ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Monday, May 10, 2010

Manfaatnya sastera Melayu

Manfaatnya sastera Melayu

SEMINAR Antarabangsa Kesusasteraan Melayu yang ke-10 (SAKM X) dianjurkan hujung tahun yang lalu, antara lain memperlihatkan betapa wujudnya hubungan yang akrab antara kesusasteraan dengan pelbagai cabang bidang ilmu atau disiplin lain.

Para pembentang yang terdiri daripada sarjana/ pemikir serta mereka yang bergiat cergas dalam bidang masing-masing namun menaruh kecintaan terhadap kesusasteraan Melayu, hadir untuk berbahagi pandangan dan saranan. Maka apa yang diperagakan antara lain ialah betapa lebarnya ruang yang ditawarkan sastera dan paling penting, ia memberi manfaat yang banyak dalam bidang ilmu yang sempat dibincangkan antaranya agama, sejarah, kreativiti, pendidikan, sains sosial, sains dan seni persembahan.

Hubungan akrab antara sastera dengan seni persembahan, muzik misalnya, rata-rata sudah dilihat dalilnya sekian zaman. Betapa rangkap lagu dipindahkan dari pantun atau puisi yang cantik dengan susunan fikiran dan rumus/formula rima yang relatifnya mudah digubah. Puisi seperti kata Muhammad Haji Salleh, antaranya adalah fikiran-perasaan, bentuk yang berangkap-berentak, susunan, imaginasi, kecantikan dan kenyataan. Muzik yang menjala puisi Melayu, maka akan diperoleh hasil yang molek. Cabarannya adalah perlunya kreativiti penggubah lagu, mencipta dan menyusun irama yang bersesuaian.

Isu dan cabaran yang selari diutarakan Ku Seman Ku Hussain dalam rencananya, Filem tidak memanfaatkan sastera (Mingguan Malaysia, 7 Mac 2010), merakamkan antara lain kekecewaannya terhadap kesenjangan yang berlaku, kali ini dalam genre filem. Betapa sastera kurang diperah sarinya untuk filem Melayu. Penulis berangkat dari kenyataan bahawa kesusasteraan Melayu adalah sumur kreativiti dan pemikiran yang mewah dari tangan Sasterawan Negara mahupun pengarang umum lainnya.

Menerusi cerpen, novel ataupun puisi, rentas genre boleh berlaku misalnya ke filem, drama, teater, lukisan, tarian atau seni tampak. Ku Seman mengambil contoh banyak pengalaman pembikin filem barat yang tersihir dengan novel dan akhirnya berbekalkan kreativiti, imaginasi dan teknologi terkini; filem seperti Star Wars, Lord of the Rings atau Harry Porter, dapat dijual dengan sambutan yang sangat luar biasa.

Isunya, mengapa ia tidak berlaku di sini; adakah keperluan membaca, menekuni dan menafsir gagasan atau pemikiran dalam karya sastera itu satu kerja yang menjerakan? Dan pembikin filem Melayu belum atau tidak bersedia? Sedangkan kerja merentas-genre ini bukan sahaja bersifat memindah teks, sebaliknya menawarkan yang baru. Misalnya apa yang berlaku dalam teater atau filem klasik tentang kedudukan Tuah-Jebat yang "diselewengkan" daripada Hikayat Hang Tuah. Ia banyak dikupas Mana Sikana dalam Tuah-Jebat dalam Drama Melayu Satu Kajian Intertekstualiti (1994).

kekuatan

Mengambil contoh sastera rakyat, kisah superman atau uebermensch yang menjadi protagonis Hikayat Malim Deman rata-rata sama sahaja dengan watak Superman yang punya kekuatan luar biasa dengan label heronya. Mengapa ia pernah didakwa tidak masuk akal atau hanya khayalan sebaliknya tidak dilihat sebagai satu kerja kreatif. Atau ia alasan yang munasabah untuk pembikin filem atau drama yang tidak cukup ilmu kreativitinya atau kurang imaginasi atau miskinnya industri filem Melayu dengan peralatan canggih, bagi menjadikan watak Malim Deman atau Badang seperti Superman.

Tulisan ini merupakan reaksi terhadap catatan Ku Seman Ku Hussain dan berangkat darinya menjelajah ke ruang lain, banyak lagi sastera dapat dimanfaatkan. Menerusi SAKM X juga, Profesor Dr Wan Ahmad Tajuddin Wan Abdullah dalam Kata, Ungkapan, Citraan, Metafora dan Penjiwaan Fizik: Suatu Jalan Rambang dalam Alam Puisi Melayu, menggembleng sastera sebagai ruang percakapan tentang alam sains fizik yang mungkin sahaja asing dan jauh dari masyarakat umum. Bahasannya memperlihatkan bagaimana ungkapan yang sarat keindahan bahasa perlambangan seperti metafora dapat menterjemahkan beberapa konsep atau fenomena sains fizik.

Begitu juga menerusi trilogi novel Hikayat NeoGenesis, Fitrah Kimiawi dan Panggil Aku Melaju, dunia perubatan diakrabkan dengan khalayak sastera Melayu termasuk kalangan remaja. Istilah perubatan, fenomena sains kimia atau konflik kesenjangan dalam birokrasi kerjayanya, diutarakan Dr Rahmat Haroun Hashim, doktor perubatan menerusi bahasa dan peralatan sastera.

Malah ia sudah dilakukan lebih awal misalnya lewat Sentuhan Oedipus, Di Ar Ti mahupun Manuklon. Namun apa yang menarik menerusi trilogi mutakhirnya menjadi medan untuk melancarkan misi pembelaan terhadap petaka PPSMI dalam sejarah pendidikan dan bahasa negara ini. Dalam bidang yang sama Aminah Mokhtar, jururawat terlatih, juga pernah menyatakan langgam bahasa sastera yang indah merupakan ruang ekspresinya berkarya. Ia banyak dipaparkan dalam Dominasi Tebrau, Semoga Cepat Sembuh dan Pelamin Embun.

Begitu juga dilihat banyak latar/ilmu/bidang yang mungkin selama ini asing seperti sejarah (Islam, Melayu atau dunia), maritime, senibina, undang-undang; kebanyakannya kini kian dekat dengan khalayak dengan memanfaatkan mandala sastera Melayu. Ia ditangani sewajarnya dalam wilayah ini antaranya oleh Arena Wati, Zaharah Nawawi, Azmah Nordin, Nisah Haron, Isa Kamari, Faisal Tehrani, Mohd Kassim Mahmud dan SM Zakir.

pandangan

Menariknya apa yang dilakukan mereka merupakan proses pembaikian dari hypotext (teks/bidang asal masing-masing) dan kemudian dipindahkan dalam hypertext (cerpen/novel yang ditukangi) yang menjadi jauh lebih baik, relatifnya, dan inilah pandangan yang disokong kebanyakan tokoh intertekstual antaranya seperti Gerard Gennette dalam bukunya, Paratexts: Thresholds of Interpretation (1987: xviii).

Proses komunikasi dua hala yang berhemah antara sastera dengan pelbagai ruang lain, sebenarnya membawa makna baru, tafsiran yang lebih segar, mencabar kembali gagasan hypotext. Hasil SAKM X, dalam himpunan kertas kerja Kesusasteraan Melayu dalam Rentas-ilmu, memaklumkan komunikatifnya hubungan sastera dengan pelbagai bidang itu. Luar biasanya dalam kesusasteraan bidang-bidang itu dilihat dari mata yang sangat manusiawi, lanjutan dari misi menambah baik hypotext. Pada masa yang sama ia dijalinkan secara berseni dengan alat penukangan sastera khususnya bahasa.

Keterbalikan daripada pemandangan yang memukau itu, manfaat sastera Melayu kian berbalam dengan kedudukannya ditempel sebagai mata pelajaran yang semakin tidak dihargai dalam muatan sistem pendidikan negara ini.

Makanya, tidaklah aneh jika seperti dakwa Ku Seman, pembikin filem tidak memanfaatkan kesusasteraan Melayu yang merupakan sumber cerita yang membijaksanakan!



(c) Utusan. oleh Mawar Shafei



0 comments:

Post a Comment