ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Sunday, April 14, 2013

Sumpah Alam Melayu


Alkisah sebermula maka tersebutlah akan beberapa orang Raja-Raja Melayu di sembilan negeri yang sesungguhnya telah gah disebut orang semenjak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dalam perkiraan lima abad yang lalu. Adapun Baginda semua sesungguhnya adalah yang bistari lagi adil, yang mulia lagi agong kedudukannya, serta tinggi ilmunya, dan tiadalah dapat dimaksudkan dengan lain-lain yang serupa; pemerintah bumi tercinta Tanah Melayu dan jajahan takluk sekaliannya, maka tersuratlah akan negeri-negeri Tanah Melayu itu mendapat rahmat Allah SWT dan kesetiaan rakyat jelata.
Ada pun bernaunglah semuanya di bawah panji-panji Baginda, maka ternyatalah dan masyhurlah Tanah Melayu yang bertuah itu, sayugia bersatu padulah rakyat berbilang bangsa di negeri-negeri itu seadanya, maka terjaminlah Raja Melayu sebagai ketua agama Islam, agama suci Allah SWT. Baginda jualah ketua segala adat resam dan budaya bangsa Melayu di Tanah Melayu. Maka Raja-Raja Melayu pun terlalu kurnia akan seluruh petuanan rakyat dan terjaminlah sungguh jajahannya dengan hak sejagat di bawah Perlembagaan Negeri, dan tegaklah keluhuran undang-undang sepertinya payung keadilan Baginda, lalu makin meriah dan gahlah Tanah Melayu dengan segala peri dan kehebatannya. Baginda sesungguhnya yang berdaulat, disuluh dengan segala kebesaran dan kemuliaan adatnya, maka sentiasa kuninglah pentadbiran ke bawah Duli-Duli Tuanku Raja-Raja Melayu dan terpancarlah cahaya negeri-negeri di Tanah Melayu ke merata negara, baik jauh mahu pun dekat.
Maka begitu gembiralah rakyat jelata mengharumkan lagi nama Baginda dan bergemalah di segenap Masjid dan Surau dengan doa buat Baginda. Hatta selagi bulan dan bintang mengelilingi bumi dan langit, di situlah patek sekalian menjunjung kasih.  Ke bawah Duli-duli Tuanku, ampunkan patek, sesungguhnya rela patek pertarungkan jiwa dan raga, agar titah Tuanku patek laksanakan dengan segala keluhuran hati seorang Melayu seadanya. Tiadalah makna taat setia sepertinya taat setia Melayu kepada Rajanya.

Patik yang ikhlas,
Kumpulan Rajamenangis

0 comments:

Post a Comment