ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Wednesday, April 2, 2014

Yayasan Warisan Negara Jalin Kerjasama

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Yayasan Warisan Negara akan bekerjasama dengan Universiti Leiden, Belanda bagi mengenal pasti bahan koleksi warisan Melayu dan foto lama dalam bentuk salinan pendigitalan yang boleh dibawa balik ke Malaysia.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata antara bahan peninggalan zaman penjajah yang masih terdapat di universiti itu termasuklah manuskrip lama Melayu dalam bentuk persuratan, teks agama, sastera, warkah dan bahan berkaitan kehidupan harian masyarakat terdahulu dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

"Antara bahan atau koleksi dokumen penyelidikan Belanda yang terdapat di Universiti Leiden ini adalah manuskrip adat pepatih, adat temenggung, sejarah raja-raja Melayu dan Misa Melayu," katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada Bernama Selasa selepas berkunjung dan mendengar taklimat di Perpustakaan Universiti Leiden dalam rangka lawatan kerja ke Belanda mulai Isnin lalu.

Selain Universiti Leiden yang diwujudkan pada tahun 1575, rangka lawatan kerja itu meliputi kunjungan ke Institut Diraja Belanda bagi Pengajian Asia Tenggara dan Caribbean (KITLV), yang merupakan badan penyelidikan berkaitan ilmu dan kepakaran dalam bidang kerjasama antara budaya dan antarabangsa.

KITLV yang kini diletakkan di bawah Akademi Sains Diraja Belanda berperanan menjalankan kajian mendalam menerusi antropologi, linguistik, sains sosial dan sejarah Asia Tenggara, rantau Pasifik dan Caribbean.

Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Ketua Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Datuk Poziah Abdul Rahman yang juga pegawai khas Yayasan Warisan Negara.

Di samping itu, delegasi tersebut turut melawat Muzium Etnologi Belanda, di Leiden yang menyimpan koleksi artifak pelbagai budaya nusantara termasuk Asia Tenggara.

Rais yang juga pengasas Yayasan Warisan Negara berkata tidak kurang daripada 14,000 tajuk manuskrip lama masih terdapat dalam himpunan koleksi di perpustakaan Universiti Leiden dan itu tidak termasuk di institusi-institusi penyelidikan lain di Belanda.

Menurut beliau, bahan berkenaan sedang dirancang untuk disalin dalam bentuk digital supaya koleksi manuskrip ini akan dijadikan khazanah dan sumber penyelidikan bagi institusi-institusi tanah air yang berminat dengan warisan.

"Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga bercadang menjalin kerjasama dengan Universiti Leiden khusus dalam hal pengajian Melayu lama dan penyelidikan tentang pengembangan ilmu serta penyebaran Islam di rantau nusantara ini," kata Rais yang juga Presiden UIAM.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment