ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Saturday, March 24, 2012

kecurian barangan pameran bersejarah

KLANG 22 Mac - Kelicikan seorang pelayan istana sejak 2010 mencuri barang pameran bersejarah diperbuat daripada emas bernilai lebih RM200,000 di Istana Alam Shah di sini, terbongkar apabila dia akhirnya diberkas polis minggu lalu.
Suspek yang berusia 47 tahun diberkas selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyedari barang pameran itu yang merupakan cenderahati daripada rakyat berketurunan Cina di negeri ini kepada nenda dan ayahanda baginda sejak 1950-an hilang.
Barangan yang hilang adalah 17 bilah gunting dan kunci emas yang antaranya dihadiahkan semasa Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah merasmikan sebuah bangunan di Klang dan sebuah replika ketam yang diperbuat daripada emas yang dihadiahkan penduduk Pulau Ketam semasa lawatan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke sana.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Kepada Sultan Selangor, Datuk Zakaria Abd. Rahman berkata, Tuanku Sultan Sharafuddin seorang yang amat teliti dan sayangkan barangan bersejarah itu dan baginda sendiri yang menyusun atur tempat letak barangan tersebut.
Beliau memberitahu, pada 2 Mac lalu ketika meninjau cenderahati di istana itu, baginda terperanjat apabila menyedari jumlah gunting emas yang dipamer di salah satu kotak pameran telah berkurangan dan 'ketam' emas yang diletak di situ juga hilang.
"Baginda memandang serius kejadian tersebut dan amat dukacita kerana gunting, kunci dan ketam emas itu mempunyai nilai sejarah. Ini kerana ia dihadiahkan oleh rakyat berketurunan Cina di negeri itu kepada nenda dan ayahanda baginda kerana hubungan rakyat berketurunan Cina dengan Sultan Selangor ketika itu amat rapat.
"Setiap kali mereka memohon perkenan baginda untuk merasmikan bangunan dan sebagainya, mereka akan menempah gunting emas untuk acara memotong reben dan gunting itu kemudian akan dihadiahkan kepada baginda sebagai tanda terima kasih dan hormat.
"Oleh sebab itu gunting tersebut dianggap sebagai barangan bersejarah oleh baginda dan selepas kehilangannya baginda meminta satu siasatan dalaman dilakukan. Selepas siasatan mendapati barangan tersebut dicuri, baginda menitahkan agar satu laporan polis dibuat pada 12 Mac lalu.
"Baginda menitahkan demikian kerana bimbang sekiranya perbuatan itu dilakukan oleh pekerja kepercayaan istana akibat terdesak kerana hutang ah long dan sebagainya selain ia akan berleluasa dan mencemarkan nama baik istana," kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia di Istana Alam Shah di sini petang ini.
Menceritakan lebih lanjut, Zakaria berkata, selepas laporan polis dibuat, beberapa individu telah disoal siasat dan dalam tempoh yang singkat suspek dapat diberkas dan kes kecurian tersebut berjaya diselesaikan.
Berdasarkan siasatan polis ujarnya, suspek mengaku telah mencuri barangan tersebut satu demi satu sejak 2010 sebelum dijual dan difahamkan telah dileburkan.
"Polis hanya menjumpai sebahagian daripada gunting yang telah dipotong di rumah suspek dan kepingan resit yang menunjukkan barangan itu dijual dengan harga kira-kira RM70,000. Barangan lain telah dilebur dan sukar dikesan," tambah beliau.
Tambah Zakaria, suspek telah disiasat dan dijatuhi hukuman semalam.
"Baginda mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Ketua Polis Selangor dan pegawai serta anggota polis yang terlibat dalam menyiasat kes ini kerana dapat menyelesaikan siasatan dalam tempoh yang singkat," ujar beliau.

utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment