Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Monday, July 9, 2012

SULALATUS SALATIN DI BSVN

Jangan ketinggalan menyaksikan hasil lukisan Ismail Embong di Balai Seni Visual Negara yang terletak di Jalan Tun Abdul Razak (bersebelahan Istana Negara).

Pameran berlangsung sehingga 15 Julai 2012. Masuk adalah percuma. BSVN dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.


Usah lepaskan peluang keemasan ini kerana peristiwa yang berlaku di dalam Sulalatus Salatin lebih nyata dari perspektif lukisan Ismail Embong. Juga terdapat lukisan peristiwa perjuangan di seluruh Tanah Melayu yang menjadi sejarah seperti Pembunuhan Birch, serangan Tok Janggut, Datuk Bahaman, Bukit Kepong dan lain-lain.

Saturday, July 7, 2012

Sultan Kelantan kesal cubaan eksploitasi

KUALA LUMPUR - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V melahirkan kekesalan dengan percubaan sesetengah pihak mengeksploitasi perbezaan agama kerana tindakan itu akan memberi kesan buruk kepada rakyat di negara ini.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah, sikap pihak berkenaan boleh mencetus pergaduhan agama dan memusnah keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia pada masa ini.
Baginda bertitah, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan bukan sahaja agama yang dianuti berbeza malah bahasa, budaya serta taraf ekonomi juga tidak sama.
"Satu hakikat yang perlu diterima bahawa kedudukan Islam dimaktub secara rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh negeri-negeri, diberi status tertinggi di samping kepercayaan lain diberi kebebasan untuk diamal oleh penganut masing-masing," titah baginda semasa merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.
Majlis bertema "Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah (Sederhana)" yang sehingga 13 Julai ini menyaksikan penyertaan 69 qari dan qariah dari 44 negara.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sultan Muhammad V turut melahirkan kekesalan terhadap perpecahan yang melanda umat Islam.
"Apakah tragedi yang bertimpa-timpa itu masih belum cukup pahit untuk umat Islam mengambil iktibar? Kecelakaan dan penderitaan yang bagaimana lagi dapat memberi keinsafan kepada umat Islam?
"Seluruh umat Islam yang benar-benar cintakan al-Quran harus berasa bertanggungjawab memelihara perpaduan umat, dan mereka seharusnya memanfaatkan potensi besar yang dimiliki dengan menggembleng perpaduan umat, bukan memperluaskan jurang perbalahan dan perpecahan.
"Apa sahaja perbuatan atau tindakan yang boleh mencemarkan wajah dan imej Islam harus mendapat reaksi daripada kita semua. Kita harus membersihkan imej umat Islam yang sengaja dikotori oleh musuh-musuh Islam dengan gambaran seram sebagai pengganas atau pelampau," titah baginda.
Sehubungan itu, baginda berharap umat Islam di negara ini dapat memahami dan menghayati konsep wasatiyyah sebaik-baiknya tanpa terpengaruh dengan budaya songsang yang menyimpang daripada ajaran al-Quran.
Sultan Kelantan turut memuji tindakan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib kerana berjaya meneruskan majlis tilawah al-Quran sebagai acara tahunan rasmi negara.
"Pendekatan wasatiyyah, sederhana, adil memang pendekatan yang menjadi ajaran Islam, yang menjadi keindahan Islam. Lantaran itu kita perlu mempertahankannya dan terus memperkembangkannya dalam arus perdana," titah baginda.
Terdahulu, Jamil Khir yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa tilawah, berkata kerajaan sentiasa mengamalkan konsep wasatiyyah sebagai pemangkin kepada gagasan 1Malaysia dalam memastikan keberkesanan program transformasi negara.
"Konsep ini merupakan satu pendekatan berterusan dalam dasar-dasar kerajaan yang sedia ada khususnya Program Transformasi Kerajaan seperti Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Luar Bandar dan tidak terkecuali Program Transformasi di agensi agama," katanya.
Beliau berkata, kepimpinan umat Islam di Malaysia harus memperkukuh dimensi sebagai sebuah masyarakat yang majmuk daripada segi penampilan agar kepimpinan teras terus wujud dan menjadi sumber teladan serta ikutan. - Bernama

GAPENA tidak setuju

GEORGETOWN: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) tidak bersetuju dengan tuntutan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), yang mahu bahasa Mandarin menjadi bahasa pengantar utama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di seluruh negara. Ketua Satu GAPENA, Profesor Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar, berkata tuntutan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara ini "Bahasa lain tidak harus dijadikan modal untuk mencabar bahasa kebangsaan negara ini," katanya ketika berucap pada perjumpaan siri wacana GAPENA di Dewan Sekolah Menengah (Perempuan) St George hari ini. Beliau berkata GAPENA akan menghantar memorandum akhir Julai ini kepada kerajaan Persekutuan agar mengabaikan tuntutan jawatankuasa itu. "Kami menggesa semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong kami dan menyertai kami dalam memperjuang kedudukan bahasa Malaysia," katanya. Antara kandungan memorandum itu ialah menuntut agar diadakan semula silibus lisan bagi memastikan semua rakyat fasih bertutur bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka. Abdul Latiff juga mengingatkan masyarakat agar menghormati bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, dan bukan menganggap ia sebagai bahasa yang menunjukkan perbezaan kaum. - BERNAMA

Minuman paling lazat dari syurga


Tafsir al-Quran & Asbabun Nuzul
SETELAH Allah SWT menyebut perihal Dia menunjukkan jalan kebaikan dan jalan keburukan kepada manusia menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhi) (al-Balad :10). Berikutnya Allah SWT menambahkan penjelasan bahawa manusia itu terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang menerima hidayah Allah SWT dan bersyukur serta golongan yang disesatkan Allah SWT dan kufur.
Kemudian, Dia mengakhiri perkara tersebut dengan apa yang disediakan untuk kedua-dua golongan itu pada hari kiamat nanti.
Allah SWT menyediakan kepada golongan pertama iaitu syurga-syurga dan kenikmatan, sehingga mereka meminum khamr - minuman yang paling lazat yang dicampurkan dengan air segar dan sejuk serta harum baunya. Apabila mereka inginkannya, maka ia datang kepada mereka di bilik-bilik.
Mereka juga memakai kain sutera dan duduk di atas pelamin-pelamin tanpa merasa panas dan sejuk. Kemudian Allah SWT menyebut pula sesuatu yang disediakan di dunia bagi mendapatkan pahala agung ini. Lalu dijelaskan bahawa mereka itu memberi makan kepada orang fakir, malang, yatim dan hamba sahaya. Mereka menunaikan apa yang diwajibkan oleh Tuhan mereka dan takut terhadap azab Allah SWT pada hari kiamat.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala. (al-Insaan: 4)
Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT menyediakan bagi orang yang mengkufuri nikmat-Nya dan menyalahi perintah-Nya, dengan rantai-rantai ke dalam neraka Jahim."
Manakala belenggu-belenggu dengan tangan-tangan mereka diikatkan ke leher-leher mereka sebagaimana yang dilakukan terhadap orang yang berdosa di dunia dan mereka dibakar dengan api neraka.
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang apa yang telah Dia sediakan bagi semua orang kafir daripada makhluk-Nya, sama ada berbentuk rantai, belenggu dan api yang menyala lagi membara di neraka Jahanam."
Sayid Qutub berkata: "Iaitu belenggu-belenggu untuk mengikat kaki dan memasungkan tangan serta api neraka yang menyala-nyala untuk dicampakkan mereka ke dalamnya dengan kaki tangan yang terbelenggu."
Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan minum daripada gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kapur. (iaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya. (al-Insaan: 5-6)
Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya orang yang berbakti kepada Allah SWT dengan mengerjakan ketaatan serta menunaikan segala perkara yang diwajibkan oleh-Nya dan meninggalkan perbuatan yang dilarang seperti meminum arak yang dicampur dengan minuman yang lain, seperti kapur yang berbau harum, sejuk lagi putih."
Campurannya berasal daripada sumber yang daripadanya semua hamba Allah SWT yang bertakwa meminumnya di bilik-bilik yang terdapat di dalam syurga. Air itu didatangkan kepada mereka dengan mudah ke mana sahaja mereka suka dan dimanfaatkan menurut kehendak mereka serta ia mengikut mereka ke mana-mana sahaja tempat yang dikehendaki oleh mereka.
Al-Mujahid berkata: "Mereka membimbingnya ke mana sahaja mereka suka dan air itu mengikut ke mana sahaja mereka pergi."
Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, air kapur yang telah bercampur dan disediakan bagi orang-orang yang melakukan kebaikan ini adalah mata air yang biasa diminum oleh hamba-hamba Allah SWT yang mendekatkan diri, murni tanpa campuran, mereka minum sehingga kenyang."
Mereka boleh manfaatkan air tersebut ke mana dan di mana sahaja mereka kehendaki.
Sayid Qutub berkata: "Ayat ini menjelaskan bahawa minuman orang-orang yang taat atau para Abrar di dalam syurga ialah air campuran dengan haruman kapur, iaitu mereka minum di dalam gelas yang di ambil dari mata air yang sentiasa mengalir dengan banyaknya."
Biasanya orang-orang Arab mencampurkan minuman arak, kadang-kadang dengan kapur dan kadang-kadang dengan halia untuk menambahkan kelazatannya.
Dengan keterangan ini tahulah mereka bahawa di syurga akan disediakan minuman yang bercampur kapur dengan mewahnya tetapi taraf minuman ini tentulah lebih manis dan nyaman lagi daripada minuman-minuman di dunia dan kelazatannya berlipat kali ganda.

Wednesday, July 4, 2012

FADHILAT BULAN SYAABAN

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah : 
Memperbanyakkan puasa sunat Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah S.A.W lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini. Begitulah tingginya pekerti Nabi Muhammad nabi junjungan kita. 
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid." 
Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. 
Kita sebagai umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyak doa, zikir, dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin) 
Bertaubat 
Kita juga digalakkan untuk melalukan taubat kepada Allah SWT. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu." Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s.di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. 
Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nakir, ditutup Allah keaipannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah). Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.” 


Sabda Nabi s.a.w.: “Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani). Sabda Nabi s.a.w.: “Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya” antara lain sabdanya lagi: “Bahawa Allah Ta'ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.

Kekalkan Warisan Khazanah Negara


Kajian dan perbincangan terhadap naskhah Melayu lama oleh beberapa sarjana telah berlangsung sejak dulu lagi. Bagaimanapun, kajian itu kebanyakannya bersifat kritikan teks mengikut pendekatan filologi.

Dijangkakan lebih 10,000 naskhah manuskrip dari pelbagai genre dihasilkan oleh pujangga sejak abad ke-7 Masihi. Namun, sebahagian besar naskhah yang ada kini adalah salinan, dihasilkan sekitar abad ke-16 hingga 20.

Naskhah tersebut adalah sebahagian daripada karya agung Melayu. Ia sangat bernilai dan mengandungi pelbagai bidang ilmu yang patut difahami, dipelajari dan diamalkan seterusnya diperturunkan ke generasi masa kini supaya ilmu itu dapat dimanfaatkan demi memperkasakan tamadun Melayu.

Atas kesedaran itu, Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi Bahagian Penyelidikan Sastera dan Perbadanan Adat Melayu serta Warisan Negeri Selangor menganjurkan Bengkel Kajian Naskhah Kesultanan Melayu Selangor, baru-baru ini.

Bengkel dua hari itu telah dijalankan di Muzium Sultan Alam Shah, Selangor turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Karyawan dan Perpustakaan Negara.
Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan Negeri Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sumber inspirasi dan kekuatan dalam mengharungi cabaran masa depan dapat dipelajari dengan kejayaan yang di kecapi oleh masyarakat zaman lampau.

Menurutnya, menyelami zaman lampau untuk mempelajari kelemahannya dapat dijadikan sebagai iktibar supaya kita tidak mengulangi kesilapan atau kealpaan lalu. “Kita yakin banyak nilai positif yang perlu dipupuk untuk ketahanan diri bangsa daripada dibiarkan terhakis.

"Seterusnya hanyut akibat pengaruh globalisasi yang kian mendesak,” kata Ahmad Yunus ketika menyempurnakan majlis perasmian bengkel itu.

Karya agung

Ahmad Yunus berkata, usaha untuk membongkar, mengumpul dan mengkaji serta menerbitkan semula khazanah persuratan Melayu lama harus diusahakan secepat mungkin supaya dapat dimasyarakatkan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Ini dilakukan bagi menimbulkan rasa kebanggaan, kecintaan dan kesedaran terhadap warisan tradisi di samping menentukan kelangsungan tradisi itu secara teratur,” katanya.

Warisan persuratan yang dihasilkan penulis masa lampau adalah maklumat yang sangat berguna untuk dikaji terutamanya mengenai sejarah intelektual bangsa.

“Masyarakat yang tidak mengekalkan ataupun tidak berupaya untuk meneruskan warisan persuratan yang dilahirkan oleh ahli fikir mereka dari satu zaman ke satu zaman pastinya akan ketandusan idea dan inspirasi untuk membangun masyarakatnya.

“Kita akan dapati masyarakatnya yang tandus dengan khazanah, akan terpaksa menimba khazanah masyarakat lain untuk mendapatkan asas pemikiran yang boleh dijadikan landasan perkembangan sejarah intelektual masyarakatnya,” katanya.

Beliau berkata, objektif utama bengkel ini adalah untuk mengkaji, menyelidik dan memanfaatkan maklumat yang berhubungan dengan Kesultanan Raja-Raja Melayu, khususnya di Selangor.

“Maklumat ini termasuk mengenai kuasa politik dan cara pemerintahannya, sejarah gemilang dan pelbagai khazanah budaya, persuratan dan kesenian yang telah dihasilkan sepanjang zaman kesultanan itu.

“Dan dengan itu, khazanah bermutu, misalnya karya sastera yang dianggap sebagai karya agung Melayu Nusantara dapat dikaji, diterbitkan untuk dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

Menurutnya, objektif lain adalah untuk mendapatkan satu kajian yang tuntas tentang pertemuan baru berhubung dengan hasil sastera dan bahan sejarah zaman Kesultanan Selangor.

“Ia juga bertujuan untuk mendokumentasikan bahan kajian ini dalam bentuk buku agar dapat menjadi rujukan kepada generasi baru,” katanya.

Keunikan tersendiri

Dalam pada itu. beliau berkata, pembangunan sesuatu bangsa itu tidak dapat dipisahkan daripada warisan tradisi.

“Pada hakikatnya, pembangunan moden tradisional mempunyai hubungan dialektik dan saling mengisi di antara satu sama lain

“Oleh itu, bagi membangunkan masyarakat, elemen warisan tradisional tidak harus diketepikan kerana ia merupakan sumber kekuatan yang paling ampuh untuk mencapai wawasan negara,” tegasnya.

Beliau berkata, Selangor adalah antara negeri di Malaysia yang kaya dengan warisan budaya bangsa baik dari segi sistem politik, sosial, kesenian, kebudayaan, bahasa dan sastera yang mempunyai ciri keunikannya tersendiri.
“Kita bukan sahaja harus berbangga dengannya, tetapi harus berusaha untuk menggali semula khazanah tersebut supaya dapat dimasyarakatkan.

