SEORANG usahawan kecil gigih membina nama. Bermula dengan merangkak kemudian bangun bertatih perlahan merempuh segala onak dan duri dalam dunia perniagaan. Dia menyewa sebuah lot kedai di pinggir bandar. Lot kedai itu milik bumiputera. Kadar sewa yang dikenakan agak mahal tetapi usahawan itu berhati waja, menerima apa yang ditetapkan lantaran minat untuk berniaga ketika itu sedang meluap-luap.
Ketika hendak memulakan perniagaan, dia bersama adik-beradiknya mengecat lot kedai yang boleh saja disamakan dengan stor buruk. Maklumlah tempat itu sememangnya digunakan untuk menyimpan barangan si kontraktor yang memiliki kedai tersebut.
Sejak itu, dia memulakan perniagaan, membuka bakeri menjual kek, roti serta biskut hasil tangannya sendiri. Selang beberapa lot kedainya, ada satu lagi bakeri milik bukan bumiputera yang mempamerkan tanda halal tanpa diketahui halal tulen atau halal palsu.
Persaingan yang terpaksa ditempuh sememangnya sengit. Tetapi dia tidak mudah berputus-asa. Usahawan itu melebarkan langkahnya mencari pasaran di luar kawasan selain mempelbagaikan cabang perniagaannya.
Daripada bertatih, kini dia boleh berjalan dalam keadaan stabil. Biar pun belum berani berlari, keyakinan yang terbina hasil penat jerih selama lebih 12 tahun membuka matanya tentang erti dunia perniagaan. Dia Melayu. Melayu yang dikatakan mudah mendapat segalanya. Melayu yang dikatakan ada MARA, ada Jabatan Pertanian ada bank, ada diskaun - pendek kata kalau sebut Melayu, macam-macam ada.
Alasan
Tetapi Melayu pemilik lot kedai yang disewanya bukan seperti Melayu yang didefinisikan sebagai Melayu. Pemilik kedai itu tersungkur lantaran pelbagai masalah termasuk tidak tahan kerenah birokrasi bank. Lantas dia rebah terpaksa menjual lot kedai itu kepada bukan Melayu.
Memang sukar dan menyakitkan tetapi dia tidak ada pilihan. Rantaian kesannya adalah kepada usahawan yang menyewa lot kedai tersebut. Pemilik baru mahu menaikan sewa pada tahap tidak masuk akal jika dibandingkan kawasan tersebut. Lot yang disewanya menjadi lot termahal berbanding lot-lot lain. Pemilik baru itu memberi alasan, kedai tersebut cantik. Di mana logiknya? Yang mengecat, yang memasang jubin pada lantai, yang menghias kedai, yang melengkapkan pendawaian elektrik dan pendingin hawa adalah usahawan tersebut.
Pemilik lama apatah lagi pemilik baru tidak mengeluarkan sesen pun untuk membuat semua itu. Tetapi yang terpaksa menanggung kenaikan sewa adalah orang yang mengeluarkan ringgit dan sen iaitu usahawan bumiputera Melayu yang dikatakan memiliki pelbagai keistimewaan.
Itu cerita usahawan di pinggir bandar yang masih memanjat tangga demi tangga untuk mencari jawapan adakah Melayu itu amat istimewa seperti mana yang digembar-gemburkan atau hanya satu peratus sahaja Melayu yang benar-benar menepati kriteria istimewa itu sendiri. Jawapan masih belum ditemui.
Di Suria KLCC - mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur - kita tentu tidak lupa kisah Kelantan Delights. Betapa mualaf yang pada pandangan umum adalah Melayu tidak mampu menyahut cabaran kenaikan kadar sewa yang mencecah hampir RM45,000. Tiada keistimewaan sebaliknya dia diberi kata dua - ambil atau tinggalkan.
Dia tidak ada pilihan sebenarnya di situ, lantas dia menarik diri di celah-celah puluhan nama asing yang megah membina papan tanda nama di kompleks beli-belah tersohor itu. Nama Melayu ada di situ tetapi tidak sampai berapa kerat, itu pun tidak diketahui berapa lama boleh bertahan.
Yang terbaru usahawan di Alamanda - kompleks beli-belah di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan iaitu Putrajaya. Pengurusan Alamanda bersemenda dengan Suria KLCC, begitu juga dengan nasib usahawan di situ. Maka apa yang terjadi baru-baru ini boleh saja disimpulkan sebagai kesinambungan nasib usahawan Melayu/bumiputera baik di pinggir bandar mahu pun di bandar.
Usahawan-usahawan ini masih mencari makna sebenar menjadi Melayu atau bumiputera, lantaran baik premis nun di Rawang mahu pun di tengah bandar raya atau di pusat pentadbiran persekutuan, pemiliknya atau pengurusannya terdiri daripada bukan Melayu.
Melayu hanya menjadi usahawan yang menumpang lot kedai. Melayu hanya pengusaha makanan tradisional yang mencuba nasib di ruang niaga Suria KLCC. Melayu yang cuba berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bukan Melayu di Alamanda.
Itulah Melayu.
inilah bukti mereka menjadi jaguh monopoli kegiatan ekonomi negara ini. kini sasaran mereka menamakan melayu adalah rasis.....
ReplyDeletejakun