ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, September 3, 2009

Istana Negara

Istana Negara adalah tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Istana ini terletak di Jalan Istana bertentangan dengan Jalan Syed Putra, suatu kawasan seluas 28 ekar atau 11.34 hektar di tepi bukit Petaling di Kuala Lumpur yang menghadap Sungai Klang.

Bangunan ini pada asalnya sebuah banglo yang telah dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000 dan dahulunya adalah rumah kediaman seorang jutawan dari China, iaitu Encik Chan Wing. Pada zaman pemerintahan Jepun dari tahun 1942-1945, bangunan ini telah digunakan sebagai Mes Pegawai Tentera Jepun.

Selepas Jepun menyerah kalah, bangunan ini telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor dan selepas diubahsuai ia dijadikan sebagai Istana Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor sehingga tahun 1957.

Bangunan yang indah itu kemudiannya dibeli oleh kerajaan persekutuan dengan harga RM1.4 juta pada 1957 dan mengubahsuai pada harga RM328,000 untuk menjadikannya istana yang sesuai untuk dijadikan kediaman Raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.

Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad merupakan pemerintah yang pertama mendiami Istana Negara iaitu bangunan putih yang mempunyai dua kubah emas beberapa minggu sebelum kemerdekaan diisytiharkan.

Istana tersebut kemudiannya direka semula oleh arkitek Jabatan Kerja Raya E.K. Dinsdale sementara pengubahsuaian dilakukan oleh kontraktor tempatan yang mengambil masa empat bulan dan tidak mempengaruhi struktur utama bangunan. Pengubahsuaian itu menambahkan bilangan bilik daripada 13 kepada 20, dengan dapur bagi 100 orang, balai mengadap, empat bilik tetamu, dua balai kemasukan dan satu dewan santapan.

0 comments:

Post a Comment