Sunday, August 24, 2014
International Association of Historians 2014
Tuesday, April 29, 2014
Kerja penggalian harta karun Pulau Nangka
Sumber : www.utusan.com.my
Monday, December 16, 2013
Sejarah Yang Dilupakan
Di dalam karya kesusasteraan itu, kesibukan pelabuhan Jugra yang terletak di kuala Sungai Langat digambarkan menyampai kesibukan pelabuhan Melaka yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah.
Selain gambaran menjadi pintu masuk utama perdagangan di Selangor, Tun Seri Lanang turut menyebut ketibaan Laksamana Hang Tuah di pelabuhan Jugra selepas keluar berlayar dari Melaka.
Diceritakan kononnya Hang Tuah menghabiskan masa selama dua hari dua malam di Jugra selepas kapalnya yang berlabuh di pelabuhan tiba-tiba karam. Sama ada benar atau tidak petikan daripada tulisan itu, kisah persinggahan Hang Tuah menjadi sebahagian daripada kisah yang bermain di bibir penduduk apabila menceritakan tentang sejarah Jugra.
Salah satu daripada 'bukti' yang digunakan untuk mengaitkan kisah itu adalah kewujudan kesan tapak kaki pada batu besar berhampiran jeti Batu Hampar yang terletak tidak jauh dari kaki Bukit Jugra. Jeti Batu Hampar di tebing Sungai Langat itu dipercayai adalah tapak pelabuhan yang dimaksudkan oleh Tun Seri Lanang sebagai pelabuhan Jugra.
Selepas zaman Kesultanan Melayu Melaka, Jugra dikenali sebagai bandar Diraja apabila Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor ke-4) memilih kawasan di pinggiran Bukit Jugra sebagai tempat bersemayam. Baginda menjadikan Jugra sebagai pusat pentadbiran Selangor antara 1859 hingga 1898.
Pada masa kini, tinggalan seperti balai polis lama, makam Diraja, pejabat daerah lama, stor peluru, istana lama, Istana Bandar, masjid Sultan Ala'eddin Shah dan tapak perigi lama merupakan sebahagian daripada bukti sejarah yang masih boleh dilawati
Cuma malangnya sebahagian daripada tinggalan itu ada yang sudah musnah dan dalam keadaan terbiar. Hanya menunggu masa untuk menyembah bumi. Ketua Muzium-Muzium Daerah Wilayah Selatan, Mohd. Aidy Khairunizam Rashid berkata, Jugra pernah menjadi laluan utama pengangkutan bijih timah yang diangkut dari Kajang, Balakong, Hulu Langat dan Semenyih.
"Sepanjang tempoh pemerintahan Sultan Abdul Samad, Jugra menjadi pusat pengutipan cukai bijih timah sebelum dibawa keluar melalui Sungai Langat.
"Berdasarkan bukti-bukti yang ada, kita percaya Jugra pernah memainkan peranan yang penting sebelum pusat pentadbiran kerajaan beralih ke Klang pada 1882,'' katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Selain itu katanya, Jugra semasa di bawah pemerintahan Sultan Abdul Samad dan Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor kelima) pernah menjadi kawasan pertanian utama di Selangor.
"Hasil daripada kemakmuran pemerintahan kedua-dua sultan, Jugra diberi nama timangan sebagai Bandar Temasya."Sebelum itu nama lama Jugra adalah Tanjung Kera kerana terdapat banyak kera di kawasan bukitnya,'' kata beliau.Bagaimanapun kunjungan penulis ke Jugra baru-baru ini mencetuskan satu persoalan. Soalan itu mungkin soalan yang sama pernah berlegar di fikiran mereka yang pernah sampai ke Jugra.
"Tidak ada apa-apa yang luar biasa di sini. Jugra sama sahaja seperti kampung-kampung lain. Mana tinggalan sejarah daripada zaman kegemilangannya,'' itulah soalan yang bermain di fikiran penulis.
Penulis mungkin tersilap namun itulah persepsi orang luar yang pertama kali tiba di Jugra. Segala khazanah sejarah yang ada seakan-akan tersorok. Tiada papan tanda yang menunjukkan tempat itu adalah tempat bersejarah.
Pencarian lokasi-lokasi bersejarah di Jugra terjawab apabila penulis tiba di Muzium Insitu yang terletak di kaki Bukit Jugra. Pertemuan dengan beberapa orang wakil Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) sememangnya banyak membantu.
Jugra sememangnya mempunyai banyak tinggalan sejarah yang menarik untuk disoroti. Artifak dan tapak-tapak arkeologi sejak daripada zaman pemerintahan diraja di situ mempunyai nilai pelancongan yang cukup besar untuk dimajukan.
Cuma berbeza dengan Bukit Malawati di Kuala Selangor, tarikan pelancongan yang dimiliki Jugra masih berada jauh di luar 'radar' pelancongan. Bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan ia masih memerlukan banyak perhatian daripada kerajaan negeri.
Mohd. Aidy berkata, salah satu halangan kepada usaha mempromosikan Jugra yang dihadapi oleh Padat pada masa kini adalah kekurangan papan tanda yang menjadikan mukim itu sepi tanpa tarikan.
"Seharusnya ia diperbanyakkan sepanjang tiga laluan utama iaitu di sekitar Banting, Telok Panglima Garang dan Dengkil,'' ujarnya.
Menurut Mohd. Aidy, permohonan untuk mendapatkan papan tanda sejarah bagi beberapa lokasi penting sudah diketengahkan namun belum mendapat jawapan daripada pihak berkuasa.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Friday, August 30, 2013
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56
Semoga dengan izin Allah SWT negara kita akan menjadi lebih maju, berjaya, aman, makmur, sentosa dan bersatu padu di antara berbilang kaum agar segala cita-cita kearah cara hidup yang lebih produktif seiring dengan keimanan yang kuat dan teguh. Sama-samalah kita mendoakan keatas para pejuang dan pembela bangsa yang telah bersusah payah, mencurah keringat, harta dan menggadai nyawa demi memastikan hidup kita hari ini bebas dan merdeka, agar mereka semua dikurniakan dengan sebaik-baik balasan oleh Allah SWT di akhirat kelak.
MERDEKA! MERDEKA!! MERDEKA!!!
Sunday, June 9, 2013
Paduka Seri Sultan Perak ke-28
Penghargaan foto kepada YM Raja Izzuddin.
Thursday, June 6, 2013
Fahami isi Raja Berpelembagaan
Namun begitu, beberapa perkara di sebalik istilah ‘Raja Berperlembagaan’ itu harus difahami dengan lebih mendalam. Walaupun istilah ini kerap digunakan di banyak negara serta disandarkan kepada pemahaman ‘raja berperlembagaan’ dalam konteks model perlembagaan Westminster, kita hendaklah memahami istilah ini menurut acuan sejarah, budaya, amalan dan juga peruntukan perundangan, terutama Perlembagaan kita sendiri.
Model Westminster yang dibawa dari Britain itu tidak semuanya dituruti atau diterima pakai sepenuhnya dalam model eksportnya. Negara Komanwel yang mengimport model ini tidak sepenuhnya menceduk semua prinsip. Sebagai contoh, Perlembagaan Westminster yang bersifat tidak bertulis itu hanya diterima pakai di New Zealand. Negara Komanwel yang lain semuanya mempunyai Perlembagaan bertulis.
Maksud saya di sini, model Westminster yang dieksport keluar Britain itu tidak semestinya sama dengan model asalnya. Setiap Perlembagaan dan sistem itu walaupun seakan-akan sama pada prinsip asas, pemakaian prinsip itu secara terperinci mempunyai banyak berbeza. Menyamakan semuanya adalah mustahil. Prinsip Perlembagaan bukanlah jatuh dari langit atau boleh dibawa terbang dari mana-mana tempat. Perlembagaan tidak boleh mengandungi prinsip terasing daripada nilai sejarah dan budaya setempat.
Oleh itu Perlembagaan hendaklah mempunyai kandungan dan pengisian yang bercambah dari bumi yang seharusnya mengandungi nilai sejarah, nilai budaya dan amalan yang diterima dan berasal daripada masyarakat setempat. Bersandar kefahaman kita Raja berperlembagaan di negara kita juga hendaklah difahami dalam konteks ini. Raja Berperlembagaan kita bersandarkan kefahaman dan penerimaan kita.
Benar jika dikatakan kita mengambil dan mengamal prinsip Raja Berperlembagaan Westminster dalam konteks Raja Berperlembagaan sebagai raja yang memerintah menurut peraturan atau kekangan undang-undang atau Raja yang memerintah atas nasihat jemaah menteri walaupun mempunyai beberapa kuasa budi bicara yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Prinsip Raja Berperlembagaan seperti dimaksudkan dalam Perlembagaan Persekutuan kita adalah Raja yang menjadi payung atau simbol perpaduan semua kaum.
