ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Wednesday, December 24, 2008

Kewujudan Negeri Perlis

Pendudukan Siam Ke Atas Kedah

Setelah kemangkatan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah, Kedah mula dibayangi sengketa yang dicetuskan oleh pihak Siam. Pihak Siam telah menyerang dan menduduki Negeri Kedah dan jajahan-jajahannya pada tahun 1821. Walau bagaimanapun, kerajaan Siam menghadapi kesukaran memerintah memandangkan sikap rakyat di negeri ini yang masih kukuh berpegang teguh kepada institusi kesultanan Negeri Kedah.


Tindakan kekejaman oleh Siam ke atas penduduk di sini seperti menyiksa, membakar rumah dan bahan makanan serta merampas harta benda akhirnya mencetuskan satu tindakan serangan balas secara besar-besaran yang didokongi oleh angkatan sukarelawan yang hadir dari seluruh pelusuk negeri-negeri Islam di nusantara.


Serangan ini diketuai oleh Tengku Muhammad Akib, Datuk Wan Mohamad Ali dan seorang ulama terkenal dari tanah Palembang, Assyahid Syeikh Abdul Samad Palembang pada tahun 1838. Angkatan tentera ini telah mara hingga ke Pattani, Hat Yai dan Singgora, tetapi akhirnya diundurkan oleh Siam dengan bantuan Inggeris yang bersikap talam dua muka ketika itu.


Sikap Kompromi Siam - Kewujudan Negeri Perlis

Walau bagaimanapun, perkembangan ini memaksa Siam memikirkan tindakan berkompromi dalam hal pentadbiran Negeri Kedah dan jajahan-jajahannya. Raja Besar Siam, Raja Nag Klau (Rama III), akhirnya memanggil pulang gabenor Siam di Alor Ganu, Kedah yang dilantik menguasi Negeri Kedah dan menggantikan kuasa mentadbir Negeri Kedah serta jajahannya kepada pembesar-pembesar tempatan pada penghujung tahun 1839.


Perlantikan ini dilaksanakan setelah Negeri Kedah dan jajahannya dibahagikan kepada empat buah negeri berasingan iaitu Perlis, Setul, Kubang Pasu dan Kedah. Keempat-empat negeri ini diletakkan di bawah pentadbiran gabenor masing-masing.


Bagi Negeri Perlis, Raja Long Krok (Paduka Seri Maharaja Lela) dilantik sebagai gabenor, manakala Syed Hussin Jamalullail sebagai timbalan beliau. Detik ini merupakan detik bersejarah bagi Negeri Perlis yang telah mendapat pengiktirafan dari status jajahan kepada status sebuah negeri. Pada saat ini, Perlis mendapat identiti sebagai sebuah unit politik yang tersendiri, mempunyai gabenor dan diberi mandat mentadbir negeri sendiri oleh pihak Siam.


Garis masa Kesultanan Kedah

1136 : Sultan Al-Mudzafar Shah I

1179 : Sultan Mu’adzam Shah

1202 : Sultan Muhammad Shah

1236 : Sultan Muzzil Shah

1280 : Sultan Mahmud Shah

1321 : Sultan Ibrahim Shah

1373 : Sultan Sulaiman Shah I

1423 : Sultan Ataullah Muhammad Shah I

1473 : Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah I

1506 : Sultan Mahmud Shah II

1547 : Sultan Mudzaffar Shah II

1602 : Sultan Sulaiman Shah II

1626 : Sultan Rijaluddin Muhammad Shah

1652 : Sultan Muhyiddin Mansor Shah

1662 : Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I

1688 : Sultan Ataullah Muhammad Shah II

1698 : Sultan Abdullah Mu’adzam Shah I

1706 : Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I

1710 : Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II

1778 : Sultan Abdullah Mukarram Shah II

1797 : Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II

1804 : Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II

1845 : Sultan Zainal Rashid Mu’adzam Shah I

1854 : Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah II

1879 : Sultan Zainal Rashid Mu’adzam Shah I

1882 : Sultan Abdul Hamid Halim Shah

1943 : Sultan Badlishah

1953 : Sultan Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah

0 comments:

Post a Comment