ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Tuesday, October 13, 2009

MASJID TERBESAR, TERINDAH DI DUNIA ?







Masjid Sheikh Zayed, Abu Dhabi dilihat sebagai sebuah mercu tanda tersohor, kerana membawa sentuhan pelbagai kepakaran, rekaan, bahan binaan dari seluruh dunia seperti; Itali, Jerman, Maghribi, India, Turki, Iran, China, Greece dan tidak ketinggalan dari rantau Asia Barat sendiri. Reka bentuk seni bina masjid ini pada peringkat awalnya diilhamkan oleh arkitek berbangsa Maghribi. Pun begitu, sepanjang perkembangan pembinaannya terselit ciri-ciri global termasuk pada bahagian dinding luar yang menampilkan reka bentuk tradisional Turki. Malah penggunaan bahan-bahan semula menjadi pilihan iaitu; batu marmar, emas, batu permata, kristal dan seramik. Uniknya juga, masjid ini mempunyai sebanyak 57 kubah meliputi bahagian laman luar dan bangunan utama. Kubah-kubah yang dihias indah dengan batu marmar putih berukiran. Bahagian laman dalamnya pula diturap dengan mozek dan marmar berwarna-warni dengan motif bunga-bungaan terbentang seluas 17,000 meter persegi.

Berbalik kepada kubah utama masjid ini, ia berukuran garis pusat 32.7 meter dan 70 meter tinggi dari dalam dan 85 meter dari luar," kata Fatimah yang sekaligus membolehkan ia diisytiharkan sebagai sebagai kubah yang terbesar di dunia. Di masjid ini juga terdapat sebanyak 1,096 tiang pada bahagian luar masjid dan 96 tiang di ruang solat utama yang menggunakan ukiran buatan tangan pada panel-panel batu marmar yang diselaputi dengan batu permata termasuk lapis lazuli, batu akik merah, batu kecubung dan mutiara. Di samping itu, empat menara (minaret) setinggi 115 meter didirikan pada setiap penjuru masjid.

Tasik buatan seluas 7,874 meter persegi dengan kemasan lantai jubin berwarna gelap, kemas mengelilingi masjid. Kolam ini secara tidak langsung, memantulkan bayang-bayang indah masjid, lebih-lebih pada waktu malam. Masjid ini memukau dengan kilauan cahayanya yang terang benderang.

Bercerita tentang masjid, tidak lengkap sekiranya tidak disentuh tentang ruang solat utama. Masjid Zayed mempunyai ruang solat utama yang bukan sahaja luas tetapi menekankan ciri-ciri kemewahan. Apa tidaknya, hiasan dalamannya sahaja diperindahkan dengan penggunaan marmar putih bertatah reka bentuk motif bunga-bungaan yang menghiasi ruangan dewan solat.

Manakala dinding dalam masjid, dihiasi dengan dekorasi 24 karat emas daripada kaca mozek. Ruang utama solat ini juga mengetengahkan permaidani Parsi buatan tangan yang terbesar di dunia. Seperkara lagi yang menakjubkan tentang Masjid Sheikh Zayed ialah berkenaan dengan tujuh buah lampu candelier yang dihiasi dengan saduran 24 karat emas yang diimport dari Jerman serta direka dengan kilauan kristal swarovski. Candelier paling besar yang digantungkan pada kubah utama masjid dikatakan sebagai paling besar di dunia dengan ukuran garis pusat 10 meter, 15 meter tinggi dan berat antara lapan hingga sembilan tan.

2 comments:

  1. Pembinaan Masjid dari intan, permata waimah berlian pun bisa dilakukan oleh manusia, tetapi pemuka pemuka ugama ini sudah melupakan akan pengisian di dalam binaan yang mereka bikin. Maka dengan itu, berRajalah syaitan di dalam binaan mereka-mereka ini. Akhirnya binaan-binaan ini hanya menjadi kebanggaan, perhiasan, perbandingan dan gambar-gambar atau lakaran mati di dinding. Roh Agama hilang di telan kemasyuran.

    ReplyDelete
  2. Sama-sama kita doakan semoga tidak terjadi hal yg sedemikian, insyaAllah. Segala sesuatu bermula dengan niat. Di negara kita sendiri, yg ramai mengisi ruang masjid cuma orang2 yg melewati usia 50-an. Sedangkan anak2 muda yg 'tidak peka' terus hanyut dlm dunia mereka sendiri ...

    ReplyDelete