KUALA LUMPUR 20 Mei – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan meneruskan perjuangannya membela orang Melayu tanpa gentar walaupun menerima tekanan semakin kuat daripada pihak tertentu.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau sedar ada usaha terancang untuk mencemar nama baik pertubuhan itu dengan pelbagai label bagi menimbulkan kebencian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Beliau mendakwa usaha itu digerakkan oleh parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu termasuk portal berita dan akhbar Cina.
“Sedikit pun kami tidak terganggu dengan usaha-usaha mereka, langsung tidak berbekas malah kami bangga melihat reaksi kurang senang mereka.
“Peliknya kenapa mereka melenting sedangkan berulang kali sudah dijelaskan perjuangan Perkasa tidak akan lari daripada kerangka Perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ibrahim berkata, semua pihak perlu sedar bahawa Perkasa bukannya ‘keldai’ tunggangan mana-mana parti politik lebih-lebih lagi parti pembangkang yang sememangnya bercelaru hala tuju mereka.
Beliau turut berikrar akan terus memperjuangkan perkara yang menjadi hak bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan dan sedia menghadapi apa jua kemungkinan.
“Malah dalam isu lesen pertaruhan sukan, kami adalah NGO pertama yang membuat kenyataan keras menentangnya dan ia disiarkan oleh program berita di sebuah stesen televisyen berbayar.
“Tetapi ada NGO, portal berita dan sayap pemuda sebuah parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam telah melancarkan fitnah kononnya kami berdiam diri,” katanya.
Mengulas mengenai label pelampau Melayu, Ibrahim dengan sinis menempelak pihak yang memberikan label itu dan meminta mereka menilik muka sendiri terlebih dahulu.
Katanya, masyarakat dapat membuat penilaian siapa sebenarnya yang menjadi pelampau dalam negara ini dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan.
“Kenapa ada yang melatah, tidak jelaskah lagi dasar perjuangan Perkasa, atau adakah demokrasi tulen sudah menemui penghujungnya sehinggakan bila memihak kepada mereka barulah dikira demokrasi,” katanya.
(C) LAMAN PERKASA
0 comments:
Post a Comment