MEMBACA hikayat lama atau klasik Melayu bukan suatu pilihan yang ada dalam senarai bacaan anak muda malah mungkin sesiapa sahaja dewasa ini. Kalau bukan kerana ada fakulti dan jabatan yang khusus di universiti-universiti menawarkan kursus-kursus yang berkaitan, rasanya sudah lama hikayat menjadi bahan bakar bagi memanaskan air di dapur kayu.
Menurut Kamus Dewan edisi IV, hikayat bermaksud cerita lama atau sejarah, riwayat. Antara yang tersohor dan lama (klasik) adalah seperti Hikayat Merong Mahawangsa, yang berjaya difilemkan oleh KRU Production, Hikayat Hang Tuah pula difilemkan oleh P. Ramlee puluhan tahun dahulu dan Hikayat Puteri Gunung Ledang yang difilemkan oleh Teong Hin Saw. Selain daripada itu masih banyak lagi hikayat Melayu sebagaimana yang diketahui wujud ataupun sudah ghaib pada hari ini.
Dalam masa yang sama, entah berapa banyak sudah yang sudah diangkut oleh Inggeris dan Belanda sebagaimana yang diceritakan oleh Abdullah Munshi dalam Hikayat Abdullah, betapa Inggeris begitu berminat membaca, mengkaji dan memiliki kitab-kitab hikayat tulisan tangan daripada orang Melayu malah sanggup membayar berapa sahaja harganya.
Orang Melayu yang pada masa itu mempunyai hikayat sama ada yang dihadiahkan orang atau diperturunkan oleh nenek moyang mereka kerana tertarik dengan habuan harta yang sekelumit sanggup menjual langsung segala hikayat simpanan mereka. Bukan sahaja kitab hikayat, kitab-kitab muktabar pengajian Islam dalam pelbagai disiplin juga diangkut sama; kitab tauhid, kitab fiqah, kitab tasawuf tulisan para ulama Melayu tidak terlepas.
Abdullah Munshi meskipun adalah penulis Inggeris iaitu kepada Stanford Raffles yang dinyatakan sangat suka kepada manuskrip hikayat dan bahasa Melayu itu sendiri mengkritik sikap orang Melayu dengan menyatakan betapa orang Melayu tidak sedar apabila mereka menjual khazanah mereka.
Ternyata ia benar. Entah berapa banyak yang sudah berjaya diangkut sehingga pada hari ini andai ada sarjana tanah air mahu mengkaji mengenai manuskrip-manuskrip ini terpaksa pula terbang ke Belanda atau London kerana di sana tersimpan khazanah tulen tulisan para ulama dan cendekiawan Melayu silam.
Itu tidak dikira manuskrip yang tidak berjaya sampai kerana kapal yang mengangkutnya tenggelam kecelakaan di tengah samudera. Andainya roh para ulama dan cendekiawan Melayu Islam itu boleh hadir dalam mimpi anak cucunya pada hari ini, agaknya apa yang mereka akan sampaikan?
Entah kerana cerdiknya para penjajah, Inggeris dan Belanda atau bodohnya orang Melayu pada zaman itu. Kos bagi seorang sarjana mengambil ijazah sarjana atau ijazah doktor falsafah dalam bidang kajian yang merujuk kepada manuskrip klasik ini memaksa mereka terbang ke sana selama bertahun-tahun ditanggung kerajaan.
Kadang-kadang terfikirkah kita, apakah sejauh itu penjajah berfikir? Iaitu pada suatu hari kelak, tanah jajahan mereka akan merdeka juga namun bagi memastikan kita tetap terjajah, selain daripada meninggalkan warisan pemikiran dan budaya, mereka juga mengangkut sumber ketamadunan, pemikiran dan budaya tempatan pulang. Pada hari ini, jutaan wang digunakan bagi menanggung kajian atas manuskrip berbahasa Melayu bertulisan Jawi milik nenek moyang kita sendiri di negeri mereka.
Hikayat-hikayat ini pada asalnya hanya diperturunkan dari generasi ke generasi menggunakan kaedah penceritaan lisan. Ini kerana masih belum ada kaedah menulis di Tanah Melayu sehinggalah ia menerima pengaruh-pengaruh daripada ketamadunan yang lebih awal seperti India dan China.
Sementelah sebelum kedatangan Islam, orang asal Tanah Melayu adalah penganut animisme yang kemudian menerima Hindu-Buddha sebagai agama umum khususnya dalam kerajaan Melayu terawal di Kuala Kedah yang terlebih dahulu dikenali sebagai Langkasuka.
Ada beberapa usaha contohnya oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengumpul dan menjaga manuskrip asal hikayat yang kini sudah menjadi khazanah bangsa dan agama. Malah PNM menempatkan tingkat khas bagi menatang manuskrip-manuskrip klasik yang masih berbaki itu dengan sebaiknya.
Di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), ada usaha oleh seorang sejarahwan Sabri Zain yang berjaya mengumpul ratusan naskhah hikayat-hikayat dan manuskrip nadir ini ke dalam bentuk PDF dalam sebuah perpustakaan maya.
Ia malah dapat diakses dengan percuma dan boleh dimuat turun dengan bebas oleh sesiapa sahaja menerusi http://www.sabrizain.org/malaya/library/)
Bukan sahaja manuskrip asal hikayat dalam tulisan Jawi yang disimpan di sana, tulisan-tulisan kemudian oleh sarjana Inggeris dalam memperihalkan mengenai Tanah Melayu dan hikayatnya serta tulisan mereka yang berbentuk jurnal dan memoir juga ada terdapat di sana.
Kita juga wajar berterima kasih kepada Dewan Pustaka dan Bahasa (DBP) dengan usaha sama Yayasan Karyawan Malaysia, sudah menerbitkan kitab-kitab Karya Agung Melayu dalam tulisan Rumi dengan mengekalkan langgam bahasa klasiknya. Ia adalah usaha murni yang wajar dipuji dan diberikan perhatian, meskipun menelan berapa sahaja kosnya ia tetap berbaloi apabila kita memahami betapa ia penting kepada kita kelak.
Hakikatnya apabila menyebut mengenai hikayat maka konotasi khas yang membumbui fikiran orang Melayu masa kini adalah, hikayat adalah sebuah cerita dongeng yang palsu. Kita katakan ya, memang ia bercampur dongeng kebanyakannya, justeru jangan baca untuk mempercayainya.
Timbul pula persoalan, justeru mengapa bersusah payah dan berhabis dana bagi menjaga dan memanjang hayatnya? Apakah kepentingan cerita-cerita bersifat khayalan belaka itu, lebih baik diberi dana kepada penyelidikan bersifat sains dan teknologi, lebih penting dan membijaksanakan bangsa.
Dengarkan nasihat Abdullah Munshi ini. Kata beliau, "Ketika itu aku suka membaca hikayat-hikayat kerana banyak faedah kuperoleh daripadanya. Di situlah aku menemui rahsia-rahsia bahasa Melayu. Kalau aku dengar ada orang menyimpan hikayat yang belum aku baca, sedaya mungkin aku akan meminjamnya ataupun menyewanya. Setelah habis kubaca, barulah aku pulangkan."
"Dari situlah aku mendapat kefahaman mengenai tempat hentian dan kuat perlahan dan sebagainya dalam bacaan. Pesanku kepada sekalian sahabat yang membaca kisahku ini, jika hendak pandai dalam bahasa Melayu, rajinlah membaca segala hikayat dalam bahasa Melayu. Di dalamnya tersembunyi perkara-perkara yang mulia yang tidak kita ketahui faedahnya sekarang. Kemudian hari kelak ia akan berguna apabila kita hendak mengarang, ataupun hendak menggunakannya."
sumber : utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment