ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Saturday, June 12, 2010

Agenda bumiputera diteruskan Najib

Agenda pembangunan bumiputera diteruskan

KUALA LUMPUR 10 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan agenda pembangunan bumiputera akan terus diberi penekanan di bawah RMK-10 dengan pendekatan baru yang turut berasaskan merit.

Sebagai bukti komitmen kerajaan, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan majlis peringkat tertinggi diketuai oleh beliau sendiri yang akan berfungsi merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda tersebut.

Penubuhan majlis itu merupakan satu daripada lima inisiatif strategik yang dikenal pasti untuk meningkatkan penyertaan masyarakat bumiputera dalam ekonomi negara.

Empat inisiatif strategik lain adalah meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera melalui institusi berkaitan kerajaan; mempertingkat pegangan hartanah; menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta membangun guna tenaga profesional secara tuntas.

"Memandangkan persekitaran ekonomi global dan domestik lebih mencabar, tibalah masanya untuk kita melaksanakan transformasi di dalam agenda pembangunan bumiputera bagi mewujudkan penyertaan syarikat yang berdaya saing dan berdaya maju.

"Pendekatan baru ini akan berasaskan kepada empat prinsip utama iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, merit dan kelulusan," katanya ketika berucap membentangkan RMK-10 di Parlimen hari ini.

Bagi memperluas pemilikan dan kawalan ekuiti bumiputera, Najib berkata, program ekuiti swasta dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji akan diperbaharui, diperkukuh dan diperluaskan.

Institusi pelaburan ekuiti swasta bumiputera yang ditubuhkan kerajaan iaitu Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) pula, jelasnya akan membawa pendekatan baru yang lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit.

"Ekuinas akan melabur ke dalam syarikat sederhana besar yang berpotensi tinggi agar dapat disokong sehingga menjadi jaguh serta peneraju utama dalam sektor masing-masing," katanya.

Dalam usaha mempertingkatkan pemilikan hartanah bumiputera, Najib berkata, Pelaburan Hartanah Bhd. akan menubuhkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah bagi mengurangkan kekangan untuk melabur dalam sektor hartanah komersial dan industri serta mendapat faedah daripada peningkatan nilai hartanah tersebut.

Najib turut menyentuh mengenai Kampung Baru dengan jaminan aset bumiputera yang berharga di tengah-tengah pusat bandar raya itu akan dibangunkan tanpa menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pemegang asal tanah-tanah di kawasan itu.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan mengukuhkan agensi pembangunan keusahawanan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Nasional Bhd. (PUNB) dengan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

Beliau berkata, pakej secara bersepadu akan dilaksanakan bagi meningkat dan mengukuhkan daya tahan dan daya saing Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian (MPPB).

Pakej berkenaan termasuk menyediakan latihan keusahawanan, bantuan teknikal, pembiayaan, khidmat rundingan serta promosi dan pemasaran.

"Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan pembiayaan, sebanyak RM1.5 bilion atau separuh daripada tambahan dana Skim Jaminan Modal Kerja sebanyak RM3 bilion akan diperuntukkan kepada usahawan bumiputera," katanya.



Sumber: Utusan

0 comments:

Post a Comment