ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Sunday, September 29, 2013

Mengiktiraf pengetahuan Islamik tamadun lain

Keterbukaan ajaran Islam menerima kepelbagaian yang positif daripada sumber luar tergambar dalam pengiktirafan agama terhadap apa juga pengetahuan yang memiliki ciri-ciri Islamik daripada tamadun lain sebagai sebahagian daripada aspek ketamadunannya. Sikap pengiktirafan itu kini diseragamkan pemahamannya menerusi istilah yang disebut Islamikasian. Istilah ini berasal daripada perkataan Islamik iaitu kata sifat bagi menunjukkan sesuatu pengetahuan, nilai, sikap, amalan dan fenomena yang mengandungi ciri-ciri keislaman atau sesuatu yang tidak bertentangan dengan prinsip agama Islam. 

Sesuatu yang bersifat Islamik boleh muncul daripada dua sumber. Pertama, ia terbit daripada sumber ketamadunan agama Islam secara langsung. Apabila seseorang menghasilkan idea dan menunjukkan perbuatan yang didasarkan kepada ajaran serta nilai keagamaan Islam atau sejajar dengan kerangka falsafah tauhid, maka idea dan amalan perbuatan itu secara langsung digelar sebagai Islamik. 

Begitu juga sebaliknya. Kedua, sesuatu yang bersifat Islamik juga boleh terbit daripada ketamadunan di luar peradaban keagamaan Islam. Kebiasaannya, ia bersandarkan pengalaman turun-temurun, berkembang atas asas keluhuran cita-cita dan fitrah kemanusiaan bagi menjayakan kesejahteraan kehidupan seluruh makhluk. 

Pengetahuan, amalan dan nilai yang terbit daripada asas dan dasar yang luhur ini serta sejajar pula dengan prinsip dan cita-cita keagamaan Islam, walaupun berpunca daripada sumber luar, ia boleh diiktiraf sebagai Islamik. Rasulullah terima amalan Islamik Pengiktirafan terhadap pengetahuan dan amal perbuatan Islamik yang terbit daripada sumber ketamadunan yang berada di luar lingkungan keagamaan Islam bukan sesuatu yang baru. 

Sikap penerimaan dan pengiktirafan ini ditunjukkan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda mengenang peristiwa pembabitannya dalam pertemuan pemuafakatan dengan ketua kabilah Makkah yang dicatat dalam teks sirah sebagai Hilf al-Fudul. Pertemuan itu diatur bagi mengukuhkan piagam etika perniagaan di bandar Makkah supaya jaminan keadilan terpelihara dan penganiayaan terhadap peniaga dan pedagang dapat ditegah. 

Amalan penganjuran perikatan bagi menegakkan keadilan dan menegah kezaliman terhadap peniaga serta pedagang perbuatan bersifat Islamik kerana ia memenuhi aspirasi dan cita-cita keagamaan Islam yang sentiasa menganjurkan perbuatan adil dan saksama antara manusia. Dalam satu riwayat, Nabi SAW pernah berkata, Baginda tidak akan menolak kehadirannya jika mendapat jemputan yang bertujuan sama pada masa depan. 

Perbuatan menerima dan mengiktiraf pertemuan yang dianjurkan antara ketua kabilah Makkah itu dikenali sebagai proses Islamicization dalam wacana kesarjanaan Islam hari ini. Pembangunan istilah ini berasaskan kesedaran dan kefahaman hakikat pengetahuan sebagai hikmah yang luhur berkembang di mana saja kerana ia adalah anugerah Allah yang dikurnia kepada sesiapa saja. 

Pengiktirafan sumber ilmu bersifat Islamik walaupun ia berpunca sumber ketamadunan luar penting dalam menyumbang ke arah memperkayakan khazanah pengetahuan Islam. Dalam kata lain, pengiktirafan ini secara langsung menunjukkan perkembangan pengetahuan Islam tidak lagi hanya terikat dalam kerangka atau sumber dalaman peradaban Islam, malah ia juga boleh disumbangkan menerusi pengalaman luhur kemanusiaan yang luas dan pelbagai.

Sejajar cita-cita pengetahuan Islam Dalam ucapan sambutan perasmian Kongres Pertama Integrasi dan Islamikasian Ilmu Kemanusiaan 2013 yang lalu, Prof Dr Mohd Kamal Hassan memberikan beberapa contoh lain pengetahuan manusia semasa yang berciri Islamik yang boleh diiktiraf sebagai pengetahuan Islam. Antaranya pengetahuan ilmu akupuntur yang menjadi amalan meluas masyarakat Cina, ilmu teknologi penjernihan air sungai yang oleh masyarakat Jepun, malah disiplin sivil masyarakat Jepun apabila berdepan malapetaka. 

Semua contoh pengetahuan, kaedah dan amalan yang berkembang luas dalam peradaban luar ini bersifat Islamik dan boleh diiktiraf sebagai aspek yang sejajar dengan cita-cita pengetahuan Islam. Pada perspektif Prof Kamal, contoh pengetahuan ini tidak perlu diislamkan lagi atau harus menjalani proses Islamisasi. Pengetahuan dan amalan itu sudah pun bercirikan Islam dan peranan Muslim ialah menerima dan mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada pengetahuan Islam. 

Menerusi penerimaan dan pengiktirafan ini, kefahaman dan peranan Islamisasi kini bersifat lebih khusus dan tepat. Islamisasi sebagai proses membabitkan agenda pengislaman pengetahuan manusia yang bersifat anti-Islam terutama yang dikembangkan oleh tamadun luar. Proses pengislaman harus terus dijalankan sarjana Muslim. Namun, kita harus memahami iaitu, tidak semua pengetahuan yang berkembang dalam pengalaman tamadun luar bersifat anti-Islam yang perlu diawasi dan diislamisasikan. 

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
sumber : bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment