ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Sunday, May 30, 2010

MBE belum muktamad

KUALA LUMPUR 29 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Model Baru Ekonomi (MBE) masih belum dimuktamadkan. Sebaliknya, kata Perdana Menteri, ia merupakan cadangan daripada pakar-pakar untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara supaya mampu bersaing di peringkat dunia.

Najib berkata, cadangan MBE bukan bermaksud kerajaan mengetepikan agenda Melayu dan bumiputera. Sebaliknya tegas beliau, kerajaan akan terus mendapatkan reaksi dan buah fikiran masyarakat Melayu bagi menjadikannya lebih dinamik demi memantapkan ekonomi negara.

”MBE adalah cadangan pemikir yang melihatnya daripada sudut global tetapi kita masih mendengar pandangan akar umbi mengenai perkara ini. Model ini bukan mengetepikan agenda Melayu tetapi mencari pendekatan yang mampu memberi hasil yang lebih besar.

”Orang Melayu jangan khuatir, saya akan meneliti semua pandangan yang diterima termasuk menerima Majlis Perundingan Melayu (MPM) sebagai rakan perundingan utama,” katanya. Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Perdana Menteri berharap, rakyat terutama orang Melayu tidak seharusnya berasa sangsi bahawa beliau tidak akan mendengar isi hati mereka dalam pelaksanaan MBE. ”Tidak mungkin saya sebagai Presiden UMNO tidak mendengar suara orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk Malaysia.

”Saya tidak akan khianati perjuangan dan semangat ayahanda Tun Abdul Razak yang memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) begitu juga semasa kita melaksanakan MBE,” katanya. Perdana Menteri seterusnya memberi jaminan akan memastikan orang Melayu turut mampu bersaing di peringkat dunia tanpa mengabaikan bangsa lain yang turut berperanan membantu kesejahteraan negara.

Tegas beliau, dalam memajukan negara, jangan pula mengambil sikap memaki hamun bangsa lain kerana sokongan mereka juga amat penting. ”Islam mengajar kita supaya berlaku adil bukan hanya kepada sesama sendiri (Islam) tetapi turut perlu berlaku adil kepada bangsa lain. UMNO mampu bertahan sehingga kini ialah kerana kita berlaku adil kepada bangsa lain,” katanya.

Sumber : pribumiperkasa.com

0 comments:

Post a Comment