ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, May 27, 2010

Kemelut Peguam Syariah: Apa nak jadi ni?

Peguam syarie tidak semestinya Islam

KEPUTUSAN Hakim Mohd. Zawawi Salleh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang membenarkan permohonan seorang peguam bukan Islam untuk menjadi peguam syarie bagi memulakan tindakan di Mahkamah Sivil sudah pastinya mengejutkan banyak pihak.

Ada dua isu yang berbangkit daripada penghakiman ini iaitu:

1) Kuasa Mahkamah Sivil untuk membicarakan kes-kes yang berkait terus dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan

2) Isu sama ada wajar atau tidak seorang yang bukan Islam dibenarkan menjadi peguam syarie.

Sementara kita memahami isi hati dan hujah-hujah para peguam syarie yang keberatan menerima peguam syarie bukan beragama Islam di Mahkamah Syariah, kita juga harus berlapang dada meneliti satu persatu senario kes-kes khususnya yang berkaitan dengan status agama individu di negara ini.

Kes-kes seperti M. Moorthy, Nyonya Tahir, Lina Joy, Dr. Jeygyaganesh dan A. Rayappan menuntut bidang kuasa Mahkamah Syariah diperkasakan agar isu-isu keluar dan masuk agama Islam dan hak-hak yang wujud daripadanya seperti hak jagaan anak boleh terus dibicarakan di Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sivil.

Rekod juga menunjukkan bahawa dalam kes M. Moorthy, ahli keluarga M. Moorthy yang bukan Islam telah pergi ke Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dan kedua-dua mahkamah kelihatan membuat kesimpulan bahawa mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan ahli keluarga yang bukan Islam ini.

Dalam keadaan sekarang, seseorang yang telah jelas ingin keluar daripada agama Islam akan tetap dibicarakan di Mahkamah Syariah sedangkan dalam waktu yang sama, individu yang ingin murtad itu tidak pula diberikan peluang untuk mendapatkan khidmat peguam syarie kerana dalam kebanyakan kes, sudah tentulah peguam syarie beragama Islam keberatan untuk membuat permohonan tersebut.

Begitulah juga yang berlaku dalam kes untuk menentusahkan keislaman seseorang apabila berlaku kematian yang juga dibicarakan di Mahkamah Syariah di mana ahli keluarga yang bukan Islam lazimnya tidak mungkin dapat menyampaikan pandangannya di Mahkamah Syariah memandangkan tidak terdapat peguam syarie yang bukan beragama Islam boleh menyuarakan hujah ahli keluarga yang bukan Islam itu, manakala jika kes dibawa ke Mahkamah Sivil pula, permohonan mereka untuk mendapatkan jenazah lazimnya ditolak akibat bantahan awal pihak Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri terhadap bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Kesemua permasalahan itu dijadikan alasan pihak-pihak yang bukan beragama Islam untuk merendahkan Mahkamah Syariah dan kita juga seolah-olah menghantar isyarat yang salah kepada warga bukan Islam bahawa Mahkamah Syariah tidak langsung memberikan keadilan kepada bukan Islam.

Percayalah, jika kita masih menutup rapat pintu Mahkamah Syariah kepada orang bukan Islam, maka kita akan membuka ruang yang lebih besar kepada orang bukan Islam untuk menuntut agar kes-kes yang selama ini dibicarakan di Mahkamah Syariah dipindahkan ke Mahkamah Sivil.

Sebaliknya, jika kita lebih bersikap terbuka iaitu menerima peguam syarie daripada kalangan bukan Islam, kita akan menutup banyak ruang kepada orang bukan Islam untuk memperlekeh Mahkamah Syariah kerana alasan orang bukan Islam tidak dapat melantik peguam mereka sendiri di Mahkamah Syariah sudah tidak lagi relevan ketika itu.

Inilah yang berlaku apabila Kabinet pada satu ketika dahulu membuat keputusan agar kes-kes hak jagaan anak dan anutan agama anak bagi mereka yang murtad dibicarakan di platform Mahkamah Sivil dengan mengguna pakai Akta Membaharui Undang-Undang 1976 dan bukannya Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di Mahkamah Syariah.

Untuk rekod, sebenarnya dalam kes-kes terdahulu, terdapat banyak contoh di mana Mahkamah Sivil telah melangkaui keputusan Mahkamah Syariah dan memberikan hak jagaan anak kepada pihak yang tidak memeluk Islam.

Terdapat juga perintah pembubaran perkahwinan oleh Mahkamah Syariah yang tidak diterima pakai oleh Mahkamah Sivil. Keputusan Kabinet itu seolah-olah memberikan pengesahan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini.

Prinsip asalnya adalah Syariah Islam diturunkan untuk mengawal umat manusia keseluruhannya sama ada Islam atau tidak. Tidak semua peguam syarie di negara kita pakar dalam bidang syariah ataupun mampu menguasai bahasa Arab sehingga boleh pula menterjemahkan isi kandungan al-Quran atau hadis.

Sebab itulah dalam kes-kes tertentu kita memerlukan saksi pakar untuk menguatkan hujah kita. Begitulah juga yang berlaku jika peguam syarie dilantik daripada kalangan orang bukan Islam. Mereka ini mempunyai pendidikan formal di dalam bidang syariah tetapi tidak beragama Islam. Mereka ini sebenarnya boleh menjadi perantara di antara seorang hakim yang beragama Islam dan pihak-pihak yang bertelingkah khususnya dalam kes-kes menentusahkan keislaman seseorang.

Apa yang perlu dibuat adalah kaedah dan garis panduan tentang kes-kes yang boleh dibawa oleh peguam syarie yang bukan Islam tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukannya.

Para pengamal undang-undang syariah termasuklah hakim syarie dan peguam syarie tidak lagi boleh duduk diam dengan menggunakan alasan-alasan yang jumud bagi menidakkan kemasukan peguam syarie daripada kalangan mereka yang bukan Islam.

Inilah peluang dan masanya untuk kita meningkatkan martabat institusi Mahkamah Syariah daripada terus dijadikan mahkamah kelas kedua.

Mereka harus bangkit tangkas menyediakan syarat-syarat dan garis panduan bagi penerimaan masuk peguam syarie bukan beragama Islam dan sebagai balasannya menuntut agar isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam seperti menentusahkan keislaman seseorang, hak jagaan anak, anutan agama anak terus berada dalam jurifikasi Mahkamah Syariah.

Oleh kerana pelbagai enakmen dan kaedah diguna pakai Mahkamah Syariah adalah dalam bidang kuasa Dewan Undangan Negeri, maka ada baiknya jika mana-mana peruntukan yang boleh memperjelaskan penerimaan masuk peguam syarie dan saksi yang bukan Islam ke Mahkamah Syariah kita dikanunkan dengan lebih teratur setakat mana ia tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, penerimaan masuk peguam syarie yang bukan beragama Islam dengan syarat dan kaedah tertentu seharusnya dialu-alukan selari dengan perkembangan dan pemerkasaan institusi Mahkamah Syariah.



(c) oleh Ikbal Salam, Peguambela & Peguamcara

0 comments:

Post a Comment