ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Sunday, August 29, 2010

Bolehkah Sultan Diturunkan Dari Takhta?

Bolehkah seorang Sultan diturunkan dari takhtanya?

Soalan ini sangat menarik berdasarkan apa yang sedang berlaku di Negeri Kelantan sekarang iaitu kekeliruan mengenai kedudukan Sultan dan Pemangku Sultan.

Menurut Undang-Undang Pelembagaan Tuboh-Kerajaan Kelantan, tidak ada satu artikel pun atau peruntukan yang membenarkan seorang Sultan digugurkan takhta melainkan dengan kehendak dan kerelaan Tuanku Al Sultan itu sendiri.

Artikel 23 (1) menyebut antara lain, "Seorang Sultan tidak boleh berada di luar negeri untuk tempoh lebih 12 bulan berterusan dan sekiranya ini berlaku, pengganti harus dipilih sejajar dengan peruntukan perlembagaan melainkan Majlis Perajaan Negeri mendapati ia mempunyai alasan dan sebab yang kukuh dan boleh diterima."

Artikel 23 (3) pula menyebut (1) tidak boleh digunapakai sekiranya beradanya Tuanku diluar negeri adalah kerana dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Artikel 24 (1) pula menyebut, ‘Sultan boleh secara sukarela mengosongkan dan turun dari takhtanya yang bererti menyerahkan segala hak dan kuasanya.

Tiada sebarang peruntukan yang membenarkan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan diturunkan dari takhta tanpa kerelaan baginda.

Sebaliknya Perlembagaan Persekutuan mempertahankan hak Raja-Raja Melayu dan undang-undang Malaysia mengenakan hukuman berat kepada sesiapa yang berusaha untuk menurunkan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri dari takhtanya.

Penulis blog Syed Azidi Aziz yang juga dikenali sebagai Sheih Kickdefella berhujah dengan panjang lebar dalam entrinya berhubung isu tersebut.

Beliau berhujah, sebarang usaha menurunkan Sultan menerusi proses undang-undang iaitu menerusi Pindaan Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan di dalam Dewan Negeri, jika dilakukan akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan akan terbatal dengan sendirinya.

Bagaimana sekiranya Sultan itu hilang upaya fizikal dan mental?

Kata Syed Azidi, tiada sebarang peruntukan di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan yang menyebut bahawa seorang Sultan perlu atau boleh diturunkan dari takhta sekiranya Baginda mengalami sebarang kecacatan kekal, hilang keupayaan fizikal atau mental atau lumpuh sepenuh badan atau sebagainya.

Sebaliknya ada peruntukan yang membolehkan seorang pewaris Sultan tidak diangkat sebagai Sultan sekiranya Majlis Perajaan Negeri mendapati pewaris Sultan itu tidak sesuai diangkat kerana antara lain masalah fizikalnya dan lain-lain sebab yang tidak dibenarkan melalui Hukum Syarak.

Artikel 8 (2) antara lain menyebut Majlis Perajaan boleh menolak waris tersebut sekiranya, ‘…the council shall consider him to have some great and serious defect derogatory to the quality of a sovereign such as infirmity, blindness, dumbness or possessing some base qualities on account of which he would not be permitted by Hukum Shara’ to become Sovereign Ruler’.

Antara lain ini bererti Undang-Undang Tubuh Negeri melindungi seorang Sultan daripada didiskriminasikan dari terus menduduki takhtanya setelah pelantikannya sebagai Sultan disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri.

Oleh yang demikian, kata Syed Azidi, dari sudut Undang-Undang Negeri, tiada pihak boleh mempertikaikan kesahihan KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra adalah Al Sultan dan Yang Di-Pertua Negeri Kelantan Darulnaim dan semua jajahan naungannya.

Sebarang masalah kesihatan yang mengakibatkan Kebawah Duli Tuanku gering tidak boleh dari segi perundangan dijadikan pertikaian atas persemayaman Tuanku di atas takhtanya.

Pentingnya Majlis Perajaan Negeri

Sejak konflik istana Kelantan tercetus, kita sering mendengar sebutan Majlis Perajaan Negeri atau di dalam Bahasa Inggeris di panggil sebagai The Council of Succession of Kelantan.

Pentingnya Majlis Perajaan Negeri boleh dilihat dari segi kedudukannya di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tuboh Negeri. Majlis ini mendahului lain-lain kerabat DiRaja di dalam undang-undang tubuh negeri.

Ini kerana Artikel 6 menyebut antara lain ‘tiada siapa boleh ditabalkan sebagai Sultan melainkan telah terlebih dahulu pelantikannya disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri’.

Oleh yang demikian, majlis ini adalah satu majlis yang amat penting dalam sistem Raja Berpelembagaan di peringkat negeri.

Ahli-ahli Majlis Perajaan Negeri adalah mengikut undang-undang tubuh terdiri daripada; Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Kerajaan negeri adalah menjadi Setiausaha Majlis Perajaan Negeri.

Ahli-ahli lain ialah 4 orang Kerabat Di Raja dan tidak kurang dari empat dan tidak lebih dari lapan orang yang hendaklah berketurunan Melayu dan rakyat kepada Sultan di negeri berkenaan.

Ahli Majlis Perajaan yang disebut diatas hendaklah dilantik oleh KDYMM Al Sultan sendiri dan bukan oleh pihak lain.

Peranan Majlis Perajaan Negeri adalah mengesahkan Sultan yang baru sebaik sahaja setelah kemangkatan Sultan sebelumnya. Artikel 11 (1) menyebut, ‘No decision of the Council of Succession shall be valid and binding unless at least two-thirds of the members present and voting shall agree thereto’.

Pemangkuan Raja

Artikel 22A (1) pula menjelaskan peruntukan-peruntukan yang membolehkan pemangkuan diwujudkan di dalam negeri, iaitu atas sebab-sebab berikut;

a) ‘If the Sovereign shall have occasion to be absent from the State for more than thirty days; or

b) ‘If the Sovereign shall be incapacitated from attending to the affairs of the state; or

c) ‘If the Sovereign is elected to the office, or exercise the functions, of the Yang di-Pertuan Agong for a period exceeding fifteen days’.

Peruntukan (a) dan peruntukan (c) dalam Artikel 22A(1) Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan adalah jelas tetapi peruntukan (b) adalah samar dan memerlukan tafsiran.

Syed Azidi berhujah, apakah maknanya ‘…incapacitated from attending to the affairs of the state’? Pelbagai pihak boleh memberi tafsirannya berdasarkan kecenderungan masing-masing.

Oleh yang demikian, eloklah dibiarkan tafsiran ini dibuat oleh pihak yang diberi peruntukan untuk membuat tafsiran ini oleh undang-undang tubuh negeri ini.

Bagaimanapun, kata Syed Azidi, jika dibaca peruntukan seterusnya di dalam artikel yang sama kita mungkin dapat sedikit gambaran tafsiran incapacitated yang dimaksudkan itu.

Artikel 22 A (2) antara lain menyebut; 'Jika Baginda Sultan bercadang keluar negara seperti tersebut dalam peruntukan (a) artikel ini, Tuanku hendaklah melantik Pemangku atau Majlis Pemangkuan untuk menjalankan ‘… His functions during His absence from the State’.

Tetapi Artikel 22 A (3) bagaimanapun menyerahkan tugas melantik Pemangku dalam kes Artikel 22A (1) (b) kepada Majlis Perajaan Negeri. Ia berbunyi;

‘In the case of the incapacitation of the Sovereign the Council of Succession shall appoint a Regent or Council of Regency as to them most expedient and if it shall be necessary to appoint a Council of Regency the provisions of Clauses (2) and (3) of Article 19 of this Part shall apply to such appointment’.

Artikel 22 A (4) pula mengembalikan kuasa melantik Pemangku kepada Sultan dalam kes Artikel 22 A (1) (c) yang mana bila Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan ketiga-tiga klausa ini, Syed Azidi berhujah, dari segi Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri, salah satu keadaan incapacitated ialah dimana Tuanku tidak boleh bertitah di antara lainnya boleh dikatakan sebagai dalam koma atau tidak waras.

Jika setakat itu sahaja tafsiran incapacitated di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tuboh Negeri, bererti hari ini Tuanku sudah diluar keadaan tersebut berdasarkan surat daripada pihak Pakar dari Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Kegagalan berjalan atau berhadapan dengan umum disebabkan keadaan fizikal lain tidaklah boleh dijadikan alasan meneruskan pemangkuan kerana Artikel 22 A (5) jelas tercatat bahawa;

‘Such Regent or Council of Regency shall cease to act upon the return of the Sovereign to the State or upon His recovery from incapacitation or His ceasing to hold the office or exercise the functions of Yang di-Pertuan Agong as the case may be’.

Syed Azidi turut merujuk kepada sepucuk surat bertarikh 15 Januari 2010 yang ditandatangani oleh YTM Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Mahkota telah meminta Dr. Kelvin Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Mount Elizabeth menjelaskan keadaan kesihatan Tuanku, antara lainnya tertulis dalam surat tersebut;

‘I also wish to know if the Sultan is presently competent to perform his duties as a ruler…’

‘I also wish to request the appropriate medical reports be furnished to me as the Regent …… as to the Sultan present competency to make informed decisions which a ruler has to make with regard to the affairs of the State of Kelantan.’

Untuk itu, pihak Hospital di Singapura menjawab pada 1 Februari 2010;

“ …the Sultan is currently capable of making His own decisions.’

Berdasarkan jawapan itu pada 18 Februari 2010, YTM Tengku Mahkota Kelantan mengarahkan peguamnya, Zul Rafique & Partners bertindak bagi pihaknya dalam mendapat lebih banyak maklumat dari pihak di Singapura.

Apakah Pula Kuasa Sultan Dalam Negeri

Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan menyebut dalam Artikel 10;

‘The executive authority of the State shall be vested in His Highness but executive functions may by law be conferred on other persons or authorities.'

Antara lain ia jelas bermaksud, kuasa mentadbir negeri hanya ada pada Sultan tetapi kuasa melaksanakan hal-hal pentadbiran boleh diamanahkan kepada individu atau pihak lain.

Artikel 15 (2) antara lain menyebut, ‘Baginda boleh bertindak di atas pertimbangannya bagi fungsi-fungsi eksekutif…’ dan diantaranya ialah (e) pelantikan warisnya dan pemangku atau majlis pemangkuan.

Persoalannya tanya Syed Azidi ialah adakah dengan wujudnya pemangkuan, kuasa eksekutif digalas oleh pemangku atau pemangku sekadar melaksanakan fungsi-fungsi eksekutif?

Pemahaman Tentang Kuasa Pemangku

Menurut Shukri Mohamad dalam rakaman audio yang telah tersiar di blog Syed Azidi ini, individu yang diberi kuasa memangku mempunyai kuasa setaraf dengan individu yang dipangku jawatannya.

Jelas Syed Azidi lagi, "dalam rumusan kampung, kita boleh andaikan saya sebagai tuan punya sawah padi dan saya mempunyai barisan pekerja menjalankan tugas-tugas menanam padi. Geran dan hak milik tanah adalah diatas nama saya. Diatas sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa meninggalkan kampung untuk suatu jangkamasa tertentu dan atas sebab demikian, saya melantik anak saya untuk menjalankan tugas saya."

"Anak saya sudah tentu tidak ada kuasa mutlak untuk menjual tanah sawah saya kepada pemaju untuk aktiviti pembangunan walaupun dia memangku tugas saya. Ini kerana dia ‘memangku tugas’ dan bukannya mengambil alih peranan saya sebagai tuan punya sawah."

Oleh yang demikian, kata Syed Azidi, pada analisanya, beliau berpendapat Pemangkuan adalah membawa maksud memangku tugas-tugas atau fungsi seorang Sultan tetapi dia tidak memangku kuasa seorang Sultan.

Di atas sebab itu juga, undang-undang tubuh negeri di dalam artikel 22 B jelas menyebut antara lainnya, ‘imbuhan yang dibayar kepada Pemangku Raja tidak boleh melebihi imbuhan yang dibayar kepada seorang Sultan.’

Di dalam artikel yang sama juga memberi gambaran tugas pemangkuan sebagai, ‘… to exercise the prerogatives of and perform the duties of the Sovereign….’

Tambahan pula Al Sultan di panggil dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sedangkan pemangkunya sebagai Yang Maha Mulia. Ini menurut Syed Azidi sudah menunjukkan perbezaan di antara Sultan dan Pemangku Sultan.

Artikel 28 undang-undang tubuh negeri juga jelas menekankan bahawa, Tengku Mahkota atau pewaris takhta tidak mempunyai sebarang kuasa berdasarkan ayat berikut;

“The Heir shall have no authority whatsoever to take part nor may interfere in any affairs of the State or Government, excepting only when he shall have the command of Sovereign generally or in any particular case or as may be authorised under this Part and this provision shall apply also to the other heirs.’

Bagaimana pula dengan Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran

Artikel 43 (1) undang-undang tubuh negeri jelas menyebut bahawa;

‘KDYMM ialah pangkal segala kemuliaan dan kebesaran dalam negeri ini dan Bagindalah sahaja boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran dan kehormatan.”

berdasarkan klausa ini, adalah jelas kuasa eksekutif seorang Sultan. Sebaliknya menandatangani persetujuan terhadap undang-undang negeri adalah melaksanakan fungsi eksekutif.

Kesimpulannya, Kuasa Eksekutif tidak boleh dipangku, sebaliknya apa yang boleh dipangku ialah fungsi-fungsi eksekutif seorang Sultan.

Kesimpulan

Syed Azidi yang merupakan seorang anak jati Kelantan berpendapat, tafsiran yang jelas perlu dibuat ke atas kalimah ‘incapacitated’ dan bukannya keadaan fizikal Tuanku Al Sultan Kelantan.

Apabila jelas apa yang dimaksudkan dengan kalimah itu dalam undang-undang tubuh negeri, maka segala kekeliruan boleh diperjelaskan.


Sumber (c) Mstar Online

1 comment:

  1. salam....


    semoga ada cahaya yang mampu menerangi punca kegelapan yang menimpa istitusi istana.


    demak

    ReplyDelete