Thomas Stamford Raffles dilahirkan pada 6 Julai 1781. Oleh kerana kemiskinan, beliau terpaksa berhenti sekolah pada usia 14 tahun. Raffles kemudian berkhidmat dengan East India Company. Pada usia 23 tahun, dilantik sebagai pembantu setiausaha koloni di Pulau Pinang. Pada 1811, Raffles turut menyertai tentera British menyerang Jawa untuk menghalau pedagang Belanda dan Perancis.
Selepas itu beliau dilantik sebagai Leftenan Gabenor. Menjelang 1818, Raffles merancang untuk membina penempatan di Singapura bagi memastikan keselamatan kapal-kapal British. Pada 29 Januari 1819, Raffiles mendarat di sana.
Selepas 3 tahun berkhidmat di Sumatera, beliau kembali ke pulau itu untuk menguruskan pentadbirannya. Kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan, Raffles pulang ke London. Beliau merupakan Presiden pertama dan pengasas Zoo London. Beliau meninggal dunia pada 5 Julai 1826 kerana ketumbuhan otak.
Bila datang ke Melaka, Raffles tinggal di sebuah rumah di Banda Hilir yang dimiliki oleh Baba Cheng Lan. Kali pertama pada 1807 sebelum kembali semula ke Pulau Pinang pada 23 Januari tahun berikutnya. Kunjungan kedua pada penghujung Julai tahun yang sama selama 3 bulan.
Raffles mengutus surat kepada Gabenor-Jeneral India bagi menghalang rancangan British meninggalkan Melaka. Oleh kerana penglibatan beliau inilah, sebahagian kota “A Famosa” masih berdiri. Sebagai agen Lord Minto dengan Tanah Melayu (Malay States), pada bulan Disember 1810, beliau memilih Melaka sebagai ibu pejabat.
Kisah dipetik daripada buku “Hikayat Abdullah”:
Semasa tiba di Melaka, Raffles membawa barang-barang unik buatan tukang di Eropah seperti pistol, kain satin mahal, muslin tenunan emas, kain bulu yang halus buatannya, jam dan kertas berhias emas dan perak untuk menulis surat kepada Raja, Sultan atau putera Raja Melayu, dan pelbagai lagi objek sebagai hadiah kepada orang-orang besar Melayu.
Satu hari, Ibrahim (penyalin Melayu) memberitahu bahawa Raffles ingin mencari penyalin (copyist) yang mempunyai tulisan cantik, dan juga mahu membeli surat-surat lama serta teks Melayu. Saya diambil untuk menyalin beberapa helai surat ke dalam buku. Ramai penyalin yang lain menulis surat-surat, peribahasa Melayu, puisi, syair, menulis kembali cerita dan lain-lain.
Raffles bertubuh sederhana, tidak tinggi mahu pun rendah; tidak gemuk mahu pun kurus. Dahinya lebar dan agak jendul yang menunjukkan kebijaksanaannya. Dia berambut coklat, bertelinga agak besar, berbulu kening tebal, berhidung mancung dan pipi agak cengkung. Bibirnya nipis, kata-katanya lembut dan mulutnya agak luas; lehernya jinjang, warna kulit tidak begitu jelas, dadanya bidang dan pinggangnya sederhana. Dia melangkah dalam keadaan sedikit membongkok.
Raffles selalu kelihatan seperti berfikir. Beliau peramah dan sentiasa menghormati sesiapa saja. Beliau bijak memutuskan perbualan yang dianggap agak menyusahkan. Sangat bertimbang rasa terhadap perasaan orang lain dan gemar memberi kepada golongan miskin. Beliau bertutur sambil tersenyum dan suka mengkaji sejarah. Apa usaha yang dimulakannya, disudahkan jua dengan penuh semangat.
Bila membaca atau menulis, beliau gemar di tempat yang sunyi. Ketika ini, tiada sesiapa yang boleh mengganggu. Beliau menurut jadual, dan tidak mencampur adukkan semua kerjanya. Beliau menggaji empat orang lelaki untuk mencari spesimen untuk dijadikan bahan kajian. Seorang ke dalam hutan mencari berjenis daun, bunga, lumut, kulat dll. Seorang lagi mencari cacing, belalang, rama-rama, kumbang, serangga dll. Manakala yang lain ditugaskan mengumpul kupang, kerang, tiram, ikan dsbnya. Lelaki terakhir menangkap binatang liar seperti burung, ayam hutan, rusa dll.
Raffles mengeringkan dedaun dan bunga dalam buku bermuka surat tebal. Beliau juga mengawet binatang kecil seperti lipan, ular, kala jengking dll di dalam bahan kimia yang diletak di dalam botol. Ramai orang datang membawa buku dan manuskrip Melayu. Kira-kira 360 naskhah lama (tidak termasuk Syair dan Pantun serta Peribahasa dan Simpulan Bahasa) dari seluruh Tanah Melayu dijual kepada beliau.
Pemilik naskhah lama itu tidak tahu menilai ‘harta’ yang dipusakai daripada nenek-moyang mereka. Namun ada juga buku yang dipinjam oleh Raffles dan disalin. Raffles menunjukkan minat yang mendalam terhadap bahasa pertuturan orang-orang Melayu dan berhasrat mengasaskan sekolah bagi tujuan mengajar kepada lebih ramai penduduk Tanah Melayu.
makluk inggeris inilah yg memulakan siri penjajahan tanah melayu secara terancang dengan halus
ReplyDelete