ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Sunday, April 25, 2010

Kuala Perlis : Bandar Maritim

KANGAR 25 April – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencadangkan agar Kuala Perlis dibangunkan sebagai sebuah bandar maritim kerana kedudukannya strategik. Baginda bertitah Kuala Perlis kini menjadi bandar perhubungan utama pengangkutan laut yang menghubungkan tanah besar dengan Pulau Langkawi dan wilayah Satun di selatan Thailand.

Kuala Perlis juga mempunyai infrastruktur yang diperlukan termasuk terminal feri dan pusat pendaratan ikan terbesar di negara ini, titah baginda semasa merasmikan program Jiwa Murni Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai di sini hari ini.

Baginda bertitah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk membina jeti perikanan baru yang terbesar di Malaysia di Kuala Perlis.

Kuala Perlis juga berpotensi dalam industri pembinaan kapal bagi pasaran tempatan dan antarabangsa dengan adanya Perlis Marine Engineering Sdn. Bhd., yang merupakan anak syarikat Perbadanan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang beroperasi di pinggir Sungai Perlis, titah baginda.

Sementara itu, Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd. Amdan Kurish dalam ucapannya berkata, agensi itu akan membina sebuah pangkalan di Kuala Perlis bagi memperkukuhkan operasi penguatkuasaannya. Langkah itu, katanya sejajar dengan tanggungjawab APMM sebagai agensi tunggal bagi penguatkuasaan undang-undang di laut menjelang Ogos tahun depan. – Bernama

Sumber : www.utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment