Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Friday, April 29, 2011

JANGAN DILALAIKAN OLEH KEMEGAHAN

SURAH al-Takathur mengandungi lapan ayat, ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kauthar. Hubungan surah ini dengan surah al-Qari'ah adalah dalam surah al-Qari'ah diterangkan tentang hari kiamat dan sebahagian huru-haranya serta balasan orang yang melakukan kebaikan dan orang yang melakukan keburukan.

Dalam surah al-Takathur ini pula disebutkan neraka Jahim iaitu neraka Hawiyah yang tersebut dalam surah al-Qari'ah. Disebutkan juga pertanyaan tentang amalan-amalan perbuatan manusia yang mereka lakukan semasa hidupnya dan sesetengah ini daripada urusan hari akhirat. BACA SELANJUTNYA

Al-Hambra Lambang Gemilang Dinasti Nasrid

AL-HAMBRA adalah sebuah istana yang terletak di Sepanyol pada hari ini dan ia merupakan salah satu bukti visual seni bina Islam yang unik dan indah. Al-Hambra membawa maksud 'yang berwarna merah'.

Ia merujuk kepada warna bangunan dan kawasan sekitarnya yang dikelilingi taman. Istana ini dibina pada pertengahan abad ke 14 Masihi oleh pemerintah Dinasti Nasrid iaitu Sultan Yusuf I dan Sultan Muhammad V.

Sultan Muhammad V memerintah pada tahun 1354-1359 sebelum digulingkan dan mendapat semula takhta baginda pada tahun 1362-1391. Dinasti Nasrid adalah kerajaan Islam terakhir di wilayah Eropah Barat. Dinasti ini diasaskan pada tahun 1232 oleh Sultan Muhammad I dan seterusnya menjadikan Granada sebagai ibu kota pemerintahan kerajaan Nasrid. BACA SELANJUTNYA.

Tuesday, April 26, 2011

Malu Bertutur Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 25 April - Rakyat di negara ini diminta supaya tidak memandang remeh bahasa Malaysia dengan berasa malu untuk bertutur di khalayak ramai seolah-olah bahasa kebangsaan itu bukan bahasa ibunda negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat seharusnya lebih yakin menggunakan bahasa Malaysia yang kini antara bahasa paling unggul digunakan di serata dunia.

Menurut beliau, dari segi jumlah penggunaan bahasa di seluruh negara bahasa kebangsaan adalah jauh lebih kerap digunakan berbanding bahasa-bahasa lain. ''Saya rasa ini kerana sikap, mungkin jika tidak menggunakan bahasa Inggeris tidak glamor dan seolah-olah bahasa Malaysia ini adalah bahasa yang rendah. BACA SELANJUTNYA

AKHBAR SUMBER POPULAR

KUALA LUMPUR 25 April - Surat khabar perlu dipulihara dan dikekalkan sebagai warisan intelek negara seiring dengan perkembangan teknologi digital.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menyimpan dan memulihara naskhah-naskhah surat khabar lama termasuk akhbar The Malay Mail terbitan 1 Disember 1896.

Beliau berkata, pemuliharaan akhbar-akhbar lama turut dilakukan beberapa negara termasuk United Kingdom walaupun terdapat akhbar online untuk rujukan generasi akan datang. Sehubungan itu, katanya, Perpustakaan Negara telah mengumpul, mendokumentasi dan memulihara sebanyak 622,000 naskhah surat khabar yang mengandungi 95 tajuk yang dicetak dalam pelbagai skrip dan bahasa.

Antara bahasa yang digunakan, katanya, termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, kaum etnik Sabah, Sarawak dan Punjabi/Urdu. "Surat khabar tetap akan menjadi bahan bacaan orang ramai di masa hadapan kerana ia adalah sumber pengisian yang integrasi di samping pendapatan iklan syarikat-syarikat akhbar tempatan meningkat 42 peratus dari RM2.7 bilion pada 2006 kepada RM3.9 bilion pada 2010," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Akhbar-Akhbar IFLA 2011 (International Federation of Library Associations and Institutions) Bahagian Akhbar di Perpustakaan Negara di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Raslin Abu Bakar; Pengerusi IFLA Bahagian Akhbar Frederick Zarndt dan Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd, Sharif Mohd. Saad.

Katanya, sebanyak 13 kertas kerja akan dibentangkan pada persidangan bertema 'Akhbar dalam pelbagai skrip dan bahasa: Isu dan cabaran untuk warisan negara' yang bermula hari ini hingga Rabu. Menurut beliau, Pengurus Besar Bernama, Datuk Hasnul Hassan dan Pengerusi Bukan Eksekutif Media Prima Berhad (MPB), Datuk Johan Jaaffar antara yang akan membentang kertas kerja pada persidangan itu selain peserta Australia, Finland, Perancis, Jerman, India, Belanda, Amerika Syarikat dan Singapura.

Beliau memberitahu, mengikut laporan Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) jumlah pembaca akhbar cetak dan digital telah meningkat kepada 17.9 juta tahun lalu berbanding 15.6 juta pada tahun 2006.

www.utusan.com.my

Saturday, April 23, 2011

MUKJIZAT AL-QURAN

MUKJIZAT al-Quran sungguh berbeza dengan mukjizat Rasulullah SAW yang lain kerana mukjizat itu hanya boleh disaksikan mereka yang hidup pada zaman Baginda saja sedangkan mukjizat al-Quran boleh dilihat sehingga ke akhir zaman. Di dalamnya terkandung pelbagai rahsia tersembunyi dan hikmah yang boleh diselidiki dan diterokai manusia bagi mencari kebenaran sehingga ke hari kiamat.

Membaca al-Quran serta bertadabbur dengannya menjadikan hati keras bertukar lembut. Ramai tokoh menolak Islam akhirnya beriman kepada Allah selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran. Contohnya, Saidina Umar al-Khattab pada zaman Rasulullah SAW, manakala pada zaman moden pula ialah Malcolm X, Mike Tyson dan ramai lagi.

Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril dalam dua peringkat. Pertama, al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz (langit ketujuh) ke Baitul Izzah (di langit dunia) pada malam Lailatul Qadar iaitu malam penuh keberkatan pada Ramadan. BACA SELANJUTNYA.

ADAT ISTIADAT MELAKA

Tajuk Buku :
Adat Istiadat Melaka: Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Tatacara Pemakaian

Terbitan :
Kerajaan Negeri Melaka dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP)

Tahun : 2008
Harga : RM40
Halaman : 54

Catatan Ed : Sebuah buku yang pastinya bermanfaat sebagai rujukan dan kajian serta harus dicontohi oleh Institusi Beraja di negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Ia akan menjadi khazanah terpenting dalam lipatan sejarah buat generasi yang akan datang.

PANTUN WARISAN

Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) telah berjaya menerbitkan buku pantun hasil ciptaan baru bertajuk "Pantun Warisan Khazanah Budaya Bangsa" sebanyak 25 000 rangkap. Ini merupakan salah satu usaha IKSEP untuk menyokong hasrat kerajaan bagi memartabatkan jati diri bangsa Malaysia melalui warisan.

Penerbitan buku ini sekaligus menggali khazanah sastera lama bangsa Melayu dalam bentuk puisi dan melengkapkan peranan IKSEP sebagai badan penyelidikan. Penerbitan buku pantun ini dapat memberi manfaat yang besar kepada para pelajar, para sarjana, masyarakat umum dan bangsa Melayu seluruhnya.

Maklumat lanjut : www.iksep.gov.my

Wednesday, April 20, 2011

INSTITUSI RAJA AKAN DIPERTAHANKAN

KUALA KANGSAR 19 April – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengulangi ikrar akan mempertahankan kedaulatan institusi raja Melayu daripada sebarang tindakan menghina, apatah lagi mahu meruntuhkan sistem berkerajaan dan bernegara yang telah lama berakar di bumi ini. Baginda bertitah, sebagai payung negeri, institusi raja perlu berpendirian tegas memastikan takhta kekal berada di atas politik.

“Tugas tersebut bukanlah ringan. Ia memerlukan kearifan dan hikmah, pengalaman dan kedewasaan. Tugas tersebut bertambah mencabar dalam menghadapi demografi warga yang berlatarbelakangkan pelbagai kaum, agama, ditambah pula komposisi warga muda yang bertambah bilangannya, memiliki pelbagai idealisme di samping terdedah kepada pengaruh globalisasi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-83 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Raja Nazrin bertitah, pada hari ini pemahaman warga terhadap institusi raja bagaikan berada di dua penghujung pendulum, ada yang menghargai kewujudannya dan ada pula yang kabur dengan peranannya. Sehubungan itu titah baginda, menjadi tanggungjawab raja pemerintah untuk memperlihatkan kepada warganya kepentingan institusi raja terutama dalam memenuhi peranan semak dan imbang dalam urus tadbir kerajaan yang berpaksikan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Titah baginda lagi, pada masa ini institusi raja sedang melalui satu lagi evolusi hasil daripada suasana dinamik politik tempatan. Bagaimanapun baginda yakin dengan pengalaman dan hikmah Sultan Azlan Shah serta raja-raja Melayu, institusi raja di bumi ini akan menemui paksi baru bagi melakarkan peranan yang lebih relevan dalam era semakin berubah.

www.utusan.com.my

Tuesday, April 19, 2011

KEPUTERAAN DYMM SULTAN PERAK

Ke Bawah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan
Sultan Azlan Shah dan DYMM Raja Permaisuri,
Tuanku Bainun. Ampun Tuanku.


KUMPULAN RAJAMENANGIS merafak sembah dan melafazkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Tuanku sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku yang ke-83 dan berdoa semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat ke atas Duli-Duli Tuanku, dan semoga Duli-Duli Tuanku berada
di dalam keadaan sihat sejahtera dan penuh kedaulatan.


~*~ DAULAT TUANKU ~*~

Monday, April 18, 2011

PERMINTAAN PENULIS MELAYU

KUALA LUMPUR, 18 April – Dalam pendirian kelihatan menyokong Kementerian Pelajaran, badan-badan penulis Melayu hari ini menegaskan Kamus Dewan hanya harus dilihat dari perspektif pandangan Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain.

Ini kerana jelas Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA), Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah hasil dari himpunan perkataan yang digunakan orang Melayu selain telah diwarisi sejak turun-temurun.


Gapena dan Pena masing-masing menegaskan kandungan perkataan dalam Kamus Dewan tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pertubuhan mewakili penulis kaum India. BACA SELANJUTNYA

Saturday, April 16, 2011

Pencetus Wawasan Empayar Melaka

SINOPSIS

Mengisahkan hidup Tun Perak dari zaman remaja, di mana dia telah digiring oleh bapanya yang juga seorang Bendahara Melaka ketika itu. Latihan dan pengalaman Tun Perak selepas itu sebagai penghulu di Kelang telah mendapat perhatian Sultan Muzaffar Syah yang melantiknya menjadi Bentera dan Bendahara Melaka. Sebagai penasihat Sultan, Tun Perak membawa banyak pembaikan, seperti polisi perhubungan antarabangsa dan strategi penguasaan Selat Melaka hingga telah berjaya menjadikan Melaka sebuah empayar yang makmur dan masyhur.

Buku ini merintis penyerlahan Tun Perak melalui gambaran hidupnya dari zaman remaja sehingga dewasa, pelantikan beliau di istana Sultan menjadi orang yang terpenting dan sumbangannya kepada kegemilangan empayar Melaka. Juga di dalam buku ini memberikan gambaran tentang keluarga Tun Perak, perhubungannya dengan masyarakat Melayu, duta asing dan sultan-sultan yang dinasihatinya. Melalui penyampaian berbentuk cerita menarik, buku ini dapat menimbulkan minat membaca khususnya terhadap bahan sejarah.

www.tintapublishers.com

Umat Islam Perlu Waspada Helah Syaitan

SETIAP mukmin pasti tidak akan sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan dalam kehidupan mereka. Bagi setiap perbuatan yang dilakukan termasuk kesalahan, ada balasan menantinya dan Allah menyediakan pahala berganda untuk hamba yang melakukan kebaikan.

Ini dijelaskan Abu Hurairah dalam hadis bermaksud: “Sabda Rasul SAW: Demi Allah seluruh jiwaku dalam genggaman-Nya, jika manusia tidak melakukan dosa dan kesalahan, nescaya mereka akan binasa dan didatangkan dengan satu kaum lain yang melakukan kesalahan lalu mereka memohon keampunan dan Allah mengampunkan mereka.” (Hadis riwayat Muslim).

Sementara itu, Anas menyebut: “Setiap insan tidak sunyi daripada kesalahan dan dosa dan sebaik-baik mereka ialah yang bertaubat.” (Hadis riwayat Ahmad) Imam Masjid Nabawi Madinah, Syekh Solah Al-Badir, berkata Allah memberi banyak peluang kepada mereka yang melakukan kesalahan kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat yang sebenar-benar taubat. Katanya, syarat taubat itu perlu disusuli beberapa perkara iaitu menyesal dan berazam meninggalkan dosa, keluar daripada kemelut dosa dengan hati tulus, terus menerus melakukan kebaikan, mengembalikan hak diambil atau menggantikannya serta memohon maaf kepada mereka yang dizalimi.

“Taubat adalah lembaran putih bersih bagi seseorang sudah kembali ke jalan yang benar walaupun dosa seseorang itu banyak sehingga tidak dapat dihitung bilangannya. Allah berfirman supaya hambanya bertaubat semoga mendapat kejayaan,” katanya. Rasul SAW bersabda bermaksud: “Jika kesalahan kamu menjangkau ke persisiran langit sekalipun lalu kamu bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubat kaum.” (Hadis riwayat Muslim) Anas berkata beliau pernah mendengar Baginda SAW menyebut dalam hadis Qudsi: “Wahai anak Adam, kenapa kamu enggan memohon ampun sedangkan Aku Maha Pengampun dan Penyayang.

Wahai anak Adam, jika dosamu menjangkau ke pintu langit sekalipun, nescaya Aku ampunkan jika kamu datang dengan sepenuh pengharapan.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Hadis diriwayatkan Muslim pula menyebut, Allah berfirman bermaksud: “Sesiapa yang datang kepadaku sejengkal, nescaya Aku akan datang padanya sehasta. Jika dia datang padaKu sehasta, nescaya aku akan datang padanya lebih dari itu. Jika dia datang berjalan kaki nescaya Aku datang padanya berlari-lari. Jika datang dia dengan dosa yang banyak nescaya Aku akan ampunkan mereka selagi mereka tidak menyekutukan Aku.” Lihatlah betapa hebatnya peluang terhidang bagi manusia yang melakukan dosa dan keterlanjuran.

Semuanya adalah tanda kasih pencipta terhadap hambanya di mana Allah sentiasa melebarkan peluang bertaubat di waktu siang bagi mereka yang bersalah di waktu malam dan sebaliknya.
Firman Allah bermaksud: “Sesiapa melakukan perkara buruk atau menzalimi dirinya kemudian bertaubat, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun dan Penyayang.” (Surah An-Nisa’, ayat 110). Oleh itu, marilah bersama menyahut seruan taubat dianjurkan Allah dan sentiasa berwaspada dengan tipu daya syaitan yang sentiasa menggunakan peluang menyeru anak Adam mengulangi dosa buat kali keduanya.

Sumber: bharian.com.my

Wednesday, April 13, 2011

SULTAN SELANGOR - Imbau Sejarah Dan Ambil Iktibar Sebelum Lakukan Perubahan

Imbau Sejarah Dan Ambil Iktibar Sebelum Lakukan Perubahan - Sultan Selangor


KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa bertitah mana-mana kumpulan masyarakat yang ingin melakukan perubahan harus melihat sejarah dan mengambil iktibar daripada pengalaman generasi terdahulu.

Baginda bertitah sejarah tidak boleh dipandang remeh apatah lagi diketepikan sekali gus menjadikan pengetahuan dan kefahaman sejarah adalah suatu kewajipan kepada semua warganegara.

"Ini penting bagi orang Melayu dan juga bukan Melayu di mana mereka sebenarnya menikmati hak-hak tertentu berdasarkan sejarah, khususnya soal tolak ansur (kontrak sosial) dan hak-hak istimewa semasa rundingan kemerdekaan," titah baginda ketika merasmikan Konvensyen Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam Di Malaysia di sini, Selasa.

Turut hadir pada konvesyen anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Ikim Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sultan Sharafuddin Idris bertitah perkara itu dapat dilihat berasaskan Hukum Kanun Melaka yang dibuat semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah sekitar 1446 hingga 1456, yang dijadikan model dan panduan kepada negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung sehingga melahirkan teks undang-undang seperti Undang-undang Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-undang Johor dan Undang-undang 99 Perak.

Undang-undang itu seterusnya menjadi asas kepada perlembagaan rasmi beberapa negeri Melayu contohnya Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor yang mensyaratkan bahwa Raja dan Sultan negeri itu hendaklah lelaki, beragama Islam, berdarah raja Johor dan berbangsa Melayu.

Baginda bertitah fakta sejarah itu membuktikan kewujudan sistem pentadbiran undang-undang Islam adalah seawal dan seiring dengan kedatangan Islam ke rantau ini apabila memberi kesan dan perubahan yang ketara terhadap adat resam, sosio-budaya, sistem ekonomi, politik dan perundangan sekali gus memberi pengiktirafan kepada kedudukan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan dan sistem demokrasi negara.

"Antara kebaikan utama pengiktirafan kedudukan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan dan sistem demokrasi negara ialah ia boleh mengelakkan agama daripada dipolitikkan oleh parti yang memerintah dan memastikan agama dilaksanakan tanpa mengira kepentingan ahli politik yang menguasai kerajaan.

"Beta yakin dengan cara inilah peranan sebenar institusi kesultanan Melayu sebagai payung dalam membela, menjaga dan memartabatkan Islam akan berkesan dan memberi impak ketara kepada masyarakat dan negara sekali gus menjadikan Institusi Raja dan Sultan lebih dihormati, bukan ditakuti atau dicurigai," titah baginda.

Mengenai konvensyen itu, Sultan Sharafuddin bertitah semua wakil institusi agama yang menyertainya dapat memberikan idea, berbahas, mencapai persetujuan, menghasilkan rumusan bernas dan merangka pelan tindakan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi menjayakan program tranformasi itu.

Konvensyen dua hari itu antara lain bertujuan memberi pendedahan tentang sejarah, kedudukan cabaran dan realiti semasa sistem perundangan negara, membuat penilaian ke atas institusi Islam yang berkaitan dalam tadbir urus hal ehwal perundangan Islam dan mengemukakan cadangan atau rumusan penyelesaian holistik ke arah lonjakan perubahan secara cekap, bertenaga, agresif, dinamik dan sistematik.

Ia disertai 200 pegawai kanan dari institusi agama termasuk Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Peguam Negara (Seksyen Syariah), Majlis Agama Islam Negeri dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia.



Sumber 2011 -- (c) BERNAMA

Saturday, April 9, 2011

SEJARAH SENI KHAT

Kesenian unggul dalam Islam terpancar pada Ummul Kitab (al-Quran) yang diturunkan sebagai panduan dan pedoman untuk semua umat manusia. Naskhah lengkap panduan hidup umat Islam merupakan seni yang tidak dapat ditangkis oleh mana-mana kesenian kerana ketinggian nilai budi, saranan akhlak juga peraturan hidup manusia.

Dr Venetia Porter, Kurator Muzium British yang juga seorang pengkaji kesenian Islam menyatakan, tulisan merupakan antara elemen terpenting untuk menyampaikan sesuatu maksud sebagai gambaran pelbagai kejadian yang berlaku.


Sistem tulisan Arab – wadah yang mengungkap maknawi bahasa Al-Quran menjadi pengikat ukhwah dan penglahiran perasaan mengagungkan Maha Pencipta. Keistimewaan sistem tulisan Arab (jawi) ini penentu ciri kesenian Islam yang melampaui batasan dan sempadan. Tulisan-tulisan Arab ini dizahirkan kepada bentuk yang seni oleh seniman Islam. Objek penglahirannya berlegar disekitar kosmos alam yang bersangkutan dengan keagungan Tuhan.

Bertitik tolak dari inilah muncul kesenian seni kaligrafi Islam yang telah dimulai dari sejak Islam lahir ke muka bumi ini.
Seni kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama ´seni khat´ merupakan khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki oleh umat Islam. Perkembangan Islam yang tersebar ke seluruh pelosok dunia, menyaksikan kaligrafi Islam teradaptasi dengan perubahan yang berlaku tanpa menghilangkan ciri dan nilai keIslamannya. BACA SELANJUTNYA

TITAH RAJA MUDA PERLIS

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu pelan penampan banjir diberi keutamaan dalam rancangan pembangunan di Perlis antaranya dengan melaksanakan sistem perparitan dan saliran yang berkesan.

Baginda turut berharap rakyat juga membantu menangani masalah banjir dengan memastikan semua sungai di Perlis bebas daripada sampah sarap dan kekotoran yang menghalang kelicinan aliran air.

"Fenomena cuaca luar biasa menyaksikan berlaku dua kali banjir dalam tempoh empat bulan. Ini sedikit sebanyak mengubah persepsi umum rakyat Perlis bahawa negeri ini hanya menghadapi banjir besar lima tahun sekali," titah baginda ketika merasmikan program Titian Kasih Yayasan Tuanku Syed Putra di Kuala Sanglang dekat sini hari ini.

Banjir terbaru berlaku pada 30 Mac sehingga 6 April lalu menyebabkan lebih 6,000 penduduk terpaksa berpindah. Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.- Bernama

Thursday, April 7, 2011

Perwira Negara Selamat Disemadikan

KUALA LUMPUR: Beberapa cebisan tulang seorang wira negara, Mohammed Abdul Lalil@Jalil yang terkorban apabila pesawat yang dinaiki ketika menjalankan tugas terhempas pada tahun 50-an, selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Bukit Treh, Muar hari ini.

Kira-kira 500 orang termasuk anggota-anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, anggota pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hadir pada upacara itu. Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif.

Terdahulu tulang allahyarham disembahyangkan di Masjid Bukit Aman di sini kira-kira pukul 10 pagi sebelum diserah kepada anggota keluarganya. Mohammed, ketika itu berusia 25 tahun, terkorban apabila pesawat Dakota C4 dari pasukan ke-52 Skuardron Tentera Udara Diraja Birtish terhempas ketika dalam misi menggugurkan ”smoke markers” bagi membantu operasi pengeboman ke atas lokasi komunis di sekitar kawasan hutan Gua Musang. Turut terkorban ialah juruterbang pesawat itu, tujuh anggota tentera British, dua orang awam dan seorang jurupandu orang asli.

KUALA LUMPUR, Nov 21 (Bernama) "Mayday! Mayday! Mayday! We are going down!" T
hat could have been the last words uttered by the pilot of the ill-fated Douglas C47B-DK Dakota C4 plane before it disappeared from the radar screens on Aug 25 in 1950 over the jungles of Gua Musang in Kelantan.

Since then, the crashed aircraft had been a mystery for 58 years
but this was answered last Nov 12 after a special team set up by the Malaysian army came out from the Gua Musang jungles with the skeletal remains of the Dakotas crew and parts of the plane. The Dakota C4, registration number KN630, was from the British Royal Air Forces (RAF) 52nd Squadron based in Changi, Singapore. READ MORE

Wednesday, April 6, 2011

WIBAWA HIKAYAT JOHOR

Sejarah awal negeri itu dalam teks terbabit boleh diguna pakai untuk perbandingan

HIKAYAT Johor yang sering dijadikan rujukan pengkaji berhubung sejarah awal negeri itu masih boleh diguna pakai sebagai sumber teks maklumat mengenai negeri itu, meskipun ada beberapa fakta di dalamnya bertentangan dengan naskhah lain.


Perkara ini diakui Pembantu Profesor, Jabatan Sejarah dan Ketamadunan, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr A Rahman Tang Abdullah, dalam kajiannya Hikayat Johor: Kajian Intertekstualiti Sebagai Aspek Pensejarahan pada Siri Seminar Bulanan Naskhah Melayu ke-3 di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.


“Walaupun ada beberapa percanggahan fakta antara Hikayat Johor dan beberapa sumber rujukan lain seperti Tawarikh Datuk Bentara Luar dan Hikayat Pahang, ia masih boleh dijadikan antara bahan rujukan. Saya memperbandingkan ketiga-tiga teks berkenaan kerana ia sumber dan karya sejarah yang berkaitan dengan perkembangan sejarah di Johor bagi tempoh pertengahan kedua abad ke-19. Untuk kepastian peristiwa atau konflik, sejarawan selalunya merujuk sumber ketiga terutama British,” ujarnya. BACA SELANJUTNYA

Tuduhan Siar Komen Menghina Sultan

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan pindaan menghantar komen yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, menerusi portal internet.

Hakim SM Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi, gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Muslim Ahmad, 55. Pada 21 Jun lalu, Komathy melepaskan dan membebaskan Muslim selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dalam kes itu.

Bagaimanapun, pada 8 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha memerintahkan Muslim dipanggil membela diri untuk memberi keterangan pembelaannya selepas pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Muslim menghadapi tiga pertuduhan pindaan iaitu menghantar komen yang jelek sifatnya melalui portal negeri, www.perak.gov.my, pada 2.21 petang 7 Februari tahun lalu. Dia juga didakwa melakukan kesalahan serupa pada 2.27 petang hari yang sama, dan bagi pertuduhan ketiga dia didakwa melakukannya sekali lagi pada 4.39 petang 8 Februari 2009.

Bapa kepada empat orang anak itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di alamat No. 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di sini. Muslim yang diwakili peguam K Periasamy, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998. - BERNAMA

Tuesday, April 5, 2011

Rajamenangis mengunjungi Penyimpan Mohor Besar yang baru

Kami berdua mengambil nafas panjang, entah kenapa hari ini nyaman tetapi terik panasnya. Petang 24 Rabiulakhir 1432 bersamaan 29 Mac 2011. Suasana di persekitaran Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja begitu tenteram sekali dengan hembusan bayu sepoi-sepoi bahasa.

Dengan rasa cukup berbesar hati, Kumpulan Rajamenangis melangkah masuk untuk bertemu buat kali pertamanya dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang baru dinobatkan, Yg Berbahagia Datuk Syed Danial Syed Ahmad. Beliau mula berkhidmat semenjak 10 Januari 2011 yang lalu. Turut hadir bersama ialah Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Yg Berbahagia Datuk Sabtu Awab yang sentiasa tersenyum mesra dan mengangguk ramah mendengar bicara kami.


Diri kami disambut dengan jabat tangan yang mesra dan kukuh dan setelah masa berlonjak sekitar sejam selepas itu, maka terpetiklah rasa kemesraan setia yang tak terhitung. Tidaklah kunjungan kami itu tersisa di penghujungnya.

Dalam firasat kami, bertuah sungguh akan tuan badan Penyimpan Mohor Besar yang baru itu. Orang yang tersusun rapi bahasanya, tertib dan pantas ilmunya dan girang bersahaja keterampilannya. Bukankah disitu tersimpulnya luhur lipatan keperibadian setiausaha besar Diraja negeri-negeri Melayu. Semestinya ketangkasan beliau bertutur dan berjiwa adat akan terus mencerminkan keutuhan satu permesyuaratan yang besar, penuh dengan istiadat Melayu.

Sesungguhnya, ternukillah sebuah sejarah buat Kumpulan Rajamenangis.

Monday, April 4, 2011

Kepentingan Cap Mohor Di Dunia Islam

CAP mohor merupakan salah satu cara pengesahan yang dilakukan oleh individu dengan meletakkan tanda khas yang mempunyai nama mereka selain tanda tangan. Ia telah digunakan oleh tamadun terdahulu sejak zaman sebelum Islam lagi sebagai salah satu simbol kuasa.

Dalam tamadun China, maharaja mempunyai beberapa jenis cap mohor.
Cap mohor diraja ini akan dikurniakan kepada beberapa pegawai empayar yang menjalankan perintah maharaja seperti jeneral yang mengetuai sesebuah pasukan tentera.

Dalam sejarah Islam, cap mohor telah digunakan sejak zaman Rasulullah s.a.w. Pada tahun 628 Masihi, sewaktu baginda ingin menulis surat kepada Maharaja Byzantium mengenai seruan Islam, baginda telah dimaklumkan bahawa Maharaja Byzantium hanya akan membaca surat yang mempunyai cap mohor. BACA SELANJUTNYA

Imej (kanan) cap Mohor Besar Raja-Raja Melayu

99 LANGKAH MENUJU KESEMPURNAAN IMAN

99 LANGKAH MENUJU KESEMPURNAAN IMAN


01. Bersyukur apabila mendapat nikmat;


02. Sabar apabila mendapat kesulitan;


03. Tawakal apabila mempunyai rencana / rancangan ;


04. Ikhlas dalam segala amal perbuatan;


05. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;


06. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;


07. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan;


08. Jangan usil dengan kekayaan orang;


09. Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang;


10. Jangan sombong kalau memperoleh kejayaan ;


11. Jangan tamak kepada harta;


12. Jangan terlalu menghendaki akan sesuatu kedudukan;


13. Jangan hancur karena kezaliman;


14. Jangan goyah karena fitnah;


15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri.


16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram;


17. Jangan sakiti ayah dan ibu;


18. Jangan usir orang yang meminta-minta;


19. Jangan sakiti anak yatim;


20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;


21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil;


22. Banyak berkunjung ke rumah Allah(masjid) ;


23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyu; 24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid; 25. Biasakan shalat malam;


26. Perbanyak dzikir dan do'a kepada Allah;


27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;


28. Sayangi dan santuni fakir miskin;


29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;


30. Jangan marah berlebih-lebihan;


31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan;


32. Bersatulah karena Allah dan berpisahlah karena Allah;


33. Berlatihlah untuk banyak berfikir ;


34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila karena sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi;


35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan;


36. Jangan percaya ramalan manusia;


37. Jangan terlampau takut miskin;


38. Hormatilah setiap orang;


39. Jangan terlampau takut kepada manusia;


40. Jangan sombong, takabur dan besar kepala;


41. Berlakulah adil dalam segala urusan;


42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;


43. Bersihkan rumah dari patung-patung berhala;


44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;


45. Perbanyakkan silaturrahim;


46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;


47. Bicaralah secukupnya;


48. Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya;


49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu;


50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;


51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit bathin;


52. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga;


53. Makanlah secukupnya, tidak kekurangan dan tidak berlebihan;


54. Hormatilah kepada guru dan ulama;


55. Sering-sering bershalawat kepada nabi;


56. Cintai keluarga Nabi saw;


57. Jangan terlalu banyak hutang;


58. Jangan terlampau mudah berjanji;


59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara;


60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti bercakap-cakap yang tidak berguna;


61. Bergaullah dengan orang-orang soleh;


62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar;


63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu;


64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita;


65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi;


66. Jangan membenci seseorang karena pahaman dan pendiriannya;


67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita;


68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan


69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan.


70. Jangan melukai hati orang lain;


71. Jangan membiasakan berkata dusta;


72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian;


73. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab;


74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;


75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita 76. Jangan membuka aib orang lain;


77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berjaya dari kita;


78. Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana;


79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan;


80. Jangan sedih karena miskin dan jangan sombong karena kaya;


81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara;


82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain;


83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;


84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa;


85. Hargai kejayaan dan pemberian orang;


86. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan;


87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan.


88. Sediakan waktu untuk berolahraga yang sesuai dengan norma-norma agama dan kemamapuan diri kita;


89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan jasmani atau fikiran kita menjadi terganggu;


90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana;


91. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita;


92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina;


93. Jangan cepat percaya kepada berita jelek yang menyangkut teman kita sebelum dipastikan kebenarannya;


94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban; 95. Sambutlah huluran tangan setiap orang (pastikan aurat) dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak berlebihan;


96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri;


97. Waspadalah akan setiap ujian, cobaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan;


98. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan;


99. Jangan berjaya di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang.


WALLAHUALAM