ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, May 23, 2013

Saksi Kehebatan Pemerintah Melayu


WALAUPUN peranan Kuala Sepetang sebagai sebuah pelabuhan hanya diiktiraf selepas pembinaan landasan kereta api oleh Inggeris, namun kampung nelayan itu sebenarnya mempunyai sejarah yang bermula jauh lebih awal.

Bahkan sebelum kemunculan bandar Taiping, kedudukan strategik yang dimiliki oleh Kuala Sepetang terlebih dahulu menjadikannya pelabuhan penting kepada pentadbiran Long Jaafar dan kemudian anaknya, Ngah Ibrahim di daerah Larut, Matang dan Selama itu.

Selain Kuala Sepetang, dua pelabuhan utama di bawah pentadbiran pembesar Melayu ketika itu adalah pelabuhan Melawati dan Teluk Kertang yang berfungsi sebagai hab perdagangan penting di pesisiran Selat Melaka.

Pada zaman Ngah Ibrahim, pelabuhan Kuala Sepetang juga pernah dijadikan sebagai pusat pungutan cukai terhadap kapal-kapal dagang yang masuk dan keluar ke daerah itu.

Pembantu Kurator Muzium Matang, Ahmad Sazali Sabu berkata, kehebatan pentadbiran Ngah Ibrahim pada masa itu menjadikan bandar Matang jauh lebih teratur berbanding Klian Pauh (nama lama Taiping).
"Kuala Sepetang yang berada di bawah jajahan Ngah Ibrahim pernah menjadi saksi kehebatan pentadbiran seorang pembesar dan orang kaya berpengaruh di Matang.

"Sebagai Orang Besar Empat Negeri Perak, Ngah Ibrahim dilantik sebagai wakil Sultan Abdullah Mohammad Shah untuk mentadbir jajahan daerah Larut, Matang dan Selama tanpa perlu merujuk kepada sultan," katanya ketika ditemui S2 di Kompleks Sejarah Matang, Taiping, Perak baru-baru ini.
Kompleks berusia lebih 170 tahun seluas 0.8 hektar itu merupakan tapak Kota Ngah Ibrahim yang kini berfungsi sebagai Muzium Sejarah Matang.

Ahmad Sazali berkata, semasa kedatangan Inggeris ke daerah itu, kuasa dan kekayaan yang dimiliki oleh Ngah Ibrahim dilihat sebagai penghalang kepada usaha Inggeris untuk mengambil alih pentadbiran Matang.
"Bayangkan kuasa dan kekayaan yang dimiliki Ngah Ibrahim. Kota ini bukan sahaja menjadi pejabat pentadbiran tetapi dahulunya lengkap dengan tembok bersenjata.

"Bahkan beliau juga menjadi pembesar Melayu pertama yang menggunakan khidmat pembantu tadbir berbangsa Inggeris iaitu Kapten Speedy yang digaji setiap bulan," katanya.
Ahmad Sazali berkata, hal itu menyebabkan Inggeris menggunakan pelbagai cara untuk menyingkirkan Ngah Ibrahim dari Perak.

Sebahagian daripada helah tersebut termasuk penghantaran Residen Inggeris Perak pertama, J.W.W Birch yang mentadbir Perak dengan penuh 'pencabulan' sehingga dibunuh oleh Datuk Maharaja Lela dan rakan-rakannya termasuk Datuk Sagor, Siputum dan Pandak Endut.
Setelah dituduh bersubahat dalam pembunuhan Birch, Ngah Ibrahim akhirnya dibuang negeri ke Pulau Seychelles.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment