ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Friday, June 15, 2012

Ganjaran Wakaf sehingga kiamat


Ragam & Pengajaran
ORANG tua-tua dahulu sering berkata mereka menanam pokok buah-buahan untuk anak cucu. Maksudnya, walaupun mereka mungkin tidak dapat menikmati hasilnya tetapi ia akan dapat dinikmati oleh waris mereka.
Demikian jauh wawasan golongan datuk nenek kita. Fenomena itu kerana sebahagian besar mereka tidak mempunyai wang untuk diwakafkan.
Kini, senarionya sudah jauh berubah. Walaupun kita tidak mempunyai tanah, majoriti umat Islam mempunyai wang yang boleh diwakafkan. Seterusnya boleh dinikmati manfaat dan pahalanya semasa kita hidup sehinggalah hari kiamat.
Demikianlah hebatnya peranan dan fungsi wakaf jika diamalkan oleh umat Islam. Malah, hasil wakaf itu juga bakal membantu pewakaf selepas mereka meninggal dunia.
Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Apabila mati anak Adam, akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah (harta yang diwakafkan), ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang mendoakannya. (riwayat Muslim)
Wakaf berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud menghentikan atau menahan.
Dalam istilah fiqh, wakaf ditakrifkan sebagai harta yang dihentikan pemilikannya serta ditahan oleh pemiliknya bagi tujuan tertentu dari sudut syarak untuk dinafkahkan ke jalan Allah, dengan sekira-kira dapat menghalang penggunaannya daripada dijual atau dimiliki individu lain.
Amalan berwakaf juga disebut sebagai sumbangan, sedekah jariah, infak dan derma.
Soalnya, adakah wakaf ini hanya untuk orang kaya atau orang yang banyak tanah dan ladangnya seluas beratus hektar?
Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Don Daniyal Don Bijayid menjelaskan, wakaf bukan untuk orang kaya sahaja sebaliknya ia terbuka kepada semua umat Islam.
Untuk itu, katanya, umat Islam di negara ini perlu mengambil peluang melaksanakan ibadat wakaf melalui pelbagai cara dan agensi yang diwujudkan di bawah Jabatan Agama Islam Negeri termasuk Perbadanan Wakaf Selangor.
"Kita perlu menyusun strategi supaya wakaf itu boleh menjadikan kita bukan sahaja kaya akhirat tetapi juga kaya dunia kerana ia boleh meningkatkan sosio ekonomi umat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Perdana sempena Bulan Wakaf Negeri Selangor bertajuk Wakaf: Kaya Dunia, Kaya Akhirat di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.
Seorang lagi panel ialah pendakwah bebas, Haslin Bahrin manakala moderator ialah Eksekutif Pemasaran (Daerah) Perbadanan Wakaf Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ibnu Hubain Abdul Aziz.
Don Daniyal berkata, umat Islam juga tidak perlu bimbang harta mereka akan berkurang apabila mereka berwakaf.
Katanya, hal itu telah dijelaskan menerusi firman Allah dalam ayat 261 surah al-Baqarah yang antara lain bermaksud: Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah (perbelanjaan derma) adalah seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji.
"Pendek kata, orang yang sanggup mewakafkan harta yang dicintainya ke jalan Allah, pasti akan meletakkan dirinya pada darjat yang mulia di sisi Pencipta-Nya sebagai mana dinyatakan dalam ayat 92 surah ali-'Imran," katanya.
Sementara itu, Haslin berkata, beliau adalah contoh hasil yang diperoleh daripada wakaf kaum Muslimin.
Katanya, ini kerana beliau dapat menuntut ilmu selama tujuh tahun di Pakistan adalah hasil duit wakaf orang ramai.
"Jadi tuan-tuan yang datang pada malam ini untuk mendengar forum akan mendapat pahala. Bukan itu sahaja, orang yang membiayai saya menuntut ilmu dulu pun mendapat pahala.
"Sebabnya, hasil wang mereka saya menjadi pendakwah. Apabila saya melakukan kebaikan seperti berceramah dan menyampaikan ilmu, maka mereka juga mendapat pahala," katanya.
Menurut Haslin, harta dan kekayaan yang disayangi dan dimiliki manusia bukanlah milik mereka sebenarnya.
"Harta dan kekayaan itu semuanya adalah hak Allah, manusia hanya diberi amanah menjaganya sementara.
"Bayangkan jika setiap orang Islam wakafkan RM10 sebulan, dalam setahun berapa banyak yang dapat kita kumpulkan dan dapat digunakan untuk membangunkan ekonomi umat," katanya.
Dana wakaf
Sememangnya telah terbukti dana wakaf jika diurus dengan baik boleh memberi banyak manfaat kepada umat Islam di seluruh dunia.
Antara hasil dana wakaf yang manfaatnya dinikmati umat Islam global adalah pendidikan di Universiti al-Azhar, Mesir.
Di universiti tersohor itu, dana wakaf menjadi sumber utama pembiayaan operasi dan pelajarnya hanya perlu memberi sumbangan yuran yang paling minimum.
Malah semasa kegawatan ekonomi, dana wakaf Al-Azhar dikatakan mampu memberikan sumbangan langsung kepada kerajaan Mesir bagi menstabilkan kedudukan ekonomi negara (Mohamad Rizki, 2003).
Begitu juga dengan beberapa universiti dan sekolah pengajian universiti di Amerika Syarikat dan England. Pada tahun 1264, Walter de Merton yang pernah bertugas sebagai Canselor Raja England di Jerusalem menubuhkan Kolej Merton di University Oxford melalui dana mengikut konsep wakaf (endownment).
Forum yang diadakan pada pukul 9.15 malam itu menarik kira-kira 2,000 hadirin yang memenuhi setiap ruang letak kereta dan beranda Masjid An-Nur.
Ia adalah anjuran Perbadanan Wakaf Selangor MAIS, Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor dengan kerjasama Rukun Tetangga Saujana Utama, Rela Saujana Utama dan Sri Pristana serta Masjid An-Nur.
Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut memberi sumbangan penajaan makanan pada majlis tersebut.
Perbadanan Wakaf Selangor turut membuka kaunter bagi membolehkan orang ramai berwakaf termasuk melalui potongan gaji.
Pada majlis itu, majoriti hadirin terutama kanan-kanak dan remaja begitu teruja dan tidak mahu melepaskan peluang bergambar dan mengambil autograf Don Daniyal.
Beliau adalah pendakwah yang semakin diminati dan juga popular menerusi program 30 Minit bersama Ustaz Don yang disiarkan menerusi televisyen Al-Hijrah.
Sementara itu, nazir masjid, Harun Abd. Rahman mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan juga ahli kariah yang menghadiri forum tersebut.
Katanya, ini adalah kali keempat masjid menganjurkan forum termasuk forum khas untuk golongan muslimat tahun lalu.
"Bagaimanapun, kali ini bilangan yang hadir adalah paling ramai termasuk kanak-kanak dan remaja yang mahu bertemu dengan Ustaz Don Daniyal," katanya.

0 comments:

Post a Comment