Tuesday, September 16, 2014
Selamat Hari Malaysia
Sunday, September 7, 2014
Mingguan Malaysia: Jiwa Melayu Shaharudin
Wednesday, September 25, 2013
Majlis Pelancaran Buku AIR MATA RAJA di Singapura
~ Kata-kata Prof Madya Dr Hadijah Rahmat di Majlis Pelancaran Buku AIR MATA RAJA di Mamanda, Singapura.
~ Foto ehsan : http://johorkaki.blogspot.sg/2013/09/best-singapore-food-mamanda-restaurant.html
Sunday, June 30, 2013
Usah biar Melayu terus hidup dilanda masalah
Tokoh pembaharuan Syed Sheikh al Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin melihat dari sudut agama bahawa orang Melayu suka melakukan khurafat dan memiliki tabiat taklid yang negatif. Pendeta Zaaba, seorang cendekiawan Melayu yang disegani juga melakukan kritikan terhadap bangsanya.
Dalam tulisannya majalah Qalam (Bil.19:1952) beliau menyebutkan: “Orang yang membiasakan dirinya meminta tolong dengan tiada berusaha sendirinya itu ialah melatihkan dirinya menjadi peminta sedekah. Maka tidaklah ia akan sampai ke mana dalam pekerjaan mencapai ketinggian dan kejayaan. Bahkan jikalau dapat pun olehnya ketinggian dan kejayaan itu dengan jalan demikian, tidaklah ada apa-apa yang ia boleh berbesar hati kerananya, kerana iaitu bukan dengan kudrat kebolehannya sendiri, hanya dapat dengan pertolongan orang jua.
Maka perangai suka meminta tolong saja itu – walaupun meminta tolong kepada Allah Taala padahal kita sendiri tidak menjalankan usaha ikhtiar dengan secukupnya – sangatlah tidak betul kepada ajaran Islam.” Sikap bergantung harus dikaji Apa yang disebut oleh Zaaba itu amat wajar untuk direnung. Sikap bergantung kepada pertolongan orang atau pihak kerajaan semata-mata harus dikaji dengan serius. Jiwa kebergantungan dalam banyak hal menyebabkan daya saing dan jiwa mandiri semakin tiris.
Dalam dunia di mana persaingan terbuka menentukan faktor kejayaan sama ada dalam bidang penguasaan ilmu pengetahuan, penyertaan dalam kegiatan ekonomi dan bisnes, penerokaan dalam bidang sains dan teknologi, keteguhan dalam sistem keluarga dan masyarakat banyak bergantung kepada kesungguhan dan kekuatan peribadi yang terbabit dengannya. Kecenderungan menyalahkan orang lain dan bergantung kepada penyelesaian orang lain terhadap masalah yang berbangkit adalah jalan mudah mencari kambing hitam dalam jalan keluar daripada masalah.
Malah ada kecenderungan yang amat aktif dalam kalangan orang Melayu yang menaja aktiviti budaya popular baik dalam media cetak dan elektronik mahupun dalam bentuk pesta dan festival yang tambah melalaikan dan merosakkan kualiti jiwa dan emosi generasi muda Melayu sehingga akhirnya berbangkit pelbagai masalah yang serius dan menyentuh mengenai jati diri dan kekuatan umat Melayu itu sendiri. Pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Hingga ada sebilangan orang Melayu berpendapat bahawa menaja kegiatan hiburan yang sifatnya melampau adalah tidak salah, malah ia adalah sumber bisnes.
Bayangkan kerosakan peribadi dan akhlak akibat daripada hiburan yang melampau telah memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap jati diri generasi muda. Kerosakan yang berlaku tidak tertampung dengan pulangan kewangan yang diterima. Penyalahgunaan dadah Masalah penyalahgunaan dadah sudah mencapai paras tertinggi melepasi sejuta orang. Lebih 70 peratus adalah generasi muda Melayu. Pusat Serenti terpaksa menampung jumlah yang semakin meningkat. Di universiti jumlah kemasukan lelaki muda Melayu semakin berkurang. Bayangkan corak modal insan yang bakal lahir pada masa depan.
Kurangnya masa yang berkualiti yang diberikan oleh ibu bapa terhadap hal ehwal pendidikan dan kebajikan anak menyebabkan anak rasa terbiar, kekosongan dan kelompangan. Keciciran anak Melayu sedang berlaku sejak awal umur lagi, sedangkan tempoh sejak dalam perut ibu hingga akil baligh adalah tempoh yang amat kritikal pendidikan anak seharusnya berlaku. Apabila anak tercicir di rumah tidak ada jaminan sekolah bakal mengatasi masalah mereka. Tabiat anak yang tercicir akan berterusan di sekolah dan bakal lebih parah lagi apabila berada di tengah-tengah masyarakat.
Ibu bapa Melayu harus memikul tanggungjawab menguruskan anak dengan penuh keinsafan. Dengan siapa anak berkawan, membiarkan anak secara bebas lepas di kafe siber, tidak bertanya mengapa lewat pulang, membiarkan anak terbabit dalam kegiatan antisosial seperti ‘mat rempit’, membiarkan bahan media cetak dan elektronik yang merangsang nafsu dan minda berada di dalam rumah tanpa kawalan adalah antara faktor yang menjinakkan remaja dan generasi muda Melayu kepada jerat yang bakal menjebak mereka ke arah hidup yang bermasalah. Pihak di luar keluarga harus turut sama membantu. Sekiranya kelemahan pengurusan keluarga tidak dibantu oleh sekolah atau agensi yang menyumbang ke arah pembangunan generasi muda, maka orang Melayu akan terus menerus menghadapi masalah. Masalah yang sedia ada sudah semakin parah.
www.bharian.com.my
Wednesday, June 19, 2013
Sejarah Malaysia Perlu Ditulis Semula
Thursday, May 30, 2013
Nantikan Program 'LANSKAP' esok...
Tuesday, April 30, 2013
Sindrom malu mengaku Melayu
Sebenarnya isu Melayu ini sudah menjadi isu politik. Ada tokoh yang mengatakan memperjuangkan Melayu itu sebagai perkauman dan perkauman ditolak oleh Islam. Tokoh ini tidak mengambil kira perjalanan budaya dan sejarah orang-orang Melayu dan mengambil pendirian begitu kerana ingin memisahkan Islam dan faham kebangsaan.
Islam adalah suatu agama yang syumul dan sifatnya rahmah alamiah, iaitu memiliki sifat sejagat. Tetapi membentuk sesuatu bangsa supaya memiliki tasawwur dan penghayatan Islam tinggi adalah suatu proses.
Al-Quran dalam Surah al Hujurat (13) menyebutkan penciptaan sesuatu bangsa adalah suatu fitrah. Yang pentingnya ialah berlaku kekenalan atau upaya menyantuni cara berfikir, pengalaman budaya dan tamadun supaya terjadi kefahaman. Yang terbaik di kalangan bangsa-bangsa ini ialah yang bertakwa.
Rasulullah SAW sangat mengasihi kaum Quraish. Apakah Rasulullah SAW seorang yang menganut faham asabiyyah kerana sukakan kaumnya. Ibn Khaldun dalam al Muqaddimah menyatakan mengenai asabiyyah yang positif selagi kita tidak melakukan kezaliman terhadap orang lain.
Fitrah seorang ayah dan ibu menyayangi anak-anaknya bukanlah amalan yang bercanggah. Fitrah sebuah keluarga terhadap keluarga lain tidak juga menyalahi dan fitrah suatu bangsa yang Islami terhadap bangsa tidak Islami harus disantuni lantaran pedoman Islam yang dimilikinya menyebabkan berlaku keadilan terhadap yang lain.
Bila sebut Melayu pada dirinya tidak saja beragama Islam, jalur akidah, ibadah, syariah dan akhlak bersama dengannya. Soal darjah penghayatan Islaminya adalah berbeza-beza. Ini adalah suatu hakikat yang juga berlaku pada zaman Rasulullah, sahabat dan tabie’ tabieen.
Kelemahan iman dan ilmu di kalangan orang Melayu tidak boleh dijadikan asas mereka tidak Islam. Label-label mereka itu memperjuangkan rasisme adalah melampau. Ia dilakukan untuk membezakan secara tajam perjuangan parti Islam dan tidak Islam supaya orang boleh membuat pilihan dan mendapatkan pengaruh.
Bahasa Melayu umpamanya diresapi ribuan istilah al-Quran dan Bahasa Arab menyebabkan status Bahasa Melayu menjadi bahasa Islam. Kalimah-kalimah seperti amanah, adil, ihsan, rahmah, nikmah dan banyak lagi adalah istilah Islam. Apakah perjuangan Melayu memartabatkan istilah Islam untuk diguna pakai dan penulisan serta pemikiran bermakna ia memperjuangkan asabiyyah atau rasis.
Bank Rakyat umpamanya dalam operasi patuh syariah amat diminati orang bukan Islam atas asas sistem kewangan patuh-syariah mampu menghasilkan dividen tinggi dan kestabilan yang terjamin.
Mengungkapkan Islam atau tidak Islam atau rasis bukanlah suatu kerja yang bijaksana. Ia tidak lebih suatu retorik untuk maksud pengaruh. Sepatutnya yang dilontarkan ialah pendekatan dai’ dan murabbi yang sifatnya menyantuni bukannya cenderung ke arah membina garis pemisah bahawa yang ini adalah hisbullah dan yang sana adalah hisbussyaitan.
Pendekatan ini sifatnya gopoh tanpa kesediaan meraikan proses dakwah yang amat diutamakan Islam.
Sunday, December 23, 2012
Pupusnya seni menulis surat
Tujuan saya menulis surat itu semata-mata untuk memberitahu bahawa saya tidak dapat pulang ke kampung sewaktu cuti penggal universiti. Ayah buta huruf. Surat dalam tulisan jawi itu akan dibacakan pada beliau. Bagi generasi hari ini, surat seumpama itu terasa janggal dan pelik. Bahasa yang digunakan terlalu formal, menyerupai bahasa istana. Itulah adab menulis surat dan budaya berbahasa kepada orang tua.
Pada zaman sebelum wujudnya sistem pesanan ringkas (SMS), emel, Facebook dan Twitter, itulah kaedah perhubungan di antara manusia. Apa yang lebih penting ialah wujudnya peraturan dan hukum hakam yang tertentu dalam melakukannya. Ia tidak boleh dibuat secara semberono kerana apa yang ditulis melambangkan akhlak dan peribadi si penulis. Dalam budaya Melayu seni menulis surat ini cukup dihargai. Sejak sekian lama seni menyurat menjadi sebahagian daripada tradisi bangga orang Melayu.
Raja-raja Melayu, ketua masyarakat, sasterawan dan seniman hingga rakyat biasa berkomunikasi dengan cara itu. Surat yang diterima itu akan ditelaah dan kemudiannya disimpan sebagai khazanah berharga. Surat-surat ini menjadi rekod peribadi yang sangat bermakna. Teknologi komunikasi, maklumat Dunia telah diubah oleh teknologi komunikasi dan maklumat. Sewaktu saya masuk ke universiti pada tahun 1974, rumah saya di kampung tidak ada telefon. Telefon bimbit hanya muncul 18 tahun kemudian.
Sepuluh tahun yang lalu kita mengenal SMS. Hari ini manusia tidak dapat hidup tanpa telefon bimbit dan perhubungan sesama manusia mengambil dimensi yang lain. Kaedahnya bukan sahaja cepat dan ringkas tetapi juga canggih dan menarik. Anak saya di luar negara hanya perlu menulis “Ayah, tolong hantar wang” tanpa perlu memulakan mukadimah panjang seperti yang pernah saya lakukan. Mesej yang dihantar melalui teknologi komunikasi baru ini penuh singkatan, nombor dan gambar. Ahli bahasa menjadi cemas kerana bentuk formal bahasa telah turut dicabar.
Struktur komunikasi bukan formal dalam SMS dan emel kini terbawa-bawa ke dalam bahasa formal. Para guru mengadu pelajar di sekolah menulis karangan dan membuat ayat dalam bahasa bukan formal yang biasa mereka gunakan dalam berkomunikasi melalui alat komunikasi pintar. Ahli bahasa melihat kelahiran bentuk linguistik yang lebih menyerupai centaur (makhluk separuh haiwan separuh manusia dalam mitos lama) di alam maya – tidak lagi formal, mengenepikan sintaksis malah nahu. Proses sosialisasi juga telah berubah. Cara formal saya menulis surat tidak lagi relevan.
Dunia percintaan juga mengambil bentuk baru dalam alam siber ini. Surat-surat buat kekasih yang satu masa dahulu sebahagian daripada tradisi menyurat yang indah dan unik juga sudah berkubur. Satu waktu dahulu orang berkenalan di kolum ‘Kembang Setaman’ dan ‘Sahabat Pena’ di akhbar dan majalah lalu menulis surat sesama mereka. Entah berapa banyak perkahwinan berakibat daripada ruangan sedemikian. Cinta melalui surat kini menjadi cinta siber. Pupus satu tradisi cerdik, indah.
Pada hari ini segala-galanya diringkaskan. Manusia hidup dengan simbol, imej dan icon. Maka pupuslah satu tradisi cerdik dan indah yang menghubungkan sesama manusia. Surat-surat ini bukti kebijaksanaan manusia menggunakan bahasa yang indah dan berkualiti tinggi. Bayangkan surat-surat karyawan besar dunia yang menampakkan bukan sahaja percikan genius mereka tetapi juga ketekunan mengarang dan penggunaan bahasa yang indah. Banyak daripada sasterawan besar dunia yang dikenal bukan sahaja melalui karya-karya mereka tetapi juga surat-surat yang mereka tulis.
Terlalu banyak surat menyurat di antara karyawan besar kita sendiri yang nampaknya akan tinggal dalam koleksi peribadi atau tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP. Banyak lagi koleksi surat peribadi pemimpin Melayu yang mungkin terdapat di Arkib Negara Malaysia. Entah sekian ribu surat-surat peribadi yang merakamkan rasa cinta, kecewa, marah, gembira dan ceria sasterawan Melayu yang akan ditemui lagi.
Sasterawan muda hari merakamkan perasaan mereka melalui SMS, Facebook, blog, emel dan lain-lain juga. Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan baru-baru ini menerbitkan koleksi Menyurat Kepada Sahabat yang memuatkan surat-surat peribadi beliau dari tahun 1975 hingga 2002. Saya berharap Anwar masih lagi menulis surat kepada sahabat-sahabatnya sampai ke hari ini.
Sumber: bharian.com.my
Pengarang : Johan Jaaffar
Monday, December 7, 2009
Siapa orang Melayu Funan?
Pengasas kerajaan Funan bernama Raja Kaundinya banyak disebut dalam Hikayat Demang Lebar Daun (Annals of the Willow Tree) yang mempunyai kaitan dengan Kataha. Tokoh sejarah ini dianggap wira yang berperanan sebagai pengasas tamadun Indocina dalam kurun 1 Masihi.Sepertimana orang-orang Yunani, orang Melayu Funan mengagungkan kerabat orang-orang berjasa seperti Kaundinya. Kaundinya dikatakan mempunyai kelebihan ilmu merancang bandar kerana rombongan yang dibawanya termasuk ahli bijak pandai yang berupa membina empangan air untuk pertanian serta mengusaha projek-projek awam yang lain termasuk ketenteraan. Sebagaimana diriwayatkan oleh Hikayat Merong Mahawangsa, Raja Kaundinya mengepalai ekspedisi yang amat kuat:
"....tahap pembukaan negeri perlu diperhatikan dahulu. Tahap ini seringkali digambarkan sebagai sekumpulan orang yang berpindah-randah ... memakan masa yang lama ... contohnya dalam Hikayat Merong Mahawangsa ... selama 200 hari, kumpulan ini dipimpin oleh seorang raja atau keturunannya diikuti menteri, penggawa, hulubalang, rakyat dan bala tentera. Pada umumnya ia berhenti di beberapa tempat di mana orang bermain dan orang lelaki berburu."
Untuk perdagangan dengan Langkasuka dan lain, pelabuhan Oc Eo ditubuhkan. Kejayaan projek-projek Kaundinya mendapat sambutan dan dengan itu kerajaan Funan menjadi makmur dan kuat. Kejayaan ini dikisah sebagai teori pengasas Funan, Teori Kaundinya.Teori ini sebenarnya bergantung kepada ilmu perancang bandar. Tamadun yang lebih awal mempunyai tatacara memilih pegawai yang berkaliber, mengusahakan tenaga kerja efisien serta cekap mengutip hasil dan cukai untuk pembangunan awam. Tatacara ini dikumpul dan diperbaiki mengikut pengalaman. Penulisan tatacara yang paling lengkap diusahakan oleh Kautilya pada masa Raja Chandragupta.
Budaya, agama dan bahasa adalah berkait rapat. Disebabkan bahasa tamadun di sekitar Indo-Pakistan adalah Vedas dan Sanskrit, makan tidak dinafikan bahawa panduan perantaran sistem pemerintahan awal negara kota Melayu (pura) banyak mempunyai ciri-ciri yang sama. Contoh kesimpulan simplistik mengenai orang-orang Melayu adalah seperti berikut:
" ... the early Malays ... belong to an older scheme of things ... Hindu organization for government, war, court ceremonial, elephant riding, trade, commerce and the rest ..." Ianya dikatakan simplistik kerana bahasa dan budaya pengucapan umum rakyat jelata adalah Melayu, dan hanya golongan cerdik pandai kerajaan (aristokrasi) sahaja yang dipercayai mahir menggunakan bahasa Sanskrit.
Prosiding Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut
Anjuran Pusat Warisan Seni Melayu & UiTM.
Wednesday, December 2, 2009
SEMINAR PERADABAN MELAYU
Prof. Emeritus Dr. Datuk Asmah Hj. Omar, Felo Penyelidik Kanan, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beliau adalah seorang sarjana bahasa Melayu yang mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman yang meluas dan mendalam tentang bahasa Melayu. Beliau akan berbicara mengenai "Bahasa Sebagai DNA Peradaban."
Prof. Dr. Adnan Awang, Penyandang Kursi Za’ba, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau banyak menyelidiki sejarah dan sumbangan Za'ba dan tokoh-tokoh lain terhadap kecendekiaan Melayu. Beliau akan membentangkan dapatan kajiannya menganai "Cendekiawan Melayu dan Perjuangan dalam Karya Kesarjanaan Mereka."
Dr. Siti Zainon Ismail, mantan profesor, Universiti Kebangsaan Malaysia. Dr. Siti Zainon adalah seorang sarjana seniman Melayu yang terkenal dengan ketokohan dan karya beliau di Alam Melayu. Beliau akan berbicara mengenai "Gaya Berbusana: Adat Dan Adab Selaras Keindahan Peradaban Melayu."
Datuk Dr. Hassan Ahmad, Pengarah Urusan, Yayasan Karyawan Datuk Dr. Hassan Ahmad menerajui Yayasan Karyawan yang menerbitkan Siri Karya Agung dalam bahasa Melayu. Beliau adalah seorang pemikir yang banyak membaca, menulis dan berbicara mengenai pergelutan dalam peradaban semasa kita. Beliau akan membicarakan "Karya Agung Melayu: Cerminan Keunggulan Akal Budi Bangsa Melayu Sepanjang Zaman."
Prof. Dr. Datuk Zainal Kling, Penyandang Kursi Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Prof. Datuk Dr. Zainal Kling adalah seorang budayawan sarjana yang lantang membicarakan isu-isu dalam peradaban Melayu semasa. Beliau berbicara mengenai "Nilai-Nilai Unggul Masyarakat Melayu".
Encik Nasha Rodziadi Khaw, siswa sarjana, Universiti Sains Malaysia. Beliau adalah seorang graduan sains yang terpaut pada bidang arkeologi. Dengan kemahirannya dalam bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Perancis, beliau dapat meneliti banyak dokumen asal dalam bahasa-bahasa tersebut, dan membuat "Satu Analisis Sosioekonomi Kerajaan Awal Semenanjung Tanah Melayu Sebelum Kurun Ke-13."
Prof. Datuk Dr. Yaacob Harun, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Prof. Datuk Dr. Yaacob pernah memegang Kursi Pengajian Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, di Universiti Leiden, dan di Victoria University of Wellington. Beliau banyak menjalankan kajian terhadap masyarakat Melayu semasa. Beliau akan membentangkan dapatan kajiannya mengenai "Melayu dan Identitinya."
Prof. Dr. Datuk Wan Hashim Wan Teh, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Datuk Prof. Dr. Wan Hashim Wan Teh terkenal dengan penyelidikannya mengenai diaspora Melayu. Beliau akan menyampaikan hasil penyelidikannya mengenai "Rumpun Melayu Minoriti dan Diaspora, Persoalan Jati Diri."
Prof. Madya Nuwairi Khazai, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Kanun ini adalah asas pembinaan sebuah peradaban, iaitu apabila ada undang-undang yang tertulis. Tuan Nuwairi melakukan banyak penyelidikan terhadap kanun-kanun Melayu. Beliau akan menyampaikan dapatan kajiannya "Kanun-Kanun Melayu Sebagai Ukuran Peradaban Melayu."
Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Datuk Zainal Borhan banyak meneliti dan berbicara tentang peradaban Melayu, dan beliau akan membicarakan "Memantapkan Peradaban Melayu."
Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah, Institut Peradaban Melayu, Universit Pendidikan Sultan Idris. Prof. Abdullah Hassan melibatkan diri dalam perancangan bahasa Melayu di DBP dan Pengajian Tinggi semenjak 1972. Beliau akan menyampaikan makalah "Bahasa Sebagai Unsur Budaya, dan Pembinaan Peradaban Bangsa."Thursday, October 29, 2009
Sekolah ikut kaum - adalah kilang pembentuk rasis
Sokong sekolah satu aliran(Adakah isu ini 'rocket science'? )
KUALA LUMPUR 28 Okt 2009. – Saranan tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim supaya kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan antara kaum tercapai, disepakati Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
Mereka bersetuju bahawa perpaduan antara kaum harus menjadi matlamat utama kerajaan dan usaha mewujudkan sekolah satu aliran mungkin boleh menjadi titik tolak ke arah itu.
--Utusan Malaysia-
Rajamenangis kata>> Saintis dan teknologi kini sudah boleh mengira jumlah butir pasir yang ada di dunia ini, TAPI Malaysia baru kecoh nak melihat isu ini? Sepatutnya polisi ini telah di putuskan lama dahulu dan penentangnya disembelih hidup hidup. Sistem pelajaran Kebangsaan berdasarkan satu bahasa dan budaya kebangsaan di sekolah sekolah adalah jalan keluar daripada kemelut bodoh sekolah berasaskan perkauman. Beberapa sekolah menengah memang mempunyai matlamat dan tradisi lama yang tersendiri (contoh: MCKK) yang perlu dipelihara, tetapi itu bukan penghalang kepada permulaan sistem satu aliran di negara ini.
Saturday, October 24, 2009
Prof Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim MENJAWAB

Prof Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim
Mengapa begitu sukar untuk memperoleh konsensus di antara rakyat Malaysia (walaupun sudah merdeka selama 52 tahun) berkaitan sejarah? Oleh Ooi Beng Thu, Pulau Pinang
Sepanjang abad ke-19 sampai pertengahan tahun 1930-an ketika migrasi itu berhenti, kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza memilih untuk hidup berasingan. Proses sosialisasi itu cetek sehingga budaya tradisional terus-menerus wujud. Konsep ini ditanamkan dalam generasi muda bahawa mereka harus menjaga identiti etnik mereka yang berasingan. Tarikan poltik yang kuat, dari China dan India, membantu lagi untuk menekankan identiti etnik masing-masing. Selagi kemasukan bangsa asing meningkat pesat, orang Melayu mulai takut bahawa orang asing boleh, dalam masa yang akan datang, menggantikan mereka dalam negeri mereka sendiri.
'Etnik separatisme' di pelbagai lapisan kehidupan adalah pilihan utama dari setiap kumpulan dan bukan disebabkan oleh kerajaan British sahaja. Amalan masa lalu sangat tertanam untuk melakukan satu perubahan radikal untuk diperkenalkan hanya dalam satu atau dua generasi.
Anda telah menulis dengan banyak. Ada apa dengan komuniti ini yang menarik bagi anda? Bulbir Singh, Seremban
Saya telah lama tertarik kepada kepelbagaian budaya Malaysia walaupun saya tidak boleh mendapatkan sokongan untuk kajian tentang subjek. Sikh mungkin merupakan kumpulan minoriti tapi mereka dibawa ke sini pada awalnya untuk membantu menegakkan hukum dan untuk membawa kestabilan ke pelbagai bahagian negara. Mereka akan tumbuh menjadi sebuah kumpulan etnik yang mempaparkan ciri menarik. Mereka juga luar biasa dalam sukan. Mereka memainkan peranan utama dalam memulakan perlumbaan berbasikal di negeri ini dan Lal Singh telah menjadi satu-satunya rakyat yang pernah bermain cricket. Ada orang Sikh yang mengambil pelbagai profesi: perubatan, undang-undang, perdagangan, pendidikan, dll Tapi mereka mempunyai budaya yang tetap sangat rumit dan sampai sekarang banyak orang Malaysia tidak boleh membezakan antara Punjabi dan Bengal.
Apa pendapat anda tentang malaysia merayakan Hari Kebangsaan on Aug 31 meskipun pada 16 September 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia? Kwa, KL
Hal ini tidak perlu untuk menyelidik lebih daripada perayaan Hari Kebangsaan. Sabahans dan Sarawakians mempunyai titik ketika mereka mengatakan bahawa on Aug 31, 1957, baik Sabah dan Sarawak masih jajahan Inggeris.
Ada solusi mudah untuk masalah. Setiap tahun perayaan Hari Kebangsaan boleh mula on Aug 31 dan 16 September boleh menjadi tarikh akhir sambutan. Dengan begitu kita dapat menjamu kueh!
Dari buku-buku yang telah anda tulis, yang paling anda banggakan? Hamdan Salleh, Melaka
Buku yang melancarkan karier saya adalah The Bahasa Melayu Syarikat Sarawak 1850-1873, yang diterbitkan pada tahun 1972 oleh Oxford University Press. Saat itu saya buat M.A. tesis. Dalam tesis, saya mencabar pandangan ulama yang terkenal, Rupert Emerson, yang dalam bukunya - Malaysia: A Study in Direct and Indirect rule–- berpendapat bahawa tempoh antara 1824 (ketika Perjanjian British-Belanda ditandatangani) dan 1874 (ketika Triti Pangkor ditandatangani yang menandakan awal campur tangan Inggeris di Semenanjung negara Bahasa Melayu) adalah satu "setengah abad tanpa aktiviti."
Sub-tajuk buku saya adalah "“The Effects of Commercial Development on Malay Politics". Dalam buku ini, saya menunjukkan bahawa antara 1824-1874, di Semenanjung Tanah Melayu sangat berbeza. saya menyatakan panjang lebar tentang pertubuhan rahsia Cina di Tanah Melayu dimana RJ Wilkinson dan R.O. Winstedt tidak boleh menangani isu itu.
Apa yang anda pikirkan adalah peristiwa tunggal paling penting dalam sejarah Malaysia sejak kemerdekaan pada 1957? Salmah Harun, PJ
Pembentukan Malaysia. Ini disebabkan bukan hanya masalah yang serius antara Malaya dan negara-negara jirannya terutama Indonesia dan Filipina, tetapi juga menimbulkan ketegangan antara the Malayu dan bukan Melayu. British tidak memasukkan Singapura ke dalam Kesatuan Malaya 1946, sama juga dengan Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, kerana takut bahawa akan ada masalah antara orang Melayu dan bukan Melayu. Mereka yang tidak akrab dengan sejarah mungkin tidak menyedari bahawa 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur bermula dengan pertengkaran etnik pada tahun 1964 di Singapura dan Tunku Abdul Rahman diusir daripada Singapura untuk mencegah masalah daripada merebak ke Semenanjung. Tapi terlambat. Benih-benih kebencian dan permusuhan telah ditanam sejak 1964.
Anda adalah rakan penulis Rukunegara. Adakah itu masih mempunyai peranan yang sama dan perkaitan hari ini? G. S. Maniam, Gombak
Ini adalah minda Tan Sri (sekarang Tun) Ghazali Shafie. Tapi itu dibahas secara luas oleh sebuah panel kajian yang saya adalah seorang ahli sebelum diajukan kepada Majlis Operasi Nasional. Sayangnya, seperti Laporan Pendidikan Razak 1956 (yang menyatakan bahawa "tujuan utama daripada dasar pendidikan kebangsaan adalah persatuan kebangsaan"), pelaksanaannya telah menyimpang. Pada mulanya, anak-anak sekolah dapat belajar dengan menghafal tetapi tidak pernah dijelaskan atau diberi penerangan kepada mereka.
