ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Tuesday, October 13, 2009

Bahasa Malaysia: Bahasa rahsia keperibadian tinggi


Bahasa Malaysia: Bahasa 1Malaysia

Kerajaan mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan untuk meningkatkan kesedaran bagi kepentingan Bahasa Kebangsaan sebagai alat memupuk perpaduan. Berikut ialah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenainya.

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bagi peminat filem klasik P. Ramlee, pasti masih segar dalam ingatan mereka satu adegan di dalam filem 'Seniman Bujang Lapok' di mana seorang jaga Benggali di studio filem Melayu Jalan Ampas, Singapura menegur Sudin kerana menggunakan bahasa yang agak kurang sopan bila bertanya tentang kekosongan kerja.

Watak utama, Ramlee, kemudian memarahi Sudin kerana mengajukan pertanyaan dengan cara kurang manis, sambil berkata "bahasa menunjukkan bangsa" dan orang Melayu memang terkenal dengan kesopanan dan kelembutan keperibadian mereka.

"Saya kira filem itu mahu menyampaikan mesej bahawa penggunaaan perkataan yang sopan adalah penting untuk memupuk dan mempraktikkan perpaduan, nilai murni serta kesopanan. "Penggunaan bahasa yang sopan dan hormat adalah penting sama ada dalam pertuturan atau bertulis. Bahasa itu akan mencerminkan kesopanan masyarakat yang menggunakannya," kata pengurus industri hiburan Abdul Rahim Abdul Hamid.

Kata beliau apa yang P. Ramlee mahu sampaikan ialah masyarakat semestinya menggunakan bahasa yang sopan dalam komunikasi harian dan umum akan menghormati bangsa itu dan begitulah sebaliknya.

"Hormat terhadap sesuatu masyarakat terbit dari cara mereka menggunakan bahasa mereka," kata beliau. Bagaimanapun, dengan adanya usaha untuk memperkukuh penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan semua kaum di negara ini, bahasa-bahasa kaum lain tidaklah harus dipinggirkan.

Bahasa Kebangsaan ialah alat penting untuk memupuk perpaduan dan ini berkait rapat dengan konsep 1Malaysia. Kita mungkin datang dari pelbagai kumpulan etnik, budaya, kepercayaan dan ideologi politik tetapi mereka akan tetap bersatu di bawah satu bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia. Rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri serta semangat sayangkan Bahasa Malaysia kerana rasa cinta dan kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan mempamerkan lambang patriotisme.

Oleh itu, perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini boleh disemai dengan menggunakan satu bahasa, iaitu Bahasa Malaysia seperti yang digarapkan dalam
KEDUDUKAN BAHASA MELAYU

Umum juga mengalu-alukan langkah kerajaan menjadikan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan. Aktivis sosial Fatimah Mansur berkata ini memang sesuai dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. "Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) ialah Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub di dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1967, juga di bawah Seksyen 5 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.

"Ia juga selari dengan konsep 1Malaysia yang mempromosikan perpaduan - Satu Negara, Satu Bangsa, Satu Suara yang diabadikan dalam gagasan 1Malaysia", kata Fatimah. Menurut beliau semua Akta itu mengutamakan kepada penggunaan dan kepentingan bahasa kebangsaan dalam membentuk bangsa Malaysia.

Pensyarah dalam bidang perubatan Dr K. Ling bersetuju dengan pandangan ini.

"Saya telah merawat ramai pesakit daripada pelbagai golongan etnik dan yang datang dari jauh seperti dari Sabah dan Sarawak. Bila saya bertanya dan bercakap dalam Bahasa Inggeris, tak ramai yang faham. Dalam banyak kes, komunikasi cara sebegini adalah sukar dan tidak lancar. "Berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia lebih senang. Adalah baik jika kita menggunakan Bahasa Malaysia kerana ia membolehkan semua kaum berinteraksi antara satu sama lain. Bahasa Malaysia ialah bahasa untuk semua", kata beliau.

BAHASA ADALAH JIWA BANGSA
Kerajaan mempunyai objektif membentuk satu Bangsa Malaysia yang bangga dengan Bahasa Malaysia sebagai identiti mereka. Mulai tahun depan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan telah diarahkan untuk melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan Oktober.

Tema bagi sambutan tahun ini ialah "Bahasa Jiwa Bangsa" yang juga merupakan moto Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak ditubuhkan pada tahun 1956.



(c) 2009 Oleh Zulkiple Ibrahim-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment