Sultan Johor I - Sultan Mahmud Shah I (1511-1528)
Pada 15 Ogos 1511, Melaka telah diserang oleh Portugis lalu baginda Sultan Mahmud Shah I melarikan diri ke Bertam, Batu Hampar, Pagoh seterusnya ke Pahang, Bentan dan akhir sekali Kampar. Baginda mangkat di Kampar pada tahun 1528 disebut " Marhum Kampar "
Sultan Johor II - Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Ali /
Raja Alauddin / 1528-1564)
Sultan Alauddin Riayat Shah II telah pergi ke Pahang menemui Sultan Mahmud Shah ( Sultan Pahang 5). Baginda telah memperisterikan Puteri Kesuma Dewi (anak marhum Sultan Mansur Shah - Sultan Pahang 4 ). Pada tahun 1529, baginda ke Hujung Tanah dan membuka Pekan Tua (Kota Kara). Pada tahun 1535, seramai 400 askar Portugis yang diketuai Estavao Da Gamma telah menyerang Johor. Baginda melarikan diri ke hulu iaitu Rebat, Sayong. Seri Nara Diraja (pembesar sultan) kemudiannya meninggal di Sayong disebut " Datuk Nisan Besar " . Susulan peristiwa itu Sultan Muzaffar Shah (Sultan Pahang 6) telah datang ke Sayong. Bagaimanapun pada tahun 1536, Estavao Da Gamma telah menyerang Kota Kara kerana adiknya Paulo Da Gamma dan 30 orang Portugis telah dibunuh oleh orang Melayu. Justeru itu, satu perdamaian telah dimetrai antara kedua-dua belah pihak. Pada tahun 1540, Sultan Alauddin Riayat Shah II berpindah dan membuka Johor Lama. Baginda telah pergi ke Aru bagi membantu Ratu Aru dari ancaman Acheh. Pada tahun 1564, Sultan Acheh Sultan Alauddin al-Qahar mengalahkan Aru dan manghalau orang-orang Johor. Kemudian Sultan Acheh telah menyerang Johor Lama dari Aru. Sultan Alauddin Riayat Shah II ditawan dan dibawa ke Acheh dan dibunuh disana disebut " Marhum Syahid di Acheh ".
Sultan Johor III - Sultan Muzaffar Shah II (Raja Muzafar / Radin Bahar / 1564-1570)
Sultan Muzaffar Shah II bersemayam di Johor Lama sebelum berpindah ke Seluyut pada tahun 1565. Baginda tidak suka Johor tunduk kepada Acheh. Pada tahun 1568, baginda menghantar tentera membantu Portugis sekaligus mengundang kemarahan Acheh. Pada tahun 1570, baginda mengkat di Seluyut disebut "Marhum Mangkat di Seluyut".
Sultan Johor IV - Sultan Abd Jalil Shah I (Raja Abdul Jalil / 1570/ 1571)
Sultan Abdul Jalil Shah I adalah anak saudara kepada Sultan Muzaffar Shah II. Ketika berusia 8 tahun baginda telah ditabalkan sebagai Sultan, melalui wasiat Sultan Muzaffar Shah II. Sultan Abdul Jalil Shah I mangkat tiba-tiba dipercayai mungkin diracun. Bendahara Tun Isap Misai (pembesar sultan) meninggal dan dikebumikan di Seluyut.
Sultan Johor V - Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (Raja Umar / 1570/71 - 1597)
Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berasal dari Pahang, suami kepada Raja Fatimah (adik Sultan Muzaffar Shah II, bapa kepada Sultan Abdul Jalil Shah I). Pada asalnya pembesar ingin melantik Raja Abdullah, anak Sultan Muzaffar Shah II, tetapi dibantah oleh Raja Fatimah dan mahukan suaminya dilantik sebagai Sultan. Tun Sri Lanang dilantik sebagai Bendahara. Pada tahun 1571, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berpindah ke Tanah Putih selama dua tahun. Pada tahun 1573, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berpindah ke Johor Lama dan membaik pulih semula kota Johor Lama. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II bersahabat semula dengan Acheh (Acheh bergabung dengan Johor menentang Portugis). Pada tahun 1576 dan 1578 Portugis menyerang Johor Lama tetapi ditewaskan. Januari 1573, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II menyerang Melaka dan hampir dapat menawan semula Melaka. Pada 21 Julai 1587, angkatan Portugis yang diketuai Antonio de Noronha ke Johor membedil Kota Johor lama dan merampas harta. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berundur ke Batu Sawar pada tahun 1587. Pada tahun 1589, Batu Sawar diserang dan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II melarikan diri. Apabila Portugis balik ke Melaka, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II datang semula ke Batu Sawar memulihkan kekuatan. Pada tahun 1596, Raja Fatimah mangkat, dan dikebumikan di Seluyut sebelah anaknya Sultan Abdul Jalil Shah I dan abangnya Sultan Muzaffar Shah II. Pada tahun 1597, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II mangkat di Batu Sawar dan disebut " Marhum Batu Sawar ".
Sultan Johor VI - Sultan Alauddin Riayat Shah III (Raja Mansur / 1597-1615)
Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Batu Sawar. Pemerintahan diserah kepada sepupu / saudara (berlainan ibu) Raja Abdullah dengan gelaran "Yang Di Pertuan Hilir" di Kota Seberang bertentangan Batu Sawar. Pelbagai bangsa datang ke Batu Sawar menjadikan ia masyhur. Sultan Alauddin Riayat Shah III mengadakan hubungan baik dengan Belanda serta membenarkan Belanda meletakkan pegawainya di Batu Sawar. Selama 11 tahun Sultan Alauddin Riayat Shah III berpindah ke Pasir Raja, tetapi Batu Sawar masih berfungsi sebagai pusat pemerintahan. Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pasir Raja dengan bendahara Tun Sri Lanang. Pada tahun 1610, Sultan Alauddin Riayat Shah III berbaik dengan Portugis menyebabkan Acheh berasa marah sewaktu dibawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Jun 1613, Acheh telah menyerang Johor hingga berlarutan selama dua bulan, namun Johor telah ditewaskan. Sultan Alauddin Riayat Shah III, Raja Abdullah, Tun Seri Lanang, pembesar dan dua puluh orang Belanda ditawan serta dibawa ke Acheh. Kemudian kedua-dua belah pihak membuat perdamaian dan Sultan Alauddin Riayat Shah III bersama tahanan dibenarkan pulang ke Johor. Tetapi Sultan Alauddin Riayat Shah III tetap meneruskan hubungan dengan Portugis dan Belanda, tindakan ini menimbulkan kemarahan keapda Acheh lalu Sultan Alauddin Riayat Shah III ditangkap, dan dibawa semula ke Acheh dan dihukum bunuh. Pada 1615, Sultan Alauddin Riayat Shah III mangkat di Acheh.
Sultan Johor VII - Sultan Abdullah Ma'ayat Shah (Raja Mansur / 1615 -1623)
Sultan Abdullah Ma'ayat Shah diangkat oleh Sultan Acheh sebagai Sultan Abdullah Ma'ayat Shah dan bersemayam di Batu Sawar. Pada tahun 1618, Sultan Abdullah Ma'ayat Shah berpindah ke Lingga (Daik) dengan meminta bantuan Belanda dan Orang Laut melawan Acheh. Pada tahun 1623, Acheh menyerang Pulau Lingga untuk memburu Raja Bujang (anak Sultan Alauddin Riayat Shah III). Sultan Abdullah Ma'ayat Shah melarikan diri bersama-sama Raja Bujang ke Pulau Tambelan. Sultan Abdullah Ma'ayat Shah mangkat di Pulau Tambelan disebut " Marhum Pulau Tambelan ".
Sultan Johor VIII - Sultan Abdul Jalil Shah III (Raja Bujang / 1623-1677)
Sultan Abdul Jalil Shah III merupakan anak saudara Marhum Tambelan, putera Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pulau Tambelan. Sultan Abdul Jalil Shah III menubuhkan Jemaah Orang Kaya. Pada tahun 1629, ancaman Acheh berkurangan kerana kekalahan teruk kepada Portugis. Pakatan Johor-Belanda berjaya menakluki Melaka pada 14 Januari 1640. Belanda berjaya menakluki Melaka pada Januari 1641, manakala Sultan Acheh, Sultan Iskandar Muda mangkat pada 1636 dan Sultan Iskandar Thani mangkat pada 1641 dan Acheh kemudiannya diperintah oleh Raja Perempuan Ratu Sultanah Tajul Alam. Pada 1641, Sultan Abdul Jalil Shah III datang ke tanah besar Johor iaitu pusat pemerintahan di Makam Tauhid. Selama dua tahun Sultan Abdul Jalil Shah III di Makam Tauhid sebelum berpindah menyeberangi Sungai Damar ke Pasir Raja yang juga dikenali sebagai Batu Sawar pada Oktober 1642. Sultan Abdul Jalil Shah III kekal di Pasir Raja hingga 1673 sebelum bermusuhan dengan Jambi dan meletusnya perang antara Jambi-Johor. Sultan Abdul Jalil Shah III melarikan diri ke Pahang dan bersemayam di Pahang selama empat tahun dan mangkat di Kuala Pahang disebut " Marhum Mangkat di Pahang @ Marhum Besar ".
Sultan Johor IX - Sultan Ibrahim Shah (Raja Ibrahim/Putera Raja Bajau / 1677-1685)
Sultan Ibrahim Shah merupakan anak Sultan Abdul Jalil Shah III dilantik sebagai Sultan di Pahang pada 1677. Pada 1678, laksamana Tun Abdul Jamil mengajak Sultan Ibrahim Shah berpindah dari Pahang ke Riau. Sultan Ibrahim Shah cuba untuk membina semula Kota Johor Lama tetapi tidak kesampaian. Sultan Ibrahim Shah mangkat di Pulau Riau pada 1685 disebut " Marhum Bongsu ".
Sultan Johor X - Sultan Mahmud Shah II (Raja Mahmud / 1685-1699)
Sultan Mahmud Shah II ditabalkan menjadi sultan ketika berumur 10 tahun. Urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan berada di Kota Tinggi dan Johor Lama dijadikan istana hinggap. Di sinilah Temenggung menjaga Kota Johor Lama. Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada tahun 1697, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia dan disebut " Marhum Padang Saujana ". Pada 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat pada usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Laksamana Bentan dan disebut sebagai " Marhum Mangkat Di Julang " atau " Marhum Kota Tinggi ".
Sultan Johor XI - Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil / 1699-1720)
Sultan Abdul Jalil IV ditabalkan sebagai Sultan kerana Sultan Mahmud Shah II tiada meninggalkan waris. Sultan Abdul Jalil IV merupakan sultan pertama dari keturunan Bendahara. Selepas bergelar Sultan Abdul Jalil IV, baginda menukar pusat pemerintahan ke Panchor pada tahun 1700. Pada tahun 1702, Istana di Bukit Tukul terbakar. Pada tahun 1708, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke Riau dan menjadikan pusat pemerintahan kerajaan Johor. Pada tahun 1716, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke tanah besar Johor dan bersemayam di Panchor. Sultan Abdul Jalil IV mempunyai istana di Makam Tauhid dan Johor Lama. Kota Johor Lama dibaiki dan digelar " Kota Lama ". Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, keadaan agak kucar-kacir kerana pembesar-pembesar kerajaan bersikap tamak, khianat dan cemburu ini memberi peluang kepada Raja Kecil menyerang Johor. Pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak (Minangkabau) menyerang Johor. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang di Pertuan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, pun begitu masih membenarkan Sultan Abd Jalil IV menetap di Johor tetapi tiada kuasa memerintah. Kemenangan Raja Kecil adalah atas bantuan pembesar Johor sendiri kerana yakin Raja Kecil adalah pewaris sultan. Raja Kecil menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam ke Kuala Pahang membunuh Sultan Abdul Jalil IV dan disebut " Marhum Mangkat di Kuala Pahang ".
Sumber resmi Laman web KJR Johor
0 comments:
Post a Comment