ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Friday, July 5, 2013

Hak Sultan Tentukan MB

Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Terengganu ekoran kematian wakil rakyat menjadi topik perbincangan politik dalam masa lebih kurang seminggu ini. 

Pelbagai perkara diselongkar mengenai kemungkinan kesan daripada pilihan raya kecil yang bakal diadakan. Dalam ruangan ini saya cuba berkongsi pandangan mengenai beberapa persoalan perundangan yang dikemukakan kepada saya mengenai isu terbabit. 

Setelah mendapat khabar kekosongan kerusi itu, persoalan pertama yang saya terima ialah adakah pilihan raya kecil akan diadakan kerana kekosongan itu berlaku dalam masa 60 hari daripada tarikh pilihan raya. Hal ini menjadi persoalan kerana dibimbangi lantikan pengganti daripada parti politik yang sama akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Hal ini terjawab setelah SPR membuat pengumuman mengenai pilihan raya kecil yang akan diadakan. Perkara hangat lain yang menjadi persoalan ialah kemungkinan kerusi yang disandang Barisan Nasional (BN) itu diambil alih oleh parti lawan. Disebabkan BN mempunyai majoriti mudah iaitu 17:15, maka ada yang menyebut kemungkinan Dewan tergantung. 

Secara ringkas Dewan tergantung ialah keadaan di mana kedua-dua pihak mempunyai bilangan kerusi yang sama, dalam konteks kemungkinan di Terengganu ialah 16 kerusi bagi BN dan 16 kerusi bagi pembangkang. Kelebihan kerusi ganjil Pada masa hadapan, bagi mengelak daripada berlaku Dewan tergantung itu, ada yang mencadangkan SPR menjadikan bilangan kawasan pilihan raya pada angka ganjil. 

Mungkin cadangan ini perlu diambil perhatian sewajarnya oleh SPR dengan mengambil kira kedudukan peraturan persempadanan pilihan raya yang sedang dilakukan. Sebenarnya ketika ini ada sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai bilangan kerusi berangka genap. Negeri berkenaan ialah Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Sabah, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. 

Berbalik kepada keadaan Dewan tergantung, kita perlu faham proses lantikan menteri besar boleh berlaku seperti biasa kerana kriteria untuk dilantik sebagai menteri besar ialah seseorang ahli Dewan itu mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan, bukan seseorang daripada parti majoriti. Perlembagaan Negeri Terengganu, seperti perlembagaan negeri lain dan juga Perlembagaan Persekutuan, tidak meletakkan syarat bilangan kerusi majoriti, tetapi meletak syarat kepercayaan ahli Dewan untuk kriteria menjadi menteri besar atau perdana menteri. 

Oleh itu, keadaan Dewan tergantung secara perundangannya tidak menghalang Sultan Terengganu daripada melantik menteri besar atau mengekalkan menteri besar sedia ada dengan mandat pilihan raya umum lalu. Sultan Terengganu berhak melantik seseorang yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan. Pelantikan menteri besar ialah tertakluk kepada kuasa budi bicara baginda (Perkara 14 Perlembagaan Negeri Terengganu). Cara pelaksanaan kuasa budi bicara Sultan Terengganu dalam menentukan hemat dan kepercayaan yang dimaksudkan Perkara 14 itu tidak dinyatakan secara harfiah dalam Perlembagaan. 

Oleh itu, Sultan Terengganu boleh melaksanakannya dengan kebijaksanaan baginda. Buat keputusan terbaik Rakyat Terengganu hendaklah sepenuhnya percaya bahawa Sultan Terengganu akan membuat keputusan terbaik untuk negeri dan kerajaan negeri Terengganu walaupun baginda bertakhta di luar politik. Terengganu adalah negeri baginda. Maka sudah tentu kestabilan dan kemakmuran negeri menjadi perkara utama pemerintahan baginda. Selain itu, kuasa ini dimaktubkan dengan jelas Perlembagaan Negeri Terengganu. 

Walau apapun disebabkan amalan dan budaya politik negara kita yang rata-ratanya mementingkan bilangan kerusi, keadaan Dewan tergantung seperti ini menjadi topik hangat. Mungkin rakyat Terengganu dan warga Malaysia keseluruhannya perlu merealisasikan fahaman bahawa demokrasi dan proses pilihan raya ini bukan semata-mata kerana kuasa. Demokrasi dan pilihan raya bertujuan memakmurkan negeri atau negara. Bukan bertujuan memecahbelahkan rakyatnya atau membazirkan masa, tenaga dan wang rakyat. 

Mungkin budaya dan amalan bergantung kepada bilangan kerusi majoriti boleh diteruskan dalam keadaan majoriti besar. Ketetapan minda ahli politik dan rakyat keseluruhannya perlu berganjak daripada budaya ini jika berlaku Dewan tergantung atau pun dalam keadaan tertentu majoriti mudah. Kita hendaklah lebih memahami semangat Perlembagaan. Walauapapun keputusan pilihan raya kecil nanti, kita doakan kesejahteraan Terengganu dan juga Malaysia serta umat Melayu keseluruhannya.

sumber: bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment