SETELAH "perang mulut" antara presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Wee Ka Siong mula reda, badan sukarela bukan kerajaan (NGO) Melayu itu telah mendapat kecaman pula dalam sidang Dewan Negara Selasa yang lalu. Kecaman itu disuarakan oleh Senator Datuk Daljit Singh dari MIC.
Daljit Singh menuduh "Presiden Perkasa sentiasa membangkitkan isu-isu yang sangat sensitif dan menyakitkan hati masyarakat lain di Dewan Rakyat".
Saya mendapat kesan bahawa kecaman (tuduhan) senator itu adalah satu kenyataan yang terlalu umum sifatnya dan sengaja dibuat untuk memberi gambaran seakan-akan kerja Perkasa hanya membangkitkan isu-isu yang sensitif dan menyakitkan hati orang bukan Melayu.
Sebagaimana sesetengah pihak yang senantiasa ghairah mengecam Perkasa, Daljit seakan-akan beranggapan apa sahaja yang dibuat atau disebut Perkasa adalah untuk menyakitkan orang bukan Melayu.
Beliau seakan-akan beranggapan bahawa tugas Perkasa hanyalah untuk melakukan provokasi dan ternyata Daljit tidak memahami hakikat bahawa kemunculan Perkasa yang sebenarnya adalah satu reaksi (bukan untuk melakukan provokasi) terhadap rasa keterpinggiran dan kebimbangan bangsa Melayu akibat kedudukan politik dan sosio-ekonomi mereka semenjak akhir-akhir ini semakin tercabar.
Sesungguhnya berikutan keputusan pilihan raya umum ke-12 yang lalu orang Melayu merasa bimbang dengan 'kelesuan' UMNO yang selama ini merupakan satu tenaga politik utama yang membela dan memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dari segala segi.
Di samping itu, sebahagian besar bangsa Melayu juga merasa keliru dan 'terpinga-pinga' bila Pas dan PKR bersekongkol dengan DAP yang selama ini tidak henti-hentinya melakukan provokasi terhadap bangsa Melayu, malah ada antara pemimpinnya yang tidak segan silu menghina kedaulatan raja-raja Melayu. Rasa keterpinggiran dan kebimbangan tersebut diungkapkan dengan tepat oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Perkasa pada Mac 2009 di Kompleks Sukan TNB, Bangsar, Kuala Lumpur.
Sokongan yang diberikan terhadap pelbagai inisiatif Perkasa, kata Tun Mahathir, adalah kerana orang Melayu dan bumiputera lain berasa "dalam keadaan cemas, keadaan yang berbahaya, keadaan terancam." Seterusnya Tun Mahathir menegaskan: "Kenapa tidak? Kita kini diserang berkali-kali oleh berbagai pihak. Ramai daripada orang lain berkata Melayu adalah kaum pendatang. Melayu dituduh mengamalkan apartheid ala kulit putih Afrika Selatan. Melayu tidak adil, suka menidakkan hak kaum-kaum lain. Melayu sudah cukup kaya dan tidak perlu Dasar Ekonomi Baru lagi. Semua peluang perniagaan dan pelajaran diberi hanya kepada orang Melayu.
"Berhadapan dengan tuduhan dan tohmahan sedemikian, Melayu sekarang tidak boleh mempertahankan diri, bahkan tidak boleh bercakap berkenaan dengan bangsa mereka tanpa dituduh sebagai racist.
"Mereka harus terima sahaja semua tuduhan/tohmahan ini dan berdiam diri atau bersetuju sahaja. Sebenarnya orang Melayu sekarang berada dalam ketakutan, tidak mempunyai pemimpin yang sanggup pertahankan mereka. Sebaliknya pemimpin mereka mengerohkan lagi keadaan dengan memohon maaf walau pun kesalahan dilakukan oleh orang lain," tegas Tun Mahathir lagi.
Saya rujuk kembali ucapan Tun Mahathir tersebut sewaktu cuba hendak memahami 'pemikiran' Senator Daljit Singh yang membuat tuduhan terhadap Perkasa yang dikatakannya "menyakitkan hati masyarakat lain." Kesimpulan saya ialah Daljit dan orang yang sefikiran dengannya, tidak tahu (dan tidak mahu tahu) betapa sakitnya hati orang Melayu bila diperlakukan seperti yang dihuraikan oleh Tun Mahathir itu.
Saya syak bahawa Daljit bercakap secara am dengan tujuan menjejaskan kredibilitti Perkasa dan Ibrahim Ali. Kerana itu, semasa dia berucap, saya mencelah dan meminta beliau memberi contoh-contoh yang spesifik. Jawapan yang diberikannya dalam Dewan Negara itu ialah seperti berikut. Dengan menggunakan bahasa rojak mencampur adukkan bahasa kebangsaan dengan bahasa Inggeris, Daljit berkata: "Saya telah memberi satu daripada isu itu seperti kewarganegaraan kaum lain.
Ada banyak yang kita boleh bercakap dan selalu dikata-katakan, I am sure you read all the papers and I come to the Dewan Rakyat myself, I heard it myself in their issues." Demikian tercatat dalam penyata rasmi persidangan (hansard) Dewan Negara.
Tersirat di belakang semuanya itu ialah kewibawaan dan kredibiliti Perkasa akan terus mendapat serangan daripada pelbagai pihak yang hendak menggodam Melayu.
Oleh kerana itulah bangsa Melayu mesti memahami kedudukan Perkasa dalam perspektif 'sayang betul' agar bangsa Melayu tidak menjadi mangsa taktik - 'pecah-pecah dan perintah' pihak-pihak tertentu."
(c) UTUSAN - Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
zaman telah berubah.
ReplyDeletedulu orang melayu taat setia kepada raja itu sebab etnik asing tak boleh nak menindas orang2 melayu.
sekarang lain pulak, etnik asing telah dilantik sebagai pemimpin dan ditaati melebihi kewibawaan raja.
adakah zaman melayu ditindas sudah bermula. Kuasa ekonomi negara siapa yang sudah monopoli....
selagi imam mubin dikalangan melayu tidak dibongkar, adakah akan bermula melayu lesu dan ditindas...
semborowo II
salam..
ReplyDeletetuan semborowo II,
kena tanya nenek kebayan, di mana Imam Mubin itu maujud... & kenapa manusia tidak mahu padanya...?
Namun zaman sains & teknologi skrg,manusia tidak percaya/yakin petunjuk pada alam ghaib..itupun sudah ada skripnya dalam Al-Quran..
uhuk..
Kang Tuoo