Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Saturday, June 7, 2014

Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong


KUALA LUMPUR: Berikut ialah teks Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan di Istana Negara.

Bismillahhirrahmanirrahim. Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, wabihi nasta’in, wassolatu wassalamu a’la Asyrafil Anbiya-i wal Mursalin, wa a’la alihi wa ashabihi ajmain. 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 
1. Alhamdulillah, dilafazkan kalimah puji-pujian dan syukur ke hadrat Allah Subhanu Wata’ala kerana di atas limpahan Rahmat dan kehendak-Nya jua, dapatlah kita menyambut Hari Keputeraan Rasmi Beta bagi kali ke-3, sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam penggal pemerintahan ini. Hadirin dan Hadirat Sekalian, 

2. Pada kesempatan bertitah ini, Beta beserta Raja Permaisuri Agong ingin merakamkan rasa terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada ucapan sembah tahniah dan ikrar taat setia oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sebagai Mamanda Perdana Menteri, yang mewakili pihak Kerajaan, anggota keselamatan, para penjawat awam serta seluruh rakyat Malaysia. 

3. Sesungguhnya, Beta berasa ucapan Memanda Perdana Menteri itu tadi, adalah suatu pernyataan yang tulus dan jujur dalam tradisi menjunjung institusi Raja berperlembagaan di Malaysia. 

4. Tentunya, rasa kasih yang dizahirkan kepada Beta ini, telah mendatangkan kegembiraan dan bahagia sebagai tanda kenangan yang tidak terluput dari ingatan. Ia juga sebagai tanda hubungan erat lagi mendalam di antara Raja dan rakyat, saling kasih-mengasihi yang diwarisi sejak turun temurun. Hadirin dan Hadirat Sekalian, 

5. Beberapa tahun kebelakangan ini memaparkan babak-babak cemas dan merunsingkan di merata tempat sekitar penjuru global. Makanya itu, Beta ingin menyeru kepada semua agar mengambil iktibar daripada pelbagai peristiwa serta pergolakan, antaranya, di Timur Tengah dan mutakhir ini, di negara-negara serantau sekeliling kita. 

6. Secara dasarnya, apabila kekecohan dan kemelut timbul, pasti sesebuah negara itu tidak lagi berada dalam keadaan aman sekaligus usaha-usaha untuk mentadbir, mengurus dan memajukan negara dalam keadaan terkawal tidak mungkin dapat dilakukan dengan jayanya.  
7. Jika diteliti, kenapakah terjadinya hal yang sedemikian bagi kebanyakan negara di dunia ini. Jawapannya ialah telah hilang kesefahaman antara pihak-pihak yang bertelagah, masing-masing mementingkan agenda peribadi dan kumpulan serta kelompok mereka sehingga sanggup membelakangkan matlamat yang lebih utama iaitu maslahah atau kepentingan umum di peringkat nasional dan negara. 

8. Merujuk kepada senario antarabangsa ini, pada hemah Beta, rakyat Malaysia tidak kira apa lapisan, warna kulit mahupun keturunan, sama ada yang terlibat dalam pentadbiran, kepemimpinan politik, sektor awam dan swasta, seharusnya mengambil pengajaran dan tauladan daripada apa yang terjadi. Hadirin dan Hadirat Sekalian, 

9. Beta ingin memetik mafhum sepotong firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 195 bahawa, “...janganlah kamu campakkan diri ke dalam kebinasaan dengan perbuatan tangan sendiri, dan berbuat baiklah…”. 

10. Kata-kata pujangga pula menyebut, walaupun sejarah itu adalah peristiwa yang telah berlalu, namun sesiapa yang tidak mengambil iktibar akan dihukum olehnya. 

11. Maka, sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaku Ketua Negara, Beta ingin berpesan kepada seluruh warga Malaysia dengan merujuk kepada Wasiat 9 Raja-Raja Melayu yang diperturunkan dan dipersetujui hampir 6 dekad yang lalu, ketikamana negara sedang merintis kemerdekaan. Setepatnya, perkara ini dimaktubkan pada 5 haribulan Ogos 1957 untuk menubuhkan sebuah Persekutuan Tanah Melayu. 

12. Wasiat ini merujuk kepada 7 perkara utama antaranya, kedaulatan Raja-raja Melayu, Tanah Simpanan Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Kebangsaan, Rejimen Askar Melayu dan peri mustahaknya Kedudukan Istimewa Orang-orang Melayu dan kini dilanjutkan kepada Bumiputera, tanpa menafikan kepentingan sah kaum-kaum lain. Hadirin dan Hadirat Sekalian, 

13. Sebetulnya, didapati ramai generasi masa kini tidak mengetahui dan tidak pula diberitahu serta diperingatkan tentang wasiat tersebut. Bahawasanya, pada masa itu, betapa Raja-raja Melayu, para pemimpin terdahulu dengan penuh bijaksana telah sanggup berkorban dan melepaskan kuasa serta kemutlakan-kemutlakan tertentu demi melihat kesejahteraan, kedamaian dan keamanan di pertiwi bertuah ini. 

14. Ternyata, tiada siapa yang menduga bahawa pengorbanan suci dan murni pelbagai pihak yang bermula daripada istana, golongan pemimpin, parti-parti politik dan rakyat, terutamanya orang-orang Melayu dan Bumiputera, telah merimbunkan hasil yang subur seperti dinikmati kita pada hari ini, umpama madah dahulukala, ‘akar pengorbanan itu pahit sungguh, namun buahnya manis seluruh’. Hadirin dan Hadirat Sekalian, 

15. Berselang 57 tahun sesudah itu, inilah Malaysia yang kita huni bersama. Beta yakin atas berkat persefahaman dan tolak ansur tersebut itulah, bumi Malaysia masih berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera. Pucuk pangkalnya, semua ini tidak terkecap dengan semena-mena atau sendirinya tanpa usaha-usaha gigih yang dilakukan oleh semua golongan rakyat di negara ini. Hadirin dan Hadirat Sekalian, 

16. Secara peribadi dan rasminya, Beta bersyukur kerana telah berpeluang melihat perjalanan negara ini di bawah pentadbiran enam Perdana Menteri Malaysia sehingga kini. Sejak meraih kemerdekaan, Beta menyaksikan bagaimana Malaysia sedikit demi sedikit, langkah demi langkah, daripada sebuah negara pertanian, menjadi negara perindustrian moden dan kemudian berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi. Kini, menuju pula gerbang sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 

17. Jika dihimbau sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, kesemuanya telah berperanan menakhoda pentadbiran negara dengan jayanya. 

18. Sesungguhnya, negara Malaysia telah menempa begitu banyak kejayaan dan antara yang paling utama, kita telah berjaya keluar daripada kadar kemiskinan pada tahap lebih 60 peratus, kepada 1.7 peratus pada tahun 2012, dengan kemiskinan tegar kini hampir disifarkan kesemuanya. 

19. Sememangnya, ini semua adalah hasil berkat kegigihan usaha Kerajaan dan pentadbiran yang kompeten, didokong oleh rakyat jelata. 

20. Namun demikian, hadirin dan hadirat sekalian, sejak akhir-akhir ini, terdapat usaha-usaha berterusan untuk merosakkan perpaduan antara kaum, memburuk-burukkan imej Malaysia, yang mana jika tidak dibendung mampu menjejaskan pelaburan dan ekonomi negara. 

21. Selain itu, pada pandangan Beta, sikap berlebih-lebihan dalam berpolitik juga adalah tidak wajar dan perlu ditangani dengan baik. Apa yang penting, kita hendaklah beringat-ingat janganlah sampai ke tahap sanggup mempertikaikan tunjang-tunjang asas serta perkara-perkara pokok yang telah dipaterikan sejak dulu, sepertimana yang telah Beta nyatakan di awal titah tadi. 

22. Oleh sebab itu, Beta ingin menekankan dengan terangnya, supaya janganlah diganggu-gugat kerukunan yang sudah sedia ada. Hentikanlah cubaan-cubaan yang tidak bertanggungjawab tersebut. 

23. Sayogia itu, dengan tegas Beta menitahkan, janganlah sesiapa pun mudah berasa lalai dan lupa hakikat sejarah, tentang bagaimana asal-usul negara ini dibina, perjuangan-perjuangan terdahulu serta hal-hal teras yang telah diputus dan dimeteraikan. Hadirin dan Hadirat Sekalian, 

24. Sehubungan itu, dalam konteks semasa pula, Beta berasa sangat sukacita kerana kepimpinan kerajaan mempunyai peta wawasan dan kerangka pengurusan negara yang jelas dengan objektif-objektif bagi mencapai kemajuan. Beta maklum, pelbagai inisiatif dan program dirumus serta disusun dengan begitu rapi melalui Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang merangkumi enam program utama seperti dinyatakan oleh Mamanda Perdana Menteri tadi. 

25. Terbukti, berdasarkan petunjuk-petunjuk sahih yang diiktiraf oleh badan-badan di peringkat global, negara kita kini berada di landasan yang betul dalam menuju negara maju menjelang tahun 2020. Di sini, Beta ingin mengucapkan syabas dan sekalung tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib selaku Perdana Menteri dan barisan kepimpinan Negara di atas usaha gigih dan keberhasilan-keberhasilan yang capai. 

26. Sehubungan itu, Beta melihat kunjungan rasmi Barrack Obama, Presiden Amerika Syarikat, pada akhir bulan April lalu menjadi petanda yang baik tentang pengiktirafan kuasa besar dunia terhadap pencapaian-pencapaian Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang moden, progresif lagi dinamik berpandukan pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan. 

27. Beta tertarik dengan pernyataan perbandingan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Mamanda Perdana Menteri bersempena dengan lawatan tersebut bahawa, jika semasa lawatan Lyndon B. Johnson, Presiden Amerika Syarikat kira-kira 48 tahun dahulu, iaitu pada tahun 1966, kita sedang bergelut dengan rintangan komunisme dan pada masa sama sedang bertatih dengan revolusi pertanian demi kemajuan dan pembangunan Negara. Lalu, antara yang kita dapat tunjukkan hanyalah ladang-ladang dan pokok-pokok getah. 

28. Tapi kini Alhamdulillah, setelah 5 dekad berganti, kita telah berjaya mempamerkan sebuah Malaysia yang makmur dan maju, menapak jauh dengan kemunculan bangunan-bangunan pencakar langit yang melambung tinggi. 

29. Mutakhir pula, seperti dikhabarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebentar tadi, lawatan rasmi beliau ke negara salah sebuah kuasa ekonomi terbesar di dunia iaitu negara China, merupakan lawatan yang berjaya dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan erat dan persahabatan dua hala. Tahniah dan syabas. Hadirin dan Hadirat Sekalian, 

30. Beta berasa senang apabila mendengar bahawa Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP telah berjaya mencapai kejayaan melebihi sasaran keseluruhannya pada tahun 2013. Meskipun begitu, pada hemat Beta pihak Kerajaan tidak boleh berasa puas hati dan selesa kerana masih banyak lagi ruang dan ikhtiar yang perlu digembleng untuk mencapai kejayaan yang lebih hebat daripada itu. 

31. Dalam pada itu, berkait Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST yang hendak dilaksanakan, Beta sendiri ada mengambil maklum dan mendengar rungutan pelbagai pihak. Namun, Beta tahu dan yakin bahawa keluh kesah dan rungutan ini sedang ditangani oleh pihak Kerajaan dengan sewajarnya. 

32. Kepada sekalian Rakyat pula, usahlah mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang boleh menimbulkan keraguan kerana beta percaya sistem GST yang hendak diperkenalkan ini telah difikir dan dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pihak Kerajaan sebagai jalan yang terbaik untuk memperteguhkan ketahanan ekonomi negara bagi jangka masa panjang, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. 

33. Apa yang paling mustahak, Beta menaruh sepenuh keyakinan terhadap kebolehan dan kemampuan Kerajaan sedia ada di bawah kepemimpinan berwibawa Mamanda Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, bersama dengan Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, didokong oleh anggota pentadbiran Kerajaan dan kepimpinan negara secara keseluruhannya. Hadirin dan Hadirat Sekalian, 

34. Sebagai kesimpulan, sekali lagi Beta ingin menyeru bahawa, marilah kita semua menjiwai sejarah demi mengukuhkan jatidiri sebuah negara bangsa. Kerana atas tapak itulah negara ini didirikan, atas pedoman itulah kita mencapai kemakmuran dan atas petua itulah masa depan yang cerah akan terus dapat dicipta. Bersatulah hati, seiya dan sekata dengan semangat patriotisme serta kasih yang membara kepada tanah tumpah darah. 

35. Beringatlah semua,... di sini kita dilahirkan, di sini kita dibesarkan dan di sinilah kita mengecap nikmat kehidupan. Di sinilah bumi yang kita pijak, di sini jugalah langit yang kita junjung. 

36. Akhir titah, Beta dan Raja Permaisuri Agong menyeru kepada sekalian rakyat agar kita semua saling doa-mendoakan, supaya dicucur kerahmatan yang berpanjangan kepada negara ini. 

37. Moga-moga Allah Yang Maha Berkuasa Melimpahkan kurnia-Nya dan Memelihara Malaysia tercinta. Mestika saga tersembunyi di hulu, Diambil Putera membawa ke persada, Walau apapun yang akan berlaku, Raja dan rakyat berpisah tiada. 

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
Sekian, terima kasih.

sumber: bharian.com.my