Soalan : Adakah melaksanakan sistem ekonomi Islam adalah satu kewajipan?
Jawapan :
Sistem Ekonomi Islam adalah berteraskan akidah kerana dengan akidah inilah, sistem ekonomi Islam dapat terlaksana dengan sempurna dan memaksimumkan manfaatnya. Ini kerana pelaksana kepada sistem ekonomi Islam ini sewajarnya mengetahui segala tindakan yang dibuat mestilah selari dengan kehendak Allah, dan akhirnya akan mendapat keredaan daripada-Nya.Secara umumnya, ekonomi Islam mementingkan perkara-perkara berikut:
Semua aktiviti yang dilaksanakan hendaklah bertepatan dengan syariat Allah kerana dengan berpandukan kepada-Nya kita akan memperolehi keuntungan duniawi dan ukhrawi.Usaha ini memerlukan kepada pengetahuan dan pemahaman yang betul berkenaan soal halal dan haram sesuatu aktiviti. Justeru, segala urusan yang dilakukan wajiblah diniatkan semata-mata untuk mendapatkan keredaan-Nya.
Mementingkan konsep keadilan dan kepentingan sejagat. Perkara ini sangat penting kerana setiap manusia mempunyai hak-hak tertentu yang perlu dipenuhi dengan saksama. Sama ada kaya atau miskin, setiap daripada manusia itu mempunyai haknya yang tersendiri. Konsep keadilan ini boleh diterjemahkan melalui aktiviti zakat dimana mereka yang berharta menzakatkan hartanya atau menginfakkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Keikhlasan dalam memperjuangkan sistem ekonomi Islam. Nilai ini mesti bergerak seiring dengan semua aktiviti agar ia akan membuahkan hasil yang cukup cemerlang dan lumayan yang bersesuaian dengan pandangan syariah Islam.
Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memperjuangkan sistem ekonomi Islam ini sebagai salah satu cabang dalam Muamalat Islam. Ia bukan sekadar membantu golongan yang memerlukan atau meningkatkan taraf hidup umat Islam, malah yang lebih penting, ia adalah sebagai memenuhi tuntutan akidah Islam itu sendiri.
sumber : http://www2.islam.gov.my
Assalamualaikum Warahmatullah,
ReplyDeleteBANGKIT Kekanda!
http://kerispanjangmelayu.blogspot.com/2012/03/selangor-bangkit.html