ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Thursday, May 6, 2010

6 May - Perkembangan terbaru krisis Istana Kelantan

Rajamenangis memantau isu ini dengan teliti.

Demi sultan

KOTA BHARU – Segala pergerakan Sultan Kelantan perlu mendapat perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan baginda terkawal dan terjamin.

Arahan itu dikeluarkan sejajar dengan sikap Tengku Muhammad Faris yang amat menyayangi dan begitu prihatin terhadap keadaan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang masih dalam keadaan gering.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, titah arahan baginda telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi untuk mengambil langkah-langkah melaksanakannya.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan kepada media di pejabatnya bagi menyampaikan titah Pemangku Raja sebagai makluman kepada rakyat mengenai pergerakan Sultan Kelantan dan keadaan baginda sekarang.

“Berdasarkan titah-titah arahan tersebut, bermula semalam, pihak polis telah mempertingkatkan kawalan dan ini juga ekoran rentetan beberapa peristiwa yang memerlukan langkah berhati-hati diambil,” ujar beliau.

Beliau antara lain merujuk mengenai insiden pengawal keselamatan keluarga Diraja, Ramli Mohamad,50, yang cedera parah ditembak minggu lalu oleh penyerang tidak dikenali.

Semalam sultan Kelantan yang cuba dibawa keluar ke Singapura untuk menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Mount Elizabeth menggunakan pesawat sewa khas dan pesawat komersial dilaporkan telah dihalang oleh pihak berkuasa.

Semasa dibawa keluar perkarangan Istana Mahkota lewat petang semalam, kenderaan yang dinaiki baginda diiringi ke HUSM bagi membolehkan pakar-pakar merawat dan meneliti keadaan baginda.

Menurut Abdul Halim, Tuanku Ismail Petra telah dibawa ke HUSM dengan iringan ketat polis dan ditempatkan di wad diraja.

“Ini supaya doktor pakar dapat memeriksa dan memberi pandangan kepada Pemangku Raja Kelantan dan kerajaan negeri untuk rawatan serta tindakan lanjut.

“Sebelum ini pihak-pihak tertentu telah menghalang doktor-doktor pakar daripada membuat rawatan susulan dan terapi untuk pemulihan baginda.

“Pihak polis juga telah diarahkan untuk membuat kawalan keselamatan yang sepatutnya sesuai dengan keadaan semasa mengikut undang-undang dan perlembagaan,” ujarnya.

Ditanya sama ada baginda akan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan kemudahan yang terdapat di situ seperti yang disyorkan oleh pakar-pakar perubatan sebelum ini, beliau bagaimana enggan mengesahkan.

“Yang Maha Mulia Pemangku Raja amat prihatin dan amat menyayangi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan dan akan berusaha membuat yang terbaik bagi kebahagiaan dan kesejahteraan ayahandanya yang masih gering, malah makan masih diambil menggunakan tiub.

“Saya berharap agar orang ramai tidak mendengar khabar-khabar angin dan mengikuti blog tetapi bersandarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Kelantan atau pihak yang bertanggungjawab.

“Kita perlu faham bahawa apa yang berlaku adalah urusan keluarga Diraja Kelantan dan segala-galanya adalah takdir Allah dan kita terima seada-adanya, Kita hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya,” ujar beliau.



Sumber - Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
pengarang@utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment