Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, December 27, 2012

Doa Rasulullah buat Muslimin


ADA sebuah doa yang biasa dibaca oleh Nabi SAW dan jika direnung dan dihayati secara mendalam, ternyata sangat mencakupi pelbagai permohonan.

Daripada Abu Musa al-Asyaari ra, Rasulullah berdoa: Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, dan perbuatanku yang berlebihan dalam urusanku, serta ampunilah kesalahanku yang Engkau lebih mengetahui daripadaku. Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kemalasanku, kesengajaanku, kebodohanku, gelak tawaku yang semua itu ada pada diriku. Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang telah berlalu, dosa yang mendatang, dosa yang aku samarkan dan dosa yang aku perbuat dengan terang-terangan, Engkaulah yang mendahulukan dan Engkaulah yang mengakhirkan, serta Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu. (riwayat Bukhari)

Tema di dalam doa itu adalah seorang hamba Allah SWT memohon keampunan-Nya. Sekurang-kurangnya terdapat 13 petunjuk yang diajukan hamba tersebut kepada Allah SWT. Semuanya dengan harapan dan permohonan keampunan-Nya.

1Ya Allah, ampunilah kesalahanku. Kesalahan dapat mencakup perintah Allah yang dilalaikan atau larangan Allah yang dilanggar.

2Ya Allah, ampunilah kebodohanku. Manusia tidak luput daripada kebodohan. Tidak ada manusia yang memiliki pengetahuan sempurna. Kebodohan seseorang sering kali menyebabkan tingkah lakunya yang tidak terpuji, sehingga ia perlu memohon ampunan Allah SWT atas kebodohan dirinya itu.

3Ya Allah, ampunilah perbuatanku yang berlebihan dalam urusanku. Kadang-kala kita mengerjakan suatu perbuatan secara tidak adil atau tidak profesional. Perbuatan berlebihan tersebut mungkin menyakiti hati, bahkan menzalimi orang lain. Maka kita berharap ampunan Allah atas perbuatan berlebihan di dalam berbagai urusan.

4Ya Allah, ampunilah kesalahanku yang Engkau lebih mengetahui daripadaku. Manusia sering mengerjakan kesalahan tanpa ia menyedarinya. Boleh jadi ia lebih mudah dilihat oleh oang lain, tetapi tidak bagi diri sendiri. Maka untuk urusan seperti itu seorang mukmin memohon ampunan Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatunya. Seorang mukmin mengakui bahawa Allah SWT merupakan Zat Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib mahupun nyata, maka ia pun mengembalikan semua dosa yang ia sendiri tidak ketahui kepada Allah SWT.

5Ya Allah, ampunilah kesalahanku. Manusia boleh terlibat di dalam banyak kesalahan. Maka ia memohon kembali ampunan Allah atas kesalahannya pada hal sebelumnya dia telah melakukannya kepada Allah SWT.
6Ya Allah, ampunilah kemalasanku. Kemalasan dapat menjadi musuh utama yang menyebabkan seseorang menunda, bahkan melalaikan suatu kewajipan yang mesti dikerjakan. Pengakuannya di hadapan Allah SWT bahawa dirinya kadang-kadang dilanda kemalasan yang mesti disertai dengan permohonan ampunan Allah atasnya.

7Ya Allah, ampunilah kesengajaanku. Harus diakui bahawa kadang-kadang kita secara sengaja melakukan suatu kesalahan. Entah kerana emosi atau terpengaruh lingkungan atau pelbagai alasan lain. Yang jelas, semua kesengajaan itu mestilah disusuli dengan istighfar dan permohonan keampunan-Nya.

8Ya Allah, ampunilah kebodohanku. Maha Suci Allah, ternyata Rasulullah SAW sangat mengerti akan kelemahan kita yang satu ini. Manusia memang selalu kekurangan ilmu sehingga mustahil terluput daripada kebodohan. Oleh itu permohonan ampunan Allah atas kebodohan diri perlu diajukan berulang kali.

9Ya Allah, ampunilah gelak tawaku yang semua itu ada pada diriku. Apakah ketawa itu berdosa? Tentunya tidak. Tetapi bila dilakukan secara tidak profesional atau melampaui, ia akan mendatangkan masalah. Firman Allah: Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan daripada apa yang selalu mereka kerjakan. (at-Taubah: 82) Selain sabda Rasulullah SAW: Demi Allah, andai kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu jarang tertawa dan sering menangis. (riwayat Tirmizi)

10Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang telah berlalu. Setiap orang perlu berhati-hati terhadap dosa lampau yang pernah dilakukan dahulu. Berkemungkinan dosa-dosa itu belum sempat kita menyesalinya. Maka tiba masanya untuk kita mengakui dan menginsafi di hadapan Allah SWT seterusnya memohon keampunan-Nya.

11Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang mendatang. Seorang mukmin pasti menyedari bahawa kehidupan ini bukan sekadar masa lalu dan masa kini. Ia juga meliputi perkara mendatang.
Begitu juga dengan perlakuan dosa yang dikerjakan. Ia tidak hanya terjadi di masa lalu dan masa kini semata-mata. Tetapi boleh terjadi di masa akan datang. Oleh kerana itu, dengan penuh kejujuran kita mengharapkan keampunan Allah atas dosa yang akan datang dan cuba mengelakkannya daripada terjebak kepadanya.

12Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang aku samarkan. Seorang mukmin sangat khuatir dengan dosa yang dilakukan secara sembunyi atau berselindung. Sabda Rasulullah SAW: Sungguh aku mengetahui bahawa ada suatu kaum daripada umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih, lalu Allah menjadikan kebaikan itu debu yang berterbangan.

Thauban berkata: Wahai Rasulullah, sebutkanlah ciri-ciri mereka kepada kami dan jelaskanlah tentang mereka kepada kami, supaya kami tidak menjadi seperti mereka sedangkan kami tidak mengetahuinya.
Baginda bersabda: Sesungguhnya mereka adalah saudara-saudara kamu dan daripada golongan kamu, mereka solat malam sebagaimana kamu mengerjakannya tetapi mereka adalah kaum yang melakukan perbuatan yang diharamkan Allah sedang mereka berkhalwat (menyendiri). (riwayat Ibnu Majah)

13Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang aku perbuat dengan terang-terangan. Sedangkan dosa yang dikerjakan secara senyap atau tersembunyi itu kita khuatir, apa lagi dosa yang dilakukan secara terbuka. Oleh itu, keampunan daripada Allah SWT amat diharapkan.

Sungguh amat luar biasa, kesemua doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah itu adalah merupakan dosa dan kesalahan yang sering dilakukan oleh setiap daripada kita lelaki atau perempuan, sama ada secara disedari mahupun sebaliknya. Maka itu, betapa bertuah umat Islam sekiranya mereka juga berdoa sebagaimana yang didoakan oleh Baginda SAW ini.


www.utusan.com.my

Sunday, December 23, 2012

Pupusnya seni menulis surat

Sewaktu saya belajar di Universiti Malaya pada tahun 70-an, saya sering menulis surat kepada ayah. Surat itu akan ditulis di atas kertas writing pad berwarna warni. Saya akan memulakannya dengan cara ini: “Adapun pada masa anakanda menulis surat ini anakanda berada dalam keadaan sihat dan sejahtera dan diharapkan ayahanda dan bonda serta keluarga berlebih-lebih lagi hendaknya.”

Tujuan saya menulis surat itu semata-mata untuk memberitahu bahawa saya tidak dapat pulang ke kampung sewaktu cuti penggal universiti. Ayah buta huruf. Surat dalam tulisan jawi itu akan dibacakan pada beliau. Bagi generasi hari ini, surat seumpama itu terasa janggal dan pelik. Bahasa yang digunakan terlalu formal, menyerupai bahasa istana. Itulah adab menulis surat dan budaya berbahasa kepada orang tua.

Pada zaman sebelum wujudnya sistem pesanan ringkas (SMS), emel, Facebook dan Twitter, itulah kaedah perhubungan di antara manusia. Apa yang lebih penting ialah wujudnya peraturan dan hukum hakam yang tertentu dalam melakukannya. Ia tidak boleh dibuat secara semberono kerana apa yang ditulis melambangkan akhlak dan peribadi si penulis. Dalam budaya Melayu seni menulis surat ini cukup dihargai. Sejak sekian lama seni menyurat menjadi sebahagian daripada tradisi bangga orang Melayu.

Raja-raja Melayu, ketua masyarakat, sasterawan dan seniman hingga rakyat biasa berkomunikasi dengan cara itu. Surat yang diterima itu akan ditelaah dan kemudiannya disimpan sebagai khazanah berharga. Surat-surat ini menjadi rekod peribadi yang sangat bermakna. Teknologi komunikasi, maklumat Dunia telah diubah oleh teknologi komunikasi dan maklumat. Sewaktu saya masuk ke universiti pada tahun 1974, rumah saya di kampung tidak ada telefon. Telefon bimbit hanya muncul 18 tahun kemudian.

Sepuluh tahun yang lalu kita mengenal SMS. Hari ini manusia tidak dapat hidup tanpa telefon bimbit dan perhubungan sesama manusia mengambil dimensi yang lain. Kaedahnya bukan sahaja cepat dan ringkas tetapi juga canggih dan menarik. Anak saya di luar negara hanya perlu menulis “Ayah, tolong hantar wang” tanpa perlu memulakan mukadimah panjang seperti yang pernah saya lakukan. Mesej yang dihantar melalui teknologi komunikasi baru ini penuh singkatan, nombor dan gambar. Ahli bahasa menjadi cemas kerana bentuk formal bahasa telah turut dicabar.

Struktur komunikasi bukan formal dalam SMS dan emel kini terbawa-bawa ke dalam bahasa formal. Para guru mengadu pelajar di sekolah menulis karangan dan membuat ayat dalam bahasa bukan formal yang biasa mereka gunakan dalam berkomunikasi melalui alat komunikasi pintar. Ahli bahasa melihat kelahiran bentuk linguistik yang lebih menyerupai centaur (makhluk separuh haiwan separuh manusia dalam mitos lama) di alam maya – tidak lagi formal, mengenepikan sintaksis malah nahu. Proses sosialisasi juga telah berubah. Cara formal saya menulis surat tidak lagi relevan.

Dunia percintaan juga mengambil bentuk baru dalam alam siber ini. Surat-surat buat kekasih yang satu masa dahulu sebahagian daripada tradisi menyurat yang indah dan unik juga sudah berkubur. Satu waktu dahulu orang berkenalan di kolum ‘Kembang Setaman’ dan ‘Sahabat Pena’ di akhbar dan majalah lalu menulis surat sesama mereka. Entah berapa banyak perkahwinan berakibat daripada ruangan sedemikian. Cinta melalui surat kini menjadi cinta siber. Pupus satu tradisi cerdik, indah.

Pada hari ini segala-galanya diringkaskan. Manusia hidup dengan simbol, imej dan icon. Maka pupuslah satu tradisi cerdik dan indah yang menghubungkan sesama manusia. Surat-surat ini bukti kebijaksanaan manusia menggunakan bahasa yang indah dan berkualiti tinggi. Bayangkan surat-surat karyawan besar dunia yang menampakkan bukan sahaja percikan genius mereka tetapi juga ketekunan mengarang dan penggunaan bahasa yang indah. Banyak daripada sasterawan besar dunia yang dikenal bukan sahaja melalui karya-karya mereka tetapi juga surat-surat yang mereka tulis.

Terlalu banyak surat menyurat di antara karyawan besar kita sendiri yang nampaknya akan tinggal dalam koleksi peribadi atau tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP. Banyak lagi koleksi surat peribadi pemimpin Melayu yang mungkin terdapat di Arkib Negara Malaysia. Entah sekian ribu surat-surat peribadi yang merakamkan rasa cinta, kecewa, marah, gembira dan ceria sasterawan Melayu yang akan ditemui lagi.

Sasterawan muda hari merakamkan perasaan mereka melalui SMS, Facebook, blog, emel dan lain-lain juga. Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan baru-baru ini menerbitkan koleksi Menyurat Kepada Sahabat yang memuatkan surat-surat peribadi beliau dari tahun 1975 hingga 2002. Saya berharap Anwar masih lagi menulis surat kepada sahabat-sahabatnya sampai ke hari ini.

Sumber: bharian.com.my
Pengarang : Johan Jaaffar


Tuesday, December 18, 2012

VIDEO Seni Silat Pengantin

Seni Silat yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Ia warisan seni yang sentiasa mekar di hati sanubari setiap penggiat silat. Keindahan dan keunikannya membuat ia terkenal di seluruh dunia dan dalam pelbagai lapisan masyarakat. Seni Silat ada keindahan tersendiri di samping mampu mempertahankan diri.

Untuk senarai video pilihan kami, sila klik di sini.

Wednesday, December 12, 2012

Semoga YM Engku Dicucuri Rahmat. Al-Fatihah.


BESUT 12 Dis. - Bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, 80, meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
Ia disahkan oleh adik Allahyarham Engku Taib kepada Bernama di sini.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan pada pukul 11.00 pagi ini di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.
Allahyarham yang dilahirkan pada 15 April 1932 di Besut meninggalkan seorang balu Tengku Zahab dan enam orang anak, empat daripadanya lelaki.
Allahyarham memegang jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selama 22 tahun mulai tahun 1989 hingga 2011. - BERNAMA

Catatan : Moga ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Kumpulan Rajamenangis telah berpeluang bertemu Allahyarham beberapa tahun lalu.


http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121212/dn_25/Bekas-Penyimpan-Mohor-Besar-Raja-raja-meninggal#ixzz2EnoVNrgS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penganugerahan oleh KDYMM Sultan Selangor


KLANG 11 Dis. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menganugerahkan darjah dan bintang kebesaran sempena hari keputeraan baginda ke-67 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini hari ini.
Mengetuai senarai ialah Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri. Beliau bagaimana tidak hadir.
Turut dikurniakan darjah kelas pertama itu ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.
Sultan Selangor turut berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada dua penerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor, Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (seorang), Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (15) dan Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (14).

sumber: utusan.com.my