ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Wednesday, September 19, 2012

Titah SPB Yang DiPertuan Agong


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini melahirkan hasrat untuk melihat lebih ramai rakyat di negara ini mempunyai kelulusan doktor falsafah (PhD).
Titah baginda, demi menjayakan perkara itu baginda menggesa agar semua pihak termasuk parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan masing-masing.
Katanya, kesedaran tentang kepentingan pendidikan sehingga ke tahap paling tinggi itu harus ditanam dalam jiwa rakyat pada usia kanak-kanak lagi.
"Berbanding sibuk berpolitik, lebih bermanfaat kepada negara jika parti politik dan NGO menjadikan ini sebagai agenda utama mereka.
"Untuk menjayakan hasrat ini, semua pihak perlu memainkan peranan. Kesedaran perlu diberikan di peringkat kanak-kanak betapa pendidikan boleh mengubah maju mundur, miskin hina seseorang," titah baginda yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-25 Sesi 1 (Khas), di sini.
Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat UUM kepada Pengerusi MK Land Holdings Bhd. (MK Land), Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar dan Profesor Emeritus kepada Prof. Datuk Dr. Abdul Kadir Din dan Prof. Dr. Ranjit Singh Darshan Singh.
Baginda turut menyampaikan 15 anugerah dan pingat kepada graduan cemerlang antaranya Pingat Emas Canselor, Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Institut Bank-Bank Malaysia dan Pingat Emas Bank Rakyat.
Baginda bertitah, kebanyakan mereka yang berkelulusan PhD kini berada di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.
"Data Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan bilangan kakitangan yang memiliki PhD di IPT awam dan swasta seramai 7,800 orang manakala Sarjana seramai 20,000 orang," titah baginda.
Titah baginda, kesedaran juga perlu disuntik kepada anak-anak muda betapa pentingnya menguasai bahasa Inggeris serta celik Sains dan Matematik.

0 comments:

Post a Comment