BUKAN gayanya yang menarik perhatian. Tetapi pandangan matanya yang begitu fokus dan tumpuan yang diberikan wanita Mat Salleh ini terhadap apa ynag saksikannya menarik perhatian.
"Saya kagum, hasil seninya sangat indah, ini bukan sebarang ukiran," ujar Veta Shapkina, 30, berasal dari Moscow Rusia dalam bahasa Inggeris yang fasih.
Sambil mengusap-usap kehalusan sebidang besar ukiran kayu bertinta emas, Veta tidak ragu-ragu menyatakan bahawa mungkin dia akan memilih Malaysia sebagai negara baru untuk didiami jika benarlah negara ini begitu kaya dengan hasil seni yang sebegini indah.
"Anda pun tahu, sejak Soviet Union (Rusia) berpecah saya seperti kehilangan negara saya sendiri, yang tinggal hanyalah saya seorang yang berbangsa Rusia tetapi kemungkinan besar saya harus memilih sebuah negara baru untuk saya diami dan sehingga kini hati saya kuat untuk memilih Malaysia.
"Negara anda mempunyai banyak keindahan tersendiri, terutama hasil seni seperti ini bererti anda mempunyai pelbagai amalan budaya yang unik dan walaupun ukiran ini berunsurkan Islam (tulisan khat ayat-ayat suci Al Quran) tetapi ia membuatkan saya ingin meneroka dengan lebih jauh akan maksud di sebaliknya," katanya.
Veta ditemui di balai Pameran Pintu Gerbang yang akan berlangsung selama sebulan mulai esok, 17 Mac di Muzium Negara, Kuala Lumpur.
Suatu pameran yang tidak harus dilepaskan kerana dengan mengunjungi Pameran Pintu Gerbang ia bagaikan melangkah masuk dari pintu gerbang yang akan membawa kita kembali mengenali budaya bangsa.
Sebanyak 13 koleksi pintu gerbang dipamerkan dengan sembilan daripadanya adalah koleksi kaum Melayu khususnya dari Kelantan. Tiga lagi koleksi kaum Cina dan sebuah lagi adalah pintu gerbang dari Keraton (Istana) Jawa, Indonesia.
Rata-rata apa yang bakal anda saksikan adalah tidak sekadar daun-daun pintu bersaiz besar, tetapi terdapat di sebaliknya adalah catatan sejarah dan pengaruh budaya bangsa yang menjadi satu simbol tamadun dan kekuasaan yang pernah kita miliki.
Jika anda membayangkan sebuah struktur pintu gerbang yang menjadi satu pintu masuk sebuah kota yang besar dan pernah wujud di negara ini maka sejarah mencatatkan sebagaimana tertulis dalam Hikayat Sulalatus Salatin, pintu gerbang atau pintu kota mula digunakan sejak zaman kerajaan Gangga Negara yang terletak di Bruas Perak.
"…Maka segala rakyat Raja Suran pun datanglah mengepung Kota Gangga Negara maka dilawan berperanglah orang di atas kota itu. Maka beberapa ditikam dan dipanah orang dari atas kota, tiada diendahkannya maka tampil juga ia menghampiri pintu Kota Gangga Negara dipalunya dengan cokmarnya, maka pintu Kota Gangga Negara pun robohlah. Maka Raja Suran masuklah ke dalam Kota Gangga Negara dengan segala hulubalangnya…"
Maka sudah tentu, kesan peninggalan struktur pintu gerbang Kota Gangga Negara itu sudah tiada lagi. Tetapi sejak itu terutamanya hampir setiap kerajaan Melayu lama di seluruh Nusantara, mula ditandai kekuasaan yang mereka miliki dengan kehebatan binaan kota, kubu dan pintu gerbang yang antara lain bagi menghalang serbuan dan serangan dari pihak-pihak musuh.
Ini bermakna bagi kerajaan Melayu, pintu gerbang merupakan pintu keselamatan untuk sesebuah istana yang kekuatannya dilihat dari aspek bahan binaannya dan keindahan dari aspek motif dan hiasan.
Tatkala Laksamana Melayu tersohor Hang Tuah misalnya dalam hikayatnya ada menyebutkan pengalaman ketika melawat Kota Patani di selatan Siam:
"Maka Laksamana pun turun ke sampan menuju Patani. Setelah datang ke pantai, maka Laksamana pun naik ke darat lalu ke bandar. Maka dilihatnya Kota Patani itu. Maka Laksamana pun memuji-muji akan kedudukan negeri itu, sukar dialahkan oleh musuh. Adapun muka pintu gerbangnya itu, kepala naga matahari hidup, ekornya matahari mati."
Sehingga tiba pada zaman kejatuhan kerajaan Melayu Melaka tahun 1511, bukan sahaja telah roboh Kota Melaka tetapi telah digantikan dengan Kota Portugis A Famosa dengan pintu gerbang batu yang sering dikunjungi pelawat sehingga hari ini.
Dengan membawakan fakta sedih di sebalik pintu gerbang itu, ia merupakan batu-batu laterit yang diambil dari binaan masjid yang sengaja diruntuhkan bahkan juga batu-batu dari makam atau kubur milik orang Islam dari kerajaan Melayu Melaka.
Begitupun banyak lagi yang harus dipelajari dari setiap binaan pintu gerbang sekalipun ia menjadi satu mercu tanda sesebuah istana, mahligai, rumah-rumah bangsawan sehinggalah kepada candi-candi dan terutama sekali pintu masuk ke masjid-masjid.
Sehingga hari ini pun, jika kita melalui Lebuh Raya Persekutuan pastinya akan ada satu pintu gerbang batu, iaitu Kota Darul Ehsan sebagai tanda kita telah memasuki sempadan yang memisahkan antara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negeri Selangor.
sumber : utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment