ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Tuesday, April 30, 2013

KEWAJIBAN MENGUNDI MENURUT SYARIAT

Kebanyakan orang Islam masih tidak jelas kedudukan demokrasi, pilihan raya dan politik moden hari ini dari perspektif agama mereka sendiri. Akibat ketiadaan asas agama yang mantap, dan akibat ceteknya mengkaji politik semasa, tidak kurang anggota masyarakat Islam memandang remeh pilihan raya dan tanggungjawab keluar pergi mengundi untuk memilih pemimpin. Apa tidaknya, ramai sekali yang percaya bahawa "politik itu kotor" atau "politik itu bikinan manusia" sedang "agama itu suci" atau 
"agama itu dari Tuhan". 

Perlulah ditegaskan bahawa Islam itu menyeluruh dalam semua segi kehidupan, kekal sepanjang masa, dan sesuai diamalkan di mana-mana. Islam itu ada prinsip-prinsip yang tetap dan cabang-cabang umum yang anjal (boleh berubah-ubah). Oleh itu, Islam serasi diikuti dan tidak menimbulkan konflik jiwa penganut-penganutnya yang faham. Islam menuntut  penganut- penganutnya agar meletakkan asas-asasnya dalam mengendalikan kehidupan ini. Oleh itu, pilihan raya dan mengundi harus 
dinilai dari perspektif agama. 

Sebelum membincangkan secara khusus topik "kewajiban mengundi menurut Islam", marilah kita mengkaji beberapa isu asas tentang politik, demokrasi, kepimpinan Islam dan kewajiban menegakkan kerajaan yang adil. 

Pertama, kedudukan politik dalam Islam. Orang ramai masih keliru antara "politik sebagai amalan praktis" dengan "politik sebagai kepimpinan dan kuasa memerintah". Islam memandang penting kedua-duanya. Ertinya, Islam melihat politik sebagai kepimpinan dan kuasa pemerintahan. Tanpa kepimpinan, hancur musnah masyarakat manusia. Dan tanpa kuasa pemerintahan, bertaburan asas-asas Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap. Oleh itu, Islam memerlukan politik. Politik sangat diutamakan 
oleh Islam, malah menjadi sendi utama untuk menjamin aqidah. Aqidah yang disimpan dalam hati belum tentu selamat tanpa kuasa (politik) yang menjaganya. Apatah lagi apabila manusia hidup bermasyarakat di sebuah negeri atau negara. 

Memang benar amalan orang-orang politik ada kalanya sangat kotor -- sepak terajang, tikam menikam menjadi lumrah sehingga terkenal ungkapan "dalam politik, tiada lawan dan kawan yang kekal". Tetapi Islam sendiri tidak mengiktiraf amalan politik ini. Malah, Islam menetapkan adab, prinsip dan etika dalam urusan-urusan melaksanakan politik. Politik Islam adalah politik berakhlak, bukan politik tanpa moral. Tiadanya atau lemahnya adab dalam amalan politik harian bukanlah salahnya Islam. Atau, menjadikan politik itu tidak relevan dengan Islam. Malah, Islam menuntut politik seperti itu diperbaiki (islah) dan dibuang. Bagaimana? Jika sesuai melalui nasihat (misalnya, ceramah dan tulisan), nasihatlah. Jika tidak cukup, tukar sahaja pemimpin atau parti politik yang tidak bermoral itu? Bagaimana? Banyaklah caranya yang sah menurut amalan sekarang dan boleh diterima oleh Islam -- misalnya "undi tidak percaya", "demonstrasi" dan juga "pilihan raya". 

Kedua, demokrasi. Memang benar demokrasi dibina oleh manusia. Ia merupakan ideologi manusia yang berasaskan rakyat. Tetapi model demokrasi itu tidaklah terlalu jauh dari konsep dan amalan "syura" dalam Islam. Tentunya syura, khususnya ketika zaman empat Khalifah Islam yang unggul, unsur pemilihan ini ada. Dalam konteks itu, dan peluang yang ada, demokrasi diperbolehkan Islam -- khususnya sistem ini memberi ruang kepada umat Islam memilih dan melantik pemimpinnya sendiri. Panjang lagi diskusi tentang hal ini, misalnya hubungan konsep demokrasi dengan penggubalan undang-undang, tetapi bolehlah disimpulkan bahawa DEMOKRASI TIDAKLAH BERCANGGAH SEPENUHNYA DENGAN ISLAM. Malah, dalam keadaan negara sekarang, umat Islam wajiblah memanfaatkan proses demokrasi untuk menjaga maslahat ummat dan tuntutan agama. 

Ketiga, ciri kepimpinan Islam dan moral. Dalam Islam, bukan hanya dasar parti dan dasar negara yang diutamakan. Turut menjadi asas utama politik ialah ialah ciri-ciri pemimpin itu sendiri. Jika seseorang pemimpin atau sesebuah parti tidak mendukung ciri-ciri kepimpinan sebagaimana yang digariskan oleh Islam, maka terlucutlah haknya untuk memimpin umat dan negara. Imam sembahyang mesti ada syarat-syaratnya. Apatah lagi imam (pemimpin) negara yang mempunyai jutaan manusia. 

Dalam Islam, sudah menjadi tradisi dan perbahasan panjang bagaimana cara-cara dan kedudukan politik negara jika pemerintah itu zalim, menindas rakyat, lari dari cita-cita keadilan dan menutup diri daripada mendengar kritikan. Ulama sudah lama membahaskannya dan teks-teks kajian mereka sudah cukup hebat sehingga banyak pengajaran asasi boleh ditimba daripadanya. Misalnya, pemerintah itu hanya melakukan maksiat pada dirinya dan di kalangan keluarganya, tetapi masih menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, pemerintah seperti ini tidaklah dianggap perlu dilawan dengan keras. 

Misal kedua, jika pemerintah itu sudah menindas rakyat dan kezaliman berleluasa, sementara rakyat pula ada kekuatan untuk menjatuhkannya, maka ulama memutuskan bolehlah pemerintahan itu dijatuhkan walaupun bersenjata (jika sudah tiada jalan-jalan yang lain)! Kesimpulannya, pemimpin yang buruk dan parti yang mengamalkan dasar-dasar yang merugikan rakyat WAJIBLAH digantikan dengan pemimpin dan parti yang lebih baik. 

Dalam hal ini, Islam menetapkan beberapa prinsip asas. Misalnya, prinsip pertama: antara dua keburukan, ambillah keburukan yang kurang kesannya ke atas kita. Misalnya, Umno dan PAS. Memang dua parti ini ada kelemahan masing-masing. Tetapi dibandingkan dengan Umno yang korup dan pentingkan kroni-kroninya sahaja serta menyekat ruang demokrasi, WAJIBLAH rakyat memilih parti yang lebih baik (walau ada kelemahan) sebagai gantinya. 

Prinsip kedua: menolak keburukan itu lebih afdal (utama) daripada membuat kebaikan. Walaupun parti pembangkang nampak macam lemah dan tiada program lagi (sebab tiada pengalaman), tetapi memandangkan keburukan ke atas negara kita semakin hari semakin ketara, maka wajiblah parti pemerintah yang ada ditolak, dan digantikan dengan parti yang baru yang lebih baik. Tolak keburukan dulu, insya Allah, kita bina kebaikan. 

Keempat, pilihan raya dan mengundi. Apa ertinya? Pilihan raya bertujuan memberi setiap rakyat yang layak untuk memilih pemimpin. Oleh kerana pilihan raya itu berjalan secara aman dan menurut asas-asas demokrasi itu, maka ia mestilah diberikan keutamaan dalam memilih calon pemimpin dan parti yang memerintah. Tujuannya ringkas tetapi penting: MENGUNDI SEBAGAI IBADAT AMAR MAARUF NAHI MUNGKAR (tegak kebaikan, buang kemungkaran dan kezaliman). 

Tugas amar maaruf, nahi mungkar ini terlalu panjang dan banyak kupasannya dalam kitab-kitab kajian Islam. Tidak perlulah saya jelaskan di sini. Tetapi perlu ditegaskan bahawa dalam konteks bernegara, tugas ini WAJIB ke atas setiap individu umat Islam. Sebabnya ringkas, sekumpulan manusia atau sesebuah parti sahaja tidak mampu melakukannya kerana pemerintah mempunyai jentera yang kuat dan hebat. Oleh itu, rakyatlah dan umat Islamlah yang wajib memainkan peranannya. 

Peranan amar maaruf nahi mungkar mesti berjalan sepanjang masa (bukan ketika pilihan raya dan pada hari mengundi sahaja) dan melalui berbagai-bagai cara (bukan melalui undi sahaja). Tetapi pilihan raya dan undi sangatlah mustahak kerana secara automatis pilihan raya dan undi memberi peluang rakyat dan umat Islam menukar pemimpin dan parti politik. 

Cara-cara lain seperti berceramah, mengajar, menulis dan menunjuk perasaan (demonstrasi) juga tugas amar maaruf nahi munkar. Tetapi kesannya tidak sama dengan mengundi. Lagi pun, mengundi hanya sekali dalam tempoh lima tahun. Sedangkan cara-cara lain boleh berlaku sepanjang masa mengikut kekuatan rakyat dan kesesuaian suasana politik. Oleh itu, kita simpulkan WAJIBLAH UMAT ISLAM MENGUNDI BAGI MEMILIH PEMIMPIN & PARTI POLITIK YANG LEBIH BAIK untuk Islam, umat Islam, rakyat dan negara ini. 

Tulisan ini bukan alat kempen pilihan raya. Semua perbincangan ini diajar di IPT dan ada dalam teks-teks kajian Islam yang benar dan adil. Saya cuba jelaskan prinsip-prinsip Islam tentang politik, demokrasi, kepimpinan negara, pilihan raya dan undi. Terpulanglah kepada individu umat Islam untuk memikirkannya dan mengamalkannya. 

Wallahu a'lam bis sawwab

sumber: halaqah.net

0 comments:

Post a Comment