Raja Berperlembagaan juga simbol perpaduan antara agama. Raja Berperlembagaan kita juga tonggak kepada perpaduan dan integrasi antara negeri yang membentuk Malaysia. Kesan daripada itu, Raja Berperlembagaan kita juga bermaksud menjadi pengimbang antara semua institusi demokrasi, seperti parlimen dan mana-mana suruhanjaya bebas. Pengalaman beberapa negara di Afrika yang menggunakan Raja Berperlembagaan model Westminster telah gagal kerana sukar membuat acuan sendiri. Mereka menerima acuan Westminster tanpa mengambil kira perbezaan pola sosial masyarakat yang berbilang etnik dan keadaan lain yang berbeza daripada prinsip asal Westminster.
Penerimaan amalan
Dalam beberapa keadaan, terutama dalam penerimaan amalan atau konvensyen Perlembagaan Westminster yang tidak bertulis, kita juga mengalami kesukaran. Namun begitu, kita lebih bersedia menghadapi kemungkinan cabaran berkaitan peranan dan fungsi Raja Berperlembagaan. Dalam proses penggubalan Perlembagaan, Suruhanjaya Reid berkali-kali cuba mendapatkan kepastian daripada Raja-Raja Melayu mengenai kesediaan untuk menjadi Raja Berperlembagaan.
Ini dapat dilihat dalam proses perbicaraan memorandum yang diserahkan oleh Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya terbabit. Kepastian ini amat penting bagi Suruhanjaya Reid kerana persetujuan Raja-Raja Melayu menyerahkan negeri dan jajahan takluk kepada prinsip demokrasi bukanlah sesuatu yang mudah. Kepastian itu juga diperlukan bagi membantu Suruhanjaya membuat deraf prinsip Raja Berperlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan yang bertepatan dengan prinsip demokrasi berparlimen.
Raja Berperlembagaan akan menjadikan institusi raja sebagai institusi di luar demokrasi, tetapi masih mempunyai fungsi dan peranan yang efektif dalam kerangka Perlembagaan atau dalam kerangka sistem demokrasi. Sudah tentu perkara ini bukan sesuatu yang mudah. Sekiranya kita perhatikan susur sejarah mengenai Raja Berperlembagaan ini, sesungguhnya menjadi Raja Berperlembagaan adalah sebesar-besar pengorbanan Raja-Raja Melayu kepada negara ini.
Raja-Raja Melayu menyerahkan negeri jajahan, kuasa dan peranan kepada institusi kerajaan yang dipilih menerusi proses demokrasi. Walau apapun, kita perlulah sentiasa faham bahawa institusi Raja mempunyai pelbagai sokongan undang-undang untuk menjadi mekanisme yang bersesuaian dengan prinsip demokrasi dan juga faham Perlembagaan.
sumber : bharian.com.my
Thursday, May 30, 2013
Nantikan Program 'LANSKAP' esok...
Thursday, May 23, 2013
Saksi Kehebatan Pemerintah Melayu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tuesday, May 14, 2013
Haram Apikan Perkauman
Ia akan menimbulkan pelbagai sangkaan dan penilaian yang mungkin tidak berasaskan fakta yang benar. Lantas, akan menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang tidak berasaskan prinsip kebenaran, sebaliknya atas prejudice perkauman.
2. Antara perkara yang ditentang oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah sikap fanatik perkauman ataupun ‘asabiyyah yang menilai kebaikan dan keburukan berdasarkan kaum bukan prinsip kebenaran dan keadilan. Islam adalah agama rentas kaum dan sempadan geografi. Keadilan Islam itu melebar merentasi perbezaan pemikiran dan agama.
3. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau cina atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya.
Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya)
“dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).
4. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titik keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut:
“I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.
5. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya):
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini:
“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).
6. Maka, haram bagi seorang muslim meniupkan api perkauman yang menzalimi pihak yang tidak bersalah hanya kerana warna kulit ataupun keturunannya. Wajib kita mempamirkan keindahan kesejagatan Islam (the universality of Islam) kepada semua pihak supaya keindahan Islam dapat diterima oleh manusia.
Tuesday, April 30, 2013
KEWAJIBAN MENGUNDI MENURUT SYARIAT
"agama itu dari Tuhan".
Perlulah ditegaskan bahawa Islam itu menyeluruh dalam semua segi kehidupan, kekal sepanjang masa, dan sesuai diamalkan di mana-mana. Islam itu ada prinsip-prinsip yang tetap dan cabang-cabang umum yang anjal (boleh berubah-ubah). Oleh itu, Islam serasi diikuti dan tidak menimbulkan konflik jiwa penganut-penganutnya yang faham. Islam menuntut penganut- penganutnya agar meletakkan asas-asasnya dalam mengendalikan kehidupan ini. Oleh itu, pilihan raya dan mengundi harus
dinilai dari perspektif agama.
Sebelum membincangkan secara khusus topik "kewajiban mengundi menurut Islam", marilah kita mengkaji beberapa isu asas tentang politik, demokrasi, kepimpinan Islam dan kewajiban menegakkan kerajaan yang adil.
Pertama, kedudukan politik dalam Islam. Orang ramai masih keliru antara "politik sebagai amalan praktis" dengan "politik sebagai kepimpinan dan kuasa memerintah". Islam memandang penting kedua-duanya. Ertinya, Islam melihat politik sebagai kepimpinan dan kuasa pemerintahan. Tanpa kepimpinan, hancur musnah masyarakat manusia. Dan tanpa kuasa pemerintahan, bertaburan asas-asas Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap. Oleh itu, Islam memerlukan politik. Politik sangat diutamakan
oleh Islam, malah menjadi sendi utama untuk menjamin aqidah. Aqidah yang disimpan dalam hati belum tentu selamat tanpa kuasa (politik) yang menjaganya. Apatah lagi apabila manusia hidup bermasyarakat di sebuah negeri atau negara.
Memang benar amalan orang-orang politik ada kalanya sangat kotor -- sepak terajang, tikam menikam menjadi lumrah sehingga terkenal ungkapan "dalam politik, tiada lawan dan kawan yang kekal". Tetapi Islam sendiri tidak mengiktiraf amalan politik ini. Malah, Islam menetapkan adab, prinsip dan etika dalam urusan-urusan melaksanakan politik. Politik Islam adalah politik berakhlak, bukan politik tanpa moral. Tiadanya atau lemahnya adab dalam amalan politik harian bukanlah salahnya Islam. Atau, menjadikan politik itu tidak relevan dengan Islam. Malah, Islam menuntut politik seperti itu diperbaiki (islah) dan dibuang. Bagaimana? Jika sesuai melalui nasihat (misalnya, ceramah dan tulisan), nasihatlah. Jika tidak cukup, tukar sahaja pemimpin atau parti politik yang tidak bermoral itu? Bagaimana? Banyaklah caranya yang sah menurut amalan sekarang dan boleh diterima oleh Islam -- misalnya "undi tidak percaya", "demonstrasi" dan juga "pilihan raya".
Kedua, demokrasi. Memang benar demokrasi dibina oleh manusia. Ia merupakan ideologi manusia yang berasaskan rakyat. Tetapi model demokrasi itu tidaklah terlalu jauh dari konsep dan amalan "syura" dalam Islam. Tentunya syura, khususnya ketika zaman empat Khalifah Islam yang unggul, unsur pemilihan ini ada. Dalam konteks itu, dan peluang yang ada, demokrasi diperbolehkan Islam -- khususnya sistem ini memberi ruang kepada umat Islam memilih dan melantik pemimpinnya sendiri. Panjang lagi diskusi tentang hal ini, misalnya hubungan konsep demokrasi dengan penggubalan undang-undang, tetapi bolehlah disimpulkan bahawa DEMOKRASI TIDAKLAH BERCANGGAH SEPENUHNYA DENGAN ISLAM. Malah, dalam keadaan negara sekarang, umat Islam wajiblah memanfaatkan proses demokrasi untuk menjaga maslahat ummat dan tuntutan agama.
Ketiga, ciri kepimpinan Islam dan moral. Dalam Islam, bukan hanya dasar parti dan dasar negara yang diutamakan. Turut menjadi asas utama politik ialah ialah ciri-ciri pemimpin itu sendiri. Jika seseorang pemimpin atau sesebuah parti tidak mendukung ciri-ciri kepimpinan sebagaimana yang digariskan oleh Islam, maka terlucutlah haknya untuk memimpin umat dan negara. Imam sembahyang mesti ada syarat-syaratnya. Apatah lagi imam (pemimpin) negara yang mempunyai jutaan manusia.
Dalam Islam, sudah menjadi tradisi dan perbahasan panjang bagaimana cara-cara dan kedudukan politik negara jika pemerintah itu zalim, menindas rakyat, lari dari cita-cita keadilan dan menutup diri daripada mendengar kritikan. Ulama sudah lama membahaskannya dan teks-teks kajian mereka sudah cukup hebat sehingga banyak pengajaran asasi boleh ditimba daripadanya. Misalnya, pemerintah itu hanya melakukan maksiat pada dirinya dan di kalangan keluarganya, tetapi masih menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, pemerintah seperti ini tidaklah dianggap perlu dilawan dengan keras.
Misal kedua, jika pemerintah itu sudah menindas rakyat dan kezaliman berleluasa, sementara rakyat pula ada kekuatan untuk menjatuhkannya, maka ulama memutuskan bolehlah pemerintahan itu dijatuhkan walaupun bersenjata (jika sudah tiada jalan-jalan yang lain)! Kesimpulannya, pemimpin yang buruk dan parti yang mengamalkan dasar-dasar yang merugikan rakyat WAJIBLAH digantikan dengan pemimpin dan parti yang lebih baik.
Dalam hal ini, Islam menetapkan beberapa prinsip asas. Misalnya, prinsip pertama: antara dua keburukan, ambillah keburukan yang kurang kesannya ke atas kita. Misalnya, Umno dan PAS. Memang dua parti ini ada kelemahan masing-masing. Tetapi dibandingkan dengan Umno yang korup dan pentingkan kroni-kroninya sahaja serta menyekat ruang demokrasi, WAJIBLAH rakyat memilih parti yang lebih baik (walau ada kelemahan) sebagai gantinya.
Prinsip kedua: menolak keburukan itu lebih afdal (utama) daripada membuat kebaikan. Walaupun parti pembangkang nampak macam lemah dan tiada program lagi (sebab tiada pengalaman), tetapi memandangkan keburukan ke atas negara kita semakin hari semakin ketara, maka wajiblah parti pemerintah yang ada ditolak, dan digantikan dengan parti yang baru yang lebih baik. Tolak keburukan dulu, insya Allah, kita bina kebaikan.
Keempat, pilihan raya dan mengundi. Apa ertinya? Pilihan raya bertujuan memberi setiap rakyat yang layak untuk memilih pemimpin. Oleh kerana pilihan raya itu berjalan secara aman dan menurut asas-asas demokrasi itu, maka ia mestilah diberikan keutamaan dalam memilih calon pemimpin dan parti yang memerintah. Tujuannya ringkas tetapi penting: MENGUNDI SEBAGAI IBADAT AMAR MAARUF NAHI MUNGKAR (tegak kebaikan, buang kemungkaran dan kezaliman).
Tugas amar maaruf, nahi mungkar ini terlalu panjang dan banyak kupasannya dalam kitab-kitab kajian Islam. Tidak perlulah saya jelaskan di sini. Tetapi perlu ditegaskan bahawa dalam konteks bernegara, tugas ini WAJIB ke atas setiap individu umat Islam. Sebabnya ringkas, sekumpulan manusia atau sesebuah parti sahaja tidak mampu melakukannya kerana pemerintah mempunyai jentera yang kuat dan hebat. Oleh itu, rakyatlah dan umat Islamlah yang wajib memainkan peranannya.
Peranan amar maaruf nahi mungkar mesti berjalan sepanjang masa (bukan ketika pilihan raya dan pada hari mengundi sahaja) dan melalui berbagai-bagai cara (bukan melalui undi sahaja). Tetapi pilihan raya dan undi sangatlah mustahak kerana secara automatis pilihan raya dan undi memberi peluang rakyat dan umat Islam menukar pemimpin dan parti politik.
Cara-cara lain seperti berceramah, mengajar, menulis dan menunjuk perasaan (demonstrasi) juga tugas amar maaruf nahi munkar. Tetapi kesannya tidak sama dengan mengundi. Lagi pun, mengundi hanya sekali dalam tempoh lima tahun. Sedangkan cara-cara lain boleh berlaku sepanjang masa mengikut kekuatan rakyat dan kesesuaian suasana politik. Oleh itu, kita simpulkan WAJIBLAH UMAT ISLAM MENGUNDI BAGI MEMILIH PEMIMPIN & PARTI POLITIK YANG LEBIH BAIK untuk Islam, umat Islam, rakyat dan negara ini.
Tulisan ini bukan alat kempen pilihan raya. Semua perbincangan ini diajar di IPT dan ada dalam teks-teks kajian Islam yang benar dan adil. Saya cuba jelaskan prinsip-prinsip Islam tentang politik, demokrasi, kepimpinan negara, pilihan raya dan undi. Terpulanglah kepada individu umat Islam untuk memikirkannya dan mengamalkannya.
Wallahu a'lam bis sawwab
sumber: halaqah.net
Sunday, April 14, 2013
Sumpah Alam Melayu
Wednesday, November 25, 2009
Foto ekslusif Merdeka! di Stadium

Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.
Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya.
7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam.
9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.
Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.
Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke.
Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.
Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci.
Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Saturday, October 31, 2009
Kedatangan Minangkabau ke N.Sembilan
Maksud Nagari dalam Minangkabau : satu penempatan sebelum menjadi Nagari mesti melalui satu proses Metamorsis. Taratak mula dibuek
sudah taratak menjadi kampuang
sudah kampuang menjadi dusun
sudah dusun menjadi koto
sudah koto menjadi nagari ...
Semasa Kesultanan Melaka, penduduk Rembau merupakan Jakun di bawah pimpinan Batin Tok Pak Tinggam. Nama lama Rembau adalah Prabu. Abad ke 16 Rembau di bawah pimpinan Batin Sekudai. Masa ini masih jajahan Melaka dan Tun Jenal menjadi wakil Melaka dengan gelaran Tun Rembau diam di Lubok Cina.
Nama asal Rembau bermula daripada sebatang pokok Merbau Tua yang besar menaungi hampir 10 buah kampung. Masa untuk menebang pokok mengambil masa hampir 1 bulan. Tapak pokok boleh dihidang hampir 12 dulang. Ini bukan dongeng kerana semasa penduduk kawasan membajak, masih terdapat batang pokok yang tidak hancur. Kapak yang digunakan untuk menebang pokok masih ada.
Masa inilah keluarga Jakun yang ingin membuka kampung disuruh meniti sepanjang pokok; tiba di hujung bolehlah dibuat perkampungan. Sampailah di Sg Ujung. Orang Minangkabau yang pertama datang ke Negeri Sembilan iatu Rembau adalah Datuk Leteh. Datuk Leteh dan org Minangkabau telah hidup harmoni bersama orang Jakun sehinggakan Batin Sekudai menyerahkan anaknya Datuk Bungkal sebagai anak angkat Datuk Leteh.
Orang Minangkabau yang kedua datang ke Rembau adalah Datuk Lela Bangsa dari suku Batu Hampar menetap di Penajis. Beliau dikahwin dengan Datuk Bungkal dapat anak lelaki Seri Rama (Penghulu Rembau yang Pertama). Kedatangan beliau diikuti oleh Datuk Laut Dalam dari suku Paya Kumbuh menetap di Legung. Dalam tahun 1540 Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam telah pergi mengadap Sultan Alauddin Riayat Shah untuk menyatakan hasrat orang Minangkabau melantik penghulu.
Permohonan ini telah di persetujui oleh Sultan dan Seri Rama menjadi Penghulu yang pertama dengan gelaran Datuk Lela Maharaja (Suku Biduanda Jakun). Oleh sebab beliau msh kecil diwakilkan oleh Datuk Lela Balang dengan gelaran Datuk Gempa Maharaja. Apabila Datuk Laut Dalam tak setuju beliau pun mengadap sultan dan meminta keturunannya juga layak untuk menjadi Penghulu dengan syarat dikahwinkan Seri Rama dengan anak Datuk Laut Dalam dan anak lelaki yang pertama akan menjadi penghulu dengan gelaran Datuk Sedia Raja (Biduanda Jawa). Datuk Lauta Dalam telah digelar Datuk Merbangsa.
Sumber : http://halaqah.net
Thursday, September 17, 2009
KUPASAN JATI DIRI MELAYU

Jati diri Melayu
Mengenai pendapat sarjana yang mendefinisikan jati diri Melayu itu, kita dapat merujuk kepada beberapa buah makalah dalam Contesting Malayness diedit oleh Timothy Barnard dan terbitkan oleh University of Singapore Press (2004). Dalam buku itu Barnard dan Maier mengatakan bahawa para sarjana dunia Melayu ini “terlibat memikirkan ciri dunia Melayu yang terus berubah bentuk.
Setiap orang menimbulkan isu pokok mengenai bagaimana jati diri dan dunia Melayu itu dapat difahami, sama ada dari segi bahasanya, perniagaannya, penjajahannya, aktiviti melanunnya, kesusasteraannya atau negara bangsa modennya.” (Terjemahan bebas pengarang).
Namun, dalam persepsi para sarjana ini tidak ada ciri agama, adat dan kebudayaan yang kita bincangkan. Pada hal, dalam buku-buku yang membincangkan jati diri bangsa, dan Perlembagaan Malaysia, unsur agama, adat dan budaya itu adalah ciri penting, iaitu yang dikatakan Melayu itu adalah orang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup Melayu.
Dalam sebuah makalah lain dalam buku yang sama Shamsul Amri Baharuddin (2004) mendeskripsi jati diri Melayu dengan lebih lanjut. Menurut beliau jati diri Melayu seperti yang kita ketahui sekarang adalah sebenarnya persepsi yang dibuat dan dipaksakan ke atas kita oleh para orientalis dan pentadbir penjajah Inggeris.
Dalam aspek tersebut ada tiga ciri yang digunakan oleh Shamsul Amri Baharuddin bagi mendefinisikan bangsa Melayu ini. Pada beliau penjajah Inggeris bukan sahaja menguasai kita daripada segi ketenteraan, politik, diplomatik, ekonomi, tetapi sebenarnya mereka juga menyerang dan menyerapi budaya kita.
Dengan demikian mereka juga sudah menakluki ruang epistemologi kita. Dalam ungkapan yang mudah, pemerintah Inggeris mencampuri sistem pemikiran orang Melayu, sehingga dapat melumpuhkan minda orang Melayu dengan meletakkan sempadan-sempadan pada kemampuan kita mendefinisikan diri dan dunia kita sendiri.
Beliau menyatakan lagi bahawa, dalam sejarah, terakam apa yang mereka lakukan. Ada tiga perkara penting yang mereka lakukan, iaitu: a. Membuat kajian dan laporan rinci mengenai sistem kuasa pemerintahan dan adat istiadat tempatan, sejarah, sistem pemilikan tanah, sistem pawahan dan pungutan hasil; b. Membuat deskripsi rinci mengenai tamadun peribumi, yang kemudiannya memberi Inggeris kuasa dalam mentamadunkan wilayah yang mereka jajah; dan c. Mengenal pasti tokoh, pejuang dan pemberontak, dan membina lambang-lambang kewujudan dan kekuasaan mereka di wilayah Melayu.
Tegasnya, dengan demikian mereka dapat mewajarkan tatacara mereka mentadbir jajahan yang mereka takluki. Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu, mereka mengkaji dan mengklasifikasi segala aspek kehidupan di dunia Melayu; dalam bidang zoologi, geologi, botani, ekonomi, sejarah dan sosiologi dengan menjalankan survei yang sistematik.
Mereka menyusun atur penjadualan jajahan itu supaya mereka dapat membuat ramalan dan penentuan daripada segi ekonomi, sosial dan politik. Banci penduduk yang mereka kendalikan, merakamkan ras, kaum, etnik, agama, dll., dapat membolehkan Inggeris mengkategorikan orang Melayu dan Peribumi lain untuk tujuan pentadbiran mereka.
Akhirnya, langkah yang melakri jati diri Melayu itu adalah peristiwa apabila penjajah Inggeris meluluskan Enakmen Rezab Melayu pada tahun 1913. Melalui Enakmen itu Inggeris dapat menentukan: a. Siapa orang Melayu, b. Siapa yang boleh menanam padi atau getah; dan c. Harga tanah.
Seterusnya, definisi jati diri Melayu itulah yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, yang kemudiannya menentukan siapa yang dianggap Melayu dan bumiputera, dan siapa yang berhak mendapat biasiswa dan membeli tanah di kawasan rezab Melayu, dengan nilai tertentu, dan lain-lain.





















