ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Wednesday, July 4, 2012

Kekalkan Warisan Khazanah Negara


Kajian dan perbincangan terhadap naskhah Melayu lama oleh beberapa sarjana telah berlangsung sejak dulu lagi. Bagaimanapun, kajian itu kebanyakannya bersifat kritikan teks mengikut pendekatan filologi.

Dijangkakan lebih 10,000 naskhah manuskrip dari pelbagai genre dihasilkan oleh pujangga sejak abad ke-7 Masihi. Namun, sebahagian besar naskhah yang ada kini adalah salinan, dihasilkan sekitar abad ke-16 hingga 20.

Naskhah tersebut adalah sebahagian daripada karya agung Melayu. Ia sangat bernilai dan mengandungi pelbagai bidang ilmu yang patut difahami, dipelajari dan diamalkan seterusnya diperturunkan ke generasi masa kini supaya ilmu itu dapat dimanfaatkan demi memperkasakan tamadun Melayu.

Atas kesedaran itu, Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi Bahagian Penyelidikan Sastera dan Perbadanan Adat Melayu serta Warisan Negeri Selangor menganjurkan Bengkel Kajian Naskhah Kesultanan Melayu Selangor, baru-baru ini.

Bengkel dua hari itu telah dijalankan di Muzium Sultan Alam Shah, Selangor turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Karyawan dan Perpustakaan Negara.
Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan Negeri Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sumber inspirasi dan kekuatan dalam mengharungi cabaran masa depan dapat dipelajari dengan kejayaan yang di kecapi oleh masyarakat zaman lampau.

Menurutnya, menyelami zaman lampau untuk mempelajari kelemahannya dapat dijadikan sebagai iktibar supaya kita tidak mengulangi kesilapan atau kealpaan lalu. “Kita yakin banyak nilai positif yang perlu dipupuk untuk ketahanan diri bangsa daripada dibiarkan terhakis.

"Seterusnya hanyut akibat pengaruh globalisasi yang kian mendesak,” kata Ahmad Yunus ketika menyempurnakan majlis perasmian bengkel itu.

Karya agung

Ahmad Yunus berkata, usaha untuk membongkar, mengumpul dan mengkaji serta menerbitkan semula khazanah persuratan Melayu lama harus diusahakan secepat mungkin supaya dapat dimasyarakatkan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Ini dilakukan bagi menimbulkan rasa kebanggaan, kecintaan dan kesedaran terhadap warisan tradisi di samping menentukan kelangsungan tradisi itu secara teratur,” katanya.

Warisan persuratan yang dihasilkan penulis masa lampau adalah maklumat yang sangat berguna untuk dikaji terutamanya mengenai sejarah intelektual bangsa.

“Masyarakat yang tidak mengekalkan ataupun tidak berupaya untuk meneruskan warisan persuratan yang dilahirkan oleh ahli fikir mereka dari satu zaman ke satu zaman pastinya akan ketandusan idea dan inspirasi untuk membangun masyarakatnya.

“Kita akan dapati masyarakatnya yang tandus dengan khazanah, akan terpaksa menimba khazanah masyarakat lain untuk mendapatkan asas pemikiran yang boleh dijadikan landasan perkembangan sejarah intelektual masyarakatnya,” katanya.

Beliau berkata, objektif utama bengkel ini adalah untuk mengkaji, menyelidik dan memanfaatkan maklumat yang berhubungan dengan Kesultanan Raja-Raja Melayu, khususnya di Selangor.

“Maklumat ini termasuk mengenai kuasa politik dan cara pemerintahannya, sejarah gemilang dan pelbagai khazanah budaya, persuratan dan kesenian yang telah dihasilkan sepanjang zaman kesultanan itu.

“Dan dengan itu, khazanah bermutu, misalnya karya sastera yang dianggap sebagai karya agung Melayu Nusantara dapat dikaji, diterbitkan untuk dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

Menurutnya, objektif lain adalah untuk mendapatkan satu kajian yang tuntas tentang pertemuan baru berhubung dengan hasil sastera dan bahan sejarah zaman Kesultanan Selangor.

“Ia juga bertujuan untuk mendokumentasikan bahan kajian ini dalam bentuk buku agar dapat menjadi rujukan kepada generasi baru,” katanya.

Keunikan tersendiri

Dalam pada itu. beliau berkata, pembangunan sesuatu bangsa itu tidak dapat dipisahkan daripada warisan tradisi.

“Pada hakikatnya, pembangunan moden tradisional mempunyai hubungan dialektik dan saling mengisi di antara satu sama lain

“Oleh itu, bagi membangunkan masyarakat, elemen warisan tradisional tidak harus diketepikan kerana ia merupakan sumber kekuatan yang paling ampuh untuk mencapai wawasan negara,” tegasnya.

Beliau berkata, Selangor adalah antara negeri di Malaysia yang kaya dengan warisan budaya bangsa baik dari segi sistem politik, sosial, kesenian, kebudayaan, bahasa dan sastera yang mempunyai ciri keunikannya tersendiri.
“Kita bukan sahaja harus berbangga dengannya, tetapi harus berusaha untuk menggali semula khazanah tersebut supaya dapat dimasyarakatkan.

“Oleh sebab itu, sewajarnya usaha mengkaji naskhah Melayu lama ini harus diteruskan supaya menjadi wahana bagi memupuk rasa cinta rakyat kepada tradisi mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, katanya, bengkel tersebut mengetengahkan pelbagai topik mengenai institusi Kesultanan Selangor.

"Bengkel ini mendapat sambutan menggalakkan daripada badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

"Ini satu petanda baik dalam melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan mengetahui sejarah serta asal usul bangsa mereka," katanya.

0 comments:

Post a Comment