“Oleh sebab itu, sewajarnya usaha mengkaji naskhah Melayu lama ini harus diteruskan supaya menjadi wahana bagi memupuk rasa cinta rakyat kepada tradisi mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, katanya, bengkel tersebut mengetengahkan pelbagai topik mengenai institusi Kesultanan Selangor.

"Bengkel ini mendapat sambutan menggalakkan daripada badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

"Ini satu petanda baik dalam melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan mengetahui sejarah serta asal usul bangsa mereka," katanya.

Jawatankuasa Fatwa Menghadap SPB


KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan menerima menghadap wakil-wakil Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Istana Negara di sini.
Jawatankuasa Fatwa MKI diwakili 18 anggota terdiri daripada Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dan Setiausaha, Datuk Othman Mustafa yang juga merupakan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Antara yang turut serta adalah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Mufti Sabah Datuk Ahmad Alawi Adnan dan Mufti Melaka Datuk Rashid Redza Md Salleh.
Turut serta adalah Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman, Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin, Mufti Kedah Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad dan Mufti Sarawak Kipli Yassin.
Pada majlis itu, Seri Paduka turut berkenan menerima cenderahati berupa buku yang diserahkan oleh Abdul Shukor. - Bernama

Tuesday, July 3, 2012

Sultan Selangor Bimbang Ajaran Sesat


PUTRAJAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melahirkan kebimbangan dengan ajaran sesat yang sedang bergerak aktif di negara ini, mahu fatwa yang telah diwartakan berkaitan perkara itu dikuatkuasakan secara berkesan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada.
Baginda juga mahu umat Islam meningkatkan tahap pengetahuan, kefahaman dan penghayatan ajaran Islam sebagai benteng kukuh supaya tidak tergelincir ke dalam kancah ajaran dan penyelewengan daripada ajaran Islam sebenar.
Baginda bertitah amalan-amalan ajaran sesat yang sedang aktif di negara ini ialah seperti mengkafirkan para sahabat Rasulullah s.a.w, mendakwa guru mereka sebagai nabi dan menghalalkan beberapa perkara yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunah Waljamaah.
"Ini amat membimbangkan Beta kerana ajaran tersebut telah bergerak secara halus melalui pertubuhan tertentu. Sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini, Beta tidak mahu ajaran-ajaran sesat ini meresapi minda generasi muda di sekolah, institusi pengajjian tinggi dan seterusnya di dalam masyarakat.
"Justeru itu, Beta berharap fatwa-fatwa yang telah diwartakan dapat dikuatkuasakan secara berkesan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada," titah baginda sempena Forum Perdana Ehwal Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Bandar Baru Bangi, dekat sini, malam Isnin.
Sultan Selangor juga mahu masalah seperti Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual (LGBT), isu murtad, pluralisme agama, penghinaan dan kritikan terhadap agama Islam dan lain-lain yang boleh membawa kepada kehancuran ditangani dengan segera dan berhemah.
Baginda bertitah mengikut kajian yang dijalankan terdapat semakin ramai umat Islam terlibat dalam kegiatan LGBT dan ianya telah mendapat sokongan daripada beberapa pihak badan bukan kerajaan (NGO) dengan menggunakan internet, laman sosial facebook sebagai media massa untuk berhubung dan berinteraksi.
"Beta tidak mahu melihat umat Islam berpecah dan menjadi lemah. Di sini, Beta menyeru kepada umat Islam khususnya orang Melayu supaya bersatu dan tidak berpecah-belah demi memartabatkan agama Islam sebagai agama persekutuan dan terus dipandang mulia dan dihormati," titah baginda.
Sultan Selangor bertitah agar semua umat Islam mengukuhkan perpaduan khususnya antara umat Islam dan masyarakat-masyarakat lain agar terus hidup dalam keadaan aman dan damai.
Semua umat Islam perlu terus bersatu dengan semangat persaudaraan yang kukuh dan teguh agar kemajuan dan keamanan yang dikecapi akan terus dinikmati, titah baginda.
"Peristiwa-peristiwa yang berlaku di negara-negara bergolak di dunia akhir-akhir ini memperlihatkan kepada kita bahawa perpecahan tidak akan membawa kepada sebarang kebaikan sebaliknya ia akan mencetuskan huru-hara dan seterusnya kemusnahan kepada bangsa dan negara yang berkenaan," titah baginda. - BERNAMA

Friday, June 29, 2012

Bicara Karya Air Mata Raja

Pada pagi Jumaat 29 Jun 2012, bertempat di Dewan Seminar Aras 2, Dewan Bahasa dan Pustaka, telah berlangsung majlis Bicara Karya bertajuk 'Proses Kepengarangan Buku Air Mata Raja'. Kumpulan Rajamenangis mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pusat Dokumentasi Melayu, DBP dan Ketua Pengarah, Prof Dr Awang Sariyan yang turut hadir memeriahkan majlis.

Pelbagai persoalan dikupas tentang proses yang dilalui oleh kedua-dua penulis (Shali & Zai) selama tiga tahun menulis buku tersebut. Ini merupakan 'road-show' kelima selepas kemunculan mereka di program Selamat Pagi Malaysia (TV1), Malaysia Hari Ini (TV3), Seminar Melaka Merentasi Zaman dan Perpustakaan Awam Ipoh. Mereka juga mendapat undangan untuk menyampaikan kertas kerja di Muzium Kota Tinggi tidak lama lagi sempena 400 tahun buku Sulalatus Salatin disusun oleh Tun Seri Lanang (1612-2012).





Friday, June 22, 2012

Wang Syiling Sempena Pertabalan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan menerima persembahan wang syiling peringatan yang dikeluarkan sempena pertabalan baginda pada April lalu. Tuanku Abdul Halim menerima persembahan itu bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di Istana Negara, di sini. Dua set wang syiling yang setiap satu mengandungi tiga keping syiling peringatan itu dipersembah oleh Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim. Turut hadir Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya dan Pengarah Jabatan Pengurusan Fasiliti Bank Negara, Azmi Abd Hamid. Bank Negara akan mengeluarkan kenyataan mengenai tarikh pengedaran wang syiling peringatan itu dalam masa terdekat. - BERNAMA

Tuesday, June 19, 2012

MAJLIS BICARA KARYA

Sukacita dimaklumkan bahawa semua dijemput hadir ke MAJLIS BICARA KARYA yang akan dianjurkan oleh Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka sempena ulang tahun penubuhan DBP yang ke-56. 


Tajuk Bicara Karya: Proses Kepengarangan AIR MATA RAJA
Tarikh: 29 Jun 2012 (Jumaat)
Jam: 9.00 pagi - 12.00 tghari
Tempat: Dewan Seminar, Aras 2, Menara DBP.


Terima kasih diucapkan kepada mereka yang sudi hadir.
Sama-sama kita menimba ilmu sambil mendapat manfaat, insyaAllah.

Pewaris Takhta Arab Saudi

RIYADH: Arab Saudi menamakan Menteri Pertahanan, Putera Salman bin Abdul-Aziz sebagai putera mahkota baru negara itu semalam, sesuatu yang dijangkakan bagi memastikan penggantian lancar ketika berhadapan dengan cabaran sukar bagi negara pengeluar minyak terbesar dunia itu. 
Perisytiharan itu dibuat selepas pengebumian Putera Nayef yang meninggal dunia di Geneva minggu lalu. Putera Salman, 76, adalah pengganti ketiga kepada Raja Abdullan berusia 88 tahun.Salman berkhidmat sejak empat dekad dalam jawatan berpengaruh sebagai Gabenor Riyahd, dan menguasai perniagaan keluarga termasuk kepentingan akhbar pan-Arab, Al-Sharq al-Awsat. – AFP