Sumber: (c) 2009 The Star 24 Ogos. 09
Saturday, October 17, 2009
TERPANGGUL AKU

Sambil ku baca
Sambil ku rangkul dalam jiwa
tidak lepas sebutan ku lalui
lemah ku menjadi jadi
lalu kucapaikan
sebuah quran usang
tiap ayat kerdil ku baca
kelangsungan meriah tiba
pada hakiki detik ketika
menjejak puisi sekalung rasa
yang terpanggul dimata
Maka ternyanyilah puisi
dalam alun malam ketika doa ku tiba
terpancar nampaklah serinya kata
lalu aku pasrah memahaminya
Ia menarik dan melarik jiwa
Benarlah dugaanku
dikejauhan itu betapa sebuah hati terpatah
gara karenah gila ku
terpana juga
aku menggigil dalam ruang kamar
persona dengan bayu aidilfitri
yang masih sepoi terasa
petanda mukjizat restu
bahawa inilah luka terakhir tinggalan ku.
(C) 2009, Shali
Tuesday, October 13, 2009
Bahasa Malaysia: Bahasa rahsia keperibadian tinggi

Bahasa Malaysia: Bahasa 1Malaysia
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bagi peminat filem klasik P. Ramlee, pasti masih segar dalam ingatan mereka satu adegan di dalam filem 'Seniman Bujang Lapok' di mana seorang jaga Benggali di studio filem Melayu Jalan Ampas, Singapura menegur Sudin kerana menggunakan bahasa yang agak kurang sopan bila bertanya tentang kekosongan kerja.
Watak utama, Ramlee, kemudian memarahi Sudin kerana mengajukan pertanyaan dengan cara kurang manis, sambil berkata "bahasa menunjukkan bangsa" dan orang Melayu memang terkenal dengan kesopanan dan kelembutan keperibadian mereka.
"Saya kira filem itu mahu menyampaikan mesej bahawa penggunaaan perkataan yang sopan adalah penting untuk memupuk dan mempraktikkan perpaduan, nilai murni serta kesopanan. "Penggunaan bahasa yang sopan dan hormat adalah penting sama ada dalam pertuturan atau bertulis. Bahasa itu akan mencerminkan kesopanan masyarakat yang menggunakannya," kata pengurus industri hiburan Abdul Rahim Abdul Hamid.
Kata beliau apa yang P. Ramlee mahu sampaikan ialah masyarakat semestinya menggunakan bahasa yang sopan dalam komunikasi harian dan umum akan menghormati bangsa itu dan begitulah sebaliknya.
Oleh itu, perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini boleh disemai dengan menggunakan satu bahasa, iaitu Bahasa Malaysia seperti yang digarapkan dalam
KEDUDUKAN BAHASA MELAYU
"Ia juga selari dengan konsep 1Malaysia yang mempromosikan perpaduan - Satu Negara, Satu Bangsa, Satu Suara yang diabadikan dalam gagasan 1Malaysia", kata Fatimah. Menurut beliau semua Akta itu mengutamakan kepada penggunaan dan kepentingan bahasa kebangsaan dalam membentuk bangsa Malaysia.
Pensyarah dalam bidang perubatan Dr K. Ling bersetuju dengan pandangan ini.
"Saya telah merawat ramai pesakit daripada pelbagai golongan etnik dan yang datang dari jauh seperti dari Sabah dan Sarawak. Bila saya bertanya dan bercakap dalam Bahasa Inggeris, tak ramai yang faham. Dalam banyak kes, komunikasi cara sebegini adalah sukar dan tidak lancar. "Berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia lebih senang. Adalah baik jika kita menggunakan Bahasa Malaysia kerana ia membolehkan semua kaum berinteraksi antara satu sama lain. Bahasa Malaysia ialah bahasa untuk semua", kata beliau.
BAHASA ADALAH JIWA BANGSA
Kerajaan mempunyai objektif membentuk satu Bangsa Malaysia yang bangga dengan Bahasa Malaysia sebagai identiti mereka. Mulai tahun depan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan telah diarahkan untuk melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan Oktober.
Tema bagi sambutan tahun ini ialah "Bahasa Jiwa Bangsa" yang juga merupakan moto Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak ditubuhkan pada tahun 1956.
(c) 2009 Oleh Zulkiple Ibrahim-- BERNAMA



















