ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, May 6, 2010

"Jangan BIADAP" Titah Sultan Selangor

Adab Dan Warisan Turun Temurun Perlu Dipelihara - Sultan Selangor

SHAH ALAM, 6 Mei -- Sultan Selangor bertitah bahawa adat dan warisan yang diamal sejak turun temurun perlu dipelihara dan dipraktikkan oleh semua kaum agar Selangor menjadi sebuah negeri yang mempunyai budaya sopan santun dan budi bahasa yang tinggi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah apa yang dikatakan adab adalah menghormati ibu bapa, orang tua, jiran tetangga, ketua dan pemimpin selain berbudi bahasa serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan dan maruah orang lain.

Sultan Selangor bertitah baginda menyentuh isu adab kerana dewasa ini gejala 'kurang beradab' berleluasa di kalangan masyarakat di negeri ini kononnya kerana masyarakat moden.

"Sayangnya kurang beradab ini dilakukan oleh mereka yang berjawatan besar dan penting, berkelulusan tinggi dan professional. Kurang beradab bukan sahaja dilakukan di tepi-tepi jalan tetapi juga di tempat mulia dan tinggi," titah Baginda pada perasmian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) di sini, Rabu malam.

Baginda bertitah masyarakat berbilang kaum di negeri ini juga perlu memahami dan menghormati adat resam semua kaum bagi mengelakkan berlaku salah faham atau kekeliruan sekaligus mewujudkan kaharmonian dan kesejahteraan di kalangan masyarakat.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda percaya adab yang diamalkan oleh nenek moyang sejak dahulu itu perlu diterap dalam sistem pembelajaran.

Baginda turut meminta Padat yang dilancarkan malam ini supaya bukan sahaja memelihara adat dan warisan Melayu di Selangor tetapi turut menunjukkan betapa pentingnya adab dalam masyarakat berbilang kaum.

"Beta mengharapkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor dapat menumpukan perhatian kepada penerokaan, pengkajian, persembahan dan penonjolan Adat Melayu dan Warisan Selangor yang keasliannya dapat dipertahankan melalui usaha penyelidikan.

"Beta sedar adalah tidak mudah untuk menonjolkan intipati adat budaya yang bersusurgalurkan warisan negeri Selangor sepenuhnya," titah baginda.

Bagi mencapai matlamat ini, Baginda menyarankan Padat menjejaki dan mengenalpasti sumber-sumber Adat Budaya dan Warisan Selangor seterusnya melakukan penyelidikan saintifik ke atas penemuan-penemuan itu.

-- BERNAMA

1 comment:

  1. salam..

    setiggi mana ilmu, setinggi mana ulamak, setinggi mana undang-undang dan setinggi mana politik, mereka tetap duduk dibawah daripada sultan/raja, kerena sultan/raja adalah khalifah dan ulul amri kita.

    Selalunya orang-orang yang tidak senang kepada sultan/raja adalah orang-orang dari bani israil yang sanggup membunuh raja dan rasul mereka sendiri sekarang golongan itu dinamakan orang-orang yahudi.


    dabong

    ReplyDelete