ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, May 6, 2010

Dari sudut PeguamNegara : Institusi Diraja Negeri Sembilan Darul Khusus

Institusi Diraja Negeri Sembilan Darul Khusus

Adat Perpatih amat sinonim dengan Negeri Sembilan Darul Khusus. Institusi monarki Negeri Sembilan ini berbeza dengan negeri-negeri lain khususnya dalam urusan pertabalan dan penggantian pewaris takhta. Bagi negeri yang mengamalkan Adat Temenggong sebagai contoh di Negeri Johor, kebiasaannya apabila berlaku kemangkatan, pengganti Sultan dilantik dari kalangan putera Almarhum yang sulung. Walaubagaimanapun, penggantian Yang di-Pertuan Besar dipilih berdasarkan perakuan Undang Yang Empat. Pertabalan takhta diraja berteraskan adat istiadat Perpatih yang telah dipraktikkan sejak pemasyhuran Yang di-Pertuan Pertama iaitu Raja Melewar. Kelangsungan pemakaian adat dan istiadat Perpatih dijamin dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.


Adat Perpatih merupakan adat turun temurun yang telah diwarisi oleh orang-orang Melayu di Negeri Sembilan. Ia berasal dari Minangkabau, Sumatera Indonesia. Sekitar abad ke-14, orang-orang Minangkabau telah datang ke Negeri Sembilan. Penghijrahan mereka akhirnya telah menjadikan penempatan orang-orang Melayu Minangkabau serta memperkenalkan sistem adat sebagai sistem sosial masyarakat di Negeri Sembilan dan sistem diraja.

Raja adalah simbol kedaulatan Negara. Jika di negeri-negeri lain perkataan Sultan digunakan bagi merujuk kepada Raja. Gelaran Yang di-Pertuan Besar pula digunakan di Negeri Sembilan bermaksud Yang di-Pertuankan atau YamTuan. Ia ada kaitan dengan bermulanya sejarah wujudnya Institusi Diraja di Negeri Sembilan. Mengimbas kembali sejarah bagaimana pemegang-pemegang adat ketika itu mencari seorang pemerintah yang boleh memimpin masyarakat orang-orang Melayu Minangkabau. Negeri Sembilan ketika itu di bawah pemerintahan Johor. Negeri Sembilan adalah salah satu wilayah yang diganggu oleh Daing kemboja dari Bugis. Disebabkan keadaan huru-hara Undang bermuafakat mengadap Sultan Johor meminta izin bagi mendapatkan seorang raja dari Minangkabau atau Pagar Ruyung. Sultan Johor memberi perkenan kerana tidak berupaya menghadapi ancaman musuh yang bertubi-tubi.

Raja Mahmud atau Raja Melewar putera kepada Sultan Abdul Jalil telah dititahkan oleh ayahandanya untuk ke Negeri Sembilan sebagai Yang di-Pertuan Negeri Sembilan Yang Pertama. Bagaikan suatu tradisi pemegang-pemegang adat menjemput seorang putera dari Pagar Ruyung apabila berlaku kemangkatan Yang di-Pertuan Besar. Ia berlaku pada tiga pemerintahan iaitu pemerintahan Raja Melewar (1773-1795), pemerintahan YamTuan Hitam (1795-1808) dan pemerintahan YamTuan Lenggang (1808-1824). Dengan pertabalan YamTuan Radin bermulalah era warisan takhta dari anak raja tempatan. Oleh yang demikian, pewaris takhta hanya dilantik dari jurai keturunan Raja Radin Ibni Raja Lenggang sebagaimana termaktub dalam Fasal 7(3), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 iaitu:-

“Tiada boleh dipilih sesiapa menjadi Yang di-Pertuan Besar bagi Negeri ini melainkan ianya seorang Melayu laki-laki yang sempurna akal dan memeluk agama Negeri ini dan anak dalam nikah yang berketurunan daripada Raja Radin Ibni Raja Lenggang mengikut pihak lelaki”

Selain kuasa autonomi Undang Yang Empat di luak masing-masing, kuasa tradisional Undang Yang Empat adalah mengenai penentuan Yang di-Pertuan Besar. Tatacara pemilihan pengganti Yang di-Pertuan Besar telah dinyatakan dalam Fasal 7(4) iaitu-

“apabila berlaku kemangkatan Yang di-Pertuan Besar dengan meninggalkan putera-puteranya, maka Undang Yang Empat hendaklah bersegera memilih gantinya di antara putera-putera itu”.

Senario ini dapat diperhatikan semasa kemangkatan Almarhum Tuanku Ja’afar pada 27 Disember 2009. Pemasyhuran pengganti takhta Yang di-Pertuan Negeri Sembilan telah melakar sejarah institusi diraja Negeri Sembilan, setelah hampir 42 tahun adat istiadat perpatih ini dapat diperlihatkan kembali kepada rakyat jelata. Kuasa Undang Yang Empat dilaksanakan dalam mesyuarat secara sulit mengenai penentuan bakal pengganti Yang di-Pertuan Besar. Calon pengganti terdiri daripada putera-putera Almarhum Tuanku Ja’afar iaitu Tuanku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tunku Ja’afar, Tuanku Muda Serting Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar. Walaubagaimana pun tiada seorang dari kalangan putera-putera ini dipilih sebagai pengganti.

Undang Yang Empat mempunyai kuasa untuk memilih waris lain sekiranya pada pendapat Undang Yang Empat tiada seorang pun putera-putera itu berkelayakan dan berkebolehan maka hendaklah dipilih keturunan kedua dan seterusnya seperti berikut-

yang pertama, kekanda atau adinda lelaki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

yang kedua, ayahanda saudara sebelah ayahanda Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

yang ketiga, cucunda laki-laki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

yang keempat, putera kekanda atau adinda laki-laki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat,

Berdasarkan kesepakatan, Undang Yang Empat telah memilih anakanda saudara Almarhum iaitu Tunku Mukhriz Tuanku Munawir satu-satunya putera dari enam adik-beradik daripada perkahwinan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-Sembilan iaitu Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Durah.

Sehubungan itu, pada 29 Disember 2009, Tuanku Mukhriz dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang Ke-Sebelas oleh Dato’ Undang Yang Empat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, selepas kemangkatan Tuanku Ja’afar. Sebenarnya ia bukanlah suatu yang luar biasa pernah berlaku. Lebih tepat lagi jika dikatakan sejarah berulang kembali. Kebenaran ini dapat dilihat daripada sejarah pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagaimana berikut-

  1. Raja Melewar (1773-1795)dijemput
  2. YamTuan Hitam (1795-1808)dijemput
  3. YamTuan Lenggang (1808-1824)dijemput
  4. YamTuan Radin (1831-1861) putera
  5. YamTuan Imam (1861-1869) adinda
  6. YamTuan Antah (1872-1887) putera Raja Radin
  7. Tuanku Muhammad (1887-1933) putera
  8. Tuanku Abdul Rahman (1933-1960)putera
  9. Tuanku Munawir (1960-1967) putera
  10. Tuanku Ja’afar (1967-2008) adinda
  11. Tuanku Mukhriz (2008- ) putera Tuanku Munawir

Semasa YamTuan Radin mangkat pada 1861, Almarhum meninggalkan tiga orang putera iaitu Tunku Besar Daud, Tunku Besar Lintau dan Tunku Antah, tetapi Undang yang Empat telah memilih adinda Almarhum YamTuan Imam.

Begitu juga apabila berlaku kemangkatan YamTuan Imam mangkat pada 1869, Almarhum meninggalkan putera iaitu Tunku Ahmad Tunggal, walaubagaimanapun Undang Yang Empat telah memilih Tuanku Antah iaitu anakanda saudara Almarhum.

Peristiwa yang sama berlaku semasa kemangkatan Almarhum Tuanku Munawir ayahanda Tuanku Mukhriz pada 1967. Tuanku Mukhriz merupakan anak waris pertama selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Munawir. Ketika itu, baginda berusia 18 tahun. Atas kerapatan Dato’ Undang Yang Empat, takhta berkenaan dipersetujui dan diperkenan ke atas Almarhum Tuanku Ja’afar. Begitulah pemilihan Yang di-Pertuan Besar dilakukan.

Ternyata pemilihan Yang di-Pertuan Besar berbeza dengan Sultan di negeri-negeri lain. Inilah yang dikatakan uniknya amalan Adat Perpatih ini. Walaubagaimana pun, tidak dapat disangkal Yang di-Pertuan Besar adalah simbol keadilan Negeri Sembilan Darul Khusus.


Sumber (c) Maria binti Jilani
Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri
Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri
Negeri Sembilan

1 comment:

  1. salam....

    syabas Yam Tuan undang yang ampat. Leluhur semua amanah dan luhur.

    dabong

    ReplyDelete