KEMASYHURAN Jugra sebagai pusat maritim yang wujud sejak daripada
zaman Kesultanan Melayu Melaka pernah disebut oleh Tun Seri Lanang di
dalam buku tulisannya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).
Di dalam karya kesusasteraan itu, kesibukan pelabuhan Jugra yang
terletak di kuala Sungai Langat digambarkan menyampai kesibukan
pelabuhan Melaka yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Sultan
Mansur Shah.
Selain gambaran menjadi pintu masuk utama perdagangan di Selangor,
Tun Seri Lanang turut menyebut ketibaan Laksamana Hang Tuah di pelabuhan
Jugra selepas keluar berlayar dari Melaka.
Diceritakan kononnya Hang Tuah menghabiskan masa selama dua hari dua
malam di Jugra selepas kapalnya yang berlabuh di pelabuhan tiba-tiba
karam. Sama ada benar atau tidak petikan daripada tulisan itu, kisah
persinggahan Hang Tuah menjadi sebahagian daripada kisah yang bermain di
bibir penduduk apabila menceritakan tentang sejarah Jugra.
Salah satu daripada 'bukti' yang digunakan untuk mengaitkan kisah itu
adalah kewujudan kesan tapak kaki pada batu besar berhampiran jeti Batu
Hampar yang terletak tidak jauh dari kaki Bukit Jugra. Jeti Batu Hampar di tebing Sungai Langat itu dipercayai adalah tapak
pelabuhan yang dimaksudkan oleh Tun Seri Lanang sebagai pelabuhan Jugra.
Selepas zaman Kesultanan Melayu Melaka, Jugra dikenali sebagai bandar
Diraja apabila Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor ke-4) memilih
kawasan di pinggiran Bukit Jugra sebagai tempat bersemayam. Baginda
menjadikan Jugra sebagai pusat pentadbiran Selangor antara 1859 hingga
1898.
Pada masa kini, tinggalan seperti balai polis lama, makam Diraja,
pejabat daerah lama, stor peluru, istana lama, Istana Bandar, masjid
Sultan Ala'eddin Shah dan tapak perigi lama merupakan sebahagian
daripada bukti sejarah yang masih boleh dilawati
Cuma malangnya sebahagian daripada tinggalan itu ada yang sudah
musnah dan dalam keadaan terbiar. Hanya menunggu masa untuk menyembah
bumi. Ketua Muzium-Muzium Daerah Wilayah Selatan, Mohd. Aidy Khairunizam Rashid
berkata, Jugra pernah menjadi laluan utama pengangkutan bijih timah
yang diangkut dari Kajang, Balakong, Hulu Langat dan Semenyih.
"Sepanjang tempoh pemerintahan Sultan Abdul Samad, Jugra menjadi
pusat pengutipan cukai bijih timah sebelum dibawa keluar melalui Sungai
Langat.
"Berdasarkan bukti-bukti yang ada, kita percaya Jugra pernah
memainkan peranan yang penting sebelum pusat pentadbiran kerajaan
beralih ke Klang pada 1882,'' katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Selain itu katanya, Jugra semasa di bawah pemerintahan Sultan Abdul
Samad dan Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor kelima) pernah
menjadi kawasan pertanian utama di Selangor.
"Hasil daripada kemakmuran pemerintahan kedua-dua sultan, Jugra diberi nama timangan sebagai Bandar Temasya."Sebelum itu nama lama Jugra adalah Tanjung Kera kerana terdapat banyak kera di kawasan bukitnya,'' kata beliau.Bagaimanapun kunjungan penulis ke Jugra baru-baru ini mencetuskan
satu persoalan. Soalan itu mungkin soalan yang sama pernah berlegar di
fikiran mereka yang pernah sampai ke Jugra.
"Tidak ada apa-apa yang luar biasa di sini. Jugra sama sahaja seperti
kampung-kampung lain. Mana tinggalan sejarah daripada zaman
kegemilangannya,'' itulah soalan yang bermain di fikiran penulis.
Penulis mungkin tersilap namun itulah persepsi orang luar yang
pertama kali tiba di Jugra. Segala khazanah sejarah yang ada seakan-akan
tersorok. Tiada papan tanda yang menunjukkan tempat itu adalah tempat
bersejarah.
Pencarian lokasi-lokasi bersejarah di Jugra terjawab apabila penulis
tiba di Muzium Insitu yang terletak di kaki Bukit Jugra. Pertemuan
dengan beberapa orang wakil Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri
Selangor (Padat) sememangnya banyak membantu.
Jugra sememangnya mempunyai banyak tinggalan sejarah yang menarik
untuk disoroti. Artifak dan tapak-tapak arkeologi sejak daripada zaman
pemerintahan diraja di situ mempunyai nilai pelancongan yang cukup besar
untuk dimajukan.
Cuma berbeza dengan Bukit Malawati di Kuala Selangor, tarikan
pelancongan yang dimiliki Jugra masih berada jauh di luar 'radar'
pelancongan. Bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan ia masih
memerlukan banyak perhatian daripada kerajaan negeri.
Mohd. Aidy berkata, salah satu halangan kepada usaha mempromosikan
Jugra yang dihadapi oleh Padat pada masa kini adalah kekurangan papan
tanda yang menjadikan mukim itu sepi tanpa tarikan.
"Seharusnya ia diperbanyakkan sepanjang tiga laluan utama iaitu di
sekitar Banting, Telok Panglima Garang dan Dengkil,'' ujarnya.
Menurut Mohd. Aidy, permohonan untuk mendapatkan papan tanda sejarah
bagi beberapa lokasi penting sudah diketengahkan namun belum mendapat
jawapan daripada pihak berkuasa.
0 comments:
Post a Comment