerdekaan telah memberikan kedaulatan dan kebebasan kepada kita untuk mentadbir dan mengurus negara. Bagaimanapun, pelbagai halangan dan cabaran seperti ketirisan dalam pelaksanaan DEB, politikus dan pentadbir yang tidak amanah, perpecahan Melayu yang semakin meruncing kesan daripada pertelingkahan politik, wujudnya petualang politik Melayu, cabaran ekonomi global dan halangan psikologi bangsa Melayu yang semakin keliru dengan identiti dan jati dirinya memerlukan kita merangka dan merencana anjakan baru bagi mengatasi cabaran yang lebih kompleks sifatnya. Wujudnya pelbagai masalah itu menyebabkan bangsa Melayu terus dikritik oleh bangsanya sendiri.

Tidak salah kita mengkritik diri sendiri selagi ia bertujuan menimbulkan kesedaran. Apa yang penting adalah pihak yang mengkritik biarlah berpada-pada dalam kritikan, sementara yang dikritik harus bersedia menerima kritikan serta menunjukkan sikap mengakui kesilapan. Namun, pastinya bangsa Melayu berasa terhina apabila kaum lain turut menempelak dan mengkritik beberapa hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Kita masih boleh menerima kritikan yang positif dan membina tetapi bukannya mencabar dan mempersoalkan hak kita.

Justeru, cadangan untuk menghapuskan hak Melayu sama ada secara nyata atau secara halus melalui pelbagai tuntutan sama ada yang diputuskan dalam resolusi-resolusi parti tertentu atau pun melalui memorandum adalah sikap yang melampau. Orang Melayu harus menghadapinya dengan tegas dan berani dalam bentuk tindakan yang berstrategi.

Ia memerlukan kepimpinan Melayu yang benar-benar beramanah dan memiliki minda strategik yang hebat. Kesungguhan politik (political will) sangat diperlukan dalam hal ini. Demikian juga pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang semakin banyak wujud hari ini yang memiliki cita-cita untuk mempertahankan hak-hak Melayu mestilah konsisten dan terus komited dalam perjuangan.

Sejarah membuktikan bahawa bangsa yang ingin bangkit daripada kelemahan dan kejatuhan memerlukan empat kekuatan iaitu keyakinan terhadap kebolehan diri, kepimpinan yang amanah, solidariti yang mantap dan disiplin yang tinggi. Keempat-empatnya memainkan peranan besar dalam ketahanan bangsa. Harapan kita, biarlah semua pemimpin Melayu dari parti mana sekali pun dapat duduk semeja untuk berbincang secara ikhlas dari hati ke hari ke arah membina semula kekuatan Melayu yang hari ini semakin terhakis kesan daripada pelbagai pertentangan politik sesama bangsa.



Sumber (c) 2010 Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID, Utusan


Monday, March 15, 2010

KEKEJAMAN BELANDA DI BANJAR !!

Demang Lehman, Sang Panglima Perang Pangeran Hidayatullah (Perang Banjar) telah ditangkap di Batulicin ketika sedang solat dan kemudian digantung di alun-alun Martapura pada tanggal 27 Februari 1863 / 8 Ramadhan 1279 H. Ucapan beliau yang terakhir : ”BANJAR A…KAN BEBAS JIKA DIPALAS DENGAN DARAH”.

Menurut Yanuar Ikbar ada 3 Kepala Panglima Banjar di Belanda yang kemungkinan besar berada di muzium perang ”Troopen Muzium di Amsterdam”:
1. Syahidin Demang Lehman

2. Syahidin Prabu Anom Dinding Raja (Jalil)

3. Syahidin Penghulu H. Rasyid.

Sangat diharapkan bantuan agar kepala2 beliau dapat dibawa kembali, agar dapat disatukan dengan jasad dan dikuburkan secara layak!!! Amin…

ASAL-USUL ORANG BANJAR
Suku bangsa Banjar diduga berintikan penduduk asal Sumatera atau daerah sekitarnya, yang membangun tanah air baru di kawasan ini sekitar lebih dari seribu tahun yang lalu. Setelah berlalu masa yang lama sekali akhirnya - setelah bercampur dengan penduduk yang lebih asli, yang biasa dinamakan sebagai suku Dayak, dan dengan imigran-imigran yang berdatangan belakangan-terbentuklah setidak-tidaknya tiga subsuku, yaitu (Banjar) Pahuluan, (Banjar) Batang Banyu dan Banjar (Kuala).

Orang Pahuluan pada asasnya ialah penduduk daerah lembah-lembah sungai (cabang sungai Negara) yang berhulu ke pegunungan Meratus, orang Batang Banyu mendiami lembah sungai Negara, sedangkan orang Banjar (Kuala) mendiami sekitar Banjarmasin (dan Martapura).

Bahasa yang mereka kembangkan dinamakan bahasa Banjar, yang pada asasnya adalah Bahasa Melayu - sama halnya ketika berada di daerah asalnya di Sumatera atau sekitarnya - yang di dalamnya terdapat banyak kosa kata asal Dayak dan asal Jawa.

Nama Banjar diperoleh karena mereka dahulu (sebelum dihapuskan pada tahun 1860) adalah warga Kesultanan Banjarmasin atau disingkat Banjar, sesuai dengan nama ibukotanya pada mula berdirinya. Ketika ibukota dipindahkan ke arah pedalaman, terakhir di Martapura, nama tersebut nampaknya sudah baku atau tidak berubah lagi.

Sebahagian drpd : http://ipmaba.wordpress.com/

Doa Bagi Yang Telah Berusia 40 Tahun ...

Allah swt berfirman: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa:

رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَ عَلى وَالِدَيَّ وَ أَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَ أَصلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَ إِنِّى مِنَ الْمُسلِمِيْنَ

Rabbi awzi’nî an asykura ni’matakal latî an’amta ‘alayya wa ‘alâ wâlidayya wa an a’mala shâlihan tardhâhu wa ashlihlî fî dzurriyyatî, innî tubtu ilayka wa innî minal muslimîn.

"Duhai Tuhanku, karuniakan padaku kemampuan untuk mensyukuri nikmat-Mu yang Kau anugerahkan padaku dan kepada kedua orang tuaku, dan untuk selalu beramal soleh yang Kau redhai. Karuniakan padaku kebaikan dalam keturunanku, sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan aku termasuk orang-orang yang berserah diri." (Al-Ahqaf/46: 15).

Thursday, March 11, 2010

Peguam Fail Permohonan Sah Isteri Kedua Sultan Kelantan

KOTA BHARU: Seorang peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua Sultan Kelantan, Che Puan Elia Suhana Ahmad, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam. Dalam satu kenyataan kepada BERNAMA, Zainul berkata beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai antara Tuanku dan Che Puan Elia Suhana.

"Kami telah dititahkan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra, Sultan dan Yang Di pertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai di antara Tuanku dan Elia Suhana Ahmad.


"Pada hari ini kami telah memfailkan suatu permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu untuk pengesahan cerai talak tiga yang dilafazkan sendiri oleh baginda Tuanku terhadap Elia Suhana Ahmad pada 12 Februari 2010 di hadapan beberapa orang saksi dan mahkamah telah mendaftarkan permohonan tersebut serta menetapkan hari Ahad, 21 Mac ini pukul 9 pagi bagi mendengar permohonan tersebut," katanya. Zainul dan rakannya, Abdul Halim Bahari, merupakan peguam yang mewakili Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid bagi kes penyerahan saman kes induk hak lawatan bertarikh 4 Feb lepas, yang dipohon oleh Che Puan Elia Suhana dan perintah tunjuk sebab ex-parte perintah hak lawatan pada 21 Feb lepas.

Dua hari lepas, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mengemukakan bantahan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu terhadap arahan tunjuk sebab kerana ingkar perintah mahkamah membenarkan hak melawat baginda yang dikeluarkan kepada Elia Suhana.
Pada 4 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu membenarkan Elia Suhana, 31, melawat Sultan Kelantan yang ketika itu menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi setiap Sabtu sehingga pagi Isnin setiap minggu.

Bagaimanapun Elia Suhana berkata beliau dihalang daripada bertemu suaminya dan pada 21 Feb lalu mahkamah telah mengarahkan Raja Perempuan Kelantan bersama dua pengawal peribadinya hadir untuk tunjuk sebab. Mahkamah menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Pada 4 Mac lalu, Sultan Kelantan telah berangkat pulang ke Kelantan setelah hampir 10 bulan dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Sumber : www.mstar.com.my

Saturday, March 6, 2010

KENAPA MAHKOTA BUKAN SIMBOL KEKUASAAN?

Di Museum Nasional Jakarta, ada dua mahkota yang menjadi simbol kebanggaan bangsa Indonesia iaitu ketopong (mahkota) Sultan Kutai Kartanegara dan mahkota Sultan Siak (Riau). Ia merupakan contoh mahkota asli terbaik di Indonesia yang sesuai dengan persepsi masyarakat internasional, sehingga keduanya menjadi simbol kebanggaan yang baik dari kekayaan dan keanekaragaman budaya bangsa Indonesia.

Ketua Pusat Dokumentasi Kerajaan-Kerajaan di Indonesia (PUSAKA) Donald P Tick
menjelaskan, "Mahkota bukanlah simbol kekuasaan raja seperti halnya keris pusaka. Ia cuma merupakan salah satu simbol dari kerajaan, karena tidak banyak kerajaan di nusantara yang mengenal penggunaan mahkota. Tidak banyak mahkota di Indonesia yang digunakan oleh para raja. Ada mahkota yang dianggap keramat misalnya mahkota Sultan Ternate dan Sultan Tidore (Maluku Utara) serta mahkota raja atau Somba Gowa (Sulawesi Selatan). Mahkota-mahkota tersebut tidak diambil dari pusat ritual mereka, namun tetap disimpan di istana/keraton lama."

Selama pendudukan Belanda, hanya mahkota Somba Gowa berikut keris kerajaan yang sempat diambil Belanda namun dikembalikan semula pada 1936 (kerajaan itu memerintah semula).
"Para raja/sultan yang menggunakan mahkota atau ikat kepala yang menyerupai mahkota adalah Raja Sikka (Flores Timur, NTT) Sultan Bima (Sumbawa Timur - NTB), Sultan Sumbawa (Sumbawa Barat - NTB), Raja Gorontalo (Sulawesi Utara), Sultan Pontianak serta Sultan Bulungan," kata beliau lagi.

Beliau bercerita tentang mahkota Sultan Bulungan yang sempat lama berada di Sabah (Malaysia). Mahkota tersebut dibawa putra Sultan Bulungan terakhir sekitar 1964. Atas desakan Bupati Bulungan, mahkota tersebut akhirnya kembali ke tanah Bulungan. Ia dipamerkan pada Festival Keraton Nusantara III tahun 2002 di Tenggarong. Mahkota tersebut kini dimiliki kerabat Kesultanan Bulungan yang ingin menghidupkan kembali salah satu kerajaan terbesar di Kalimantan Timur.

Namun demikian, ada pula beberapa mahkota yang dikabarkan hilang setelah Perang Dunia II seperti mahkota milik Raja Nageh-Keo (Flores Tengah, NTT), Raja Soya (Ambon), Raja Amanatun (Timor Tengah Selatan/NTT), Raja Karangasem (Bali) dan Raja Lombok (NTB). Pada tahun ini Pepin Press Singapore/Amsterdam akan menerbitkan sebuah buku karya Rene Brus mengenai mahkota, benda pusaka dan perhiasan kerajaan di Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam, termasuk dari Kesultanan Kutai Kartanegara Martadipura.

Petikan : www.kutaikartanegara.com

Thursday, March 4, 2010

1Malaysia dan hak semua kaum


Kerajaan Perlu Bijak Imbangi Hak Semua Kaum : Setiausaha Politik Perdana Menteri

KOTA KINABALU -- Kerajaan perlu bijak mengimbangi hak semua kaum sebagai warga negara Malaysia, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Sahlan Ismail.

Beliau berkata golongan atau individu yang berpotensi untuk maju dalam sesuatu bidang wajar diberi peluang mendapatkan bantuan yang ditawarkan kerajaan tanpa mengira kaum dan agama.

"Kebijaksanaan umpama sebuah kek. Kalau semua layak merasakan kek itu, kita besarkan kek itu supaya semua dapat. Kalau kita pandai dan layak untuk mendapatkan sesuatu peluang, tak mungkin kita akan ketinggalan," katanya pada sesi soal jawab selepas menyampaikan Taklimat 1Malaysia di sini.

Beliau diminta menjelaskan sama ada Gagasan 1Malaysia akan menghakis hak dan keistimewaan golongan Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Sahlan berkata hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera akan terus dipelihara dan golongan itu tidak perlu bimbang dan merasakan hak mereka akan diabaikan di bawah 1Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan juga tidak akan meminggirkan hak mana-mana kaum sekiranya layak menerima bantuan seperti biasiswa atau peluang ditempatkan di institusi pengajian tinggi awam.


-- BERNAMA

Wednesday, March 3, 2010

KENAPA MB PERAK TAK SEHALUAN DENGAN TUNKU?

Datuk Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz merupakan bekas Menteri Besar Perak dari 1 Februari 1948 hingga 1 Ogos 1957. Dia dilahirkan pada 1905 di Perak.

Mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan dibiayai melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Inner Temple bersama dengan Tunku Abdul Rahman, Raja Muda Raja Haji Bot dari Selangor, Nik Ahmad Kamil dari Kelantan, Abdul Hamid Mustafa dan Syed Syeikh Barakbah dari Kedah.

Beliau dari keturunan bangsawan Perak (Pembesar Empat Perak) dan merupakan anak pembesar Melayu yang pertama dapat melanjutkan pelajaran ke England. Haji Abdul Wahab ternyata cerdas kerana sentiasa lulus dalam peperiksaan undang-undang. Sebagai ganjaran, Haji Abdul Wahab diberi beberapa pas untuk membawa beberapa rakan pelajar ke mahkamah untuk mendengar perbicaraan penuh di mahkamah England.

Ketika Sultan Ibrahim dari Johor melawat pelajar-pelajar Melayu di England, Haji Abdul Wahab gagal memberi ucapan dalam bahasa Melayu. Tindakan ini tidak disenangi oleh Tunku Abdul Rahman.

Pada 1928 Haji Abdul Wahab menjadi Presiden Persatuan Anak-Anak Melayu Great Britain. Haji Abd Wahab selaku Menteri Besar Perak telah menubuhkan Parti Kebangsaan Perak (Perak National Party). Pada peringkat awal, parti-parti politik bercorak kenegerian sahaja. Ketika itu seseorang boleh menyertai dua atau lebih parti politik.

Kemudian pada Mac 1953 Dato' Panglima Bukit Gantang (walaupun sebagai Pengerusi UMNO Perak) telah mula mengusahakan penubuhan sebuah parti politik yang lain di luar kekuasan UMNO dan memberikan sokongan politiknya kepada Dato Onn Jaafar yang telah menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (Independence of Malaya Party / IMP).

Pada April 1953 beliau telah dipecat dari UMNO tetapi cawangan-cawangan UMNO Perak telah menyokong Haji Abd Wahab dengan majoriti undi percaya 37 berbanding 15. Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman memberi amaran kepada cawangan-cawangan UMNO di Perak bahawa mereka akan dipecat jika terus-terusan mengakui Dato' Panglima Bukit Gantang sebagai pengerusi UMNO Perak. Akhirnya sebahagian besar UMNO Perak keluar menyertai Dato' Panglima Bukit Gantang menubuhkan Parti Kebangsaan Perak yang menjadi teman politik Dato' Onn dan Parti Kemerdekaan Malaya.

Penghargaan Foto : Biografi Politik Tunku Abdul Rahman
(Dewan Bahasa dan Pustaka)