ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Sunday, August 29, 2010

Bingkisan Allah buat Ibu di raya



Air mata ibu


7 beradik ditemukan semula selepas setahun berpisah

KUALA LUMPUR: Air mata ibu berlinangan! Itulah babak pilu yang berlaku di Balai Berita di sini, petang semalam apabila pasangan Mahadi Che Mansor, 31, dan Kasmaliza Kassim, 29, dipertemukan dengan tujuh anaknya berusia antara 3 hingga 11 tahun selepas terpisah sejak lebaran tahun lalu.

Kasmaliza yang pada mulanya kelihatan tenang, menitiskan air mata sebaik saja memasuki bilik khas di tingkat 4, bersama Mahadi. Pasangan itu saling berpelukan dengan anak-anak, sambil disaksikan kakitangan akhbar Berita Minggu yang gigih memastikan pertemuan bersejarah anak beranak itu dalam bulan Ramadan iaitu 12 hari menjelang Aidilfitri.

Sebaik bertentang mata, tujuh beradik itu kelihatan terkejut dan seolah-olah malu-malu melihat kehadiran ibu dan bapa serta adik bongsu lelaki mereka yang baru berusia 41 hari. Naqiudin, anak kesembilan pasangan itu cuba mengelak dengan menyorok di belakang banting Berita Minggu sehingga dipujuk petugas Berita Minggu untuk mendapatkan ibunya.

Air mata Kasmaliza semakin deras bercucuran sebaik ditanya anak keempat, Natasha Emilia, 9, adakah dia dan suami akan mengikut mereka pulang ke kampung (Kelantan) dan tinggal bersama sebagai sebuah sekeluarga.

Beliau bagaimanapun terlalu sebak untuk menjawab pertanyaan anaknya itu sebaliknya mengusap-usap kepala Naqiudin, 3 yang terlentuk manja di ribaannya dan berkata, “Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa gembiranya hati ini dapat bertemu semula dengan anak-anak. Terubat sudah segala rindu dendam yang ditanggung selama ini. Sepanjang hampir setahun berpisah dengan mereka, saya sukar melelapkan mata dan selalu mimpikan mereka.”

Mahadi yang lebih banyak mendiamkan diri di awal pertemuan sesekali mencubit pipi si kembar, Airin Puteri dan Adlin Puteri, 4, yang kelihatan sedikit canggung dan teragak-agak apabila diminta jurugambar duduk di sebelah ayah mereka. Namun, Mahadi masih tidak berputus asa mengajak puteri kembarnya bercakap.
“Hendak tinggal dengan ayah di Kuala Lumpur?” tanyanya berulang kali disambut oleh anggukan anak-anaknya itu.

Menyifatkan pertemuan itu sebagai suntikan semangat untuknya bekerja keras menyediakan penghidupan baru buat anak-anaknya, Mahadi berjanji walau apapun terjadi, beliau dan isteri tidak akan membiarkan mereka anak beranak berpisah lagi.

“Saya berazam membawa sembilan anak tinggal bersama saya di Kuala Lumpur ini. Sekarang, saya berusaha kuat menyediakan sebuah rumah selesa untuk kami anak-beranak menetap. Kawan-kawan di sini pun ramai yang bersimpati dan menyuarakan keinginan untuk membantu. Insya-Allah selepas Aidilfitri, diizinkan Tuhan, dapatlah saya membawa anak-anak tinggal bersama,” katanya yang bekerja sebagai mekanik di Bukit Angkasa.

Katanya, sebelum kisahnya meninggalkan anak disiarkan di akhbar, beliau dan isteri ada berbincang untuk pulang berhari raya dan berjumpa anak-anak empat hari sebelum menyambut Aidilfitri.

Malah, Mahadi dan isteri berhasrat menjernihkan sengketa antara beliau dan keluarga mentua dengan bermaaf-maafan dan mengaku kesilapan lampau.

“Saya nekad untuk berjumpa bapa mentua dan mohon ampun darinya. Saya merancang pulang seorang dulu dengan menaiki motosikal tetapi dihalang oleh isteri dan kawan-kawan. Malah, majikan saya menawarkan keretanya untuk pulang ke Kuala Krai,” katanya disokong isterinya.

Beliau menyatakan hasrat untuk membawa anak yang masih belum bersekolah untuk tinggal bersamanya terlebih dulu. Setelah ekonomi stabil dan berjaya membeli rumah selesa, beliau akan mengambil kesemua anaknya tinggal bersama.

“Namun, Takdir Tuhan menemukan kami sekeluarga lebih awal. Bagaimanapun, saya tetap ingin meneruskan niat untuk pulang berhari raya bersama keluarga mentua kelak,” katanya.



Sumber (c) Ismail Mat, Rohaniza Idris, Bennie Zie Fauzi dan Mohd Fakri Awang Lah
bminggu@bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment