Karya Air Mata Raja

Hayati penceritaan Tun Seri Lanang mengarang buku Sulalatus Salatin pada tahun 1612. Juga kisah hidup 23 pewaris Sultan Mahmud Shah Melaka dari tahun 1511 sehingga 2007. Sebuah naskhah terbitan DBP yang tiada yang lain seumpamanya.

Kesultanan Melayu

Sembilan buah negeri yang masih bersultan mencerminkan sebuah institusi yang terus kukuh. Sultan Melayu lambang keagungan Empayar Melayu Islam satu waktu dahulu. Sultan tonggak agama Islam buat orang Melayu.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Melaka)

Dilancarkan pada 17 Oktober 2011 oleh mantan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa berlangsungnya Seminar Melaka Merentas Zaman. Ia dianjurkan oleh IKSEP (institut Kefahaman Sejarah dan Patriotisme Malaysia) dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Pelancaran Buku Air Mata Raja (Singapura)

Dilancarkan pada 20 September 2013 oleh Encik Hawazi Daipi (Singapore Member of Parliament) di Restoran Mamanda, Sultan Gate, dalam suasana istana yang menarik, diisi dengan persembahan seni oleh para pelajar dari Politeknik Republik. Penghargaan buat Puan Masmunah dan Tuan Zulkarnine.

Anugerah Buku PNM-RTM

Buku 'Air Mata Raja' telah memenangi Anugerah Buku PNM-RTM (Perpustakaan Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia) pada 3 Oktober 2013. Ia telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI
Showing posts with label jati diri. Show all posts
Showing posts with label jati diri. Show all posts

Wednesday, January 8, 2014

Ulama Berjiwa Pahlawan

SEPINTAS lalu dapat digambarkan dan dikenangkan bahawa peranan dan sumbangan para ulama di Nusantara, khususnya di tanah air kita adalah daripada perjuangan ulama dan termasuk juga para penulis dan wartawan.

Buku-buku teks sejarah kebangkitan orang Melayu menentang penjajah seperti perjuangan Tok Janggut, Tok Kenali, Abdul Rahman Limbong, Tok Gajah, Datok Bahaman, Mat Kilau dan ramai lagi ada menjelaskan faktor utama yang mendorong kebangkitan pahlawan dan rakyat pada waktu itu.

Penentangan terhadap penjajahan di Melaka dan negeri-negeri Melayu yang lain daripada penjajahan Pertugis, Belanda dan Siam begitu hebat dan rancak di bawah pimpinan para ulama. Terdapat juga ulama yang berjuang yang akhirnya menyaksikan ada antara mereka yang gugur syahid dan dibuang negeri.

Berhijrah

Sebahagian ulama telah mengatur perancangan antaranya berhijrah ke Mekah pada akhir abad ke-7 Hijrah. Penghijrahan ini bukan bermaksud mereka takut untuk berjuang tetapi sebagai mengatur strategi dalam menghadapi era penjajahan. Strategi ini menghasilkan natijah apabila lahirnya ramai ulama Melayu yang dilatihkan di Mekah antaranya Sheikh Ahmad Muhammad Zain al-Fathani.

Selain itu, ulama-ulama Melayu ini juga menggunakan kesempatan ketika ibadat haji untuk berkumpul dan meniupkan semangat anti penjajah kepada orang Melayu yang datang mengerjakan haji. Di Indonesia penjajah Belanda berasa hairan, mengapa setiap kali umat Islam ke Mekah mengerjakan haji, penentangan rakyat terhadap mereka semakin kuat.

Menurut kajian Snouk Hurgronje pada 1884, mendapati peranan ulama Melayu, seperti Sheikh Ahmad al-Fathani yang telah bertanggungjawab mempengaruhi jemaah haji dan para pelajar Melayu di Mekah dalam membebaskan tanah air masing-masing.

Berdasarkan kajian tersebut, Hurgronje mengeluarkan sebuah laporan yang berjudul, “De Afjeher” di mana laporan itu menyebut supaya ulama diasingkan daripada rakyat untuk memisahkan antara agama dan politik bagi menyemarakkan gerakan penentangan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140103/ba_05/Ulama-berjiwa-pahlawan#ixzz2posKpxBz © Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, September 17, 2009

KUPASAN JATI DIRI MELAYU



Jati diri Melayu


Apabila kita berbicara secara lebih khusus siapa dia bangsa Melayu itu, maka kita bertanya apakah yang dikatakan jati diri bangsa Melayu itu? Dalam hal ini kita melihat definisi yang sudah dibuat oleh beberapa orang sarjana berwibawa, dan cuba membuat definisi kita sendiri.

Mengenai pendapat sarjana yang mendefinisikan jati diri Melayu itu, kita dapat merujuk kepada beberapa buah makalah dalam Contesting Malayness diedit oleh Timothy Barnard dan terbitkan oleh University of Singapore Press (2004). Dalam buku itu Barnard dan Maier mengatakan bahawa para sarjana dunia Melayu ini “terlibat memikirkan ciri dunia Melayu yang terus berubah bentuk.

Setiap orang menimbulkan isu pokok mengenai bagaimana jati diri dan dunia Melayu itu dapat difahami, sama ada dari segi bahasanya, perniagaannya, penjajahannya, aktiviti melanunnya, kesusasteraannya atau negara bangsa modennya.” (Terjemahan bebas pengarang).

Namun, dalam persepsi para sarjana ini tidak ada ciri agama, adat dan kebudayaan yang kita bincangkan. Pada hal, dalam buku-buku yang membincangkan jati diri bangsa, dan Perlembagaan Malaysia, unsur agama, adat dan budaya itu adalah ciri penting, iaitu yang dikatakan Melayu itu adalah orang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup Melayu.

Dalam sebuah makalah lain dalam buku yang sama Shamsul Amri Baharuddin (2004) mendeskripsi jati diri Melayu dengan lebih lanjut. Menurut beliau jati diri Melayu seperti yang kita ketahui sekarang adalah sebenarnya persepsi yang dibuat dan dipaksakan ke atas kita oleh para orientalis dan pentadbir penjajah Inggeris.

Dalam aspek tersebut ada tiga ciri yang digunakan oleh Shamsul Amri Baharuddin bagi mendefinisikan bangsa Melayu ini. Pada beliau penjajah Inggeris bukan sahaja menguasai kita daripada segi ketenteraan, politik, diplomatik, ekonomi, tetapi sebenarnya mereka juga menyerang dan menyerapi budaya kita.

Dengan demikian mereka juga sudah menakluki ruang epistemologi kita. Dalam ungkapan yang mudah, pemerintah Inggeris mencampuri sistem pemikiran orang Melayu, sehingga dapat melumpuhkan minda orang Melayu dengan meletakkan sempadan-sempadan pada kemampuan kita mendefinisikan diri dan dunia kita sendiri.

Beliau menyatakan lagi bahawa, dalam sejarah, terakam apa yang mereka lakukan. Ada tiga perkara penting yang mereka lakukan, iaitu: a. Membuat kajian dan laporan rinci mengenai sistem kuasa pemerintahan dan adat istiadat tempatan, sejarah, sistem pemilikan tanah, sistem pawahan dan pungutan hasil; b. Membuat deskripsi rinci mengenai tamadun peribumi, yang kemudiannya memberi Inggeris kuasa dalam mentamadunkan wilayah yang mereka jajah; dan c. Mengenal pasti tokoh, pejuang dan pemberontak, dan membina lambang-lambang kewujudan dan kekuasaan mereka di wilayah Melayu.

Tegasnya, dengan demikian mereka dapat mewajarkan tatacara mereka mentadbir jajahan yang mereka takluki. Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu, mereka mengkaji dan mengklasifikasi segala aspek kehidupan di dunia Melayu; dalam bidang zoologi, geologi, botani, ekonomi, sejarah dan sosiologi dengan menjalankan survei yang sistematik.

Mereka menyusun atur penjadualan jajahan itu supaya mereka dapat membuat ramalan dan penentuan daripada segi ekonomi, sosial dan politik. Banci penduduk yang mereka kendalikan, merakamkan ras, kaum, etnik, agama, dll., dapat membolehkan Inggeris mengkategorikan orang Melayu dan Peribumi lain untuk tujuan pentadbiran mereka.

Akhirnya, langkah yang melakri jati diri Melayu itu adalah peristiwa apabila penjajah Inggeris meluluskan Enakmen Rezab Melayu pada tahun 1913. Melalui Enakmen itu Inggeris dapat menentukan: a. Siapa orang Melayu, b. Siapa yang boleh menanam padi atau getah; dan c. Harga tanah.

Seterusnya, definisi jati diri Melayu itulah yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, yang kemudiannya menentukan siapa yang dianggap Melayu dan bumiputera, dan siapa yang berhak mendapat biasiswa dan membeli tanah di kawasan rezab Melayu, dengan nilai tertentu, dan lain-lain.



(c) http://profabdullah1.wordpress.com/2009