ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Sunday, August 24, 2014

International Association of Historians 2014

ALOR SETAR: Sejarah negara ini perlu dikaji dengan mendalam dan kandungannya harus menjadi inspirasi bagi pembangunan dalam semua bidang, misalnya seni bina, kesenian, pendidikan, sukan, sains dan kejuruteraan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan dan Naib Presiden Persatuan Sejarah Malaysia, berkata pemodenan harus dimanfaatkan sebagai faktor pendorong bagi memastikan 'sejarah' menjadi satu disiplin yang kekal relevan, sekalipun tidak menunjukkan peningkatan dalam nilai dan permintaan.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk menyemak semula dan mengorientasi kaedah pedagogi subjek itu supaya menjadi suatu 'subjek hidup' melalui pendekatan yang memberi penekanan terhadap kenyataan hebat bahawa 'masa depan terletak pada masa lampau'.
"Walaupun sejarah kini menjadi mata pelajaran wajib bagi pelajar sains sosial namun ahli sejarah seringkali mengajar subjek sejarah sebagai subjek 'masa lampau', tentang 'masa lampau' dan bagi 'masa lamapu'.
"Natijahnya, sejarah tidak dianggap sebagai mempunyai nilai dalam masyarakat masa kini yang pantas bergerak, dinamik dan bertenaga. Oleh itu, para pelajar misalnya, tidak nampak 'masa depan' subjek itu," katanya ketika merasmikan persidangan ke-23 Persatuan Ahli Sejarah Asia Antarabangsa (IAHA 2014) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata universiti mungkin perlu mengkaji langkah untuk menerapkan program yang akan membolehkan pelajar dan masyarakat umum memahami serta menghargai sejarah.
Ini, katanya, sama ada dengan mengukuhkan dan meningkatkan program sains sosial serta seni liberal yang sedia ada atau memperkenalkan program baharu yang mempunyai kaitan, misalnya falsafah.
Persidangan lima hari itu, yang bermula semalam, dianjurkan Universiti Utara Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia. Antara peserta adalah ahli sejarah dari Brazil, Brunei, Bangladesh, Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Jepun.
- BERNAMA
sumber: bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment