Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Sunday, September 29, 2013

Kemanisan haji bagi yang ikhlas

MUSIM haji tiba lagi. Sebagaimana lazimnya, beribu-ribu lagi jemaah haji dari seluruh dunia mula berlepas dan bakal berkumpul di Tanah Haram Mekah bagi menunaikan salah satu daripada cabang Rukun Islam yang lima. Kewajipan menunaikan fardu haji tidak boleh dipandang remeh oleh semua muslimin dan muslimat yang cukup perbelanjaan, sihat tubuh badan dan aman perjalanan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia melaksanakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu kepada setiap orang yang mampu dan berdaya sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan haji itu) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekelian makhluk. (Al-Imran: 97) 

Rasulullah SAW pula melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan al-Baihaqi telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia tidak menunaikan haji (hingga mati tanpa ada keuzuran) maka tiada halangan baginya mati sebagai Yahudi atau Nasrani (dari segi seksaan-Nya) kerana Allah telah berfirman dalam kitabnya yang bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai ke sana." 

Berdasarkan intipati daripada hadis dan firman Allah di atas, maka jelas hukumnya adalah menjadi kesalahan dan dosa jika ada di kalangan umat Islam yang telah memenuhi segala syarat yang ditetapkan tetapi dengan sengaja enggan menunaikan ibadat haji sebagaimana yang dituntut agama. Justeru, ketiga-tiga Imam mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi sepakat mengatakan adalah wajib menyegerakan perlaksanaan ibadat haji bagi mereka yang telah mampu, jangan bertangguh-tangguh lagi kerana dikhuatiri akan meninggal dunia sebelum ibadat tersebut dapat ditunaikan. 

Bagaimanapun, Imam Syafie pula berpendapat, menunaikan haji tidak semestinya dengan keadaan yang segera. Ibadat haji yang dilaksanakan di Mekah pada satu tempoh waktu yang dihadkan (bulan haji) menemukan umat Islam daripada pelbagai tempat atau negeri, berlainan warna kulit, bahasa dan kebudayaan. Perhimpunan raksasa umat Islam sedunia ini adalah untuk memenuhi undangan sebagai tetamu Allah dalam menghidupkan suasana persaudaraan Islam sejati berserta tekad dan keimanan yang bulat dan teguh terhadap Allah SWT. 

Menerusi ibadat haji juga melahirkan tanggungjawab bersama bahawa manusia sebagai makhluk Allah dan khalifah-Nya di muka bumi ini, hendaklah bekerjasama antara satu bangsa dengan bangsa lainnya dalam menyusun perjuangan memanfaatkan hasil dari bumi Allah ini, selama mana mereka berada dalam neraca tauhid yang satu. Dengan demikian tercerminlah hubungan antara manusia dengan segala macam warna kulitnya, perbezaan bahasa, bentuk tubuh badan serta kelainan watak pembawaannya. 

Perbezaan ini kita lihat bukan untuk diterima pada keseluruhannya tetapi untuk diambil hikmatnya bahawa manusia itu sama sahaja, yang membezakan dalam darjat dan martabat adalah takwa kepada Allah SWT. Perhimpunan pada musim haji ini turut membuktikan bahawa umat Islam semuanya adalah sebagai tetamu Allah. Berpakaian ihram putih melambangkan kesamarataan, tidak lagi dinilai pangkat, kekayaan dan keturunan seseorang apabila ia datang menunaikan ibadat haji. 

Dengan berpakaian seragam putih menghapuskan segala perbezaan, lambang daripada ketiadaan perbezaan pangkat dan keturunan dalam pandangan Islam. Kecil besar, kaya miskin, berkulit putih atau hitam, semuanya adalah sama di sisi Allah yang sujud kepada-Nya. Di tempat ini mereka memuji, berdoa dan mengagungkan kebesaran Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya. Daripada sudut lain, mengunjungi Baitullah atau rumah Allah ini adalah untuk menyaksikan sendiri bagaimana kesan perjuangan para rasul terutama Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as dan Rasulullah SAW dalam menegakkan syariat Allah di muka bumi ini. 

Kedua-dua kota suci iaitu Mekah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah diharuskan kepada mereka yang menunaikan haji mempelajari dan menyaksikan sendiri kesan tempat di mana baginda Rasullullah SAW berjuang menegakkan Islam. Kedua-dua tempat inilah Nabi SAW memancarkan Islam yang menerangi seluruh dunia. Ibadat tawaf dan saie dilakukan dalam suasana khusyuk memberikan kegembiraan jelas terhadap keagungan dan kebesaran Allah. Bacaan-bacaan dilafazkan bagi menyucikan jiwa dan memberikan tafsiran bahawa muslimin hidup berdikari, selalu cergas dalam menempuh perjuangan hidup. 

Bahkan, wukuf di Arafah yang merupakan salah satu rukun haji yang mana jemaah haji akan ditempatkan di satu kawasan padang pasir dalam khemah yang sama bentuk di tengah-tengah sinaran cahaya matahari tanpa kelengkapan yang sempurna seperti yang terdapat di rumah-rumah mereka sendiri. Disifatkan oleh setengah ulama sebagai lambang perhimpunan manusia di akhirat kelak untuk menunggu pengadilan Allah atas segala perbuatan yang telah dilakukan di dunia. 

Oleh kerana itu, ibadat haji diharapkan dapat melahirkan rasa keinsafan dalam kalangan umat Islam bahawa mereka pasti akan kembali menemui Allah suatu hari kelak dengan tidak akan membawa bersama harta, pangkat, anak-pinak kecuali iman, Islam, amal kebajikan dan takwa. Para jemaah patut mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kesulitan dan ketidakselesaan semasa berada di Tanah Suci nanti dengan penuh sabar, tabah dan rasa syukur. Ini kerana, apa jua perkara yang dihadapi adalah ujian kepada keimanan dan kesabaran dalam menyempurnakan perintah Allah. 

Sebagai manusia kita hanya mampu berusaha, perlaksanaan adalah mengikut ketentuan Allah SWT. Hikmat dan tujuan ibadat haji ini tidak akan dapat dirasakan oleh para jemaah yang menunaikan haji tanpa niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Melaksanakan kewajipan haji yang difardukan bukanlah untuk mendapat panggilan sebagai haji atau hajah yang dijadikan kebanggaan duniawi dan juga bukan untuk bermegah-megah serta bertujuan untuk berniaga bagi mencari keuntungan material. Semoga bakal-bakal jemaah haji kita akan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna serta memenuhi syarat dan rukunnya untuk mencapai tujuan dan hikmat haji yang difardukan. 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130927/ba_03/Kemanisan-haji-bagi-yang-ikhlas#ixzz2gF6mMuTK © Utusan Melayu (M) Bhd

Mengiktiraf pengetahuan Islamik tamadun lain

Keterbukaan ajaran Islam menerima kepelbagaian yang positif daripada sumber luar tergambar dalam pengiktirafan agama terhadap apa juga pengetahuan yang memiliki ciri-ciri Islamik daripada tamadun lain sebagai sebahagian daripada aspek ketamadunannya. Sikap pengiktirafan itu kini diseragamkan pemahamannya menerusi istilah yang disebut Islamikasian. Istilah ini berasal daripada perkataan Islamik iaitu kata sifat bagi menunjukkan sesuatu pengetahuan, nilai, sikap, amalan dan fenomena yang mengandungi ciri-ciri keislaman atau sesuatu yang tidak bertentangan dengan prinsip agama Islam. 

Sesuatu yang bersifat Islamik boleh muncul daripada dua sumber. Pertama, ia terbit daripada sumber ketamadunan agama Islam secara langsung. Apabila seseorang menghasilkan idea dan menunjukkan perbuatan yang didasarkan kepada ajaran serta nilai keagamaan Islam atau sejajar dengan kerangka falsafah tauhid, maka idea dan amalan perbuatan itu secara langsung digelar sebagai Islamik. 

Begitu juga sebaliknya. Kedua, sesuatu yang bersifat Islamik juga boleh terbit daripada ketamadunan di luar peradaban keagamaan Islam. Kebiasaannya, ia bersandarkan pengalaman turun-temurun, berkembang atas asas keluhuran cita-cita dan fitrah kemanusiaan bagi menjayakan kesejahteraan kehidupan seluruh makhluk. 

Pengetahuan, amalan dan nilai yang terbit daripada asas dan dasar yang luhur ini serta sejajar pula dengan prinsip dan cita-cita keagamaan Islam, walaupun berpunca daripada sumber luar, ia boleh diiktiraf sebagai Islamik. Rasulullah terima amalan Islamik Pengiktirafan terhadap pengetahuan dan amal perbuatan Islamik yang terbit daripada sumber ketamadunan yang berada di luar lingkungan keagamaan Islam bukan sesuatu yang baru. 

Sikap penerimaan dan pengiktirafan ini ditunjukkan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda mengenang peristiwa pembabitannya dalam pertemuan pemuafakatan dengan ketua kabilah Makkah yang dicatat dalam teks sirah sebagai Hilf al-Fudul. Pertemuan itu diatur bagi mengukuhkan piagam etika perniagaan di bandar Makkah supaya jaminan keadilan terpelihara dan penganiayaan terhadap peniaga dan pedagang dapat ditegah. 

Amalan penganjuran perikatan bagi menegakkan keadilan dan menegah kezaliman terhadap peniaga serta pedagang perbuatan bersifat Islamik kerana ia memenuhi aspirasi dan cita-cita keagamaan Islam yang sentiasa menganjurkan perbuatan adil dan saksama antara manusia. Dalam satu riwayat, Nabi SAW pernah berkata, Baginda tidak akan menolak kehadirannya jika mendapat jemputan yang bertujuan sama pada masa depan. 

Perbuatan menerima dan mengiktiraf pertemuan yang dianjurkan antara ketua kabilah Makkah itu dikenali sebagai proses Islamicization dalam wacana kesarjanaan Islam hari ini. Pembangunan istilah ini berasaskan kesedaran dan kefahaman hakikat pengetahuan sebagai hikmah yang luhur berkembang di mana saja kerana ia adalah anugerah Allah yang dikurnia kepada sesiapa saja. 

Pengiktirafan sumber ilmu bersifat Islamik walaupun ia berpunca sumber ketamadunan luar penting dalam menyumbang ke arah memperkayakan khazanah pengetahuan Islam. Dalam kata lain, pengiktirafan ini secara langsung menunjukkan perkembangan pengetahuan Islam tidak lagi hanya terikat dalam kerangka atau sumber dalaman peradaban Islam, malah ia juga boleh disumbangkan menerusi pengalaman luhur kemanusiaan yang luas dan pelbagai.

Sejajar cita-cita pengetahuan Islam Dalam ucapan sambutan perasmian Kongres Pertama Integrasi dan Islamikasian Ilmu Kemanusiaan 2013 yang lalu, Prof Dr Mohd Kamal Hassan memberikan beberapa contoh lain pengetahuan manusia semasa yang berciri Islamik yang boleh diiktiraf sebagai pengetahuan Islam. Antaranya pengetahuan ilmu akupuntur yang menjadi amalan meluas masyarakat Cina, ilmu teknologi penjernihan air sungai yang oleh masyarakat Jepun, malah disiplin sivil masyarakat Jepun apabila berdepan malapetaka. 

Semua contoh pengetahuan, kaedah dan amalan yang berkembang luas dalam peradaban luar ini bersifat Islamik dan boleh diiktiraf sebagai aspek yang sejajar dengan cita-cita pengetahuan Islam. Pada perspektif Prof Kamal, contoh pengetahuan ini tidak perlu diislamkan lagi atau harus menjalani proses Islamisasi. Pengetahuan dan amalan itu sudah pun bercirikan Islam dan peranan Muslim ialah menerima dan mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada pengetahuan Islam. 

Menerusi penerimaan dan pengiktirafan ini, kefahaman dan peranan Islamisasi kini bersifat lebih khusus dan tepat. Islamisasi sebagai proses membabitkan agenda pengislaman pengetahuan manusia yang bersifat anti-Islam terutama yang dikembangkan oleh tamadun luar. Proses pengislaman harus terus dijalankan sarjana Muslim. Namun, kita harus memahami iaitu, tidak semua pengetahuan yang berkembang dalam pengalaman tamadun luar bersifat anti-Islam yang perlu diawasi dan diislamisasikan. 

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
sumber : bharian.com.my

Wednesday, September 25, 2013

Majlis Pelancaran Buku AIR MATA RAJA di Singapura

Teks SEJARAH MELAYU terbukti sekali lagi sebagai karya sastera Melayu yang agung! Lebih 400 tahun setelah dihasilkan pada 1612, teks klasik ini terus menjadi inspirasi kepada generasi kini, walaupun yang bukan dalam bidang kesusasteraan. Contohnya ialah novel AIR MATA RAJA yang ditulis oleh Shaharudin Haji Ali dan Norzailina Nordin dan diterbitkan oleh DBP, KL (2011). Prof Shaharudin yang terlatih dalam bidang undang-undang, sementara Puan Norzailina pula dalam bidang kulinari.Kedua-dua penulis ini telah mengambil masa lebih kurang 3 tahun untuk menyiapkan novel setebal 963 halaman, yang mengesan peristiwa sejarah yang dialami oleh Datuk Paduka Bendahara Raja Tun Seri Lanang ketika menulis Sejarah Melayu. Puan Norzalina juga telah mencipta resepi makanan diraja berdasarkan penelitian makanan yang disajikan untuk Raja Sang Nila Utama atau Sri Tri Buana dan Raja Ahmad bin Sultan Mahmud Shah (1488-1511) dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1597-1615) dan mencipta resepi. Buku ini mahu “menyuntik semangat … Ia lambang sebuah perjuangan yang menjanjikan sesuatu yang belum pasti.” (Kulit buku) dan telah dilancarkan oleh Encik Hawazi Daipi di Restoran Mamanda dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik petang tadi, 20 Sept 2013. Para hadirin teruja oleh sentuhan sejarah, menikmati enak santapan juadah diraja dalam suasana seni budaya. Tahniah kepada kedua-dua penulis dan Mamanda kerana menganjurkan majlis pelancaran buku yang indah dan bermakna ini di bangunan bersejarah.

~ Kata-kata Prof Madya Dr Hadijah Rahmat di Majlis Pelancaran Buku AIR MATA RAJA di Mamanda, Singapura.
~ Foto ehsan : http://johorkaki.blogspot.sg/2013/09/best-singapore-food-mamanda-restaurant.html

Monday, September 16, 2013

Selamat Hari Malaysia

Kumpulan Rajamenangis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'Selamat Menyambut Hari Malaysia' kepada seluruh rakyat Malaysia, negara yang kita kasihi ini. Semoga sambutan kali ini akan menjadi suatu lembaran baru untuk kita semua berusaha lebih kuat lagi demi kesejahteraan dan kemakmuran negara. Renungilah kembali sejarah yang telah meletakkan kita di mana kita berada sekarang...