ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Tuesday, October 20, 2009

PENGUMUMAN KHAS ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN BESAR NS

Dengan ini Kumpulan Rajamenangis merafak Sembah Takzim serta setinggi-tinggi tahniah kepada kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Yang Ke Sebelas. Tahniah juga kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan sempena Istiadat Pertabalan yang akan berlangsung pada 26 Oktober 2009 di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti. Turut diadakan, jamuan untuk rakyat di khemah-khemah khas yang didirikan.

Untuk Program Sepenuhnya, sila klik sini.

Maklumat-Maklumat Istiadat Pertabalan

1. Program-Program Sempena Bulan Pertabalan
2. Aturcara Pentadbiran Istiadat Bersiram
3. Aturcara Pentadbiran Santapan Tengah Hari Selepas Istiadat Bersiram
4. Aturcara Pentadbiran Istiadat Pertabalan
5. Aturcara Pentadbiran Santapan DiRaja
6. Pelan Tempat Duduk di Dewan Bankuet

RUJUKAN PROSES ISTIADAT YANG LENGKAP DIBAWA KHAS OLEH RAJAMENANGIS

(Gunakan Ctrl-Scroll up - untuk membesarkan Font)

PERTABALAN YANG DIPERTUAN BESAR PENUH ISTIADAT RAJA DI SRI MENANTI NEGERI SEMBILAN

BERMULA: 22 Oktober 2009

Negeri Sembilan bakal menyaksikan pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, yang akan berlangsung penuh istiadat di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti pada 26 Okt. Istiadat pertabalan ini akan berlangsung di Bandar Diraja Seri Menanti dari 22 hingga 28 Okt 2009, menurut Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Istiadat ini bakal mengulangi sejarah lebih 40 tahun lalu, upacara pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman pada 18 April 1967. Istiadat pertabalan pada 26 Okt ini merupakan istiadat kemuncak selepas hampir setahun bermula dengan pemasyhuran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 29 Dis 2008 berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar dua hari sebelumnya. Proses pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan merupakan suatu yang unik kerana dilakukan oleh Undang Yang Empat -- Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau -- setelah dilantik daripada putera-putera yang layak dicalonkan.

BERMULA

Tuanku Muhriz berkata istiadat pertabalan dimulakan dengan istiadat mengeluarkan dan memasang alat-alat kebesaran di halaman Istana Besar Seri Menanti pada 22 Okt oleh Pegawai 99 yang diketuai Datuk Seri Amar Diraja. Alat-alat kebesaran ini terdiri daripada lapan kaki payung kuning, lapan bilah tombak berambu, lapan bilah keris panjang, lapan bilah pedang panjang dan lapan tonggol kuning, hitam dan merah.
Alat-alat ini akan kekal terpasang di halaman Istana selama tujuh hari sehingga istiadat menyimpan dilakukan pada 28 Okt. Ini akan diikuti dengan tembakan dua das meriam. Istiadat seterusnya ialah istiadat bersiram pada 25 Okt melibatkan Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku BEsar Mahmud. Baginda berdua akan bersemayam di atas Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada, disusuli dengan lapan das tembakan meriam. Orang Empat Istana akan menyempurnakan istiadat bersiram dengan menyembahkan bedak limau setelah mengelilingi baginda berdua sebanyak 7 kali. Baginda berdua akan bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti dengan disusuli lapan das tembakan meriam lagi.

KELANGSUNGAN

Istiadat pertabalan akan berlangsung pada 26 Okt di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Istiadat itu bermula dengan ketibaan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Tunku Besar Tampin di sebelah pagi di perkarangan Istana. Setelah bermalam di rumah telapak (rumah persinggahan) masing-masing, Undang Yang Empat akan berehat di balai-balai sementara yang disediakan khas di luar perkarangan Istana Besar Seri Menanti sebelum berjalan kaki memasuki perkarangan Istana Besar Seri Menanti diiringi oleh Datuk-Datuk Lembaga masing-masing. Lima belas das tembakan meriam akan dilepaskan. Undang Luak Sungai Ujong akan berjalan dari Balai Melintang, Undang Luak Jelebu dari Balai Serong, Undang Luak Johol dari Balai Bertingkat manakala Undang Luak Rembau dari Balai Panjang.

Pada ketika ini jemputan lain akan tiba di Istana termasuk Raja Muda atau Tengku Mahkota yang mewakili Raja-Raja Melayu serta Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak dan Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri.

BALAIRONG SERI

Setelah semua mengambil tempat masing-masing di perkarangan Istana Besar Seri Menanti, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diiringi oleh Orang Empat Istana akan berangkat memeriksa barisan kehormatan.
Para tetamu kemudian mengambil tempat di Balairong Seri. Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan kemudian berangkat bersemayam di atas singgahsana dengan diapit oleh Putera Yang Empat. Istiadat bermula apabila Datuk Bentara Kanan menghadap memohon perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan untuk memulakan istiadat dan kemudian meminta Datuk Undang Luak Sungai Ujong bagi pihak Undang Yang Empat, bangun mengisytiharkan bermulanya istiadat pertabalan.

Ini akan diikuti dengan teriakan "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku. Datuk Bentara Kanan kemudian akan mengisytiharkan kepada hadirin bahawa pertabalan selesai dilakukan dan melafazkan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali, diikuti oleh para hadirin.

Lagu kebesaran Negeri Sembilan dimainkan dan disusuli oleh tembakan meriam sebanyak 32 das.

Upacara seterusnya ialah istiadat menghadap dan menjunjung kasih Yang Dipertuan Besar yang dimulakan oleh Undang Yang Empat, diikuti Datuk Shahbandar Sungai Ujong, Penghulu Luak Tanah Mengandung dan Datuk Lembaga Tiang Balai masing-masing. Menteri Besar Negeri Sembilan kemudian akan menghadap menjunjung kasih serta melafazkan ucapan taat setia. Tuanku Muhriz kemudian melafazkan titah pertabalan dan diikuti bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Akhirnya Datuk Seri Amar Diraja membuat aluan sembah dan memaklumkan bahawa istiadat pertabalan selesai disempurnakan.

SEBELUMNYA

Keunikan istiadat pertabalan di Negeri Sembilan ini melibatkan beberapa istiadat lain sebelumnya dan yang berlangsung di Istana-istana lain.

Antaranya istiadat menghadap Undang Yang Empat yang dilaksanakan oleh Orang Empat Istana manakala yang terpakai di Istana-istana lain ialah menyembahsilakan Raja-Raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Brunei dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Jemputan disempurnakan oleh rombongan Diraja diketuai oleh Tunku Besar Seri Menanti dan disertai Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz, Tunku Alang Tunku Datuk Seri Iskandar, Tunku Panglima Besar Tunku Abdullah dan Tunku Imam Tunku Datuk Seri Mahmud Tunku Besar Burhanuddin, yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, anggota Exco dan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

Istiadat pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 ini merupakan satu daripada tiga istiadat bersejarah di Negeri Sembilan pada tahun ini. Istiadat pelantikan dan pertabalan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud diadakan terlebih dahulu pada 14 April 2009. Sebelum itu diadakan istiadat pelantikan dan pertabalan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz iaitu Putera Yang Empat terkanan, pada 22 Feb 2009, bagi menggantikan tempat ayahanda baginda.

KETURUNAN


Tuanku Muhriz merupakan keturunan langsung daripada salasilah lebih 200 tahun keturunan Raja Lenggang dan juga Raja Alam Pagaruyung, Sumatera. Tuanku Muhriz diputerakan pada 14 Jan 1948. Baginda merupakan satu- satunya anak lelaki Almarhum Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dengan Tunku Ampuan Durah Tuanku Besar Burhanuddin. Baginda dilantik dan ditabalkan sebagai Tunku Laksamana (kedudukan kedua di antara Putera Yang Empat) pada tahun 1960 dan Tunku Besar Seri Menanti (kedudukan tertinggi di antara Putera Yang Empat) pada tahun 1961. Baginda kekal memegang gelaran itu selama 47 tahun. Dibesarkan di Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz menerima pendidikan awal di Sekolah Tuanku Muhammad Kuala Pilah dan Sekolah Tunku Besar Tampin serta Sekolah Menengah King George V, di Seremban. Tuanku Muhriz meneruskan pelajaran di Aldenhem School, United Kingdom ke peringkat O-Levels dan A-Leves. Baginda kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Wales, Aberystwyth, United Kingdom dan dianugerahkan LLB pada tahun 1970.



IHSAN: Kerjasama Bernama 2009


0 comments:

Post a Comment