ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT. UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Friday, October 15, 2010

PEGUAM: Arah tuju hak istimewa orang Melayu


Arah tuju hak istimewa orang Melayu

KENYATAAN Baginda Sultan Johor dalam Seminar Perlembagaan Malaysia di Johor Bahru hendaklah menjadi peringatan kepada setiap pemimpin politik yang memperjuangkan kaum-kaum dalam negara kita. Fenomena yang berlaku kini jelas memerangkap orang Melayu. Apa sahaja yang berkaitan dengan hak orang Melayu akan terus sahaja dilabelkan sebagai perkauman sempit manakala jika ia berkaitan dengan hak kaum lain maka ia akan dirujuk pula sebagai hak sama rata warganegara.

Hari ini, menjadi suatu dosa besar hinggakan seseorang boleh kehilangan pangkat dan jawatannya hanya kerana mengingatkan kita akan sejarah penubuhan negara ini. Sebagai warga asal yang menduduki negara ini sudah tentulah orang Melayu diberikan keistimewaan yang bukanlah terlalu banyak sebagai mengiktiraf pengorbanan mereka sehinggalah negara kita dapat membangun sehingga hari ini.

Baginda Sultan Johor membuat rujukan yang tepat apabila mengatakan bahawa para pejuang kaum ini merujuk peruntukan Perlembagaan yang memberikan hak sama rata kepada semua kaum, sedangkan peruntukan yang spesifik berkaitan kaum Melayu dan agama Islam seolah-olah di kesampingkan pula oleh mereka.

Kadang kala kenyataan yang dibuat melampaui pula kewajaran dan kewarasan yang munasabah hingga perkara-perkara ibadat umat Islam dijadikan pula sebagai hinaan untuk diperlekehkan. Dalam senario berbeza, lihatlah pula kenyataan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja dan majoriti pemimpin Melayu yang apabila merujuk kepada ketinggian agama Islam maka mereka juga akan menyebut bahawa hak-hak bagi mengamalkan agama lain tidak akan diganggu gugat.

Begitulah berhemahnya kita hingga apabila merujuk kepada institusi raja yang kita junjung seolah-olah raja-raja yang ada ini hanya menjadi raja kepada orang Melayu sahaja ataupun dalam keadaan lain seolah-olah terdapat pula Raja-Raja bukan Melayu dalam negara kita.

Mengambil jalan pintas dengan menyalahkan kaum lain semata-mata, pun tidaklah benar. Orang Melayu perlu dikejutkan dari dibuai angan-angan kosong di tanah air sendiri.

Apabila kita meneliti satu demi satu peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa tidak ada satu pun dalam peruntukan tersebut merujuk kepada terma Ketuanan Melayu. Apa yang dimaktubkan adalah hak-hak keistimewaan orang Melayu.

Hak-hak keistimewaan ini sebenarnya sudah memadai untuk menjadi pemangkin kepada kebangkitan sebuah bangsa Melayu yang hebat. Sebaliknya, hak keistimewaan ini tidak boleh menjadi instrumen bagi memapah bangsa Melayu kerana papahan undang-undang tidak akan selamanya boleh menjadikan bangsa Melayu menjadi bangsa yang kuat.

Dalam realiti kehidupan sekarang, pemimpin politik Melayu hendaklah berpijak di bumi nyata. Kerakusan mereka terhadap kuasa bagi mengukuhkan kedudukan diri sendiri dan bukan kaum dan rakyat keseluruhannya akan mengakibatkan orang Melayu dilihat sebagai kaum majoriti tetapi hanya memiliki suara minoriti.

Apa maknanya kita menjaja hak ketuanan Melayu jika melihat realitinya pekerja gedung adalah orang Melayu tetapi gedung itu dimiliki oleh tauke-tauke bukan Melayu, pemandu kereta mewah adalah orang Melayu tetapi kereta mewah itu dimiliki oleh orang bukan Melayu, tukang kebun banglo itu orang Melayu dan pemilik banglo itu orang bukan Melayu.

Saudara Zaini Hassan dalam ruangan Cuit-cuit, Utusan Malaysia pada 6 Oktober 2010 menyimpulkan fenomena masalah bangsa ini dengan baik sekali. Beliau menyebut faktor "terlebih selesa" menjadikan masalah bagi kita bangkit dari tidur yang lena.

Kita juga harus dengan serius memberikan kefahaman kepada setiap warganegara akan rukun teras kewujudan negara ini. Pemahaman silang budaya dan agama perlu terus diperkukuhkan dengan lebih berkesan.

Bangsa Melayu hanya akan terus wujud jika kita dapat memastikan orang Melayu tidak terus terpinggir dalam negara ini.

Senikata sebuah lagu yang dinyanyikan oleh Tan Sri S.M. Salim dan M.Nasir yang berbunyi "Awak yang payah membelah ruyung, Orang bertandang yang beroleh untung, Akhirnya kita tak akan dihitung". benar-benar mencuit hati saya. Sudah tiba masanya orang Melayu bangkit kembali dihitung menjadi satu dalam menentukan arah tuju wajah negara kita.

IKBAL SALAM

Peguambela & Peguamcara

Mahkamah Tinggi Malaya.


Sumber (c) Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment