ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Tuesday, January 22, 2013

Jangan Pertikai Keputusan


KUALA TERENGGANU 20 Jan. - Selepas menempelak Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali semalam, Dewan Ulama Pas meminta DAP jangan sesekali mempertikaikan keputusan dewan itu berhubung isu kalimah Allah yang khusus untuk orang Islam.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan, pendirian Pas berhubung isu penggunaan kalimah Allah tidak perlu dipersoalkan oleh pakatan pembangkang kerana kerjasama yang dijalinkan mereka hanya dalam soal politik dan bukannya agama.
Bagi persoalan yang menyentuh agama katanya, Pas boleh membuat keputusan secara bersendirian.
"Kalau Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu merayu atau mendesak juga Pas mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama parti, itu dia punya pasallah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas gesaan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama parti itu yang berpendirian kalimah Allah hanya untuk umat Islam.
Karpal dilaporkan sebagai berkata, langkah itu bertujuan memastikan pendirian Pas selaras dengan keputusan awal yang telah dicapai pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu.
Pengerusi DAP itu juga berharap supaya pendirian Pas berkaitan isu kalimah Allah tidak bercanggah dengan pendirian pakatan pembangkang.
Harun berkata, apa yang beliau sedia maklum, keputusan Majlis Syura Ulama parti itu mengenai isu tersebut adalah muktamad dan beliau menyifatkannya sudah selesai.
"Sebenarnya isu ini sudah selesai setelah Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan bahawa kalimah Allah hanya untuk umat Islam. Tetapi kalau dia nak rayu juga, dia punya pasallah.
"Biasalah, teman setia dalam pakatan pembangkang memang begitu. Kalau tak puas hati, biasalah dan Karpal kena terima," katanya.
Ditanya sama ada Presiden Pas itu akan tunduk kepada gesaan Karpal itu, Harun menjelaskan, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan parti untuk menyatakan pendirian itu.
"Itu kena tanya beliau sendiri (Abdul Hadi). Saya tak ada kuasa untuk buat keputusan sama ada terima rayuan dan desakan DAP atau sebaliknya. Kita harap isu ini sudah selesai sebab keputusan telah dibuat oleh Majlis Syura Ulama," katanya.
Ditanya pendirian Pas yang menyimpang berbanding sebelum ini dan keengganan Pas untuk tunduk kepada gesaan Karpal itu akan memberi kesan kepada pakatan pembangkang, Harun berkata, pakatan antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih menjurus kepada kerjasama politik.
Beliau menjelaskan, kerjasama tiga parti dalam pakatan itu adalah untuk kepentingan politik semata-mata terutama bagi menghadapi pilihan raya, bukannya kerjasama agama.

sumber : utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment