ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, September 6, 2012

Cenderahati Tengkolok


Tengkolok, destar atau tanjak merujuk kepada sejenis hiasan kepala yang dipakai golongan lelaki sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu.
Namun pada masa sekarang, tengkolok hanya dipakai pada majlis-majlis tertentu sahaja seperti majlis adat istiadat di istana dan majlis perkahwinan.
Yang terkini ia dijadikan pula sebagai cendera hati dan hiasan hingga menembusi pasaran gedung beli-belah terkemuka Harrod, di London menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, ia lebih dikenali sebagai destar atau tanjak.
Tengkolok diperbuat daripada kain songket panjang yang dilipat-lipat dan diikat dalam gaya (solek) yang tertentu.
Bagaimanapun ia boleh dibuat dalam pelbagai bentuk dengan jenis dan corak kain yang berbeza, mengikut taraf sosial si pemakainya.
Setiap solek tengkolok yang berbeza ini turut diberikan nama khas, misalnya tengkolok yang dipakai oleh Yang Di-Pertuan Agong pada majlis istiadat pertabalan sejak merdeka dikenali sebagai solek "Dendam Tak Sudah".
Manakala setiap Raja Melayu masing-masing memakai solek tengkolok yang khusus. Misalnya, Sultan Selangor memakai "Solek Balung Raja" berwarna serba kuning emas ketika menghadiri majlis pertabalan atau hari keputeraan baginda.
Kemahiran dan kreativiti tukang lipat telah memberikan variasi kepada reka bentuk tengkolok yang terdiri daripada Kacang Dua Helai Daun, Dendam Tak Sudah, Sarang Kerengga dan Solok Timba.
Setiap lipatan dan takuk yang terdapat di tengkolok juga mempunyai falsafahnya yang tersendiri.
Menyedari potensi tengkolok ini, telah mencetuskan idea kepada seorang bekas pengurus ladang Mohd Ghazali Ibrahim, 70, dan isteri Norlaily Abdullah, 62, dari Kampung Senama Hilir, Rembau untuk menjadikan tengkolok sebagai barang hiasan atau cendera hati.
Mohd Ghazali berkata idea menjadikannya barang hiasan dan cendera hati bermula sejak 1997 dan mulai saat itu mereka melakukan pelbagai perubahan untuk menghasilkan tengkolok yang bermutu dan menarik. "Kami mengusahakan perniagaan ini secara kecil-kecilan di rumah pada tahun 1997 sehingga kini telah berkembang dan masih lagi bertahan.
"Kami menjalankan penyelidikan selama setahun dan berjaya menghasilkan 10 tengkolok diraja. Dari situ kami perkenalkan hasil kerja tangan kami di samping mencari pasaran.
"Dari situ, kami mula bertapak dan menubuhkan syarikat Khidmat Tani Minang Sdn Bhd untuk menerima tempahan yang banyak dari dari jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta dan orang perseorangan," katanya.
"Syarikat kami menerokai bidang ini dengan mengeluarkan tengkolok khusus untuk dijadikan cendera hati atau hiasan dalam peti kaca yang berukuran kecil dan besar dengan harga antara RM70 hingga RM900 setiap satu," kata Mohd Ghazali yang juga pengarah urusan Khidmat Tani Minang Sdn Bhd.
Selain itu, syarikat berkenaan mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Tempahan besar yang pernah diterima syarikat adalah daripada syarikat penerbangan MAS beberapa tahun lepas.
"Masa itu kami terpaksa menambah pekerja untuk memenuhi tempahan dan diserahkan pada masa yang ditetapkan. Cendera hati tengkolok diraja yang dihasilkan syarikat kami turut mendapat tempat di hati pemimpin negara luar serta pernah dihadiahkan kepada 25 pemimpin negara luar ketika persidangan APEC di negara ini tidak lama dulu," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment